Peluru yang melintasi kepala berdesingan
serpihan bom meleduk berhamburan
menusuk daging meleraikan badan
wira-wira negara mempertaruhkan nyawa
pada jejak-jejak perih hutan belantara
ketika pengganas komunis bermaharajalela
sehingga selepas tanah air merdeka
Pejuang menyusup, melintas, merayap
hadapi perangkap samar dan serang hendap
dalam bayangan malam yang senyap
tompok-tompok darah di tanah lembap
dari tubuh sateria yang terbujur layu
dalam pangkuan sahabat yang kaku
Mara anggota pasukan pertahanan
membalas tembakan bertalu lawan
peluru dari muncung mesingan
membenam pada tubuh pengganas
mengerutup bagai bertih panas
Pasukan pertahanan negara berbakti
tugas mulia mempertahankan pertiwi
mereka wira yang tidak didendangkan
ketabahan, keberanian dan pengorbanan
menumpahkan air mata, keringat dan darah
gugur jasad di atas hamparan bumi bertuah
demi ketenteraman, demi kedaulatan
demi agama, bangsa dan watan
demi memperjuangkan kemerdekaan
demi mengukuhkan keamanan.