Skip to content
Suara Besi di Rumah Baru
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Suara Besi di Rumah Baru
Suara Besi di Rumah Baru
Cerpen

Suara Besi di Rumah Baru

  • Hipnie Sharbini
  • 5 Jun 2026
  • DBP Cawangan Sarawak
  • 32
  • 5

AKU sebuah mesin taip. Besi kelabu yang pernah berdegup seirama dengan denyut masa. Sekali waktu, aku berdiri gagah di atas meja kayu jati di rumah lama, sebuah rumah kampung di pinggir Kuching, tempat angin pagi membawa bau hujan dan daun pisang. Rumah itu kini sunyi. Yang tinggal cuma kenangan, dan aku.

“Eh, jangan cakap kau tak rindu,” bisik bayang lamunanku kepada diri sendiri. “Rindu itu seperti karat pada besi”

­Aku masih ingat tangan tuanya, tangan datuk kepada budak yang memegangku sekarang. Datuknya seorang lelaki tenang berwajah sabar. Hujung jarinya keras, tapi hatinya lembut. Apabila dia menaip, setiap ketukan bukan sekadar huruf, tapi doa, berita, dan amanah. Hentakan jari itu menandakan perjuangan kecil seorang penulis di bumi Sarawak sebelum merdeka. Huruf demi huruf, berita tentang perjuangan bangsa, tentang kemerdekaan yang belum datang, dan tentang cinta kepada tanah air, semuanya lahir dariku.

Aku tak pernah lelah. Aku cuma tahu berbunyi. Tatak! Tatak! Tatak! Suara itu dulu dianggap muzik oleh datukmu. Katanya, “Apabila mesin taip menyanyi, maknanya idea masih hidup.” Kadang-kadang aku masih dengar suaranya dalam mimpi besi ini.

“Menulis itu jihad kecil, mesin. Jangan pernah berhenti berdenting.”

Tahun-tahun berlalu. Rumah lama itu semakin tua. Lantai kayunya berkeriut setiap kali ada yang melangkah. Cat hijau di dinding mulai pudar. Dan aku, perlahan-lahan dilupakan. Debu menebal di badanku, laba-laba menjadikan ruang antara huruf-hurufku sebagai rumah. Sesekali anak cucu datang beraya. Mereka pandang aku seperti barang muzium, ditekan satu dua huruf, mereka ketawa kecil apabila pita hitam mengotorkan jari.

“Eh, lucu eh. Dulu orang taip guna ni kah?”

Aku nak marah pun tak boleh. Aku cuma besi.

Sampai satu hari, seorang lelaki muda masuk ke bilik usang itu. Langkahnya perlahan. Dia menolak pintu, dan matanya terus terpaku padaku. “Subhanallah, mesin taip datuk,” katanya perlahan. Itulah cucu kepada tuanku dulu, seorang penulis muda yang katanya ingin menjadi seperti datuknya.

Tangannya mengusap debu di tubuhku, lembut. Setiap kali jari menyentuh huruf, seolah-olah masa berpusing ke belakang. Ada sesuatu dalam tatapan matanya, sayu yang tidak dibuat-buat. “Datuk, aku jumpa sahabatmu yang lama,” katanya perlahan.

Hari itu, dia membersihkan aku. Setiap celah huruf disapu, setiap skru dilap. Aku rasa seperti dimandikan dengan kasih. Katanya, dia ingin membawaku ke rumah barunya di Kampung Gersik. Rumah yang katanya bakal jadi tempat dia menulis. Maka, berangkatlah aku meninggalkan rumah lama yang pernah jadi saksi perjuangan dan cinta. Sebelum keluar dari bilik itu, aku sempat menoleh ke arah jendela yang selalu terbuka. “Selamat tinggal, cahaya pagi,” bisikku perlahan. Angin membalas dengan desir halus.

Di rumah baharu, aku diletakkan di atas meja kayu baharu, tapi nuansanya sama. Ada bau kertas, ada cahaya yang tumpah dari tingkap. Aku hampir percaya bahawa aku masih di rumah lama, kalau bukan kerana makhluk itu, sebuah benda hitam berkilat di sebelahku, nipis dan berlayar terang.

“Eh, siapa ni?” tanya makhluk itu. Layarnya menyala, memantulkan wajah penulis muda itu.

Aku diam. Dia bercakap lagi, suaranya laju dan bergaya.

“Aku komputer. Model terkini. Kau ni apa? Relik sejarah?”

Aku tarik nafas, walau aku tak ada paru-paru. “Aku mesin taip. Aku menulis sebelum kau dicipta.”

“Ooo… mesin taip ya. Macam dino lah ya. Patutlah bau besi.”

“Besi aku pernah menulis sejarah,” jawabku tenang. “Besi kau cuma menulis status.”

Komputer tertawa kecil, lampunya berkelip-kelip. “Bro, zaman sekarang semua digital. Mana ada orang guna kau lagi. Tengok aku, aku ada WiFi, aku ada Cloud!”

“Aku ada kenangan,” balasku. “Aku tak perlukan awan untuk menyimpan jiwa tulisan.”

Dia senyap sebentar. Mungkin prosesornya cuba faham falsafah. Kemudian dia menambah, “Tapi aku boleh simpan ribuan fail. Kau tu, satu kertas pun boleh tersilap ejaan terus koyak.”

“Silap ejaan ajar manusia sabar. Kau, silap tekan sikit, auto-correct ubah makna cinta jadi cendol.”

Penulis muda itu yang sedang mengemas, ketawa sendiri mendengar bunyi “klik” dan “tatak” silih berganti. Dia tak tahu kami sedang berdebat tentang makna menulis.

Malam itu panjang. Lampu meja menyinari kami berdua, aku dan komputer. Penulis muda itu menulis di komputer, sesekali memandang aku seperti sedang rasa bersalah. Aku tahu, dia rindu hendak menulis denganku, tapi dunia bergerak laju. Aku faham.

“Hei, pak cik,” kata komputer tiba-tiba. “Jangan kecil hati. Aku pun kagum dengan kau. Orang sekarang tak ada stamina macam dulu. Sekali huruf salah pun dah stress.”

“Zaman aku, setiap huruf punya makna,” kataku perlahan. “Apabila aku berdentum, meja bergetar, jantung penulis pun ikut berdebar. Tulisan bukan sekadar teks, tapi nadi.”

“Tapi pak cik,” balas komputer, “aku boleh hantar tulisan ke seluruh dunia dalam dua saat!”

“Dan dua saat jugalah tulisan kau boleh dilupakan.”

Diam. Hanya bunyi kipas komputer dan detik jam.

“Aku bukan benci kau, budak,” sambungku lagi. “Aku cuma rindu masa manusia menulis bukan untuk ‘likes’, tapi untuk hidup.”

Komputer tak menjawab. Tapi cahayanya perlahan-lahan redup, seolah-olah malu.

Beberapa hari kemudian, penulis muda itu duduk di depanku. Dia memasukkan pita dakwat baru. “Dah lama tak dengar kau menyanyi,” katanya.

Aku hampir menitiskan minyak, kalau itu mungkin bagi besi tua sepertiku. Tatak! Tatak! Tatak! Huruf-huruf kembali berdentum. Kertas putih kembali hidup. Dia menulis satu puisi tentang datuknya, tentang perjuangan, cinta, dan mesin tua yang masih setia.

Komputer di sebelah hanya memerhati. Mungkin kali ini dia faham, ada sesuatu yang tak boleh diganti oleh kelajuan, hanya oleh kejujuran. Apabila penulis itu siap, dia tersenyum. Puisi itu berjudul ”Huruf yang Masih Hidup”.

Dia menatapku lama, lalu berbisik, “Datuk, tulisanmu masih bernafas di sini.”

Malam itu hujan turun. Angin menampar lembut jendela rumah baharu itu. Tiba-tiba elektrik terpadam. Layar komputer gelap serta-merta.

“Hello? WiFi aku hilang! Aku tak boleh save fail!” jerit komputer panik.

Aku senyum dalam gelap. “Tenanglah, budak. Dalam gelap begini, cuma yang berjiwa akan terus bersuara.” Lalu aku berdenting sekali lagi, huruf demi huruf, seperti doa. Setiap tulisan yang lahir dari kejujuran akan hidup lebih lama daripada penulisnya. Dan pada saat itu, aku tahu aku mungkin besi tua, tapi aku masih hidup dalam hati mereka yang tahu menghargai masa.

Keesokan paginya, apabila cahaya pagi menembusi tingkap, penulis muda itu melihat di atas kertas yang masih terlekat di mulutku. Ada baris terakhir yang dia tidak taip malam tadi, “Jangan biarkan dunia memadamkan bunyi tatak dalam jiwamu.”

Dia terkejut. “Eh, bila aku taip ni?” Komputer yang baru menyala, bergurau, “Mungkin pak cik besi kau tu update firmware semasa blackout.” Dia ketawa kecil.

Aku hanya diam, tapi kalau kau dengar betul-betul, ada bunyi halus di ruang bilik itu. Seperti nafas tua yang bahagia.

Kini, penulis muda itu semakin dikenali. Setiap kali ada majlis bacaan puisi, dia akan membawa aku, bukan untuk digunakan, tapi untuk dihadirkan sebagai saksi.

Katanya, “Mesin taip ini bukan alat. Ia warisan.”

Dan setiap kali ada anak muda bertanya kenapa dia masih simpan benda berat itu, dia akan menjawab dengan senyum kecil, “Kerana suara besi inilah yang mengajar aku bahawa menulis bukan tentang cepat, tapi tentang benar.”

Aku mungkin sudah uzur, tapi selagi masih ada yang percaya pada makna huruf, aku akan terus berdenting, perlahan tapi pasti, di rumah baharu yang kini penuh jiwa.

 

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (13) #cerpenkehidupan (8) #dbpselatan (17) #karyasastera (30) #kedah (4) #komsas (3) #penulis (9) #penulisbaharu (33) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (24) #sasteramelayu (10) #sasteramoden (4) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (15) abuyon (4) adie abd gani (5) anak (3) bahasa (3) cerpen (14) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (28) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (6) Esei (5) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (14) puisi (34) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (13) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

ثالاسسوڤهيلى
Puisi Moden

ثالاسسوڤهيلى

  • 4 Ogos 2026
Sejarah Penerbitan Akhbar Berbahasa Melayu di Sabah
Bicara Bahasa

Sejarah Penerbitan Akhbar Berbahasa Melayu di Sabah

  • 5 Ogos 2023
  • 296
  • 5
Persona Cendana Dewi
Cerpen

Persona Cendana Dewi

  • 3 November 2023
  • 767
  • 4.8
Benih Harapan
Cerpen

Benih Harapan

  • 5 April 2025
  • 278
  • 4.7

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP