SUDAH hampir empat bulan tidak ada orang mati.
Sukar untuk dia percaya, dalam empat bulan ini tidak ada orang mati. Belum pernah terjadi, selama empat bulan tidak ada orang mati. Selalunya, setiap hari pasti ada orang mati atau berselang tiga hari atau berselang seminggu. Pernah sekali, dalam satu hari ada sepuluh orang mati. Ada juga dalam sebulan, berpuluh-puluh orang mati.
Inilah pertama kali dalam masa empat bulan, belum ada orang mati. Tidak ada orang mati bermakna tidak ada kerja. Tidak ada kerja bermakna tidak ada duit. Tidak ada duit bermakna semuanya jadi sulit. Namun itu bukan soalnya.
Zidan menyalakan rokok yang dihisapnya dalam-dalam. Dia berasa tenang sebentar menikmati nikotin. Namun banyak persoalan masih terpusar di arus fikirannya. Sepanjang hampir empat bulan ini, dia tidak melakukan apa-apa. Bagi Zidan, tidak melakukan apa-apa adalah perkara paling sukar di dunia. Tapi itu juga bukan soalnya.
Satu-satunya perkara yang mampu membuatkan Zidan berasa hidupnya bermakna ialah dengan mengali liang kubur. Dia suka menggali liang. Menggali liang ialah satu seni yang tidak dapat dihurainya dengan perkataan. Menggali liang memberikan kepadanya satu ketenangan yang tidak terbilang. Hal tidak ada pendapatan, tidak ada bayaran, itu sekadar keperluan. Sekadar teknikal.
Yang membuat Zidan berasa puas dan berguna selama ini adalah kerana dia telah menunaikan fardu kifayah untuk orang-orang yang telah berpulang. Itu tugasnya. Kewajibannya. Itu tuntutan agamanya. Keutamaan menjadi manusia beragama adalah menjadi orang yang memberikan manfaat kepada semua, tak kira sesiapa.
Zidan tercenung lama. Matanya memandang ke arah tanah perkuburan yang lengang. Melihat nisan-nisan yang kaku terpacak. Angin petang sesekali membawa bau kemboja dan cempaka menyentuh hidungnya. Langit biru lembut memberikan satu kesayuan yang entah apa. Dia sendiri tidak tahu apa bezanya antara kemboja dan cempaka. Atau kedua-duanya jenis bunga yang sama. Peduli apa dia jika kemboja dan cempaka adalah bunga yang sama. Dia bekerja di kubur itu bukan untuk mengenal bunga.
Zidan rasa kosong tiba-tiba. Seolah-olah dia kehilangan sesuatu yang menunjangi hidupnya. Tepatlah seperti yang dikata orang, tempat paling sunyi ialah di kuburan.
Semasa remaja, dia suka membaca puisi dan cuba-cuba menulis puisi. Ada sebuah puisi paling pendek pernah dibacanya. Hanya ada empat perkataan – Malam lebaran bulan di atas kuburan. Dia sudah lupa, itu puisi siapa. Namun empat perkataan itu masih diingatnya. Sungguh tidak disangka, dia akhirnya bekerja di kuburan sebagai penggali liang. Rupanya ada hubungan antara puisi empat perkataan itu dengan kehidupannya sekarang.
Usianya 26 tahun sekarang. Belum berkahwin. Belajar setakat SPM. Dia masih muda. Yang nyata, dia orang muda yang berbeza. Jika orang-orang muda lain ingin mengejar cita-cita, mengejar masa depan yang lebih terjamin, mengejar kebahagiaan di kota-kota besar dengan hidup yang terkejar-kejar, Zidan hanya ingin hidup di kampung dan menjadi penggali liang kubur. Di situ jiwanya tenang dan dadanya terasa lapang.
Orang paling tinggi darjatnya dan yang paling rendah tarafnya, pasti akan berakhir di tanah kubur sudahnya. Tiada beza antara sang kaya meliana, si papa kedana, orang ternama, orang tiada nama, pengemis, artis, agamis, fasis atau anarkis. Semuanya bakal masuk kubur bila nyawa habis. Asal daripada tanah, mati kembali kepada tanah.
Zidan tahu, pemikirannya memang berbeza. Tiada sesiapa yang dapat memahaminya. Dia sendiri tidak memahami dirinya. Yang dia tahu, dia menemui keseronokan bekerja di tanah kubur.
Zidan merancang mahu berniaga menjual batu nisan dalam talian. Dia sudah membuat beberapa rekaan batu nisan dan kepuk kubur yang dirasanya boleh dijual dengan laris. Dia ingin menjual pakej kapan jenazah secara komersial dengan harga murah dan mampu bayar. Dia sudah menyiapkan katalog pakej kematian yang dibuat mengunakan aplikasi kecerdasan buatan.
Fikiran Zidan masih berbolak-balik. Dia masih tertanya-tanya kenapa tidak ada orang mati selama empat bulan ini? Pertanyaan itu memangnya terdengar keji. Tetapi, itulah yang sedang difikirkannya pada masa ini. Perkara sebegini belum pernah terjadi. Setiap hari mesti ada orang mati. Atau berselang dua hari. Atau berselang seminggu. Sekarang, sudah empat bulan tiada orang mati.
Kalau ikutkan Zidan, setiap hari dia mahu ada orang mati supaya dia boleh menggali liang. Hal Itu akan membuat hatinya tenang. Memikirkan kehendaknya itu, Zidan mendadak rasa bersalah. Rasa jelik dan jahat. Hanya kerana dia suka menggali liang, perlukah ada orang mati setiap hari? Zidan menyoal dirinya sendiri. Dia berasa cukup bersalah dan berdosa besar.
Apa pun, Zidan tetap mahu setiap hari ada orang mati supaya dia dapat menggali liang. Itulah yang diinginkannya. Itulah yang disenanginya. Lagi banyak orang yang dikebumikan di kuburan itu, akan bertambah tenanglah jiwa Zidan.
Tentu sekali orang lain tidak akan dapat memahami apa yang dirasakan Zidan. Zidan pun tidak mengharapkan orang lain faham.
Dua soalan yang bermain di dalam kepala Zidan secara bergiliran. Apakah dia kini sedang menghadapi penyakit ketagihan menggali liang? Atau dia sedang mengidap sejenis gila yang entah apa namanya? Sekarang ini penyakit gila ada bermacam-macam nama dalam terma perubatan.
Satu perkara yang membuatkan Zidan senang, dia tidak pernah bimbang tentang pekerjaannya sebagai pengali liang. Tenaganya sebagai penggali liang tetap diperlukan bila-bila masa sahaja.
Petang itu, Zidan bertemu dengan rakan sekolahnya di sebuah kafe kecil. Zidan mengenakan seluar berjenama mahal. Kemeja T yang dipakai juga berharga ratusan ringgit. Minyak wangi yang dipakainya juga daripada jenama terkenal. Begitu juga dengan jam tangannya.
Zidan, penggali kubur yang cukup bergaya. Setiap kali menggali kubur, Zidan mengenakan pakaian yang hebat-hebat kerana dia menganggap pekerjaannya itu adalah pekerjaan yang hebat.
Zidan pergi bertemu kawannya dengan menaiki motor berkuasa tinggi yang dibelinya dengan bayaran tunai.
“Aku tengah sedih sekarang,” luah Zidan kepada kawan sekolahnya dengan muka berkerut.
“Kenapa pulak kau sedih? Kau kata kau seronok jadi pengali kubur. Kau kata, kau lebih tenang bekerja dengan orang mati,” balas kawan satu sekolah Zidan.
Kawan Zidan teringat status pekerjaan yang ditulis Zidan di Facebook dan Instagram sebagai “Penggali Kubur Profesional”.
“Dah empat bulan aku tak ada job gali kubur.” Zidan memberitahu. Mukanya keruh. Bau minyak wanginya harum semerbak.
“Sebelum ini, hari-hari ada orang mati?” Kawan Zidan bertanya.
“Sebelum ini hari-hari ada orang mati. Sekarang dah jarang-jarang pula orang mati. Orang sekarang dah ada tangkal azimat hidup lamakah? Semua nak menongkat langit. Tak reti-reti nak mati?” Zidan tertawa dengan jenaka tololnya sendiri.
“Kalau boleh aku nak tiap-tiap hari ada orang mati. Liat pula nyawa orang kebelakangan ni.” Zidan merungut lagi. Geram sungguh dia bila tidak ada orang mati selama empat bulan ini. Tangannya sudah menggeletar mahu menggali liang. Bagi Zidan, mengali liang kubur ialah satu seni yang mempunyai banyak lapisan makna.
Selama Zidan menjadi penggali kubur, dia sering duduk-duduk di pondok kecil tepi kubur sehingga pukul 3-4 pagi. Dia suka melamun dan santai-santai di pinggiran kubur. Selama dia duduk di kubur sampai dinihari, belum pernah sekali pun dia melihat sebarang jenis hantu bergentayangan di tanah kubur.
Selama pengalamannya menjadi penggali kubur, tidak pernah dia melihat kubur berasap, kubur wangi, kubur busuk, kubur terbelah dua, kubur menjadi sempit, ada ular besar melilit, kubur dipenuhi air macam ada paip, jenazah bertukar menjadi khinzir atau yang pelik-pelik. Tidak pernah ada perkara-perkara yang mengerikan dan menyeramkan berlaku di tanah kubur tempat dia bekerja.
Di kampung Zidan, ada seorang lelaki paling tua. Umur orang tua itu sudah 95 tahun. Zidan sangat membenci lelaki tua itu. Selalulah Zidan menyumpah meminta orang tua itu agar cepat mati.
Lelaki tua yang dibenci Zidan itu merupakan bekas penghulu kampung dan telah menjadi penghulu kampung selama 40 tahun. Kira-kira 10 tahun lalu, tiba-tiba lelaki tua itu meletak jawatan sebagai ketua kampung dengan alasan dia ingin memberi peluang kepada orang lain menjadi penghulu kampung.
“Kita tak boleh pegang kuasa selama-lama,” kata orang tua itu pada penyanjung dan pemujanya.
Selama 40 tahun orang tua itu menjadi penghulu, banyaklah projek-projek kampung jatuh ke tangan anak-anaknya. Projek turap jalan, projek naik taraf jalan, projek korek pasir, projek kuari, projek tanam durian di lereng bukit, projek industri kecil kampung, semua dibolot oleh anak-anaknya. Orang-orang kampung hanya mendapat sisa-sisa projek kecil saja.
Selepas orang tua itu meletak jawatan dan penghulu lain naik, dia sering menganggu dan campur tangan tugas-tugas penghulu baharu yang dikatakan tidak cekap, tidak amanah dan tidak memberi peluang pekerjaan kepada penduduk-penduduk kampung. Semua yang dilakukan penghulu baharu ada saja yang tidak kena di matanya.
Bekas penghulu itu beranggapan, hanya dia seorang saja yang boleh membawa kemajuan di kampung itu. Hanya dia saja yang mampu memberikan kesenangan hidup kepada seluruh penduduk kampung. Hanya dia saja yang boleh membela nasib orang-orang kampung. Penghulu baharu dianggapnya bodoh dan tidak sepintar dia. Macam-macam cercaan yang dilemparkannya.
Zidan membenci orang tua itu bukan kerana orang tua itu hidup lama tapi kerana sikap gila kuasa dan pembelitnya. Yang paling Zidan hairan, masih ramai yang menyanjung dan memuja-muja bekas penghulu tua yang kononnya banyak jasa.
Pada satu hari yang mendung seperti mahu hujan tapi tidak hujan, Zidan mendapat khabar yang lembu jantan Pak Jumat telah terlepas dan mengamuk di seluruh kampung. Habis kebun dan kereta orang ditanduknya sampai berlubang.
Orang-orang kampung tidak berani menangkap kerana kerbau jantan itu garang, besar dan tanduknya besar lurus dan tajam. Beberapa orang kampung cuba menyerkap dengan jala tapi mereka nyaris disodok kerbau jantan itu yang meluru ke arah mereka.
Mendengar hal kerbau jantan yang mengamuk, Zidan terus teringat kepada bekas ketua kampung yang amat dibencinya. Zidan berharap orang tua itu yang akan ditanduk kerbau jantan Pak Jumat. Dia sudah dapat menghidu satu kematian dan bau hanyir darah. Ketika berfikir begitu, Zidan dapat rasakan ada sepasang tanduk sedang tumbuh perlahan-lahan di kepalanya. Tanduk itu lurus ke depan dan tajam, sama seperti tanduk lembu jantan yang sedang mengamuk.
Seisi kampung jadi kacau dek kerana kerbau jantan Pak Jumat sedang membuat onar. Lewat petang, kerbau itu hilang. Selama dua hari kerbau itu tidak kelihatan. Orang-orang kampung resah dan takut jika kerbau jantan itu tiba-tiba muncul dan menanduk mereka. Mahu keluar rumah pun mereka berjaga-jaga, terutamanya di waktu malam.
Selama dua hari itu, setiap kali Zidan memejam mata, dia ternampak-nampak tanduk kerbau yang sedang menuju ke arah bekas ketua kampung yang dibencinya. Dia ingin melihat tanduk kerbau Pak Jumat merodok orang tua itu sampai mati. Itu akan menamatkan ketagihannya mengali liang selama empat bulan. Siapa saja harus mati dalam masa terdekat ini kerana dia ketagih mahu mengali liang. Zidan tidak peduli siapa yang akan mati. Namun kalau dia boleh memilih, dia mahu orang tua bekas penghulu itu yang mati.
Zidan mendengar cerita di warung kopi kampung, bekas penghulu tua gayut itu menunjuk handal mahu menangkap kerbau mengamuk. Memang orang tua itu sudah dekat benar dengan maut, fikir Zidan sambil tersenyum.
Meski tidak ada sesiapa yang tercedera atau mati akibat ditanduk kerbau jantan Pak Jumat, Zidan dengan penuh semangat telah mengali sebuah liang. Pasti ada orang yang akan mati juga ditanduk kerbau itu. Zidan meramal.
Petang hari, selepas selesai mengorek sebuah liang, Zidan mahu menghidupkan motosikalnya untuk pulang. Ketika itulah dia mendengar bunyi gegar tapak kaki yang berlari dari arah hutan berdekatan tanah perkuburan. Ketika dia berpaling, dilihatnya kerbau jantan Pak Jumaat sedang meluru laju ke arahnya.
Pagi esoknya, orang-orang kampung menemui tubuh kaku Zidan yang mati dirodok kerbau dalam lopak darah yang sudah mengering.
Di liang yang digalinya sendiri, Zidan disemadikan.
