Skip to content
Warisan Tanah Sawah
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Warisan Tanah Sawah
Warisan Tanah Sawah
Cerpen

Warisan Tanah Sawah

  • Theresia waslin
  • 20 September 2026
  • DBP Cawangan Sabah
  • 8
  • 5

MENTARI petang memancarkan cahaya keemasan pada hamparan sawah yang terbentang luas. Angin bertiup lembut, membawa bau lumpur serta bunyi-bunyian alam yang telah lama sebati dalam kehidupannya. Dia tersenyum kecil sambil memandang ke arah bentangan sawah peninggalan keluarganya. Sebagai seorang petani tua yang tidak pernah jemu mengerjakan tanah warisan itu, Pak Abu sering berulang-alik dari rumah ke sawah setiap hari. Sawah peninggalan itu sudah seperti rumah keduanya kerana di situlah tempatnya berhujan dan berpanas mencari rezeki. 

Di hujung Kampung Saranjawa, tanah dua ekar itu merupakan nadi kehidupannya serta lambang kasih daripada generasi terdahulu. Namun, kedamaiannya mula goyah apabila Faizal, anaknya pulang dari Kuala Lumpur, membawa pandangan hidup yang berbeza.

‘’Tanah ni tak akan ke mana, tapi hati manusia … cepat sangat berubah,’’ keluh Pak Abu.

Di sisinya, Faizal berdiri dengan mengenakan kemeja putih dan berseluar slek hitam. Dia baru sahaja pulang dari bandar sejam yang lalu.  Dia bekerja sebagai seorang pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta yang terkenal di Kuala Lumpur.  Faizal membuang pandangannya ke arah sawah yang menghijau itu dengan perasaan asing. 

Bau lumpur, suara katak, kicauan burung dan cengkerik yang tidak henti-henti berlagu pada waktu senja itu terasa seperti suasana baharu dalam dirinya. Seolah-olah pertama kali mendengarkan bunyi-bunyian tersebut. Padahal, pada waktu kecil, bunyi-bunyian itulah yang menemaninya setiap masa.  Namun kini, semuanya terasa asing, sangat asing baginya.

‘’Ayah tetap nak usahakan sawah ini? Zaman dah berubah, ayah,” kata Faizal, memecahkan kesunyian antara mereka berdua. 

Pak Abu menoleh lalu memandang tepat ke wajah Faizal. ‘’Zaman boleh berubah, tapi perut tetap perlu diisi. Kau masih makan nasi juga kan Faizal?”

Faizal tertunduk.  Dia tidak pernah faham mengapa ayahnya enggan menjual tanah itu walaupun sudah beberapa kali ditawarkan dengan harga yang tinggi oleh sebuah syarikat pembangunan.

‘’Ayah tahu Faizal boleh dapat banyak keuntungan dengan menjual tanah ini. Namun, tanah ini bukan hanya sekadar tanah. Tanah inilah peninggalan arwah datuk dan nenek moyang kita. Dahulu, mereka berusaha sedaya upaya mengerjakan sawah ini demi cucu-cicit mereka. Titik peluh mereka ada di tanah ini. Dan kau dengan mudahnya berfikir untuk menjual tanah ini?’’

Faizal terdiam tidak berkutik, cuba mencerna kata-kata ayahnya. Dia berasa bahawa apa yang disampaikan oleh ayahnya itu ada benarnya. 

‘’Faizal faham ayah. Tanah ini warisan arwah datuk dan nenek moyang kita …’’ balas Faizal perlahan.

Pak Abu hanya diam, tidak membalas kata-kata Faizal.  Dia kembali memandang redup ke arah sawah itu semula dan mula berasakan ketenangan dalam dirinya. Jiwanya terasa tenang dan nyaman setiap kali menyatukan diri dengan alam. Fazial mengambil kesempatan untuk memerhatikan gerak-geri ayahnya itu. Agak lama dia memerhatikan ayahnya sebelum sesuatu terlintas di fikirannya.

‘’Ayah … sebenarnya Faizal penat bekerja di bandar. Gaji tinggi, namun kos sara hidup juga sangat tinggi. Rumah sewa mahal, hidup kelam-kabut. Faizal fikir … Faizal nak balik sini. Tapi, takkan nak teruskan kehidupan seperti zaman 80-an,”  keluh Faizal.

Pak Abu terhenti seketika lalu memandang semula ke arah Faizal, mencari kebenaran dan keseriusan kata-kata anaknya itu. Kemudian, dia mengalihkan semula pandangan ke arah sawahnya itu sambil memikirkan sesuatu.  Agak lama dia mendiamkan diri sebelum akhirnya bersuara.

‘’Kau nak balik kampung?” Pak Abu mengangkat kening.

‘’Ya!’’ jawab Faizal tegas.

‘’Tapi dengan syarat. Kita usahakan tanah ini dengan cara moden, bukan lagi dengan cara seperti zaman arwah datuk dan nenek moyang yang mengharapkan hujan turun atau menangkap belalang dengan tangan. Faizal ada ilmu teknologi maklumat, Faizal juga boleh minta tolong kawan untuk memasarkan hasil pertanian ini secara digital.  Jimat masa dan tenaga,”  tambahnya lagi. 

Pak Abu terdiam sambil mengangguk perlahan.

‘’Ayah ni sudah tua, Faizal. Ibu pula dah lama tak ada. Kaulah satu-satunya anak yang ayah ada. Kalau kau bersungguh-sungguh, ayah ikut. Tapi jangan tinggal adab. Jangan buang asas yang ayah sudah lama pegang sejak dulu,” pesan Pak Abu kepada anaknya.

Hari demi hari berlalu, bulan berganti bulan.  Berkat kegigihan Faizal, sawah Pak Abu mula berubah wajah, bukan lagi sekadar tanah berlumpur yang hanya menunggu hujan turun. Faizal menggunakan teknologi moden seperti sistem pengairan sistematik, baja organik yang diformulasikan mengikut bacaan tanah serta aplikasi pengesanan serangga untuk memajukan tanah sawah keluarganya itu.

Selain mengusahakan sawah, Faizal juga membuka sebuah ladang kecil di samping sawah tersebut dengan menanam pelbagai jenis sayuran serta beberapa jenis herba kampung, termasuklah misai kucing dan daun kaduk, untuk memenuhi permintaan yang tinggi di pasaran kesihatan. Terdapat juga pelanggan luar negara yang mula berminat dengan herba tradisional yang dijualnya kerana sukar didapati di luar Malaysia. 

Faizal tidak pernah melupakan ayahnya yang menjadi sumber utama kepada kejayaannya. Setiap petang, setelah menyelesaikan segala pekerjaannya, dia akan duduk di beranda rumah dan menikmati teh panas bersama-sama Pak Abu sambil berbual panjang.

Pada hujung minggu pula, Faizal membuka sebuah gerai kecil sebagai sebahagian daripada pekerjaan tambahannya. Dia menjual hasil ladangnya sendiri di gerai tersebut kepada beberapa penduduk kampung dan petani lain. Bukan itu sahaja, dia juga membuat laman web e-dagang sendiri untuk tujuan pemasaran hasil tanamannya itu. Hasilnya, perniagaannya mula berkembang dan perlahan-lahan menembusi pasaran bandar, malah hingga ke luar negara.

‘’Wah, anak Pak Abu sekarang sudah menjadi usahawan muda yang berjaya!’’ usik Mak Milah ketika membeli ulam di gerai Faizal. 

Faizal hanya tersenyum kecil sambil cuba merendah diri kerana tidak mahu sombong atas pencapaiannya itu. Di satu sudut, Pak Abu duduk di atas bangku kayu di bawah pokok jambu sambil memerhati dengan senyuman penuh bangga.

Pada waktu malam, angin menyusup lembut ke serambi rumah kayu sambil membawa bau tanah lembap selepas hujan petang tadi. Di atas meja makan, terhidang sepinggan ikan keli bakar, sambar belacan dan ayam masak lemak hasil tangan Pak Abu.

Faizal menyuap perlahan. Sesekali, matanya mencuri pandang ke arah wajah ayahnya yang tenang mengunyah.  Dia kembali menikmati makanannya, namun fikirannya melayang-layang, memikirkan sesuatu yang ingin disampaikan kepada ayahnya.  Selepas makan, Faizal tetap duduk sambil memerhatikan ayahnya.

‘’Ayah masih masak macam dulu,” kata Faizal perlahan, memecahkan kesunyian. 

Pak Abu mengangguk. ‘’Rasa yang tak berubah. … itu yang buat kita rindu, kan?’’ balas ayahnya. 

Faizal tersenyum hambar. 

‘’Ayah …’’ ucap Faizal perlahan seolah-olah sedang memanggil ayahnya. 

Pak Abu berhenti mengunyah lalu memandang ke arah anak tunggalnya itu sambil mengangkat kedua-dua keningnya.

‘’Terima kasih kerana percaya Faizal,” ungkapnya dengan penuh makna. Ayat yang ringkas, namun penuh dengan makna tersirat. 

Pak Abu sedikit tersentak kerana ucapan itu kedengaran begitu tulus. Dia kemudian menyambung mengunyah makanan perlahan-lahan.

‘’Ayah pun banyak belajar daripada Faizal.  Dulu, ayah ingat kalau tak buat cara lama, sawah tak menjadi. Tapi rupa-rupanya … cara baharu boleh menjadi kalau gunakan cara yang betul,” kata Pak Abu.

‘’Faizal takkan lupa ajaran ayah,” balas Faizal dengan matanya yang mula berkaca-kaca.

‘’Walau secanggih apa pun teknologi, tanpa tanah ini … kita bukan siapa-siapa,’’ sambung Faizal sambil mengesat air matanya yang mula mengalir. Pak Abu mengangguk tanda bersetuju dengan kata-kata Faizal.

‘’Janji jangan lupa bahawa tanah ini bukan milik kita seorang sahaja. Ini amanah daripada arwah datuk dan nenek moyang untuk cucu-cicit kita suatu hari nanti,” pesan ayahnya.

Kampung Saranjawa juga perlahan-lahan mula berubah wajah. Semangat untuk bertani telah kembali segar dalam kalangan penduduk kampung, terutamanya generasi muda. Usaha Faizal yang sedikit demi sedikit membuahkan hasil telah memberikan inspirasi yang besar kepada generasi muda untuk berjaya. Ketika anak-anak muda kembali ke kampung halaman, kebanyakan daripada mereka mengikuti jejak Faizal, iaitu membuka ladang kecil, menjual hasil secara dalam talian dan mengusahakan tanah yang ada.

Setelah 15 tahun berlalu, pada suatu petang yang sunyi, Pak Abu menanam benih padi bersama-sama cucunya yang baru berusia lima tahun. Walaupun dirinya sudah tua dimamah usia, cintanya terhadap tanah tidak pernah pudar. Dia sentiasa meluangkan masa untuk bertani kerana menurutnya, bagus untuk kesihatan di samping mengisi masa senggang.

‘’Tok, kenapa tanam dekat sini?’’ tanya si kecil sambil memandang ke arah Pak Abu dengan wajah yang kehairanan.

Pak Abu perlahan-lahan memandang ke arah cucunya lalu tersenyum kecil.

“Sebab di sinilah tempatnya untuk tumbuh.  Nanti, bila kamu dah besar, kamu akan tahu bahawa inilah tanah yang menyimpan harapan untuk semua orang.’’

 

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (14) #cerpenkehidupan (8) #dbpselatan (17) #karyasastera (31) #kedah (4) #komsas (3) #penulis (9) #penulisbaharu (35) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (24) #sasteramelayu (10) #sasteramoden (4) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (16) abuyon (4) adie abd gani (5) anak (3) bahasa (3) cerpen (16) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (29) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (6) Esei (5) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (14) puisi (34) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (13) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Pabila Ibu Bergincu Ungu
Cerpen

Pabila Ibu Bergincu Ungu

  • 20 Julai 2025
  • 301
  • 4.6
Pantun: Seni Tradisi yang Semakin Dilupakan
Bicara Sastera

Pantun: Seni Tradisi yang Semakin Dilupakan

  • 5 Julai 2023
  • 2107
  • 5
Lelaki yang Kehilangan Kunci
Cerpen

Lelaki yang Kehilangan Kunci

  • 21 November 2025
  • 211
  • 4.8
يه، سجق كاو ڤرݢي
Puisi Moden

يه، سجق كاو ڤرݢي

  • 25 Mac 2026
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP