TUAH ayam boleh dilihat, tuah manusia siapa tahu. Dia tidak pernah menduga. Mereka selalunya sekepala namun akhirnya berbeza pendapat kerana mempunyai impian yang berlainan.
Cita-cita Aimi kali ini menjarakkan mereka. Aimi ingin terbang jauh. Aimi mahu melebarkan sayap perniagaan ke negara-negara jiran. Aimi mahu rumpun Melayu di Brunei, Singapura, Indonesia dan Malaysia kenal produknya.
“Terpulanglah, aku tidak mampu menghalang kehendakmu. Jika itu yang terbaik, ikutlah kata hatimu,” ujar Khair setelah tidak berupaya lagi memujuk Aimi.
“Ya, suatu hari nanti kita akan bertemu lagi di bumi bertuah ini dengan izin Tuhan,” kata Aimi.
Ringkas ucapan perpisahan mereka lewat petang itu. Zaman sekarang tidaklah sesukar dahulu. Jarak fizikal tidak memisahkan tautan secara maya. Semuanya di hujung jari. Asalkan sahaja ada peranti yang bersesuaian dan disambungkan ke rangkaian Internet.
“Aku doakan semoga engkau bahagia dengan caramu,” Khair menyelit doa yang baik-baik. Matanya melirik ke arah Aimi yang berjalan menuju ke kaunter pendaftaran masuk.
Aimi melangkah tenang meskipun dalam jiwa mereka ada gelora. Gelora rasa yang sama-sama dipendam ketika bergulat sebagai rakan kongsi.
Aimi ada seorang sepupu di kota metropolis terkenal di Timur Tengah. Melalui sepupunya, dia mendapat sokongan untuk bertapak di sana. Khabarnya kota itu lambang kejayaan. Ramai ekspatriat bekerja di sana. Sembilan puluh peratus penduduk Emiriah Arab Bersatu ialah pencari rezeki dari luar negara tersebut. Apakan daya, Khair tidak boleh turut serta.
“Aku punya keluarga di sini. Mereka keutamaanku sekarang. Sukar hendak berjauhan dengan mereka,” ujar Khair jauh di lubuk hatinya.
***
Aimi anak bongsu daripada dua beradik. Aimi bergelar yatim piatu sejak berusia 10 tahun. Kakaknya, Mardiah, sudah berkeluarga. Aimi masih sendiri. Aimi selesa dengan dunia bujang. Tiada komitmen lain seperti kakaknya. Rumah pusaka ayahnya menjadi tempat berteduh keluarga kakak. Sebidang tanah miliknya, dia bangunkan rumah kedai dan sebuah rumah kecil. Rumah kedai dua pintu dan sebuah rumah kecil 700 kaki persegi itu Aimi amanahkan kepada Khair.
“Engkau uruskan soal sewa. Sebagai imbuhan, dua puluh lima peratus aku beri kepada engkau,” Aimi menghulur sekeping kertas kepada Khair.
Khair menyambut kertas itu. Dia baca dengan teliti. Surat serah kuasa pengurusan aset. Surat itu dengan jelas menamakan dia sebagai pemegang amanah. Aimi menyebut dengan jelas tatacara pembayaran wang sewa rumah dan kedainya termasuk komisen.
“Kalau apa-apa terjadi kepadaku, engkau bincang semula dengan kakakku sebagai pewaris tunggal.” Demikian akrab ikatan mereka, seperti isi dengan kuku.
“Kenapa bukan sekarang?” Khair musykil.
“Belum tiba masanya. Lagipun aku tidak mahu menyusahkan kakakku,” Aimi seperti menyembunyikan sesuatu.
Ya, mereka terpaksa membubarkan ikatan perniagaan tetapi bukan jalinan silaturahim yang sudah lama terbina. Aimi nampak peluang untuk berkembang di Dubai sementelahan dia ada proksi yang boleh melicinkan urusannya. Proksi itu tidak lain tidak bukan ialah sepupunya sendiri.
Bulan berikutnya, Khair melihat Aimi bersiaran langsung di media sosialnya. Aimi ceria dan bersemangat dengan aktiviti jualannya. Aimi dibantu oleh anak sepupunya. Semua pesanan direkod dan diuruskan oleh pembantunya. Dia gembira melihat Aimi dan pembantunya tidak menang tangan melayan pelanggan dalam sesi jualan langsung tersebut. Aimi sangat mahir berceloteh, memperincikan produk yang mereka jual. Ironinya, pelanggan Aimi bukan penduduk Dubai sahaja. Mereka kebanyakannya dari negara Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Pelanggan Aimi yang tinggal di Dubai juga merupakan keluarga ekspatriat dari empat buah negara ini.
Tahun silih berganti. Khair sudah memiliki tiga orang cahaya mata. Dia masih mengurus premis yang diamanahkan oleh Aimi, di samping meneruskan perniagaan sendiri. Aimi masih dengan perniagaannya, malah semakin maju. Aimi berjaya membina rangkaian di empat buah negara. Rakan niaganya sangat setia dan berfungsi dengan baik. Khair sengaja menolak tawaran Aimi untuk menjadi rakan niaga di Malaysia.
