Wallen sengaja memberhentikan keretanya di tepi jalan berdekatan warung makan Lung Nit. Tidak jauh dari jalan bercabang tiga yang strategik dan sentiasa sibuk. Jalan itu menghubungkan antara kampung-kampung Siam yang lain di daerah itu. Dalam fikiran Wallen dia berkira-kira untuk memancing pelanggan di warung makan tersebut. Seminggu yang lepas dia baru sahaja mendapat maklumat dan menamatkan kursus yang dianjurkan oleh bapa saudaranya di ibu kota tentang saham yang sangat menguntungkan itu.
Wallen amat teruja untuk memulakan kerjaya sebaik sahaja menamatkan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia yang didudukinya bulan lepas. Hatinya berkobar-kobar untuk menjadi seorang insan yang berkaliber dan berjaya.
Wallen memilih tempat duduk di suatu penjuru sambil memesan segelas teh o ais. Dia melambai tangan kepada beberapa orang pelanggan yang dikenalinya di warung tersebut. Ke Suk, Mek Deng dan Lung Nit, iaitu pemilik warung itu sendiri. Kebetulan Lung Nit sekarang tidaklah sesibuk mana kerana pelanggan sudah keluar setelah menjamu selera masakan kampung di warung tersebut. Ketiga-tiga wanita itu begitu teruja untuk menghampiri Wallen, gadis berkelulusan tingkatan enam yang selama ini tidak pernah dilihat duduk di warung tersebut. Mengapa tiba-tiba tengah hari ini dia berada di sini? Mereka tertarik untuk mengetahui apakah motif Wallen, gadis berbadan kurus, berambut lurus separas bahu itu?
“Ada apa hal ni Wallen? Perkara apa yang menarik sangat untuk ditunjukkan kepada kami? Kamu menjual barangan jualan langsungkah?” Lung Nit menyoal kehairanan apabila melihat Wallen begitu sibuk mengeluarkan kertas-kertas dan sebatang pen daripada fail yang dikepitnya sejak tadi.
“Begini Lung Nit. Saya mahu beritahu berita gembira kepada pak cik dan mak cik semua. Saya ialah agen syarikat perniagaan saham. Saham ini sangat bagus dan memberikan keuntungan berganda kepada kita semua. Sebelum tersebar luas dan orang lain tahu serta membelinya, eloklah kita cepat-cepat melanggannya. Di sini, saham ini masih belum dikenali, tetapi di ibu kota dan negara-negara barat sana sudah ramai yang menjadi jutawan kerana melabur dalam saham ini. Bagaimana pendapat pak cik dan mak cik? Siapa cepat, dia yang dapat.” Terang Wallen dengan berhati-hati dan panjang lebar.
Mata ketiga-tiga orang tua itu terarah kepada pen yang dilukis-lukis oleh Wallen. Namun, mereka buta huruf. Tidak faham graf apa yang ditunjukkan oleh Wallen. Yang mereka tahu hanyalah, Wallen anak gadis janda Kee Ciam yang tinggal di hujung kampung itu merupakan anak saudara seorang dato’ di ibu kota. Seorang peniaga berjaya yang berpengaruh dan disegani oleh penduduk kampung.
“Saham cepat kayakah Wallen? Kalau saham cepat kaya, Lung Nit tidak mahu beli. Lung Nit dengar daripada anak Lung Nit yang tinggal di luar negeri cakap, membeli saham cepat kaya ini salah di sisi undang-undang. Kita mahu cepat kaya tetapi dengan wang-wang kita sekali dilingkupkan oleh syarikat tersebut. Tak mahulah Lung Nit jebakkan diri dengan saham yang berisiko begini. Huh, nak untung tetapi rugi tak pasal-pasal!”
Ke Suk dan Mek Deng angguk-anggukkan kepala tanda setuju dengan Lung Nit.
“Siapa tidak mahu jadi kaya? Semua orang mahu. Tetapi adakah logik jika boleh kaya dalam sekelip mata, sedangkan orang lain perlu bersusah payah untuk membina kekayaan? Sudah banyak cerita yang kita dengar tentang saham, semuanya khabar buruk. Penjual saham bawa lari duit pelanggan serta bermacam-macam. Takkan nak masuk ke mulut harimau atau buaya lagi? Bodohlah namanya tu. Sebab tamak haloba, manusia kerugian,” tegas Lung Nit.
“Baiklah duit yang bertimbun kita biarkan duduk diam sahaja dalam bank walaupun bunganya rendah,” bisik hati Lung Nit.
“Bukan, bukan saham yang itu. Saham ini dijamin oleh kerajaan negara kita. Saham ini bertujuan membantu orang kita hidup senang. Daripada kita menyimpan wang di bank yang bunganya tidak seberapa, lebih baiklah kita laburkan sahaja wang kita ke dalam syarikat ini. Syarikat ini menggunakan wang kita sebagai modal perniagaan di luar negara. Keuntungannya amat memberangsangkan dan luar biasa. Cubalah beli jika pak cik dan mak cik ingin tahu betapa besar keuntungannya itu.”
Wallen cuba menarik perhatian mereka dengan nada suara yang ditekan bersungguh-sungguh. Matanya dibulatkan ke arah orang-orang tua yang mengerumuninya. Tanda dia ikhlas membantu. Juga untuk menunjukkan ketulusan jiwanya. Dia inginkan orang-orang kampungnya hidup selesa. Rata-rata penduduk di kampung tersebut ialah petani. Kebanyakan anak-anak bekerja di luar negeri sebagai perantau dan jarang-jarang sekali pulang ke kampung. Namun anak-anak selalu menghantar wang untuk dibuat belanja.
“Apa nama saham ini?” Ke Suk yang selama ini berdiam diri tiba-tiba bertanya.
“Saham TSA. Saham ini diasaskan di negara barat. Sekarang sudah berkembang ke seluruh pelosok dunia dan sudah sampai ke negara kita. Pak cik saya di ibu kota ialah salah seorang daripada agen mereka. Pak cik dan mak cik kenalkan siapa pak cik saya?” Wallen dengan bangga cuba menguji daya ingatan orang kampung.
“Kenal. Dato’ Sirik. Siapa di kampung ini yang tak kenal dia?” Ke Suk gembira dapat mengingati dengan baik tentang Dato’ Sirik.
Sebenarnya dulu Ke Suk memang berangan-angan dan tergila-gilakan lelaki yang sudah bergelar Dato’ itu tetapi tiada jodoh dengannya. Lelaki yang kacak mirip pelakon Hindustan itu kemudiannya berkahwin dengan perempuan Siam, seterusnya berhijrah ke ibu kota dan menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya serta dianugerahkan pangkat Dato’ kerana kecemerlangannya. Tinggallah Ke Suk membujang sampai ke tua di kampung tersebut. Dia membela puluhan ekor lembu dan menanam sayur-sayuran di tanah pusaka ibunya yang luas berekar-ekar itu.
“Berapa paling sedikit kita boleh beli saham ini?” Lung Nit sudah mula menunjukkan rasa tertarik dengan saham yang baru sahaja diperkenalkan oleh Wallen.
“Tak banyak. RM500 sahaja. Tetapi kalau kita beli banyak, keuntungannya pastilah akan berganda-ganda.”
“Beginilah. Lung Nit beli sedikit dahulu. Nanti kalau betul-betul menguntungkan, Lung Nit akan beli lagi.”
Lung Nit menuju ke laci mejanya dan membawa wang untuk diserahkan kepada Wallen. Ke Suk pula meminta Wallen ke rumahnya pagi esok untuk mengambil RM1000. Mek Deng yang sejak tadi serba salah teringin juga untuk mencuba memandangkan kawan-kawannya yang berani mengambil risiko. Tidak salah jika dia laburkan sedikit wang saku yang dihantar oleh anaknya yang bekerja di Singapura. Kebetulan di dalam poket bajunya sudah ada sejumlah wang yang cukup untuk membeli paling minima saham tersebut.
Wallen tersenyum gembira. Percubaannya hari itu ternyata memberi harapan kepadanya untuk terus cemerlang dalam perniagaan saham TSA. Tidak susah untuk menyakinkan orang kampungnya untuk membeli saham tersebut. Esok dia akan datang lagi ke warung itu untuk memberi penerangan kepada orang lain pula. Petang nanti dia perlu menghantar wang-wang tersebut kepada pak ciknya di ibu kota. Lagi cepat lagi bagus. Kerja pantas akan menghasilkan pendapatan yang lebih lumayan.
Hujung tahun itu Wallen hadir untuk melunaskan keuntungan pembelian saham tersebut.
Wah! Apalagi, bukan main gembira mereka yang telah membeli saham itu. Bayangkan mereka hanya membeli saham RM500 sahaja tetapi dapat keuntungan RM500 lagi.
Lung Nit bersorak-sorak gembira. Ke Suk tersengih-sengih ceria sambil mencium wang keuntungannya dan Mek Deng pula menyusun sepuluh jari mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga.
Malam itu Lung Nit tidur tidak lena. Dia berkira-kira untuk menambah pembelian sahamnya. Ke Suk bercadang menjual lima ekor lembunya untuk menggandakan pembelian. Mek Deng juga tidak terkecuali. Tidak lama lagi dia mungkin akan menjadi orang kaya baharu di kampung tersebut.
Wallen semakin sibuk dengan urusan jualannya yang bertambah dari semasa ke semasa. Pak ciknya, Dato’ Sirik telah melantiknya sebagai Ketua Pegawai Pemasaran di seluruh negeri Kelantan. Dia perlu masuk ke serata ceruk kampung untuk beramah mesra dengan penduduk kampung sambil memberi penerangan tentang saham tersebut.
Nama saham TSA semakin terkenal dalam kalangan penduduk kampung. Siapa tidak mengenali Wallen? Gadis genit yang pandai menabur kata-kata. Boleh dikatakan hampir separuh penduduk kampung membeli saham tersebut dengannya. Penternak lembu sudah habis menjual lembu mereka untuk dilaburkan dalam saham TSA. Penternak kambing serta biri-biri juga telah menjual binatang peliharaan mereka kerana saham tersebut. Anak-anak di bandar juga turut dipujuk dan digesa agar menjual aset mereka untuk dilaburkan wang ke dalam saham tersebut.
Suatu hari Lung Nit dihubungi anaknya yang berada di luar negeri. Anaknya memberitahu bahawa saham TSA termasuk dalam senarai saham yang telah disenaraihitamkan oleh kerajaan seperti yang telah disiarkan dalam berita televisyen semalam. Dada Lung Nit berdebar-debar. Suara hatinya mengatakan tidak mungkin gadis yang bernama Wallen itu tergamak menipu mereka. Terkocoh-kocoh dia mendapatkan basikal untuk ke hujung kampung.
“Wallen!”
“Wallen! Kee Ciam!”
Panggilan Lung Nit tidak bersahut. Pintu dan tingkap rumah tertutup rapat. Ke mana dua beranak ini pergi? Lung Nit ke belakang rumah meninjau-ninjau sekiranya Kee Ciam ada di kebunnya, tetapi langsung tidak kelihatan bayang Wallen mahupun Kee Ciam. Lung Nit berteleku di tangga simen rumah Kee Ciam. Dia cuba mengusir fikirannya yang kusut dan menghantui jiwanya.
“Benarkah ini juga saham cepat kaya? Benarkah aku juga telah tertipu dek kerana terlalu tamak?”
Dengan langkah longlai, Lung Nit pulang ke warungnya. Dia pergi mencari rakan-rakannya yang telah membeli saham dengan Wallen dan tidak sabar untuk memaklumkan tentang khabar buruk yang menimpa mereka.
“Wallen sudah tiada. Wallen sudah melarikan dirinya subuh tadi. Ada orang nampak dia bersama ibunya di stesen kereta api menuju ke ibu kota,” jerit Mek Deng sambil berlari-lari anak menuju ke arah Lung Nit sebaik sahaja Lung Nit sampai di warung makannya.
“Hah, bagaimana dengan duit-duit kita? Adakah benar saham ini juga saham cepat kaya? Saham yang diharamkan oleh kerajaan?” Lung Nit kebingungan sambil tercatuk di atas gerai buatan buluh hadapan warungnya.
“Entahlah, entahlah. Saya pun tidak berapa tahu. Cuma sudah habis ternakan saya jual untuk membeli saham itu,” tangis Mek Deng dengan air mata bercucuran.
“Saya juga. Kalaulah anak saya tahu habislah saya dimarahinya. Mungkin mereka tidak akan menghantar wang belanja untuk saya lagi.” Lung Nit meratap hiba. Hanya dalam sekelip mata sahaja dia sudah kehilangan berpuluh-puluh ribu ringgit angkara Wallen.
Hari-hari berikutnya Lung Nit pergi lagi ke rumah Wallen untuk mengintip ke mana gadis itu pergi. Dia ingin tahu bila Wallen akan pulang ke rumah. Minggu berganti bulan. Rumput-rumput di halaman rumah gadis itu mulai memanjang. Begitu juga dengan kawasan belakang rumah. Tiada sesiapa yang pulang. Rumah itu sudah terbiar.
Khabar angin bertiup mengatakan bahawa Wallen sudah berada jauh di luar negara. Wallen gadis kampung yang dahulunya polos telah memusnahkan harapan dan kebahagiaan jiwa mereka. Kepercayaan orang kampung telah terburai. Wallen membohongi mereka dengan janji-janji manis. Bayang-bayang Wallen lesap begitu sahaja. Sampai hati Wallen tergamak berbuat sedemikian.