TERSEMBUNYI di balik awan kelam sebuah gunung yang menjulang tinggi. Berdiri istana iblis yang menjulang megah. Batu-batu besar yang membentuk dindingnya berwarna hitam legam. Warnanya bak serapan daripada pekatnya malam. Menara-menara tajam menusuk langit kelam. Seperti cakar-cakar raksasa yang merobek langit. Pintu gerbangnya yang terbuat daripada besi berat berukirkan wajah-wajah yang menderita. Umpama ditekap langsung daripada jiwa yang tersiksa. Di sekeliling istana, sungai api mengalir deras. Asap hitam dan tebal pula naik dari sungai lalu menambah kabut yang menggantung di sekelilingnya. Hingga membuatkan sesiapa yang mendekat akan kehilangan arah dan terjebak dalam mimpi buruk tanpa penamat.
Hasut duduk di dalam mahligai sambil menyilangkan kaki tanda selesa. Hatinya berasa gemirang kerana dia tahu bahawa biduandanya bakal membawa khabar yang diharapkan. Hasut memang mempercayai biduandanya sungguh-sungguh. Mereka taat. Tak pernah gagal menjalankan tugas. Jarang biduandanya pulang dan meminta tolong Hasut untuk menyelesaikan misi mereka. Hasut dapat membayangkan riak wajah Raja Afrit yang bengis itu akan menjadi jernih sebaik sahaja dia melaporkan perkembangan baharu.
Manusia bukan susah untuk diperdaya. Hanya perlu semu daya sedikit, berkubang seperti kerbaulah masing-masing bergaduh. Hasut yang sudah beribu tahun menjalankan tugasnya amat memahami manusia.
Sambil meneguk darah di dalam gelas, Hasut tersenyum. Masih segar di mindanya apabila beberapa manusia di muka bumi telah ditangkap dan dihumban ke dalam penjara akibat termakan helahnya. Yang indah dihasutnya menjadi parah. Yang parah dihasutnya pula menjadi indah. Bukanlah sesuatu yang susah dan payah. Bagi Hasut, memperdaya manusia merupakan urusan yang mudah.
“Jemput masuk! Jangan malu-malu denganku,” seru Hasut yang dari tadi duduk menyilang kaki di atas sofanya. Biduanda yang baru tiba dengan penuh hormat jalan menunduk-nunduk menuju ke arahnya. Hasut berasa megah kerana diperlakukan sebegitu. Hasut dapat merasakan keputusan yang positif daripada biduanda setianya.
“Apa perkhabaran yang kau bawakan kepadaku wahai biduanda setia?” soal Hasut dengan tinggi hati. “Aku harap kau tidak mengecewakanku memandangkan sudah banyak petua untuk menghasut manusia telah aku perturunkan kepadakau.”
“Berkat afwah tuanku yang tidak terperi taranya dengan iblis yang lain telah membantu hamba yang pacal lagi hina ini berjaya menghasut manusia di muka bumi. Hamba telah berjaya mengucar-ngacirkan hubungan sesama manusia,” jawab biduanda dengan penuh rasa suka.
Hati Hasut melonjak girang. Dia sudah dapat membayangkan riak jernih wajah Raja Afrit setelah mendengar laporannya nanti. Tidak dapat dia bayangkan jika sebentar tadi biduanda datang dan memaklumkan bahawa manusia di muka bumi aman sentosa, saling menghormati dan tidak bercakaran. Sudah tentu Hasut akan diregangkan oleh Raja Afrit pada tiang seksaan para iblis yang gagal sehingga menjadi bangkai yang hina lagi jelik. Hasut tidak sanggup melalui pengalaman yang ngeri sebegitu. Dia sudah lihat ramai dalam kalangan sahabatnya yang menjadi bangkai pada tiang seksaan itu.
“Jika manusia sudah bertelingkah, bagaimana pula dengan pengikut masing-masing?” Hasut menimbulkan persoalan. Dia sesungguhnya mahu manusia di muka bumi ini saling berpecah. Saling bertikam lidah dan menyumpah seranah.
Jika akar sudah mereput, biar sehingga pucuk-pucuknya kering dan layu diracun oleh hasutan-hasutan yang berselirat serta tidak diketahui puncanya. Pada ketika perpecahan berlaku, Hasut akan menyuntik tonik ketaasuban yang akan membarah lalu menjahanamkan umat manusia di muka bumi.
“Pengikut masing-masing sudah mula bercakaran tuanku. Mereka sudah mula mempersoalkan tentang kejujuran ketua yang mereka sanjungi. Namun, tidaklah sehingga bertelagah besar kerana masih ramai manusia yang berfikiran rasional. Ramai dalam kalangan mereka yang tidak berani mengulas. Semuanya berlagak seperti manusia berhemah.”
Hasut ketawa besar. Dia berasa lucu dengan sikap manusia yang berpura-pura. Dia tahu bukanlah sesuatu yang susah untuk menggelincirkan hati-hati manusia yang sebegitu. Hasut sangat berpengalaman. Biduanda yang menanti arahan tahu bahawa Hasut sudah pasti mahunya membolak-balikkan hati manusia yang kucar-kacir sifatnya. Hasut ketawa sehingga ekornya terjungkit-jungkit naik. Sambil ketawa, Hasut berjalan ke arah kerobok tonik semu daya. Hasut mengais-ngais botol tonik yang bertimbun di dalam kerobok menggunakan kuku yang panjang. Hasut mencari toniknya yang mujarab. Tidak berapa lama kemudian Hasut mengambil botol berisi tonik. Sambil tersengih Hasut berjalan kembali kepada biduandanya yang setia.
“Nah, ambillah tonik ini! Engkau langgah sehingga kering lalu kaubisikkan pada cuping telinga anak cucu Adam yang sombong lagi bongkak. Engkau bisik, engkau hembuskan ke wajah mereka. Biar akar mereput dan pucuk-pucuknya kering disantau tonik ketaasuban. Mereka akan bercakaran. Mereka akan hilang punca. Manusia-manusia ini akan saling mempertahankan ketua dan pandangan masing-masing. Yang mulia menjadi hina, yang hina menjadi mulia. Berangkatlah engkau lekas ke muka bumi. Jalankan tanggungjawabmu selaku biduanda setia!” perintah Hasut kepada biduanda yang telah menduga tugasnya. Tanpa banyak bicara, biduanda lesap dalam kesamaran deria.
Hasut kembali duduk bersila panggung di atas sofanya. Ekornya yang panjang terconget antara dua batang kaki. Dalam hati Hasut, terbungkam dendam kesumat kepada manusia yang membawa bala. Wajahnya tidak dapat menyembunyikan perasaan duka dan amarah. Dia mahu sebanyak mungkin manusia bersama-samanya dihumban ke dalam neraka. Sambil menunggu ketibaan biduanda setia, Hasut memantau tugas jembalang-jembalang yang diutusnya ke seluruh muka bumi. Hasut tidak pernah terlepas pandang untuk menyebarkan hasutan melalui bisikan dan hembusan ke telinga dan wajah manusia. Walau sekecil-kecil hasutan yang ditiupkan ke dalam telinga bayi untuk membenci ayah dan ibu sendiri. Sehingga hasutan-hasutan berskala mega yang mampu menjahanamkan keseluruhan pentadbiran sesebuah negara.
Selang dua hari, pulanglah biduanda setia ke mahligai Hasut. Hasut yang sabar menunggu bangun menjemput biduanda setia seperti selalu. Biduanda setia berperilaku seperti kelazimannya. Tunduk dan berjalan sopan menghadap tuannya yang menunggu khabar berita.
“Apa khabar yang dibawamu hari ini? Aku mahu kau lekas bercerita.”
“Berkat afwah tuanku yang tidak terperi taranya dengan iblis yang lain, maka hamba berjaya meniupkan api ketaasuban dalam kalangan manusia. Malah ketaksuban mereka semakin memuncak apabila masing-masing galak berkelahi. Hamba sendiri tidak percaya, manusia sanggup mencerca pihak yang tidak sehaluan dengan mereka. Apatah lagi dengan adanya Internet dan media sosial yang tidak terbatas lakunya. Sedikit masa lagi hamba pasti akan ramai yang akan ditangkap dan dihumban ke dalam penjara. Mereka sendiri yang membinasakan diri mereka tuanku!” jelas biduanda setia sambil menundukkan muka.
Hasut kini semakin gemirang. Hasut tahu dia bakal ditatang Raja Afrit. Hasut tahu inilah kejayaan yang ditunggu-tunggu oleh Raja Afrit. Hasut datang mendekati biduanda setia lalu mengucup dahi biduanda yang setia itu tanda kasih dan sayang. Hasut mengusap kepada biduanda setia lalu bertukarlah biduanda itu menjadi jembalang hitam. Hasut berpaling. Berjalan menuju sofanya lalu duduk menyilang kaki menghitung hari bertemu Raja Afrit.
