Skip to content
8 Kisah 1 Malam:  Yayasan Warisan Johor Suburkan Ekosistem Teater Negeri Johor
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Sejarah dan Budaya > 8 Kisah 1 Malam: Yayasan Warisan Johor Suburkan Ekosistem Teater Negeri Johor
8 Kisah 1 Malam:  Yayasan Warisan Johor Suburkan Ekosistem Teater Negeri Johor
Sejarah dan Budaya

8 Kisah 1 Malam: Yayasan Warisan Johor Suburkan Ekosistem Teater Negeri Johor

  • NURIDANA BINTI AHMAD
  • 5 September 2026
  • DBP Wilayah Selatan
  • 1

ADA KISAH yang hanya tinggal sebagai tulisan dan ada kisah yang menemukan kehidupannya apabila diterjemahkan ke atas pentas. Dalam teater kata-kata tidak lagi sekadar dibaca, sebaliknya dilafazkan, digerakkan dan dihayati melalui bahasa tubuh pelakon serta sebuah skrip yang pada awalnya hanya berupa helaian tulisan, yang akhirnya berubah menjadi kisah yang dapat dilihat dan dirasai oleh khalayak.  

Gambaran dinamik ini jelas terbukti menerusi pementasan Teater 8 Kisah 1 Malam yang berlangsung pada 8 Ogos 2026 di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, anjuran Yayasan Warisan Johor (YWJ). Program unik ini menghimpunkan lapan kumpulan yang bertanding bagi merebut gelaran “Persembahan Terbaik” melalui konsep pementasan 1 Kisah 10 Minit.

Dalam tempoh hanya 10 minit, setiap kumpulan membawa sebuah kisah kepada penonton dengan pendekatan kreatif yang berbeza bagi menghidupkan karya masing-masing. Format ini bukan sahaja menguji keupayaan peserta membina cerita dan mengembangkan watak, malah mencabar mereka menyampaikan gagasan serta emosi dengan berkesan dalam tempoh yang singkat.

8 Kisah 1 Malam:  Yayasan Warisan Johor Suburkan Ekosistem Teater Negeri Johor
Pementasan Teater 8 Kisah 1 Malam di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar pada 8 Ogos 2026.

Yang berikut ialah kumpulan yang berjaya membuat persembahan pada malam pementasan teater 8 Kisah 1 Malam:

Bil.

Kumpulan

Judul Karya / Naskhah

Pengarah

1.

Star Production

Di Carik Senja

Wan Haiyl Majid

2.

Dua Jiwa

Luka Yang Tidak Nampak

Nur Fatwa Syuhada

3.

Left-Handed

Sulong

Mohd Norsyafiq

4.

Prasasti

Inkues

Mohd Izzuddin

5.

Krosen

Death Is Satu Permulaan

Putera Hairel Raffiq

6.

Wanita-wanita Pelik

Posmortem Kes Macbeth

Sarafeeza

7.

Srikandi Budaya PCNJ

Di Dalam Kepala Sebuah Patung

Agustinah

8.

Tasekku

Sebelum Subuh

Mislinda

 

Komitmen YWJ: Pemangkin Ekosistem Seni dan Sastera

Penganjuran Teater 8 Kisah 1 Malam telah memberikan impak yang lebih luas terhadap landskap seni dan budaya di negeri Johor. Selain memelihara warisan sejarah, seni dan budaya, YWJ turut memberikan perhatian terhadap bidang persuratan melalui usaha mengangkat karya dan sasterawan Johor. Usaha tersebut merupakan langkah signifikan dalam memastikan bahasa Melayu terus subur sebagai bahasa ilmu, persuratan dan seni yang menghidupkan manusia dan bahasanya.

8 Kisah 1 Malam:  Yayasan Warisan Johor Suburkan Ekosistem Teater Negeri Johor
Pementasan Teater 8 Kisah 1 Malam anjuran Yayasan Warisan Johor.

Sehubungan itu, pementasan teater 8 Kisah 1 Malam terbukti berjaya merangsang bakat pelapis serta pengkarya tempatan melalui sokongan komuniti yang menyeluruh. Sememangnya pentas memainkan peranan penting dalam sesebuah persembahan kerana pentas menjadi ruang atau medan penentu estetika dan emosi karya. Pentas komersial yang berprestij ini berfungsi sebagai batu lonjakan penting bagi pengkarya muda membina jenama dan jaringan profesional mereka dalam dunia teater tanah air.

8 Kisah 1 Malam:  Yayasan Warisan Johor Suburkan Ekosistem Teater Negeri Johor
Dewan berprestij di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, YWJ.

Bukan itu sahaja, bagi menaikkan semangat bersaing secara sihat dan profesional, YWJ turut menyediakan ganjaran dan pengiktirafan berupa suntikan dana berbentuk hadiah wang tunai yang lumayan, iaitu RM2,500 untuk Persembahan Terbaik dan RM800 sebagai hadiah sagu hati bagi setiap karya yang terpilih.

Impaknya, usaha ini juga berjaya membuka ruang capaian seni yang lebih luas kepada khalayak ramai. YWJ memanfaatkan prasarana pentas profesional di Dewan Utama, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar untuk memberikan pengalaman teknikal serta audio-visual yang berkualiti tinggi kepada pihak produksi mahupun penonton. 

8 Kisah 1 Malam:  Yayasan Warisan Johor Suburkan Ekosistem Teater Negeri Johor
Kehadiran khalayak yang memenuhi segenap ruang Dewan Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, ditambah pula dengan sokongan sistem teknikal dan audio-visual yang berkualiti tinggi, terbukti berjaya memberikan kepuasan kepada para penonton.

Bagi memastikan seni ini dekat dengan masyarakat, kolaborasi strategik jualan tiket mampu milik dijalankan secara digital menerusi platform CloudJoi, sekali gus memudahkan akses kepada orang awam dan generasi muda untuk hadir menyokong karya tempatan.

Secara keseluruhannya, usaha berterusan daripada YWJ ini merupakan langkah bijak dalam memastikan pementasan teater kekal relevan sebagai wadah warisan bangsa. Dana yang disediakan oleh pihak YWJ melalui Fiesta Sandiwara Negeri Johor bertujuan memastikan penggiat teater tempatan tidak dianggap ketinggalan zaman. Sebaliknya, program ini diangkat menjadi wadah hidup untuk memartabatkan warisan, identiti budaya, dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu serta seni yang menghidupkan manusia dan bahasanya.

8 Kisah 1 Malam:  Yayasan Warisan Johor Suburkan Ekosistem Teater Negeri Johor
Hadir menyaksikan pementasan ini ialah Yang Berusaha Datin Hajah Siti Azizah binti Omar, Pengerusi PUSPANITA Negeri Johor, Encik Nor Syazlan bin Abd Razak, Pengarah Yayasan Warisan Johor dan Encik Tee Tiam Chai, Pengetua Sekolah Seni Malaysia Johor.

Dalam konteks perancangan jangka panjang,  ruang yang disediakan melalui oleh pihak penganjur turut membuka ruang dan peluang kepada penulis skrip dan penggiat seni untuk menghasilkan karya serta menguji keupayaan mereka di hadapan khalayak. Hal ini memperlihatkan bahawa usaha mengembangkan seni tidak terhad kepada pementasan semata-mata, sebaliknya turut melibatkan proses melahirkan dan membina bakat dalam bidang penulisan, pengarahan dan lakonan. Pementasan teater 8 Kisah 1 Malam bukan sekadar sebuah pertandingan antara lapan kumpulan, sebaliknya menjadi ruang yang mempertemukan penulis skrip, pengarah, pelakon dan penggiat seni dalam sebuah proses pengkaryaan yang sebenar.

Teater sebagai Wadah Mengangkat Bahasa dan Sastera Melayu

Bahasa merupakan salah satu nadi utama dalam teater, tanpa bahasa, kisah sukar disampaikan, tanpa dialog, watak kehilangan suara. Namun demikian, bahasa dalam teater bukan hanya berfungsi sebagai alat komunikasi, sebaliknya turut membina emosi, hubungan dan konflik. Dalam konteks ini, pementasan teater menjadi salah satu wadah untuk memastikan bahasa Melayu terus digunakan sebagai bahasa seni dan kreativiti.  Pementasan 8 Kisah 1 Malam memperlihatkan bagaimana bahasa dapat menjadi medium untuk mengangkat pelbagai persoalan kehidupan.

8 Kisah 1 Malam:  Yayasan Warisan Johor Suburkan Ekosistem Teater Negeri Johor
Persembahan bertenaga kumpulan Srikandi Budaya PCNJ dengan karya bertajuk Di Dalam Kepala Sebuah Patung.

Selain itu, lapan karya yang dipersembahkan pula hadir dengan tema yang berbeza, termasuk penderaan dalam rumah tangga, kehilangan akibat peperangan, konflik dalam hubungan, pergolakan diri, hubungan kekeluargaan, keinsafan, kematian dan pencarian kebenaran serta tafsiran terhadap karya klasik.

8 Kisah 1 Malam:  Yayasan Warisan Johor Suburkan Ekosistem Teater Negeri Johor
Kumpulan Prasasti dengan berani mengangkat isu buli di sekolah menerusi naskhah tajam mereka yang bertajuk Inkues, yang bukan sahaja memberi kesedaran, malah menjentik emosi penonton!

Proses Pengkaryaan yang Bermula dengan Skrip

Di sebalik sebuah persembahan pendek 10 minit, yang kelihatan ringkas namun terdapat proses penghasilan yang panjang. Cabaran 8 Kisah 8 Malam bermula dengan peserta terlebih dahulu perlu menghantar skrip kepada urus setia YWJ untuk dinilai sebelum terpilih untuk dipentaskan. Setelah skrip yang dihasilkan dinilai dan dimantapkan, pengarah mula membina tafsiran terhadap karya, sebelum watak-watak dipilih dan dihidupkan menerusi sesi latihan yang intensif.

8 Kisah 1 Malam:  Yayasan Warisan Johor Suburkan Ekosistem Teater Negeri Johor
Persembahan penuh emosi oleh Putera Amir daripada kumpulan Left-Handed menerusi karya bertajuk Sulong telah membuahkan hasil apabila beliau dinobatkan sebagai “Pelakon Terbaik” dalam pementasan teater 8 Kisah 1 Malam 2026.

Seterusnya, latihan dijalankan untuk menyatukan dialog dengan pergerakan, emosi serta elemen persembahan. Proses ini menggambarkan bahawa teater merupakan seni yang memerlukan kerjasama, iaitu penulis, pengarah dan pelakon tidak bekerja sendirian, sebaliknya perlu saling memahami dan bekerjasama bagi memastikan karya dapat diterjemahkan dalam bentuk pementasan yang baik dan menghiburkan serta mesej karyanya sampai kepada penonton. Melalui kesatuan ini, penonton dapat menyaksikan sebuah kisah yang menyentuh jiwa, menyakitkan atau pelbagai emosi lain yang dapat dirasai bersama-sama pelakon.

8 Kisah 1 Malam:  Yayasan Warisan Johor Suburkan Ekosistem Teater Negeri Johor
Persembahan bersahaja daripada kumpulan Wanita-wanita Pelik dengan karyanya Posmortem Kes Macbeth memberikan saingan sengit kepada kumpulan yang lain.

Dalam format pertandingan “1 kisah 10 minit”, proses tersebut menjadi lebih mencabar kerana tempoh persembahan yang singkat menuntut pengkarya menyampaikan kisah secara padat. Di samping itu, tiada ruang masa yang terlalu panjang untuk memperkenalkan watak atau membina konflik secara perlahan.

Oleh hal yang demikian, penulis perlu bijak memilih dialog, sementara pengarah pula perlu memastikan perkembangan tempo cerita bergerak lancar, manakala pelakon perlu menyampaikan emosi dengan cepat dan meyakinkan para penonton seawal minit pertama persembahan.

8 Kisah 1 Malam:  Yayasan Warisan Johor Suburkan Ekosistem Teater Negeri Johor
Dari awal pementasan sampai tirai ditutup, penonton tidak kering gusi! Persembahan padu Sebelum Subuh oleh kumpulan Tasekku memang penuh dengan gelak tawa.

Pelakon Menghidupkan Cerita

Kekuatan sesebuah skrip hanya dapat diserlahkan apabila para pelakon berjaya menjiwai dan menghidupkan watak mereka. Dalam pementasan ini, kemampuan para pelakon menguasai pentas menjadi antara perkara yang mencuri perhatian penonton dan sewajarnya diberikan pujian.

Para pelakon tampil dengan penuh keyakinan dan bijak mengawal vokal, tangkas memanipulasikan ruang pentas serta berjaya menjiwai watak masing-masing dengan baik. Selain itu,  keserasian yang erat antara pelakon membolehkan mereka memberikan reaksi yang natural dengan pelakon gandingan. Melalui reaksi yang dan santai dan bersahaja tersebut menjadikan persembahan lebih hidup sekali gus membuatkan penonton benar-benar percaya bahawa cerita tersebut benar-benar wujud dan sedang terjadi di hadapan mereka.

8 Kisah 1 Malam:  Yayasan Warisan Johor Suburkan Ekosistem Teater Negeri Johor
Kumpulan Krosen mempersembahkan kisah kecurangan dalam rumah tangga dan mengundang gelak ketawa penonton dengan lakonan bersahaja  serta berjaya menipu penonton dengan memutarbalikkan plot melalui karya Death Is Satu Permulaan.

Tambahan pula, lontaran suara yang jelas, ekspresi wajah yang jujur, gerak tubuh yang kemas dan penghayatan terhadap watak yang penuh emosi menjadi antara unsur yang membantu menghidupkan setiap kisah. Perihal ini memperlihatkan bahawa lakonan yang berkesan bukan hanya bergantung pada hafalan dialog, tetapi turut memerlukan pemahaman terhadap watak dan situasi yang dilalui. Pelakon yang benar-benar memahami sebab sesuatu dialog dilafazkan pastinya berjaya penyampaian watak dengan lebih berkesan dan sampai mesejnya kepada penonton.

8 Kisah 1 Malam:  Yayasan Warisan Johor Suburkan Ekosistem Teater Negeri Johor
Sentuhan kreatif dan acuan pengarahan yang teliti menerusi naskhah Luka yang Tidak Nampak telah membawa kejayaan besar buat Nur Fatwa Syuhada daripada kumpulan Dua Jiwa apabila dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik Teater 8 Kisah 1 Malam 2026.

Sekolah Seni Malaysia Johor sebagai Tapak Pelapis

Sekolah Seni Malaysia (SSeM) merupakan institusi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang menggabungkan pendidikan akademik dengan kesenian yang berbeza dengan sekolah aliran biasa. Bagi pelajar yang mengambil jurusan teater, mereka diberikan pendedahan menyeluruh yang merangkumi teknik lakonan, seni nyanyian, penulisan skrip, sehinggalah kepada aspek pengurusan produksi.

8 Kisah 1 Malam:  Yayasan Warisan Johor Suburkan Ekosistem Teater Negeri Johor
Persembahan memukau dan luar biasa bakat muda dari St4r Production yang mewakili Sekolah Seni Malaysia Johor (SSeMJ) menerusi karyanya bertajuk Di Carik Senja telah dinobatkan sebagai Persembahan Terbaik pementasan teater 8 Kisah 1 Malam 2026.

Dalam pada masa yang sama, para pelajar mempelajari cara bekerjasama dan berkomunikasi melalui seni, dan dalam erti kata lain pendidikan seni bukan hanya membina kebolehan seseorang untuk membuat persembahan, tetapi turut membentuk cara mereka berfikir dan bekerja dalam satu pasukan. Selain itu, salah satu matlamat penting pendidikan seni adalah menyediakan ruang kepada generasi muda untuk membina potensi dan melihat bidang seni sebagai satu laluan kerjaya justeru itu, pendedahan melalui latihan, penulisan skrip dan pengalaman pementasan dapat menjadi asas kepada pelajar sebelum melangkah ke bidang seni secara profesional.

8 Kisah 1 Malam:  Yayasan Warisan Johor Suburkan Ekosistem Teater Negeri Johor
Sorotan pementasan karya Di Carik Senja daripada kumpulan St4r Production.

Keberkesanan daripada acuan latihan dan pendedahan awal ini terbukti apabila Sekolah Seni Malaysia Johor (SSeMJ) yang beroperasi di Bandar Seri Alam, Masai, Johor, terus mengukuhkan reputasinya sebagai tapak pelapis seni utama negara. Sekolah asal bagi kumpulan ST4R Production ini telah dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Teater 8 Kisah 1 Malam menerusi karya kreatif mereka bertajuk Di Carik Senja, yang juga arahan pelajar SSeMJ, Wan Haiyl Majid Wan Mohd Rayzuddin.

8 Kisah 1 Malam:  Yayasan Warisan Johor Suburkan Ekosistem Teater Negeri Johor
Kejayaan bakat muda daripada Sekolah Seni Malaysia membuktikan bahawa institusi ini berjaya melahirkan modal insan kreatif yang boleh membawa jenama Malaysia ke persada antarabangsa pada masa depan.

Kejayaan tersebut menjadi bukti nyata bahawa institusi ini berjaya melahirkan modal insan kreatif yang kompeten dalam aspek lakonan, pengarahan, mahupun pengurusan produksi. Dengan asas yang mantap, para pelajar ini lebih  bersedia mewarisi bakat seni tempatan demi memacu industri kreatif negara ke peringkat yang lebih gemilang.

Sesungguhnya, sesebuah pementasan teater tidak berakhir apabila tirai ditutup. Kesan yang ditinggalkan melalui kisah, watak dan emosi dapat terus hidup dalam ingatan khalayak serta mengundang renungan terhadap kehidupan. Dalam konteks ini, 8 Kisah 1 Malam membuktikan bahawa sebuah pentas berjaya menjadi ruang untuk menyatukan kreativiti, pemikiran dan pengalaman manusia dalam sebuah persembahan yang dekat dengan masyarakat. 

8 Kisah 1 Malam:  Yayasan Warisan Johor Suburkan Ekosistem Teater Negeri Johor
Tahniah kepada semua pemenang pementasan teater 8 Kisah 1 Malam 2016!

Hal yang lebih penting lagi, pementasan seperti ini menjadi sebahagian daripada usaha YWJ untuk memastikan seni teater terus mendapat tempat dalam perkembangan budaya masa kini dan ekosistem teater di selatan tanah air terus subur mengikuti arus pemodenan. Malah, setiap karya yang dipentaskan, bakat yang diketengahkan dan pengalaman yang diperoleh menjadi sebahagian daripada proses yang menyumbang kepada kelangsungan seni untuk generasi seterusnya. Pementasan Teater 8 Kisah 1 Malam:

Apabila satu kisah berakhir di pentas, mungkin pada ketika yang sama, sebuah kisah baharu tentang perjalanan seorang penggiat seni sedang bermula. Dan, di sinilah peranan terbesar YWJ, iaitu memastikan bahawa obor perjuangan seni ini tidak akan pernah padam dan sentiasa mempunyai pelapisnya yang tersendiri.

 

Foto: Laman Sosial Yayasan Warisan Johor

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (14) #cerpenkehidupan (8) #dbpselatan (17) #karyasastera (31) #kedah (4) #komsas (3) #penulis (9) #penulisbaharu (35) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (24) #sasteramelayu (10) #sasteramoden (4) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (16) abuyon (5) adie abd gani (5) anak (3) bahasa (3) cerpen (16) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (29) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (6) Esei (5) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (7) palestin (3) penulis sarawak (14) puisi (34) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (13) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

دالم دوا بايڠ
Puisi Moden

دالم دوا بايڠ

  • 24 Januari 2026
Tragedi Disember Berulang
Cerpen

Tragedi Disember Berulang

  • 2 Mac 2024
  • 114
  • 5
كاسيهمو ايبو
Puisi Moden

كاسيهمو ايبو

  • 21 Oktober 2024
  • 39
  • 3
Menghayati Karya Melalui Kaedah Berfokus
Bicara Sastera

Menghayati Karya Melalui Kaedah Berfokus

  • 4 Disember 2023
  • 136
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP