MANUSIA tidak selalu sedar ketika mereka sedang meninggalkan kehidupan kerana yang paling menakutkan bukanlah kematian, tetapi apabila dunia terus bergerak tanpa menoleh lagi kepada kita.
Kairina membuka mata. Bunyi rel besi bergetar di bawahnya, stabil tetapi sayup, seolah-olah kereta api itu tidak benar-benar menuju ke mana-mana yang pasti.
Cahaya dalam gerabak tua berayun lembut setiap kali kereta api itu melintasi lengkungan landasan. Lampu kekuningan yang pudar jatuh di atas kerusi kosong yang tersusun kemas, terlalu kemas untuk ruang yang sepatutnya pernah hidup dengan manusia.
Tatkala dia memandang ke hadapan, tiada sesiapa, malah ke belakang juga sama. Kairina mula cemas. Kereta api ini terlalu asing baginya. Udara dingin masuk dari celah tingkap, membawa bau besi lama dan kayu lembap yang sudah lama tidak disentuh oleh waktu.
Di luar, pokok di kawasan hutan bergerak perlahan-lahan di sepanjang landasan. Kabus nipis menutup separuh pandangan, menjadikan dunia di luar seolah-olah lukisan yang belum kering sepenuhnya. Dia memandang ke luar melalui tingkap bertentangan. Bunga liar kelihatan mekar, tenang dan tidak tergesa-gesa. Namun, di tanah yang sama, daun kering melayang-layang jatuh ke tanah, seolah-olah masa sendiri sedang menukar ingatan menjadi sesuatu yang lebih ringan untuk dilupakan.
Segalanya bergerak, tetapi tidak semuanya terasa benar-benar hidup. Terpinga-pinga dan keliru, dia masih berdiri di tempat yang sama, di tempat duduk juga tempat dia bangun sebentar tadi. Suasana di luar gerabak terlalu ganjil, seolah-olah dua dunia berbeza sedang wujud dalam ruang yang sama.
Lorong gerabak itu panjang dan sunyi. Setiap langkahnya tidak menghasilkan bunyi, seolah-olah ruang itu tidak mengiktiraf kehadirannya. Dia berjalan tanpa arah yang jelas, tetapi juga tanpa berasa perlu mencari arah.
Gerakan kereta api yang tiba-tiba berhenti menyentak Kairina. Di luar tingkap, bayang-bayang pokok berganjak sedikit demi sedikit. Kadang-kadang terlalu perlahan, seolah-olah masa sedang menahan nafas. Pintu kereta api terbuka tanpa sebarang pengumuman, mendorong Kairina untuk menjejakkan kaki ke luar bagi mencari kebenaran di sebalik perjalanan tanpa arah yang jelas.
Taman itu muncul dalam ingatannya tanpa peralihan yang jelas. Angin petang menyentuh wajahnya di padang yang luas. Kanak-kanak lain berlari, suara mereka ringan dan jauh, seolah-olah datang dari ruang yang tidak pernah meminta dia menjadi sebahagian daripadanya. Kairina hanya berdiri di tepi. Rumput bergerak perlahan-lahan seperti ombak kecil yang tidak pernah berhenti, dan langit di atas terlalu luas untuk memberikan rasa dekat kepada sesiapa.
Kairina berdiri di tepi padang dengan tubuh yang lebih kurus daripada kanak-kanak lain seusianya. Wajahnya pucat dan nafasnya mudah tercungap-cungap walaupun hanya berdiri diam. Berbeza dengan kakaknya, Qu Khaleeya.
Kakaknya bagaikan mentari yang menyinari kehidupan orang di sekelilingnya. Ceria dan periang. Namun, Qu Khaleeya sentiasa berhati-hati setiap kali bersama-sama adiknya.
Di suatu sudut ingatan, suara Qu Khaleeya kembali hadir.
“Kalau kau sihat nanti, kita pergi semua tempat yang kau nak tengok.”
Kakaknya duduk di sebelahnya ketika itu. Nada suaranya lembut, tetapi ada sesuatu yang cuba dipertahankan di dalamnya. Kairina merenung ke dalam anak mata yang banyak bersimpati kepadanya. Pada mulanya, dia membenci simpati itu, tetapi lama-kelamaan dia terlalu lali untuk mempedulikan semua itu.
Dia biasanya tidak menyukai perasaan simpati daripada orang lain kerana hal itu menunjukkan bahawa dirinya lemah dan menyebabkan rakan-rakan sebayanya berfikir dua kali untuk mengajaknya bermain.
Dia juga ingin menjadi seperti remaja-remaja yang lain, hadir ke sekolah setiap hari, mengikuti aktiviti sukan dan membesar bersama-sama.
“Kak, laut cantik tak?” Kairina memendam soalan ini sekian lama.
Dia tahu bahawa keadaan tubuhnya tidak mengizinkannya untuk berjalan jauh, tetapi hanya ini sahaja impian yang benar-benar diharapkannya dapat ditunaikan sebelum dia pergi buat selama-lamanya.
Kairina tidak pernah tahu mengapa dia begitu ingin melihat laut. Mungkin kerana laut terlalu luas, sedangkan dunianya selama ini hanya terdiri daripada bilik wad, ubat-ubatan dan dinding putih yang tidak pernah berubah. Dia selalu membayangkan bahawa dirinya berdiri di tepi pantai, membiarkan angin masin menyentuh wajahnya sambil mendengar bunyi ombak yang tidak pernah berhenti.
Qu Khaleeya sempat menahan esak yang hampir terlepas. Dia mengukir senyuman, berharap adiknya tidak mengambil hati walaupun impian kecilnya itu mungkin tidak akan tercapai. Sebelum dia keluar dari wad untuk memberikan ruang kepada Kairina berehat, dia menitipkan sebuah botol kecil yang berisi pasir dan kerang sebagai tanda kenangan.
Pada hari-hari berikutnya, seperti biasa, tidak banyak kata-kata yang keluar dari bibir Kairina. Dia hanya memandang jauh, seperti cuba mengingati sesuatu yang belum sempat menjadi nyata. Berapa banyak harapan yang belum tercapai, tempat yang belum dijejaki dan kenangan yang tidak sempat dicipta? Dia sudah lupa.
‘Tidak,’ hati kecilnya berdesis.
Perjuangan yang dilaluinya selama ini telah menyebabkan hatinya perlahan-lahan menerima takdir. Menerima takdir bahawa segalanya mempunyai pengakhiran yang pasti.
Tanpa disedari, cahaya putih yang menyilaukan membawanya kembali di dalam gerabak kereta api, di titik permulaan. Hal yang sama berlaku, dan dia sekali lagi melangkah keluar ke stesen seterusnya.
Sebaik sahaja keluar, matanya tertumpu pada sebuah rumah teres bercat warna kelabu. Basikal biru yang selalu dinaiki oleh kakaknya masih berada di tempat sama seperti yang diingatinya. Perlahan-lahan dia melangkah ke hadapan rumah.
Pintu rumah yang sudah lama tidak dijenguknya dibuka perlahan-lahan. Suara ibu dan ayahnya datang dari ruang tamu, lembut tetapi berat, seperti percakapan yang tidak pernah selesai walaupun sudah lama terhenti. Entah mengapa, mendengarkan perbualan itu membuat hatinya bungkam.
“Kairina perlukan kita, bang!”
“Tapi bil rawatan Rina …”
Tanpa menunggu lama, adegan itu lenyap. Pintu rumah kembali tertutup, ibarat melindunginya daripada kepedihan takdir dan menghalangnya daripada kekal di satu memori terlalu lama.
Tanpa amaran, rumput hijau di halaman rumah menyapa pandangan. Pokok di halaman bergerak perlahan-lahan ditiup bayu lembut yang mengelus pipi Kairina. Seri pada wajah Kairina telah lama hilang, dan yang tinggal hanyalah seorang remaja yang pucat dan tidak bermaya serta dibelenggu penyakit yang tidak mampu diubati.
Daun pokok berubah warna tanpa tergesa-gesa; hijau menjadi kuning, seperti masa sedang melepaskan sesuatu yang sudah lama tidak mahu dilepaskan. Qu Khaleeya berdiri di pintu. Dia tidak masuk sepenuhnya, tidak juga melangkah pergi. Hanya berada di ambang ruang, tidak pasti sama ada perlu tinggal atau pergi.
“Kairina,” tutur Qu Khaleeya.
Suara itu perlahan tetapi cukup untuk membuatkan Kairina menoleh. Sayup-sayup, suara yang perlahan itu memanggil namanya berulang kali didengarinya. Wajah kakaknya ada di situ, tetapi terasa seperti jarak antara mereka lebih jauh daripada ruang yang sebenarnya.
Sekali lagi, dia kembali di dalam gerabak kereta api yang sama. Kali ini kakinya laju melangkah keluar ke stesen seterusnya. Kemudian ruang menjadi putih. Bilik itu sunyi sepenuhnya, seperti bunyi dunia diturunkan perlahan sehingga hilang. Dalam memori itu, katil wad berada di tepi tingkap. Baju hospital yang berbelang-belang biru putih tersarung di badannya. Bau hospital yang begitu sebati dengannya mewujudkan rasa nostalgia dalam benaknya.
Bunyi mesin pemantau jantung berulang-ulang perlahan di sisi katil. Tiub yang menyalurkan ubat masih terpasang pada tangannya yang dipenuhi kesan cucukan jarum lama. Dari luar wad, dia terdengar suara doktor bercakap perlahan dengan ibu dan ayahnya, namun wajah mereka sahaja sudah cukup untuk mencerminkan bahawa khabar yang dibawa bukanlah khabar yang baik.
Tawa kecil yang lemah terlepas dari celah bibirnya, seolah-olah mentertawakan rasa yang tiba-tiba muncul di dada. Separuh hayatnya dihabiskan di sini. Dia selalu mengharap untuk keluar dari sini, tetapi pada akhirnya dia berharap untuk kembali ke sini mengulang semula masa dan meluangkan lebih banyak masa bersama-sama keluarga walaupun hanya untuk beberapa detik lagi. Tidakkah itu sangat ironi?
Usai berdiam lama, dia melemparkan padangan ke luar tingkap. Dia duduk di atas katil wad sambil memeluk tubuh. Di luar, kehidupan terus bergerak. Orang melintas, kenderaan bergerak dan pokok berubah warna dalam ritma yang tenang tetapi tidak pernah berhenti.
Dia memerhati lama, seolah-olah cuba mengingati bagaimana rasanya dunia sebelum dunia mula terasa jauh. Dia tertanya-tanya sama ada laut benar-benar sebiru seperti dalam gambar yang selalu ditatapnya sebelum tidur.
‘Kalau aku tiada …’ suaranya sayup, hampir tenggelam,
‘Adakah semuanya akan tetap sama seperti ini?’
Tiada jawapan. Hanya pergerakan dunia yang terus berjalan. Buat kali terakhir, dia membenamkan mukanya sambil mengalirkan mutiara-mutiara jernih. Dia tidak kuat untuk memandang hadapan. Bagaimana jika dia membuka mata sekali lagi, semuanya bertukar gelap gelita? Adakah jalan pulang untuknya?
Tangannya menggigil kecil. Buat pertama kali, dia tidak lagi mampu berpura-pura kuat.
‘Ibu, abah, kakak … Rina takut …’ esak Kairina.
Kali ini dia benar-benar berasa takut kerana selama ini dia selalu berpura-pura kuat. Berpura-pura menerima takdir, tetapi sebenarnya dialah yang paling tidak kuat. Tambahan pula, semangatnya semakin hari dimamah penyakit kronik.
Kabus datang tanpa bunyi. Bunyi besi kembali, lebih dekat kali ini. Kairina berdiri di sebuah stesen lama. Struktur kayu yang pudar, rel yang hilang ke dalam kabus putih tanpa hujung. Sekarang, dia kurang pasti akan ada stesen seterusnya untuknya atau tidak.
Di celah besi karat, bunga liar tumbuh dengan tenang, tidak meminta untuk dilihat. Di tanah yang sama, daun kering bergerak perlahan-lahan setiap kali angin menyentuhnya, seolah-olah dunia tidak sepenuhnya yakin dengan apa yang sedang berlaku. Segalanya terasa tergantung antara hadir dan hilang.
‘Aku pergi mana lepas ni …’ suara Kairina jatuh perlahan.
Bunyi derap kaki semakin mendekati Kairina. Seorang lelaki tua berdiri di belakangnya. Di tubuhnya mengenakan seragam pemandu kereta api yang lusuh, wajahnya tenang seperti seseorang yang sudah terlalu lama melihat perjalanan yang tidak pernah selesai. Dia tidak segera menjawab pertanyaan Kairina. Hanya memandang rel yang hilang dalam kabus, seperti sedang menunggu sesuatu yang tidak akan kembali.
“Kadang-kadang, bukan manusia yang pergi, tetapi tempat di mana mereka pernah wujud sudah tidak lagi menyimpan mereka,” katanya perlahan.
Kairina diam. Tidak ada ketakutan, tidak juga kepastian. Hanya ruang yang semakin senyap. Langit di atas stesen itu tidak jelas. Bukan pagi, bukan malam. Hanya cahaya samar yang tidak tetap, seperti dunia yang sedang kehilangan bentuknya sedikit demi sedikit.
Kairina tidak sedar berapa lama dia berdiri. Angin melintas lembut. Bunga di tepi rel bergoyang kecil. Daun kering jatuh di belakangnya lalu hilang dalam kabus. Dia tidak lagi bertanya. Tidak lagi menunggu. Akhirnya, dia melangkah ke dalam ruang yang tidak menjanjikan arah, hanya kesinambungan yang perlahan-lahan memudar.
Manusia tidak pernah benar-benar hilang, kerana kadang-kadang yang berubah bukan mereka, tetapi dunia yang tidak lagi mengekalkan ingatan tentang kewujudan mereka.
Nota:
Penulis ialah peserta terbaik Minggu Penulis Remaja (MPR) Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan 2026.
