Skip to content
Titisan Keringat di Bilah Jawi
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Titisan Keringat di Bilah Jawi
Titisan Keringat di Bilah Jawi
Cerpen

Titisan Keringat di Bilah Jawi

  • MUHAMMAD AIDIL AKMAL BIN AB HALIM
  • 20 Ogos 2026
  • DBP Wilayah Tengah
  • 6
  • 5

SEDANG asyik memamah kerepek di bangku besi, mata berkelip-kelip menatap ukiran tangan sepotong kayu. Tanpa sedar, aku dihampiri lelaki bertubuh sasa dan berjaket yang tidak kukenali. Berwajah masam terbuntang mata menghala kepadaku. Jalannya seolah-oleh ingin menerkam debaran sanubari ini. Bersisakan segumpal ilmu di dada, senyaring suara, seluruh zarah di tubuh ini hanya mampu berserah kepada Yang Maha Esa. Sehingga tersinar suatu kisah.

“Mek, jom. Mek siap doh ko?” Deras laungan Muhammad menembusi dinding kayu.

“Meta dulu, meta dulu!” jawab Mak Timah dengan terketar-ketar sambil bergegas ke luar rumah.

Langkahnya terhenti setelah melihat almari lama. Kelihatan sebilah keris dan bengkung usang tersandar di dalam pinggan hiasan. Hari membangkit subur. Cahaya matahari mula memancar melalui lubang-lubang dinding kayu. Ayam jantan yang sejak Subuh berkumandang, tidak berhenti-henti berkokok. Pagi dihempas tiupan bayu dan embun segar. Segala yang bersayap mula terbang berkicauan merdu memecah kesunyian kampung di sebuah desa ini.

“Bahawa beruntungnya aku dilemparkan di tanah ini. Tanah serambi Makkah. Tapi sayangnya, aku membesar di dunia bandar. Penuh kesesakan ditemani asap kilang dan kenderaan. Sungguh berbeza hidup di luar.”

Berbatu jauh bezanya, ibarat langit dengan bumi suasana yang terhampar di kedua-dua dataran. Masing-masing mempunyai keunikan masing-masing. Di bandar dipenuhi segala kemudahan dan kemajuan. Teknologi canggih berkeliaran di bawah kelopak mata.

Tinggal mencelik, melihat dan merasa sahaja. Segala penjuru dihuni pelbagai kedai berjenama mahal sehingga menyuap segan kepada yang malu. Sebuah dataran di mana semua orang dapat meraikan perbezaan masing-masing. Penduduk kaya-raya hidup di rumah kayangan atau bangunan pencakar langit.

Bukan itu sahaja, segala tempat kemudahan, kedai makan terkenal, institusi-institusi, syarikat-syarikat mahupun apa-apa keperluan manusia terperi di samping manusia. Begitu banyak kemudahan sehingga tidak terungkap bilangannya. Pada waktu malam pula, bumi bandar itu disuluhi kerlipan lampu pelbagai warna. Ada yang bersinar daripada replika tumbuhan, ada juga yang disuluh daripada bangunan pencakar langit. Setiap hari mampu diungkapkan seperti hari raya yang tidak pernah ghaib kemeriahan dan kerancakannya.

Meski diselubungi infrastruktur dan kemodenan tinggi, seperti biasa bandar tidak dapat dipisahkan dengan kesesakan ribuan kenderaan. Udara setiap nafas dicampuri berjuta asap dan toksik. Waktu pagi dipenuhi kebisingan bunyi hon, enjin kenderaan dan seumpamanya. Lumrah kehidupan, setiap perkara mempunyai baik dan buruknya. Sebagai manusia, hanya perlu reda dan bersyukur dengan segala benda.

Adapun di kampung dan di desa masih pudar pembangunannya. Jauh terletaknya bandar untuk membeli barangan keperluan. Namun segala yang kurang ada kelebihannya. Budaya tradisional masih utuh diamalkan.

Setiap pelosok mengukir kehijauan. Suasana indah memaparkan beribu ekar sawah padi yang sedang menguning. Patutlah ramai pelancong luar negara sering tidak mahu terlepas untuk melawat dan mengambil gambar suasana begini.

Sebaik sahaja matahari terbit, cangkul dan parang mendakapi badan untuk ke sawah mahupun ke kebun dengan bertopikan semutar serta kilasan pelikat. Seperti biasa, setiap sudut di desa tidak pernah terlepas dengan haiwan ternakan yang ditambat di tepi jalan ataupun padang. Begitu riang gelagat budaya kampung yang sederhana ini.

Keeratan dan keindahan yang sangat sukar digambarkan. Mereka yang merasainya sahaja mampu merungkaikan keunikan hidup di kampung. Begitu juga kehidupan seorang Mak Timah yang berhempas pulas membesarkan cucu yatimnya di hujung kampung.

“Mad! Gih temey Mek, ko mung letih toksey gi? Kalu tidok mek gi sore!” ajak Mak Timah kepada Muhammad.

“Meta lagi Mek, nok guling-guling kejap,” kata Muhammad dengan percampuran loghat yang pelat itu. Menarik nafas panjang, Muhammad mengeluh keletihan akibat baru sampai perjalanan dari bandar. Bersyukur tidak terkata apabila mendapat cuti daripada pekerjaannya.

Di tepi bendang sawah, Muhammad dan Mak Timah berjalan kaki sambil melihat suasana kampung. Matanya tidak berhenti-henti melihat beberapa orang kanak-kanak bermain. Keriangan di wajah Muhammad terlakar bersinar sambil melambai tangan kepada kanak-kanak. Sememangnya sejak kecil dia gemar berjalan kaki melihat keindahan kampungnya.

“Mad! Bagi Saley ko muloh tok.” Seruan Mak Timah menghentikan percakapan Muhammad. Seketika waktu berlalu, matahari sudah tegak di kepala, mereka masih berbual-bual di tanah perkuburan

“Ingat lagi tak Mek? Hari mula-mula Tok ajar silat kat Mad, demam seminggu Mad masa tu,” kata Muhammad. “Hahaha. Bakpo tok ingatnyo Hahaha.” Jawab Mak Timah.

Sepetang di pondok, datangnya seorang perempuan muda melawat dan dibawakan seikat rambutan. Memang menjadi rutin kebiasaannya untuk menjenguk Mak Timah pada waktu petang. Perempuan manis tersebut bernama Siti yang merupakan sahabat lama Muhammad. Bahkan sejak waktu kecil Siti membesar dan bermain bersama Muhammad.

“Siti, budak-budak kampung ni buat apa sekarang?” tanya Muhammad.

“Budak-budak ni macam biasa lah, lepas asar datang rumah mengaji dengan Mek. Habis mengaji terus berkubang tepi bendang cari belut. Hahahaha! Kenapa Abe Mad tanya?”

“Perh panggil abe dah eh sekarang”. Dengan serta-merta Muhammad berpaling ke hadapan sambil menahan mulut daripada tersengih. Pipinya yang berkulit sawo matang perlahan-lahan bertukar merah. Kata-kata manis Siti seakan meroboh benteng kejantanan Muhammad. Ingin sahaja dia meronta-ronta malu dipuji Siti. Seandainya Siti mempunyai kebolehan luar biasa, sudah pasti degupan jantung Muhammad yang laju itu deras didengari.

“Eh ada jugak yang kena kilas leher dengan Siti hari ini,” ujar Siti kepada Muhammad sambil tersenyum. Gaya perbualan mereka yang kelihatan kasar kadang-kadang mungkin mampu disalah tafsir oleh beberapa orang yang mendengar.

Tidak lama kemudian, Mak Timah keluar dari pintu dapur membawa sepinggan cucur yang baru digoreng. Selangkah demi selangkah Mak Timah berjalan dengan umur yang begitu senja. Begitulah sifatnya setiap kali ada tetamu yang datang. Ada saja benda yang ingin dihidangkannya tidak kira tetamu itu singgah lama atau sebentar. Memang tidak pernah lapar tetamu yang pulang dari rumah Mak Timah.

“Haa ni mari makey jeput dulu, Mad Ooo Mad hulur ko Siti ni,” kata Mak Timah sambil berjalan perlahan-lahan ke arah pondok.

“Abe Mad bilo boleh tukar kerja dekat kampung? Jauh sangatlah rasa mengajar dekat bandar.”

“Tak tahu lagi la itu. Urusan kerajaan. Dapat kijo cikgu ni pun bersyukur banyak dah. Nak buat macam mana, dapat bandar.”

“Siti oyak dah ko kat Mad?” tanya Mak Timah perlahan-lahan sambil diusapnya bahu Siti. Tangan kirinya mengibas lalat yang terbang menghampiri cucur.

“Kenapa ni ada gapo-gapo Mad tak tahu ko?” Terperanjat mendengar kejutan itu, Muhammad segera berpaling dan bertanya. Dahinya berkerut, mata terbuntang memandang Siti dengan begitu serius. Seketika Muhammad diselubungi rasa ingin tahu yang amat tinggi.

“Siti kan belajar dekat MARA, bulan lepas. Alhamdulillah terima tajaan Young Talent Program, dapat sambung degree dekat Jerman lima tahun. Hujung minggu ni Siti dah bertolak ke Jerman dah.” Ujar Siti memandang sawah di tepi pondok.

“Ya ke? Ooo Alhamdulillah lah kalau begitu.” Wajah Muhammad berubah serta-merta dibelenggu perpisahan.

Matanya tidak berkelip memikir, adakah persahabatan mereka bakal merenggang di sini? Memang benar sangkaannya bahawa Siti akan memberitahu berita yang kurang menyenangkan. Siti menyambung lagi.

“Keluarga Siti pun dah nak pindah dah. Ayah Siti kena tukar kem askar dekat Pahang balik,” kata Siti.

“Cepatnya gi. Tak sempat Mad nak bawa jalan-jalan,” jawab Muhammad sambil terbatuk-batuk.

“Eh! Demam ke? Haish! Itu lah sibuk sangat bekerja. Balik pun sehari je, tak sempat pula nak jumpa. Selalunya, masa Siti datang nak mengaji, Mek kata Mad bertolak balik dah, tak sempat nak jumpa,” kata Siti dengan nada bersenda.

Suasana petang hari itu diisi perbualan mereka bertiga di pondok tersebut. Pelbagai tajuk cerita yang dibualkan. Ada cerita tentang pengalaman buruk, ada juga tentang kenangan indah waktu lalu diiringi gurauan senda.

Matahari mula terbenam pergi diganti bulan. Siti seperti biasa datang ke rumah Mak Timah untuk belajar mengaji al-Quran sementara menunggu waktu Isyak. Sejak kecil lagi Siti dan budak-budak kampung yang lain datang mengaji al-Quran dengan Mak Timah. Namun kebanyakannya sudah meninggalkan kampung untuk bekerja di luar.

Muhammad berada di kerusi melihat berita sambil menyilangkan kaki. Setiap bacaan Siti diperhatikan satu-persatu oleh Mak Tmah. Setiap kali neneknya menegur kesilapan bacaan ayat al-Quran Siti, Muhammad yang tersandar di kerusi tersenyum ketawa kecil sambil menjeling ke arah Siti.

Jam menunjukkan pukul 9.00 malam, Mad dan Siti duduk di serambi rumah membantu Mak Timah memotong ulam-ulaman untuk membuat nasi kerabu. Kacang panjang, daun kunyit, daun limau purut, kesum, bunga kantan semuanya dipotong halus-halus di atas papan pemotong kayu.

“Mad, dah tak main silat ke?” Siti bertanya sambil mengoyak lapisan luar bunga kantan.

“Jarang, banyak dah buah yang Mad tak ingat. Siti macam mana?” tanya Muhammad.

“Siti pun jarang berlatih silat jugak, tak tahu nak berlatih dengan siapa.” ujar Siti.

“Nak dijadikan cerita, hari itu Mad ada masuk majlis perjumpaan Seni Pertahanan Diri Malaysia. Ya Allah terkejut Mad, satu dewan penuh dengan taekwondo, karate, Muay Thai. Ramai Siti. Yang pakai baju silat lima enam orang sahaja.”

“Ya Allah lama-lama makin ghaib dah. Hina sangat ke silat ni sampai tiada orang nak masuk?” Siti kehairanan.

Mata mereka berdua merenung jauh seakan-akan mula sedar seni tanah air mula malap. Hirisan ulam pun semakin perlahan dibuai topik silat.

“Itu lah tu. Takkan sikit ni jah yang pandai silat.” Dahi Muhammad berkerut kekecewaan diiringi gelengan kepala. Tangannya mengurut-urut tepi dahi dengan minyak Mastika. Diurut-urut juga dadanya yang kesakitan sejak beberapa minggu ini.

“Rasanya kalau ajak sekalipun, macam lah budak-budak sekarang ni nak masuk. Satu lagi, perasan tak silat Melayu ni kurang guru, semua dah tua tiada pewaris,” kata Siti.

Mak Timah berjalan menaiki tangga dari dapur membawa geluk menuju ke serambi. Kebetulan baru siap memasak tumis nasi kerabu, Mak Timah sedikit sebanyak telah mendengar perbualan Muhammad dan Siti.

“Lamo doh Mek mikir ko bendo ni. Dale kapong ni, Siti nga Mad jah hok panda silat. Tok guru lain meninggal belako doh. Toksey sambung ko silat nyo? Acu ajar ko budok-budok kapong ni. Suko tu.” Mak Timah menyampuk dengan suara yang lembut.

“Tok tahu lah Mek!” jawab Muhammad.

“Lepas ni takdok doh la silat napok gayo. Keris muloh Tok tu, lamo mena doh Mek tengok duk sebek situ tak guno-guno.” Mak Timah bersuara.

Siti dan Muhammad hanya mampu mengangguk sambil mendengar kata-kata Mak Timah itu. “Key comey kalu ore kito panda belako silat. Ore jahat tokleh masuk dekat nah. Lamo Mek tok napok Mad nga Siti berlatih silat, kalu dulu tiap maley turun berlatih. Teringat jamey muloh Tok Ayoh ado lagi, merioh luar rumoh. Mek tok panda, Mad nga Siti laa kena ajar anok cucu cicitnyo.” Mak Timah meluahkan kesedihannya.

Manusia mana tidak tertampar dengan luahan kata-kata orang tua yang berisi lagikan melekat itu. Dengan suara terketar-ketar, mata yang seakan ingin berkaca, berserta tatapan kosong melihat ke luar rumah seolah menaruh segunung harapan. Apa yang sedang bermain di benak fikirannya? Butir-butir perkataannya seakan masih kuat terpaku di cuping telinga. Begitu indah jika kita bangga dengan budaya sendiri. Malunya seorang Melayu bila warisan diletakkan di telapak kaki. Tenggelamnya budaya, bangsa Melayu hilang identiti. Jika malas meneruskan warisan, siapa lagi yang mahu berbuat demikian. Itulah maksud yang ingin disampaikan oleh Mak Timah.

Keesokan paginya Mak Timah bangun tidur tanpa kelibat Muhammad di ruang tamu. Tidak seperti kebiasaannya, Muhammad bangun agak lewat sebelum memulakan harinya. Tertanya-tanya Mak Timah kerana jarang-jarang sekali cucunya meninggalkan rumah dengan tempat tidur tersusun rapi.

“Mungkin ada benda penting yang perlu diuruskan,” fikir Mak Timah.

Seperti biasa, Mak Timah membuat sarapan teh O panas di dalam teko. Pisang rebus dan karipap ditutup dengan saji setelah menjamu beberapa mulut untuk bekalan pagi. Tambahan pula, Mak timah gemar menghidangkan makanan lebih supaya dapat disedekahkan kepada orang terdekat.

Secupak beras ditaruh ke dalam geluk kecil dan dicampurkan dengan jagung kering. Lalu Mak Timah menggaulkannya dengan sedikit air paip dan dituangkan ke dalam bekas makanan.

“Ang! Ang! Ang!”

Angsa-angsa berbunyi sejak pandangannya menerkam susuk tubuh Mak Timah yang membawa makanan. Haiwan-haiwan inilah yang menjadi peneman Mak Timah apabila Muhammad belum balik ke kampung. Dengan lafaz “Bismillahirrahmanirrahim” Mak Timah memulakan harinya di sekitar rumah.

Pokok pisang lemak manis yang hijau kelihatan ditebang oleh Mak Timah. Bahagian pokok tersebut masih tercantum separuh meskipun pucuk dan buahnya sudah mencium tanah. Lalu diambil beberapa pelepah pisang kering melingkari sekeliling tandan pokok-pokok pisang tadi. Alasannya agar baja masih dapat disalurkan ke buah dan kematangan tandan pisang mudah dipantau.

“Alhamdulillah, selesai dah sikit.” Tanpa membuang masa Mak Timah menyambung pekerjaannya. Tanah di tepi sawah dicangkul beberapa kali untuk membuat lubang tanaman sulur kantan, anak pandan dan tumbuhan herba-herba lain. Penampilan luarannya yang berlengkapkan baju basahan lusuh, kepala beralaskan topi mengkuang dengan usia yang begitu senja. Jika difikirkan, masih wujud lagikah warga emas seperti itu?

“Pet! Pet!” Kereta Muhammad tiba di halaman rumah. Siti dan Muhammad turun dari kereta.

Mak timah mempercepat kerjanya. Sulur kantan tadi dicampak begitu sahaja ke dalam lubang galian, tanah pula dikais-kais dengan kaki sehingga umbi terbenam.  Mak Timah bergegas ke pintu dapur kerana dia pasti cucunya itu sedang kelaparan.

“Mad gi mano? Awal turun hari ni,” tanya Mak Timah sambil menuang air teh suam serta sepinggan karipap di bawah saji. Muhammad dengan pantas menjamah dan memamah karipap tanpa mempunyai ruang untuk bercakap.

“Hui Mad! Mek tanya tu! Ni Mek, Mad ajak Siti pergi keluar tadi gi beli buku. Lepas tu singgah rumah Pak Wan nak tanya pasal buah silat dia dengan arwah Tok ajar dulu. Sambil-sambil bertanya khabar. Mad nga Siti beraso nak buat buku silat sebutir. Tulis balik ilmu-ilmu muloh Tok Muhammad pernah ajar dulu.” Jawab Siti dengan bersemangat.

Mak Timah tergamam mendengar kata-kata Siti. Dia tidak menyangka budak-budak itu kelihatan teruja untuk menghidupkan budaya yang pudar. Mak Timah bangun dan berjalan mengambil sebuah buku kitab lama dari biliknya lalu dihulurkan kepada Muhammad yang sedang minum secawan air. 

Kelihatan sebuah buku lusuh yang agak tebal. Mulut muhammad masih penuh dan tidak berhenti mengunyah. Kulit luarannya agak rapuh dimamah usia. Lembaran kertas juga sudah bertukar kekuningan tanda buku ini sudah lama. 

“Acu bukok” pelawa Mak Timah.

“Aik! Kosong je daley ni Mek?” jawab Muhammad. 

“Bukok kuk belakey. Allah Allah anok tuoh!” Bersenda Mak Timah sambil menepuk bahu Muhammad dari belakang kerusi.

“Oh bahasa Jawi. Muloh Tok eh tulis ni,” tanya Siti. 

Mak Timah mengangguk sambil berkelip mata perlahan-lahan. Muhammad dan Siti begitu tekun dan berhati-hati semasa membelek buku lusuh tersebut sehelai demi sehelai. Di setiap halaman kanan terpapar penerangan tentang kaedah dan buah-buah silat bertulisan tangan. Halaman kiri pula dilakarkan secara ringkas ilustrasi gerakan silat.

Setiap helaian mempunyai beberapa lukisan untuk menjelaskan pergerakan silat. Mak Timah tersenyum melihat gelagat Siti dan Muhammad dari belakang tanpa berkata sepatah perkara.

 “Jenguk-jenguk lah dulu Mek nok goreng ikey meta, Siti makan sini boleh deh,” pelawa Mak Timah.

Begitu tekun Muhammad dan Siti meneliti setiap halaman buku. “Mad, ingat lagi tak buah ni?”

“Kenapa tak ingat pulak! Tengok ni, bukankah Siti menangis masa belajar buah ni? Hahahahaha.” Muhammad ketawa sambil menunjukkan ke arah satu gerakan buah.

Dalam bergelak ketawa, Muhammad perasan suatu perkara bahawa hanya sebahagian kecil teknik silat yang terpapar di dalam buku tersebut. Separuh lagi daripada buku tersebut tidak dinodai dakwat.

Namun, Muhammad faham mungkin datuknya tidak sempat menyiapkan buku tersebut kerana dikejar usia tua. Di samping itu, ada sesuatu ilham tiba-tiba terjentik di fikiran Muhammad. Fikiran itu seolah-olah membakar semangatnya untuk menyambung warisan moyangnya. Wajah air mata Mak Timah pada ketika itu jelas sekali mengharapkan bahawa kandungan buku tersebut disambung dan dikembangkan sehingga siap.

Jam menunjukkan sudah pukul 4.00 petang, Mak Timah terjaga daripada tidur siang untuk solat Asar. Kedengaran bunyi riuh-rendah di halaman rumah. Munculnya wajah Mak Timah di jendela melihat ke luar untuk menjenguk keadaan.

Hampir mengalir air mata seorang nenek melihat Muhammad dan Siti berpakaian baju silat dengan beberapa orang rakan lama mereka. Di atas pondok pula kelihatan buku-buku berselerakan bersama kitab lusuh milik arwah yang dibiarkan terbuka. Perasaan sayu menyusul hadir dalam diri.

Teringat beberapa tahun yang lepas, suasana begini pernah mencorakkan warna harian di luar rumah usang ini. Berpuluh-puluh orang menjadikan gelanggang ini tempat berlatih, tempat mengaji, tempat berjuadah pada setiap malam. Kini, semua perkara itu hanya terukir dalam kenangan yang masih bernyawa.

“Langkah lagi Siti. Kalau tak langkah musuh stabil nanti. Tangan kiri pegang lengan dia, siku kiri letak dekat rusuk dia.” Teknik gerakan Siti diperhatikan dan diperkemas oleh Muhammad dari tepi. Muhammad mengikut serta membuat demonstrasi untuk diikuti Siti.

“Tengok yang Mad buat pula Siti.” Muhammad melangkah ke dalam gelanggang menggerakkan teknik seakan untuk melumpuhkan musuh. Kakinya melayang ke hulu dan ke hilir.

“Haa tak ingat lah tu buah patah! Kais tangan kanan terus kilas lengan. Tangan kiri masuk kunci leher,” kata Siti.

Lama juga Muhammad mengulang teknik-teknik yang sama sehingga mahir sambil diperhatikan Siti. Mereka berdua sambil membetulkan kesalahan masing-masing. Mangsa serangannya tidak lain tidak bukan melainkan replika bentuk manusia guni yang pernah dijahit oleh nenek.

Siang beransur pergi dihempas gelita malam. Jam menunjukkan sudah pukul 2.00 pagi, Siti sudah lama pulang ke rumah. Namun Muhammad masih bertarung bayang di gelanggang halaman rumah bersama orang-orang jahitan nenek. Seketika di jenguk. Mak Timah dari kekuda. Namun, Muhammad tidak goyah meskipun ditonton oleh neneknya. Dia melonjak masuk ke tengah gelanggang dan menikam patung. Kakinya menendang pelipat patung seolah-olah ingin melumpuhkan musuh.

“Mad tok letih ko? Jak Isor lagi tok breti.” Lagi ditegur lagikan rancak. Melompat ke sana, melompat ke mari. Bilah keris sejak dari Isyak lagi tidak bercerai dari genggaman Muhammad. Bakat bertarungnya yang telah lama berkarat rapuh dalam masa separuh hari sahaja sudah beransur tajam semula.

Fikirannya hanya mempunyai satu matlamat, ingin mahir kembali dalam bersilat dan menghabiskan buku kitab arwah datuknya. Dua perkara ini terpahat di benak fikirannya sejak pagi tadi lagi.

“Mek naik dulu lah Mek. Kejap lagi Mad naik.” Suaranya dibelenggu desahan dan keluhan.

Keris melayang dari tangan kiri ke tangan kanan. Ditukar-tukar dengan parang lading yang dilambung dan disambut menggunakan kaki. Bukankah perkara itu sangat mematikan jika tidak tersalah langkah. Dia bersungguh-sungguh melatih dirinya sekitar tiga puluh buah teknik yang berbeza sehingga mahir.

Hari baru membingkas bangun. Tanpa penat lelah Muhammad menyambung menulis buku silatnya sambil dibantu Siti. Mak Timah pula berada di kebun mengahwinkan mata tunas pokok durian. Teknik-teknik yang telah tercatat di kitab lama tersebut dilakar dan dihuraikan semula ke dalam buku baharu.

Setelah siap, mereka menyambung mencatat buah teknik yang belum sempat di hurai. Tebal buku itu dalam sekitar dua inci lebih memampatkan segala falsafah silat yang pernah mereka pelajari. Sebahagian besar teknik silat berjaya diterjemahkan dalam bentuk tulisan.

“Yang ni Mad dah lukis ke?” tanya Siti.

“Belum lagi, Mad nok tulis penerangan dia dulu,” jawab Muhammad. Hingga waktu senja buku tersebut masih berada di pangkuan Siti dan Muhammad.

“Mad, ni kalau kita jual ni kaya ni, hasil tangan ulama Muhammad,” Siti mengejek sambil ketawa.

“Haa tok payoh nak berangan, silap-silap tak ada orang beli pun,” jawab Muhammad sambil melukis ilustrasi lelaki sedang menangkis serangan parang. Wajahnya begitu tekun tidak mencorak sedikit senyuman pun. Pandangan matanya jarang-jarang sekali dialihkan daripada buku. Tangan Muhammad yang sedang melukis tiba-tiba bergetar. Bibirnya sedikit pucat.

“Kenapa pula dengan Muhammad ni?” Fikir Siti sambil menjeling sedikit. Kelihatan Muhammad menelan satu pil ubat yang diambil dari begnya. Mungkin sahaja dia sedikit demam fikir Siti. ‘Siapa yang tidak demam kalau berjam-jam bertarung tanpa henti,” kata hati Siti.

Buku yang dihasilkan hampir selesai. Pelbagai ilmu silat dimasukkan ke dalam halaman. “Dah ingat dah ke? Apa pantang larangnya?” Mak Timah menyoal.

“Ah senang, jangan langkah jambatan,” Muhammad bersenda.

Siti menggelengkan kepala. “Ni Mek, jangan derhaka pada guru, ibu, bapa. Jangan hina silat tanah air lain. Jangan gaduh dengan ahli.”

Mak Timah tersenyum melihat Siti sambil berkata, “Panda Siti.” Pantang larang pantang larang itulah yang sentiasa menjaga akhlak pesilat ketika menuntut ilmu ini. Tiada pun jauh perbezaan pantang larang silat ini dengan adab menuntut ilmu dalam ajaran Islam.

Malam itu, mereka bertiga berada di luar rumah. Mak timah dan Siti berbual di pondok sambil membelek-belek buku yang baru disiapkan itu. Pada masa yang sama, Muhammad tidak henti-henti menumbuk dan menyepak bayu malam. Kerisnya berterbangan dilontarkan ke arah patung.

Kelihatan sedikit goresan luka di lutut dan lengan Muhammad. Mungkin telah dilibas kecuaian diri sendiri atau meredah pertempuran latihan tanpa hati-hati. Entah kenapa anak muda itu tiba-tiba bersungguh ingin menterjemahkan ajaran silat moyangnya ke dalam buku.

Siti melihat Muhammad berlatih dengan penuh kekaguman. Dirinya sudah tidak berdaya mengikut tenaga Muhammad.

“Mek, tengok Mad. Makin lama makin tangkas Siti tengok, Mek perasan tak,” ujar Siti kepada Mak Timah.

“Ho ngoti! Mek kelih srupo nga muloh Tok dio dulu.”

Muhammad seakan disimbah memori terdahulu sewaktu dirinya aktif dalam bidang silat. Gerakannya semakin tangkas dibaja baran semangat. Dahinya sejak tadi lagi tidak berhenti berkerut tanda ketekunan. Urat-urat di tangan dan leher timbul bagai ingin berlawan bersama.

“Hiyah! Hak! Argh!” Itulah ungkapan yang membisingi kesunyian pada malam itu.

“Berhentilah dulu Mad, dari tadi lagi berlatihnya.” Siti mempelawa. Muhammad berhenti dalam kekudanya sambil menghala badannya ke arah patung.

Nafasnya deras kedengaran. Sempat kulihat hujan peluh tubuhnya mengalir menelusuri keris sehingga tertitis ke tanah. Basah kuyup baju diselimuti keringat.

Kejadian berlaku tiba-tiba tanpa bersaksikan seorang insan. Kejadian itu merampas perbualan Siti dengan Mak Timah. Keluhan usaha dipudarkan oleh bunyi berdebuk. Siapa sangka akan berakhir begini. Kelam-kabut menyinari malam. Hari beransur pergi meninggalkan Mak Timah berjalan seorang diri keluar dari hospital menyedari dirinya akan berdiri sebatang kara. Langkahnya terapung dibanjiri air mata tanpa satu sokongan di sisi. Tadahan tangan menjadi peneman, pudarlah warisan meninggalkan teman.

Apa pula yang bakal terjadi pada hidupku yang sudah berlepas dari lapangan terbang beberapa hari yang lalu? Apa nasib seterusnya  guru mengajiku? Sayu hati melihat ukiran hulu keris yang erat digenggam. Hulu Tembesu yang telah meninggalkan puting bilahnya di dakapan kampung. Hulu pemberian hadiah oleh sahabat ketika di katil hospital.

“Apakah makna di sebalik yang terjadi?” Tiba-tiba hembusan nafasku semakin kencang.  “Apakah aku bakal diterkam atau dikeji? Apa yang ada pada diriku sehingga ditatap seperti pencuri?” Langkahnya begitu dekat kepadaku tidak lebih dari dua meter sambil membawa kertas bertulis nama yang amat kukenali. Akhirnya, “Excuse me Miss, are you Miss Siti?”  tanya lelaki itu.

“Ah yes! Yes i am. And who are you?”

“Oh! my name is Jacob, assigned as your student guide. I was told to have you escorted safely to our university.”

Kerepek pisang aku simpan dan segera mengikuti langkahnya. Air mata seribu rahsia disorok di belakang kelopak mata.  Perjalananku masih jauh di tanah negeri orang. Aku menggalas harapan besar kepada yang bernyawa atau yang telah meninggal. Berbual dengan hati menjadi amalan harian. “Tunggu! Silat kita akan terbina.”

 

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (13) #cerpenkehidupan (8) #dbpselatan (17) #karyasastera (30) #kedah (4) #komsas (3) #penulis (9) #penulisbaharu (33) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (24) #sasteramelayu (10) #sasteramoden (4) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (15) abuyon (4) adie abd gani (5) anak (3) bahasa (3) cerpen (14) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (28) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (6) Esei (5) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (14) puisi (34) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (13) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Memaknai Puisi Lisan “Bayuk” dalam Suku Kaum Iranun
Kearifan Tempatan

Memaknai Puisi Lisan “Bayuk” dalam Suku Kaum Iranun

  • 5 Julai 2024
  • 181
  • 3.4
Keseronokan Membunuh di Negara Barutang
Cerpen

Keseronokan Membunuh di Negara Barutang

  • 5 April 2024
  • 141
  • 4.2
Cabaran Bahasa Melayu di Selatan Thailand
Bicara Bahasa

Cabaran Bahasa Melayu di Selatan Thailand

  • 5 Jun 2024
  • 813
  • 5
ݢوريندم بهاس
Puisi Tradisional

ݢوريندم بهاس

  • 21 Julai 2023
  • 71
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP