PENGALAMAN kali ini merupakan sesuatu yang baharu buatku. Sesuatu yang sangat mengujakan. Sesuatu yang akan kuingati hingga ke hujung nafasku. Aku seorang siswazah jurusan sains politik di salah sebuah universiti terkemuka di negara ini. Aku sedang berada di sebuah ruangan luas dan selesa sambil duduk mendepani pemimpin nombor satu dan terkemuka di Negeri di Bawah Bayu. Hari itu merupakan hari yang teristimewa untukku. Memandangkan aku berada dalam jam-jam terakhir sebelum dengan rasminya akan menamatkan tempoh untuk mencari bahan tugasan tesisku, aku telah diundang untuk makan malam di kediaman rasmi Datuk.
Selama seminggu, aku telah menyaksikan jadual harian Datuk yang padat, dan menjenguk sepintas peribadinya yang ramah namun tegas. Aku mempelajari misi serta hala tuju perjuangannya dalam membangunkan negara bangsa serta mempertahankan hak etnik-etnik peribumi. Kekanganku ialah masa. Sebenarnya aku masih dahaga ilmu dan maklumat yang terlalu luas untukku timba. Namun aku hanya ada satu minggu untuk menyediakan dan melengkapkan bahan kajian kerana aku harus tegas dalam mengatur jadualku agar kerjaku beres dengan sempurna. Aku telah melangkaui waktu yang kutetapkan sendiri, berdasarkan kemampuanku untuk menyiapkan tesis akhir berkisar tentang “Pemimpin Alaf Baharu” yang diberikan oleh Profesor Redzuan. Selangkah lagi maka perjuanganku akan selesai. Di hujung jalan ini, segulung ijazah sedang merenung dan mencabar keupayaanku untuk menggapainya.
Jurusan pengajian yang kuambil memerlukan aku untuk mengkaji bidang politik dalam bentuk tiga dimensi. Impianku untuk menjadi seorang penganalisis politik yang disegani. Aku belajar dan memahami psikologi politik, menganalisis geopolitik sesebuah negara dan sejarah bagaimana politik menjadi jambatan untuk membina sebuah negara dan bangsa yang unggul serta melahirkan negarawan agung. Aku tidak belajar tentang pancing-memancing undi mahupun seni cantas-mencantas untuk saling memanjat ke atas ataupun sikap lobi-melobi hanya untuk kepentingan peribadi. Dari pemahamanku, dasar politik itu tidak kotor. Pemainnyalah yang mengocak dan mengeruhkan suasana sehingga membentuk sebuah medan yang berlumut, licin dan berbau busuk.
Aku terinspirasi dengan para negarawan terkenal di serata dunia. Malah sesetengahnya merupakan pencetus kemajuan dalam negara sendiri. Disebabkan itulah aku memilih seorang pemimpin yang memiliki kriteria sebagai seorang pemimpin yang disegani untuk menjadi subjek kajianku. Aku berasa sangat bertuah kerana mendapat persetujuan dan kebenaran untuk melakukan kajianku walaupun hanya pada dasarnya sahaja. Itu sudah cukup baik buatku. Aku bangga kerana berpeluang menghuraikan aspirasi Datuk dalam merintis jalan merancakkan pembangunan dan kemajuan negeri dan berharap hasil kajianku akan boleh diguna pakai oleh individu lain sebagai bahan rujukan.
Semua bahan kajian yang aku dokumentasikan harus segera kuperkemas untuk menjadi sebuah tesis yang akan menjadi tiket untukku menempah ijazah. Itulah satu perkara baharu yang kuserap dalam jiwaku, bisikan semangat daripada pemimpin unggul ini. Disiplin diri dan ketegasan. Aku tidak mahu hasil kerja yang telah aku lakukan dengan bersungguh-sungguh hanya mampu memuaskan hati pensyarahku. Aku mahu melakukan yang terbaik. Aku mahu tesisku menjadi sebuah hasil kerja yang terbaik.
“Jika ingin menjadi insan yang berjaya, harus ada disiplin diri yang kuat serta ketegasan. Disiplin diri datang daripada kekuatan hati. Sikap tegas merupakan tanda keyakinan diri. Kedua-dua elemen ini harus ada dalam diri setiap pemimpin. Jika tidak, bagaimana dia dapat meraih keyakinan khalayak?” nasihat Datuk.
Aku mengangguk-angguk mengeyakan. Aku percaya kerana aku melihat kriteria itu ada dalam dirinya. Aku telah membuat kajian mengenai aspirasi Datuk untuk mendirikan tiga tonggak utama dalam pentadbirannya. Datuk menyasarkan keutamaannya kepada pertanian, pelancongan dan pengilangan. Beliau meletakkan semua itu dalam hala tuju pembangunan negeri serta meletakkan pembangunan sumber manusia sebagai pendukung gagasan tersebut.
“Bagaimana dengan lawatan yang saya cadangkan itu? Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, bandar-bandar baharu, Jesselton Point, Putrajaya, taman perindustrian, jalan baharu Pan Borneo, rumah anak yatim?” soal Datuk lagi, mengubah nada perbualan kepada perkara yang lebih santai. Mungkin kerana dia melihat garis ketegangan berselirat di wajahku.
Kuakui, detik itu aku berasa sangat berdebar dan gemuruh. Maklumlah, di hadapanku bukan calang-calang orang. Dia ialah pemimpin tertinggi, bagaimana harus aku bersikap semberono ataupun salah tingkah?
“Bukan pertama kali saya melihat gaya air muka seperti ini. Percayalah! Saya pun boleh menjadi sebiasa abang ataupun ayah kamu” ujar Datuk.
Degupan jantungku mereda sedikit ketika melihat senyuman lebarnya. Mungkin mentertawakan wajahku yang hampir panik dan gugup.
“Bagaimana?” suaranya mendesak dengan lembut. Senyuman ramah masih bermain di bibirnya.
‘Bagaimana apa?’ bisik hatiku, sendirian. Fikiranku berputaran seketika. Mencari makna soalan itu. Ingin rasanya aku menyeligi kepalaku sendiri. ‘Kenapalah aku tiba-tiba menjadi sedungu ini?’
‘Oh, kunjungan ke rumah anak-anak yatim?’ fikirku, lantas aku teringat kunjunganku ke rumah anak-anak yatim yang terletak di sebuah pekan kecil yang kini telah pun pesat membangun. Atas saranan Datuk, aku menyertai satu rombongan melawat rumah anak-anak yatim untuk melihat sesuatu yang menurut kata Datuk, sangat dekat di hatinya.
“Dalam kunjungan kamu itu, saya sarankan agar kamu memerhatikan sebelah kiri dan kanan di sepanjang perjalanan kamu dan lihat sendiri pembangunan infrastruktur serta kemajuan pertanian di sepanjang jajaran jalan raya itu. Tugas kamu untuk melaporkan hasil penelitian kamu kepada saya,” arah Datuk secara bergurau.
Aku sekadar mampu mengangguk, tidak berani berjanji. Sepanjang perjalanan menuju ke bandar tersebut, aku memerhatikan dengan teliti dan cuba mengingat selengkap mungkin semua yang aku nampak. Kameraku belum berhenti berklik, merakam imej-imej penting dan menarik.
Sesekali Abang Zali, pemandu van yang membawa kami memberikan penerangan kepadaku mengenai nama tempat, bangunan-bangunan yang telah dan sedang dibina serta jenis pertanian yang paling banyak diusahakan di sesebuah kawasan itu untuk catatanku. Di sepanjang perjalanan kami, aku melihat ratusan malah mungkin ribuan hektar tanaman getah serta kelapa sawit di tanah landai dan di perbukitan. Keluasan tanah di kawasan ini telah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk kegunaan pertanian. Rumah-rumah penduduk kampung juga kelihatan cantik dan kebanyakannya dibina daripada batu bata. Ini merupakan penanda bahawa daerah ini semakin beransur meninggalkan tahap kemiskinan.
Lawatan kami ke rumah anak-anak yatim memakan masa beberapa jam sahaja. Aku dan ahli rombongan diberikan penerangan mengenai sejarah awal rumah anak-anak yatim itu. Kami juga dibawa ke bangunan lama yang terletak tidak jauh dari bangunan baharu yang sedia ada. Rumah itu menempatkan beratus orang penghuni yang bukan sahaja tertumpu kepada anak-anak yang tidak beribu dan berbapa. Ada antara mereka yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan, turut tinggal di rumah itu. Dalam kesedihan, aku pasti kebajikan penghuni di rumah itu sangat dijaga dengan rapi. Rumah itu merupakan salah satu keutamaan datuk dalam aspek memberikan bantuan dan dana.
Kami sempat melawati bandar yang sangat rancak membangun. Sungai gagah merentang, menjadi pembahagi kepada kedua-dua belah bandar. Aku dibawa ke kawasan pekan asal yang masih terdapatnya binaan lama, balai polis, rumah pasung, bangunan pejabat daerah dan stesen kereta api. Masih terdapat sebegitu banyak binaan, rumah-rumah dan runtuhan tinggalan zaman penjajah di situ.
“Dulu, pekan ini kecil sahaja. Deretan kedainya dibuat daripada papan dan dicat dengan warna hijau. Keadaan paling teruk apabila musim banjir. Seluruh pekan ini akan ditenggelami air,” terang Abang Zali yang merupakan penduduk asal daerah ini.
“Walaupun sering dilanda bencana alam, namun pekan ini telah pun bertukar sebegini besar, kan?” soalku tertarik melihat saiz bandar yang begitu besar. Tentu ada resipi tertentu yang menyebabkan pekan yang dahulunya kecil kini berubah menjadi bandar.
“Bandar ini merupakan tumpuan kerana menjadi hab perniagaan yang penting kepada daerah dan beberapa buah pekan di sekitarnya. Bandar ini menempatkan kedai-kedai dan pasar raya besar yang menyediakan keperluan serta membuka ruang pekerjaan kepada penduduk sekitarnya. Datuk lebih tahu akan kelebihan, kepentingan serta masalah di daerah ini,” jawab Abang Zali sambil tersenyum.
Kunjungan pertamaku itu menghasilkan suatu pengalaman baharu dari caraku melihat satu sisi daripada kemajuan negeri ini. Selepas kembali ke ibu kota, Abang Zali membawaku ke Jesselton Point.
“Tidak perlulah kamu melawat KKIA kerana kamu nampak sendiri ketika kamu tiba di KK, kan?” soalan yang berbentuk kenyataan itu mengundang senyum di bibir kami berdua. Tahu sama tahu. KKIA memang antara salah sebuah lapangan terbang termoden di Malaysia. Tidak perlu ulasan mahupun pertikaian.
Kami tiba di Jesselton Point dengan berjalan kaki dari hotel tempat aku menginap. Jeselton Point terletak bersebelahan dengan dua buah gedung membeli-belah terkemuka di Kota Kinabalu. Sebuah balai polis dan kastam terletak di celah bangunan-bangunan besar itu.
“Dahulunya, tempat ini ialah pelabuhan asal Kota Kinabalu. Barisan kedai yang menghadap ibu kota dan dua barisan lagi yang kini telah diubah suai menjadi kedai, restoran makanan laut, hotel dan bank itu merupakan bekas gudang. Kedudukan Jesselton Point berada di pertembungan antara dua zaman. Yang lama dan yang baharu. Contohnya kedua-dua gedung membeli-belah yang terbaharu dan moden ini. Dulu kawasan ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada laut …” jelas Abang Zali, menunjuk ke arah bangunan-bangunan yang dimaksudkannya. Rasa megah membayangi wajahnya.
Aku masih sibuk merakam gambar ketika kami berdiri di depan gerbang ukiran besi yang tertulis Jesselton Point, sangat cantik dan klasik. Dari luar, kawasan itu kelihatan biasa sahaja. Apabila aku melangkah melewati gerbang itu, Abang Zali menyuruh aku tunduk memandang apa yang berada di bawah telapak kakiku. Sebuah kompas penunjuk yang besar. Aku bagaikan berada di dunia lain. Abang Zali membawaku melewati prasarana yang terdapat di tempat itu. Selepas melihat aksi pemain futsal dalam gelanggang yang terdapat di situ, kami melintasi gerai-gerai makanan dan cenderamata. Suasana di situ santai dan tenang. Namun aku lebih tertarik untuk melihat apa yang ada di hujung jeti.
Selepas melewati bot-bot pelbagai saiz di sebelah kanan dan feri di sebelah kiri, tumpuanku hanya terarah ke jaluran jeti sepanjang beberapa ratus meter yang sangat lebar. Aku berlegar bersama puluhan pengunjung yang juga sama-sama mengagumi keindahan lautan luas. Tebaran sinar mentari petang yang lembut menyentuh kulitku. Wajahku disapa oleh tiupan angin yang begitu ramah, menerbangkan bajuku dan seberkas gundah di hatiku.
Aku sangat teruja dan bersyukur dapat melihat sebuah syurga di tengah kesibukan kota yang moden dan membangun. Hatiku berasa sedikit sedih kerana aku hanya akan mampu menikmati pemandangan indah dan mendamaikan ini sekadar untuk beberapa hari sahaja. Akhirnya Abang Zali terpaksa melangkah pergi meninggalkan aku sendirian di hujung jeti indah itu kerana aku masih enggan untuk beranjak pergi dari situ dan melepaskan indahnya pelukan angin.
Betapa beruntungnya penduduk kota raya ini. Mereka hanya perlu mengambil waktu senggang untuk datang ke sini. Sedangkan aku harus menempuh langit dan lautan untuk berdiri di situ. Menikmati keindahan alam. Menyaksikan pertembungan siang dan malam di kaki langitnya sambil diapit oleh deretan pulau di kiri dan kanannya.
Selepas petang itu, aku menjadi pencinta setia di hujung jeti itu. Setiap petang, aku akan setia duduk di situ, melepaskan lelah seharian sambil menikmati anugerah Tuhan yang tiada batasnya. Walaupun tubuhku letih berkunjung ke tempat-tempat penting yang disarankan oleh Datuk, aku tetap akan datang ke situ. Selepas taman perindustrian, selepas Putrajaya, selepas sebegitu banyak pusat dan gedung membeli-belah dikunjungi, hariku akan berakhir di hujung jeti itu. Hinggalah malam ini, ketika aku dijemput untuk makan malam bersama-sama keluarga Datuk di kediaman rasminya.
Selepas makan malam, aku membawa diri ke pejabat Datuk kerana Datuk ingin mengetahui perkembangan kajianku. Kami duduk di dalam ruang pejabat datuk kerana tempoh seminggu untuk aku berlegar dalam kehidupan seorang pemimpin akan berakhir.
Esok, aku akan mula menggilap segala pengetahuan dan pengalaman baharu yang telah dihidangkan kepadaku untuk menjadi sebuah naskhah tesis.
“Jadi bagaimana pengalaman selama seminggu ini berguna dalam kajian kamu?” soal Datuk, tersenyum lebar.
“Saya tidak tahu di mana yang patut saya mulakan, kerana semuanya sangat menarik dan penting,” jawabku mengakui.
“Kamu boleh memulakan dengan memahami aspirasi saya …” Datuk memberikan saranan.
Aku mengangguk bersetuju. “Insya-Allah …” jawabku, fikiranku berbolak-balik memikirkan rumusan tesis.
“Apa yang kamu nampak di sepanjang pengembaraan kamu selama seminggu di Negeri di Bawah Bayu ini?” soal Datuk lagi. Kali itu wajahnya bersungguh-sungguh.
Aku menelan air liur. Mengetahui datuk mahukan ulasan yang merupakan pandangan jujur daripada orang yang bukan warga tempatan. Pandanganku mungkin juga akan mewakili generasi seusiaku.
“Saya melihat daripada pelbagai sudut berdasarkan keperluan kajian saya. Polisi ekonomi Datuk dalam mengutamakan hala tuju itu nampaknya berjaya membawa pembangunan dan kemajuan di negeri ini. Berdasarkan prestasi ekonomi sebelum ini, saya melihat perubahan dan kemajuan yang pesat. Namun kemajuan pertanian tidak melebihi tara pembangunan yang berkembang maju. Limpahan daripada kemajuan itu mendatangkan kesan yang sangat baik kepada penduduk terutamanya yang berada di luar bandar,” ujarku.
Datuk mengangguk bersetuju. “Itu saja?” soalnya.
“Banyak lagi, Datuk. Itu hanya secara am sahaja. Secara jujurnya, saya mengagumi usaha dan inisiatif Datuk dalam merangka pembangunan negeri ini. Kalau saya rungkaikan satu per satu, sebuah naskhah ini tidak akan cukup Datuk,” ujarku.
Datuk mengangguk lagi. Kami terdiam. Masing-masing melayani jalan fikiran sendiri.
“Saya mengimpikan sebuah tempat yang indah, makmur dan aman untuk menjadi tempat tinggal generasi yang akan datang. Saya melihat pembangunan dalam kelestarian alam boleh berjalan seiring. Saya tidak mahu alam sekitar menjadi korban mangsa pembangunan, tetapi di sebalik itu, saya terpaksa memenuhi tuntutan kemodenan. Ekonomi perlu dirancakkan jika tidak kita akan ketinggalan. Kita akan menjadi negeri mundur sedangkan kita punya sumber. Oleh itu, saya merangka pelan pembangunan untuk saling mengimbangi. Kita bukan memburu pangkat dan nama. Kita mengimpikan kebaikan untuk seluruh warga,” ujar Datuk. Arah pandangannya menerawang, menembusi dinding kaca bilik itu, merenung kepekatan malam.
Aku terdengar kesayuan dalam nada bicaranya. Aku mengerti, bukan mudah untuk menjadi dirinya. Dia memikul beban sebuah negeri dan harapan jutaan rakyatnya.
“Datuk telah berjaya hingga ke takat ini. Mana mustahil untuk Datuk naik setakah lagi,” ucapku memberikan semangat, berharap dapat melegakan beban di bahunya.
Datuk tersenyum lembut. Matanya membicarakan rasa berterima kasih. “Insya-Allah,” jawabnya sepatah.
Perbualan kami diganggu oleh dentingan jam menandakan hari telah menghampiri tengah malam. Pintu pula diketuk perlahan. Wajah setiausaha datuk menjengah di muka pintu, menanyakan jika datuk perlukan apa-apa lagi sebelum dia masuk tidur.
“Apa atur cara saya esok?” soal Datuk.
Setiausahanya menghilang untuk beberapa minit sebelum muncul semula membawa sebuah memo dan menerangkan jadual datuk untuk keesokan harinya. Selepas beberapa minit mendengar penerangan panjang berjela daripada setiausahanya, Datuk mengangguk. Melontarkan jelingan ke arahku sambil tersenyum. Tahu sama tahu, mengenai kesibukan harian datuk.
“Begitulah kehidupan saya. Kadangkala, dalam tidur pun otak saya masih mampu berfikir,” ujarnya, mengangkat bahu. Aku tersengih tetapi berasa kasihan.
“Kalau begitu saya minta diri dulu, Datuk. Malam pun sudah larut. Datuk tentu perlu berehat,” ucapku, berasa bersalah kerana mengganggu waktu rehatnya.
“Tidak apa! Menolong kamu juga merupakan cabang tanggungjawab saya. Saya berharap ini akan menjadi lonjakan untuk kamu berjaya dalam mengejar impian kamu.”
“Ucapan ribuan terima kasih saja tidak cukup atas kesudian Datuk dalam memberikan ruang dan sedikit masa datuk yang sangat berharga itu dalam membantu saya. Saya amat menghargainya. Saya akan menghubungi setiausaha Datuk untuk meneliti isi kandungan tesis saya. Terima kasih banyak, Datuk,” ucapku dengan perasaan sangat terhutang budi. Kami berdiri dan saling bersalaman.
“Sama-sama. Jika kamu perlukan apa-apa, sila hubungi setiausaha saya. Semoga kamu berjaya mendapatkan yang terbaik untuk tesis kamu dan saya berharap suatu hari nanti akan bertemu kamu lagi dan ketika itu kamu ialah seorang penganalisis politik yang berkaliber,” ucap Datuk. Aku tersenyum sayu. “Insya-Allah!” ucapku separuh berbisik, mengiringi langkah Datuk sebelum dia menghilang di sebalik daun pintu pejabatnya.
‘Semoga Datuk dapat berehat dan tidur dengan tenang malam ini …’ bisik hatiku, berasa simpati. Tentu mindanya penat, tubuhnya payah dan jiwanya lelah. Namun dia tidak akan dapat benar-benar berehat. Dia tidak boleh berhenti walaupun sedetik. Tidak boleh ragu walau sesaat. Tidak boleh terlalai walau seminit. Beban berat yang tersandang di pundaknya, mana mungkin dia mampu terleka walaupun untuk sekelip mata cuma. Kerana dia ialah nadi impian, tunjang harapan kepada rakyatnya di negeri ini!