“Tidak perlu. Urusan rumah sewa dan kedai itu sudah memadai dengan keperluanku. Lagipun aku ada perniagaan sendiri,” demikian Khair membuat justifikasi. Dia tidak menolak sehingga nampak seperti angkuh atau tidak juga menyokong usaha Aimi.
***
Suatu hari, tepatnya pada tahun kelima Aimi di Dubai, Aimi melawat sebuah negara Eropah. Dia pergi sendirian. Anak sepupunya tidak turut serta kerana ada urusan pejabat. Semasa dalam perjalanan pulang ke hotel, Aimi diserang. Penyamun berjaya melarikan beg dan sejumlah wang tunai. Aimi mengalami kecederaan di kepala. Hentakan kuat oleh penyamun menggunakan tiang lampu ketika bergelut dengan Aimi menyebabkan pendarahan berlaku dalam otaknya. Aimi terpaksa melalui pembedahan Kraniotomi (Craniotomy) bagi membuang darah beku tersebut. Malangnya doktor terpaksa mengambil kira penyakit Aimi yang lain, iaitu darah tinggi.
Keadaan Aimi semakin kritikal. Dia koma dan seminggu kemudian, Aimi pergi buat selama-lamanya.
Pihak hospital memaklumkan kepada waris terdekat Aimi di Dubai. Mereka dapat mengakses rekod Data Peribadi Antarabangsa (DPA) berdasarkan nombor pasportnya. Maklumat DPA lain yang boleh diakses merangkumi profil, log perjalanan pelawat, waris terdekat dan rekod perubatan. Aimi dikebumikan di negara tersebut dengan bantuan satu Badan Bukan Kerajaan (NGO).
***
“Saya Mardiah, kakak Aimi. Saya terima pesanan daripada Adnan untuk menghubungi encik,” Khair mendengar penjelasan kakak Aimi. Adnan, anak sepupu Aimi yang mengurus pejabatnya di Dubai. Khair mengatur pertemuan dengan Mardiah.
“Puan kongsi lokasi, saya akan ke sana. Boleh saya bawa anak-anak dan isteri?” ujar Khair.
“Tentulah boleh. Kamu dengan gemulah pun sudah macam adik-beradik. Kakak pun anggap kamu macam adik sendiri,” balas Mardiah.
Khair membawa geran rumah dan kedai milik arwah Aimi. Dia pergi ke lokasi pertemuannya dengan Mardiah. Jaraknya agak jauh. Dua jam perjalanan. Kini dia faham maksud menyusahkan yang pernah Aimi ucap sekian lama dahulu. Jam menunjukkan angka 10. Ketika tiba di pekarangan rumah Mardiah, dia mendapati ada kereta lain juga di situ.
“Assalamualaikum, saya Khair,” dia bersalam dengan seorang lelaki. Lelaki itu sebaya dengannya.
“Masuklah, kak Mardiah ada di dalam,” jemput suami Mardiah dengan mesra.
Sebaik sahaja melangkah masuk, Mardiah memperkenalkan peguam bagi pihak Aimi, “Ini peguam lantikan Aimi.”
Setelah semua pihak mengambil tempat duduk masing-masing, Mardiah memberi ucapan aluan ringkas kemudian dia terus menyerahkan majlis kepada pihak peguam.
“Almarhum Aimi mewasiatkan satu kedai kepada Encik Khair. Manakala rumah dan kedai satu lagi serta duit dalam akaun difaraidkan kepada Puan Mardiah,” peguam tersebut menyerahkan surat wasiat untuk tatapan mereka.
“Saya tidak pernah tahu.” Meski terkejut, Mardiah menyatakan kekagumannya.
“Berbanyak terima kasih kepada Khair kerana banyak membantu Aimi selama ini,” ujar Mardiah.
Mardiah bercerita mengapa dia tidak mengikuti perkembangan Aimi. Dia melarang keras Aimi keluar dari kampung. Dia mahu Aimi buat kerja di kampung. Akibat merajuk, Aimi tidak pernah bercerita soal perniagaan atau kerjanya. Apabila pulang beraya, tidak banyak hal yang mereka bualkan. Aimi balik sekejap-sekejap sahaja. Pulang beraya pun menggunakan kenderaan awam. Dia tidak sangka Aimi berjaya sehingga bertapak di Emiriah Arab Bersatu.
“Kami ini orang kampung, tidak pandai guna teknologi,” sampuk suami Mardiah.
“Bolehkah Khair uruskan sewa rumah dan kedai? Bayarannya nanti pindahkan sahaja ke akaun kakak,” tanya Mardiah.
“Boleh,” jawab Khair.
“Kemudian hari, jika anak kakak sudah besar dan bekerja di bandar, boleh jadi dia akan duduk di rumah itu. Siapa tahu kalau dia ingin berniaga pula, tidaklah susah baginya mencari kedai untuk disewa,” tambah Mardiah lagi.
Khair pulang dengan perasaan terharu. Betapa susahnya mendapat seorang sahabat sebaik Aimi. Betapa aneh aturan Tuhan.