Skip to content
Tahun Ini Biru Teal
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Tahun Ini Biru Teal
Tahun Ini Biru Teal
Cerpen

Tahun Ini Biru Teal

  • Intan Zubaidah
  • 5 April 2026
  • DBP Cawangan Sarawak
  • 227
  • 4.3

TAKBIR raya belum pun bergema, bunyi mercun sudah mulai berdentum meriah. Dari celah langsir, langit menyapa hari mulia dengan warnanya yang ceria. Tiga beradik ini masih di rumah. Masih mencari kertas putih semangat dan dakwat cerita yang berwana-warni.

Azhan masih berada di dalam bilik mandi. Mungkin masih mengerjakan mandi sunat Aidil Fitri. Azril pula masih bermalas-malasan di atas katil, menunggu giliran untuk mandi. Azreen berada di ruang tamu. Bersolek di hadapan sebuah cermin besar.

Senyum Azreen tersimpul manis. Selepas bertahun-tahun sejak orang tua mereka meninggal dunia, inilah kali pertama mereka bertiga berpakaian sedondon. Bukan tidak sebulu, mereka hanya terlalu sering terjebak antara kesepakatan dengan pilihan. Alhasil, ada-ada sahaja kisah baju raya yang tidak terduga.

Mata Azreen terpaut pada deretan gambar-gambar yang bergantung di dinding ruang tamu. Gambar kenangan yang belum pernah gagal untuk membuatnya senyum-senyum sendiri. Ingatannya melayang kembali ke peristiwa lucu dua tahun lalu.

“Tahun ni kita pakai warna hijau lembut, ya?” arah Azhan seawal 1 Ramadan.

Azril dan Azreen tidak membantah. Mereka pun membeli baju raya berwarna hijau mengikut selera masing-masing. Tidak terlintas di fikiran mereka untuk saling melihat baju adik-beradik yang lain sebelum pagi raya.

Pagi raya itu pun tiba. Azhan keluar bilik dengan baju Melayu berwarna hijau limau. Dia terserempak dengan Azril di ruang tamu yang sudah rapi berbaju hijau pucuk pisang. Tidak lama kemudian, Azreen berjalan keluar dari dapur dengan kurung hijau pudina.

“Nampaknya, terdapat tiga hijau lembut yang berbeza pada hari ini!” ujar Azreen bak pengulas sukan.

“Wah, mesti sihat mata orang tengok kita nanti!” gurau Azhan dalam sengeh.

“Tak apalah! Yang penting sama-sama hijau lembut.” Balas Azril, pendek cerita.

Ini memang risiko kerana membeli baju berdasarkan selera masing-masing. Apa boleh buat, hendak ditukar pun sudah pagi raya. Mereka pun beraya seperti biasa. Pergi ke masjid untuk solat sunat Aidil Fitri serta bacaan tahlil berjemaah. Mereka kemudiannya berkunjung ke rumah saudara-mara.

Rumah pertama yang mereka ketuk hari itu ialah rumah Pak Lang Rahman. Ketika Pak Lang Rahman menyambut mereka di muka pintu, senyum orang tua itu tampak sangat lebar.

“Sekejap!” Kata Pak Lang Rahman sebelum sempat mereka menyapa saudara-mara di dalam rumah.

Tangan Azhan ditarik ke laman rumah. Pak Lang Rahman memintanya berdiri di sebelah pokok pandan. Azril diminta untuk berdiri di kiri abang sulungnya. Azreen menyusul lantas mengambil tempat di sebelah Azril.

“Ha, baru padan! Betul-betul macam kedai cat bergerak!” kata Pak Lang Rahman, puas hati.

Mereka bertiga saling berpandangan. Ternyata, bapa saudara mereka itu menyusun mereka mengikut darjah kecerahan warna. mereka berdiri sejajar dari pokok pandan yang berwana hijau daun, Azhan hijau limau, Azril hijau pucuk pisang serta Azreen hijau pudina.

“Rapat sikit! Wah, cantiknya! Macam ton warna hijau dari gelap ke cerah.” Komen Pak Lang Rahman sambil menekan layar telefon pintarnya.

Semua yang hadir ikut terhibur. Topik warna baju mereka terus dibahas sepanjang hari itu. Di mana-mana pun mereka singgah, mereka akan diminta bergambar dengan susunan yang telah ditetapkan oleh Pak Lang Rahman. Mereka bergambar dengan pokok daun kari, pokok daun kunyit dan segala jenis pokok berdaun yang ditanam di rumah yang mereka kunjungi. Setelah puas, dia mentertawakan gambar baju raya hijau, pandangan anak bongsu itu beralih pula ke gambar raya tahun berikutnya.

Tahun yang paling membuat mereka tiga beradik tampak begitu menyerlah.

“Tahun ni kau pula yang pilih tema baju raya, Azril.” Kata Azhan sewaktu mereka sedang berbuka puasa hari pertama.

“Kena cakap betul-betul nak warna apa? Nanti jadi macam tahun lepas pula…” kata Azreen, mengingatkan.

“Kita pakai rona terang. Tak perlu warna sama tapi yang penting terang.” Utus Azril, tidak mahu fikir panjang.

Tema baju warna terang yang dipilih oleh Azril, dianggap berjaya dipenuhi. Buktinya, ke mana-mana pun mereka pergi, kedatangan mereka sudah terlihat dari jauh. Orang-orang tua yang biasanya perlu mengecilkan mata kerana kabur pun dapat melihat baju mereka dengan jelas.

Azhan segak berbaju Melayu teluk belanga berwarna kuning jaket keselamatan. Azril tampan dibalut baju Melayu cekak musang jingga kon jalan raya. Azreen pula tampak menawan dengan kurung moden merah siren.

Langkah tiga beradik itu terasa begitu panjang. Padahal biasanya perjalanan ke rumah Pak Lang Rahman hanya tiga minit. Mereka sudah seperti peragawan dan peragawati yang berjalan di atas karpet merah sebuah acara fesyen. Semua mata tajam merakam setiap utas benang serta kerut jahitan baju yang mereka pakai.

“Silaunya!” Kata Pak Lang sambil membetulkan cermin mata hitamnya.

Mereka bertiga hanya mampu ketawa. Sindiran Pak Lang Rahman itu memang ada benarnya. Mereka sendiri pun sudah berasa seperti watak animasi yang datang dari Isekai. Setiap kali baju mereka terkena cahaya, mereka seakan-akan mampu mengeluarkan kuasa yang mampu mengalahkan raksasa jahat.

Tahun ini giliran Azreen pula yang memilih tema baju raya. Sejak beberapa bulan sebelum puasa, dia sudah mula membuat tinjauan tentang Warna baju, fesyen terbaharu mahupun harga di pasaran.

“Tahun ini, biru teal.” Beritahu Azreen tanpa ragu.

“Biru apa tu?” Tanya Azril, ingin tahu.

“Biru kehijauan. Teal tu berasal dari nama burung itik kecil yang bernama Eurasian Teal atau nama saintifiknya, Anas Crecca. Pada kepala itik jantan tu, ada jalur biru kehijauan yang menyerlah sekitar matanya.” Terang Azreen seakan-akan seorang penulis yang sudah lama membuat kajian.

“Kenapa pilih warna tu?” Soal Azhan, hairan.

“Sebab tu warna popular tahun ni…” jelas Azreen, selamba.

Kesepakatan dibuat selepas Azreen berjanji untuk mendapatkan baju raya buat mereka bertiga. Azhan dan Azril Cuma perlu mengangguk setuju maka Azreen akan menguruskan semuanya. Sebenarnya, dia sudah memasukkan banyak pilihan baju biru teal ke dalam bakul pembelian akaun e-dagangnya. Dia hanya perlu membuat pilihan akhir sebelum menekan butang beli. Baju-baju itu mendarat selamat di rumah seminggu sebelum raya.

Seusai semua drama pagi raya di rumah, mereka bertiga pun pergi ke masjid. Hari raya tahun ini meriah seperti biasa. Wajah-wajah yang menghilang selama setahun, pulang bermaaf-maafan. Makanan tradisi menambah-nambah seri hari kemenangan.

Hari ini, Pak Lang Rahman membuat rumah terbuka di balai raya kerana 1 Syawal tahun ini bersamaan dengan hari lahir isterinya, Mak Lang Azizah. Semua orang kampung dijemput hadir. Orang luar mungkin mengira majlis ini ialah majlis ramah-tamah kampung. Meriah dan sungguh ceria.
Tiga beradik itu turut hadir. Sesudah menyapa tuan punya majlis, mereka pun dijemput makan. Mereka berpisah di antara kerumunan tetamu yang berbaris. Azhan pergi ke bahagian minuman terlebih dahulu kerana haus. Azril berbaris di deretan lauk-pauk kerana lapar. Azreen pula menyelit di barisan kuih-muih untuk mencari yang manis-manis.

Pinggan Azril mulai berat oleh isi. Jika dia tidak berhenti mengauk lauk, dia pasti akan dicop rakus oleh abang dan adiknya sendiri. Nasi putih, rendang daging, kari kambing dan sayur bumbu pedas, menjadi pilihan hati. Jika tidak cukup, nanti boleh tambah lagi.

Azril beredar dari tempat hidangan. Dia berjalan menuju ke meja makan. Matanya melilau mencari Azhan dan Azreen. Di situlah masalah baju raya tahun ini bermula. Ke arah mana pun dia menoleh, dia akan melihat warna baju yang sama seperti yang dipakai oleh mereka tiga beradik.

Panjang Azril mengeluh. Perut yang lapar seakan-akan sudah membentuk palung besar di dalam baju. Dia mahu cepat-cepat duduk dan makan. Dia menangkap susuk tubuh Azhan di meja panjang dekat pintu masuk. Dia pun bergegas ke sana.

“Abang!” Panggil Azril tetapi susuk yang menoleh ialah seorang lelaki bermisai tebal. Lelaki itu ialah menantu kepada imam kampung.

“Adik!” Seru Azril lagi tatkala seorang gadis berkurung biru teal berjalan di depannya. Gadis itu tidak menoleh. Saat Azril mendekat, gadis itu rupa-rupanya ialah cucu penghulu.

Berpusing-pusing Azril mencari Azhan Dan Azreen. Rautnya cemas persis anak kecil yang tersesat di pasar raya. Begitu ramai orang yang menggunakan baju biru teal padahal mereka semua tidak pernah berpakat.

“Azril, sini!” panggil Azhan sambil melambaikan tangan dari hujung kanan balai raya itu.

Satu nafas ditarik kasar sebelum anak tengah itu duduk di antara Azhan dan Azreen. Tanpa membuang masa, dia lantas melahap makanan di pinggannya. Azhan hanya mampu ketawa. Wajah kesal Azril dan raut Azreen yang agak kelat, membuatnya terhibur. Sejujurnya, Azreen berasa kecewa. Sejak di masjid tadi, dia sudah melihat terlalu ramai orang yang berbaju dengan warna sama. Membuat dia berasa tidak istimewa.

“Tak apa! Anggap saja semua orang yang pakai baju warna sama dengan kita tu ahli keluarga kita. Lagi pun mereka tu bukan orang lain, orang-orang kampung kita juga…” pujuk Azhan untuk meredakan suasana.

Tidak ada respon dari kedua-dua adiknya itu. Azril sibuk mengunyah. Dia begitu menikmati makanan yang sudah dia ambil. Azreen pula mulai membuka telefon pintarnya untuk menenangkan hati. Keadaan ini sungguh tidak seperti yang dia harapkan.

Sedang rancak majlis itu berlangsung, Pak Lang Rahman mendapat satu idea. Lagu raya yang sedang dipasang, dia matikan. Dia mengambil pembesar suara dan berdiri di depan pentas.

“Saya jemput semua yang memakai baju biru teal untuk naik ke pentas. Kita akan ambil gambar beramai-ramai…” umum Pak Lang Rahman dengan nada teruja.

Semua tetamu saling berpandangan. Mereka saling ajak-mengajak namun teragak-agak untuk bergerak. Selepas salah seorang dari mereka berani naik ke pentas, seorang demi seorang tetamu yang lain pun mengekori langkahnya.

“Wah, ramainya ahli keluarga kita!” Getus Azril sewaktu menyertai kerumunan biru teal itu.

“Sekurang-kurangnya, gambar raya kita tahun ni meriah. Taklah kita bertiga sunyi lagi…” sahut Azhan, sangat menikmati suasana.

Urat wajah Azreen yang tadinya ketat, mengendur perlahan-lahan. Beberapa orang gadis sebaya mengelilinginya dengan senyuman. Mata mereka singgah pada baju, tudung dan solekan masing-masing sambil saling mengagumi. Gelak kecil dan pujian yang bertukar-tukar di antara mereka, membuatkan dia merasakan hangatnya kebersamaan. Garis tegang di wajah Azreen pun diganti oleh senyuman yang semakin jelas.

“Semua tengok sini! Sedia…,” Jerit Pak Lang Rahman ibarat jurukamera profesional.

Alangkah terkejutnya semua orang tatkala melihat ruang makan balai raya itu menjadi lengang. Dua per tiga tetamu yang sejak tadi memenuhi balai raya itu sekarang berada di atas pentas. Hanya tersisa tetamu yang boleh dihitung dengan jari sahaja yang tidak terlibat dengan warna baju raya popular ini.

“Satu… Dua… Tiga… Senyum! Cantik!”

Gambar keluarga besar berbaju biru teal itu dikongsikan di kumpulan WhatsApp kampung. Mereka bagaikan gelombang laut biru kehijauan yang berkilau di bawah sinar matahari pagi. Setiap senyum dan tawa yang terakam umpama percikan cahaya yang menari di permukaan air.

Azhan memuat turun gambar itu untuk dicetak. Dia menggantungkan gambar itu di ruang tamu rumah sebagai koleksi cerita baju raya tahun ini. Tahun depan, entah apa lagi cerita baju raya mereka tiga beradik?

# #cerpendbp# dbpcawangansarawak# Hari Raya# penulis sarawak
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (11) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (26) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (29) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (6) #puisimoden (22) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (11) abuyon (4) adie abd gani (4) cerpen (13) dbpcawangansabah (9) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Dialek (2) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Kelantan (2) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (32) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Laras Bahasa Sains dalam Habuk Bintang
Bicara Sastera

Laras Bahasa Sains dalam Habuk Bintang

  • 20 Februari 2025
  • 442
  • 5
Mentol
Cerpen

Mentol

  • 11 Oktober 2025
  • 229
  • 4.8
Dengan Sepatah Kata
Puisi

Dengan Sepatah Kata

  • 5 Ogos 2024
  • 157
  • 4.7
دي يڠ ڤرنه منجادي کاون
Puisi Moden

دي يڠ ڤرنه منجادي کاون

  • 21 Jun 2024
  • 4.2

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP