Skip to content
Adiguru Kraf Anyaman: Kak Ani Tidak Kedekut Ilmu
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Kearifan Tempatan > Adiguru Kraf Anyaman: Kak Ani Tidak Kedekut Ilmu
Adiguru Kraf Anyaman: Kak Ani Tidak Kedekut Ilmu
Kearifan Tempatan

Adiguru Kraf Anyaman: Kak Ani Tidak Kedekut Ilmu

  • SAMIRON BIN RAHMAT
  • 20 Mei 2025
  • DBP Wilayah Timur
  • 33
  • 5

Pengenalan

Skim Adiguru Kraf diperkenalkan oleh kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia sejak tahun 1987. Mereka yang dinobatkan sebagai Adiguru Kraf akan menerima insentif sebanyak RM2,000 dan elaun bulanan sebanyak RM500 untuk tempoh lima tahun. Anugerah ini merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada golongan pakar yang telah memberikan sumbangan besar dalam menghasilkan produk kraf tradisional negara.

Menurut definisi Wikipedia, Adiguru Kraf merujuk kepada mereka yang mahir dalam bidang kraf tradisional. Adiguru ialah tukang kraf yang mempunyai tahap kepakaran tinggi dalam bidang penciptaan dan ketukangan produk kraf tempatan. Menurut carian di Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) pula, perkataan “Adi” membawa maksud yang tertinggi atau yang terutama.

Manakala kraf tangan pula bermaksud hasilan bahan berguna atau hiasan yang dihasilkan menggunakan tangan sepenuhnya atau perkakas ringkas sahaja. Pertukangan kraf biasanya dihasilkan secara perseorangan atau kumpulan kecil-kecilan. Kamus Dewan Edisi Keempat pula memberi makna kraf tangan sebagai perusahaan (kerja seni dan sebagainya) yang memerlukan daya cipta dan kemahiran. Tuntasnya, Adiguru Kraf ialah gelaran yang diberikan kepada seseorang yang mempunyai kemahiran dan kepakaran tertinggi dalam sesuatu bidang kraf di Malaysia. 

Sebagai salah satu usaha melestarikan dan mengangkat taraf khazanah pereka kraf, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah menobatkan ramai adiguru dalam bidang masing-masing. Antaranya ialah Adiguru Kraf Tenunan Songket, Adiguru Kraf Rotan, Adiguru Kraf Wau, Adiguru Kraf Seni Tembaga, Adiguru Kraf Anyaman, Adiguru Kraf Ukiran Halus dan sebagainya.

Adiguru Kraf Anyaman

Anyaman seni daun pandan dan mengkuang merupakan hasil kraf tangan yang masih digunakan sehingga kini. Biasanya, kita hanya menggunakan alat baharu yang lebih mudah, murah dan mesra pengguna.

Puan Hajah Kelsom binti Abdullah atau lebih mesra disapa Kak Ani, 70 tahun, merupakan seorang yang pakar dalam menghasilkan anyaman pandan dan mengkuang di Terengganu. Beliau telah dinobatkan sebagai Adiguru Kraf Anyaman sejak tahun 2018. 

Adiguru Kraf Anyaman: Kak Ani Tidak Kedekut Ilmu

Puan Hajah Kelsom binti Abdullah atau Kak Ani. 

Kak Ani dilahirkan pada 20 Mac 1954, di Chendering, Kuala Terengganu, merupakan seorang suri rumah dan mempunyai tujuh orang anak. Beliau merupakan ikon kraf tangan tradisional negara. Sejak kecil hidupnya dikelilingi insan-insan berjari emas yang mahir membuat anyaman daun mengkuang dan pandan.

Adiguru Kraf Anyaman: Kak Ani Tidak Kedekut Ilmu

Gelaran adiguru adalah suatu amanah bagi Kak Ani.

Ketika dihubungi, beliau menceritakan, “Saya merupakan generasi ketiga dalam keluarga yang terlibat dalam industri ini selepas arwah nenek dan ibu. Ketika di kampung asal kami di Rusila dahulu, hampir 90% penduduk mengusahakan kerja kraf anyaman. Jadi ini dunia saya sejak kecil.”

Sebagai anak yang dilahirkan dalam keluarga seni anyaman, beliau melihat prospek dan masa depan seni kraf ini masih relevan. Disebabkan itu, beliau tidak berputus asa untuk mengembangkan seni anyaman ini lagi. Beliau sentiasa mendapat galakan daripada keluarganya. Seorang adik beliau juga aktif menghasilkan produk berasaskan anyaman.

Minat Kak Ani semakin bertambah apabila beliau menjadi salah seorang warga Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu. Beliau bersara wajib pada tahun 2014. Menurut rakan sejawatnya, Puan Noraini binti Dol, 50 tahun,  Kak Ani merupakan seorang yang sangat komited dengan tugas.

Adiguru Kraf Anyaman: Kak Ani Tidak Kedekut Ilmu

Puan Noraini binti Dol,

Pegawai Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu.

“Puan Hajah Kelsom yang lebih mesra dengan panggilan Kak Ani merupakan anak jati Terengganu yang sangat berpengalaman dalam bidang anyaman pandan dan mengkuang,” ujarnya ketika ditemu bual.

Menurut rakannya itu, objektif Skim Adiguru diperkenalkan supaya mereka yang terpilih dapat mencurahkan ilmu, membimbing generasi muda dalam bidang anyaman dan meneruskan kelangsungan kraf tradisi.

Adiguru Kraf Anyaman: Kak Ani Tidak Kedekut Ilmu

Kak Ani dalam suatu majlis rasmi Kerajaan Negeri Terengganu.

Kepakaran dan Sumbangan

Menurut Puan Noraini yang juga merupakan seorang pereka di perbadanan tersebut, dengan pengalaman selama lebih 40 tahun dalam bidang kraf anyaman, Kak Ani telah dianggap sebagai pakar dalam bidangnya.

Pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh Kak Ani merupakan hasil pengalaman dan bimbingan orang terdahulu. Menurut beliau, terdapat pelbagai corak atau motif yang diterapkan dalam  penghasilan produk anyaman.

Adiguru Kraf Anyaman: Kak Ani Tidak Kedekut Ilmu

Anyaman adiguru yang halus menentukan kualiti produk.

Tikar mengkuang merupakan produk yang paling mendapat permintaan pelanggan kerana mempunyai corak dan kreativiti yang unik. Antara corak kesukaan pelanggan ialah corak selang-seli, corak Palembang, corak Muar dan  corak mata bilis. Warna corak yang pelbagai juga menjadi salah satu tarikan pelanggan. Kak Ani mempunyai pelbagai kemahiran mereka corak produk.

Adiguru Kraf Anyaman: Kak Ani Tidak Kedekut Ilmu

Hasil anyaman Kak Ani.

“Biasanya  terdapat dua jenis bahan yang digunakan untuk membuat anyaman, iaitu daun mengkuang dan pandan. Daun mengkuang banyak digunakan untuk membuat barangan seperti beg dan tikar. Manakala daun pandan pula digunakan untuk anyaman halus dan membuat hiasan seperti kelarai dengan mengenakan motif bunga tanjung, pucuk rebung, kepala gajah, Cik Kedah bersila, cengkih beranak dan sebagainya,” jelas Kak Ani.

Adiguru Kraf Anyaman: Kak Ani Tidak Kedekut Ilmu

Anyaman kelarai bunga pecah lapan diterapkan pada clutch bag.

Kak Ani juga sering membuat inovasi dengan menggabungkan dua atau tiga warna tertentu. Corak mata bilis misalnya, merupakan kombinasi yang menarik kerana menggunakan warna terang dan gelap. Corak-corak lain yang beliau kuasai adalah seperti corak beras patah, bunga pecah lapan dan Cik Kedah berakar.

Adiguru Kraf Anyaman: Kak Ani Tidak Kedekut Ilmu

Alas pinggan kelarai berhati berkaki dan table runner motif Cik Kedah berakar.

Beliau juga arif dengan corak dari luar seperti corak Palembang. Petak empat segi atau biji kundang dianyam dengan warna hijau dan dikelilingi jalur dua warna, iaitu merah dan putih supaya tampak menarik. Corak Bugis pula berasal dari Bugis  dan corak Muar berasal dari Muar, Johor.

Adiguru Kraf Anyaman: Kak Ani Tidak Kedekut Ilmu

Kusyen  anyaman kelarai Cik Kedah bersila.

Kebolehan dan kepakaran unik beliau ini telah menjadikan Kak Ani sebagai ikon kraf dan suri teladan kepada generasi baharu. Kemahiran beliau telah dimanfaatkan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Sebagai adiguru anyaman, beliau pernah terlibat mempromosikan kraf ini ke luar negara dengan menyertai beberapa seminar dan pameran antarabangsa.

Adiguru Kraf Anyaman: Kak Ani Tidak Kedekut Ilmu

Tikar kelarai halus motif kelarai cengkih beranak.

Pada tahun 1989, beliau telah mewakili Malaysia dalam Seminar Asia Craft di Bangladesh. Di sana, beliau mendapat banyak ilmu dan berkongsi pengalaman antara peserta dalam dan luar negara. 

Selain itu, beliau juga pernah menjadi tenaga pengajar kraf anyaman di Institut Teknikal, German pada tahun 2014. Pengalaman tersebut amat berharga kerana ternyata orang luar amat menghargai khazanah kraf Malaysia.

Kini walaupun telah bersara, beliau masih bergiat aktif dengan mengadakan kelas-kelas mengajar anyaman pandan dan mengkuang di rumah. Beliau amat komited mengajar seni anyaman kepada golongan belia dan dikenali sebagai orang yang sangat mudah memberikan tunjuk ajar serta tidak kedekut ilmu. Kak Ani juga telah bekerjasama dengan  pelbagai agensi kerajaan dan IPTA di tanah air untuk menurunkan ilmu anyaman beliau.

Beliau menjelaskan bahawa pada suatu ketika dahulu, permintaan produk anyaman ini  amat menggalakkan. Namun kini, permintaan agak berkurang disebabkan oleh kemajuan pembuatan yang menggantikan produk anyaman. 

“Tetapi sebenarnya, pasaran barangan ini masih ada terutamanya dalam kalangan pelancong dan masyarakat luar negara. Ini terbukti ketika lawatan promosi bersama pihak Kraftangan Malaysia semasa menjelajah bandar-bandar besar dalam festival seperti di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan sebagainya. Jualan amat menggalakkan,” ujar Kak Ani.

Hal ini membuktikan bahawa produk anyaman masih ada peminat dan pembelinya. Cuma, usaha dan galakan perlu ditambah untuk mempromosikan produk ini ke luar negara. Beliau telah menjelajah ke seluruh Malaysia, termasuklah ke Singapura untuk mengajar, mempromosikan dan menjual hasil kraf anyaman ini.

Harapan dan Masa Depan Kraf

Biarpun dilanda arus kemodenan dan ledakan teknologi semasa, hasil seni tradisi negara ini masih ada peminatnya yang tersendiri. Kak Ani pernah menerima tempahan anyaman tikar pandan yang bernilai antara RM250 hingga RM1,500. Sebagai adiguru, beliau berharap agar pelbagai usaha dapat dilakukan oleh pihak kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan  Budaya Malaysia (MOTAC) untuk mengekalkan seni anyaman ini.

“Usaha Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu selama ini haruslah dipuji dan diharapkan usaha seumpama ini dapat ditingkatkan lagi. Kursus dan bengkel untuk melatih anak-anak muda perlu dipergiat lagi dan tenaga pengajar perlu diberi elaun secara tetap bagi menggalakkan mereka meneruskan legasi ini,” cadangnya.  

Menurut Puan Noraini pula, pelbagai usaha telah dijalankan untuk mempromosikan kraf ini supaya tidak hilang dan pupus. Tunjuk ajar dan bimbingan daripada adiguru seperti Kak Ani sangat diperlukan untuk generasi muda meneruskan legasi seni anyaman.

Adiguru Kraf Anyaman: Kak Ani Tidak Kedekut Ilmu

Kenangan abadi sebagai adiguru tetap dalam ingatan Kak Ani.

Di samping menganjurkan karnival, program berkala dan ekspo, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu juga giat mengadakan latihan kemahiran kepada pengusaha baharu dan golongan belia yang berminat. Bimbingan dan bantuan dalam pelbagai bidang oleh pihak perbadanan sangat bermanfaat untuk pengusaha seni tempatan. Semoga akan lahir lebih ramai Adiguru Kraf yang mampu meneruskan kelestarian seni kraf tradisional negara.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (13) #karyasastera (14) #komsas (2) #penulis (4) #penulisbaharu (15) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (4) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (14) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) bengkel (2) budaya (2) cerpen (9) dbpcawangansabah (4) dbpcawangansarawak (16) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (23) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) ramadhan (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Tembaring Sungai Paitan
Cerpen

Tembaring Sungai Paitan

  • 20 Ogos 2024
  • 1236
  • 4.7
ڤرمايداني ڤوتيه
Puisi Moden

ڤرمايداني ڤوتيه

  • 5 April 2024
  • 3.3
Kenyalang
Cerpen

Kenyalang

  • 5 Oktober 2024
  • 207
  • 4.4
Menyorot Lagu Tetamu Senja sebagai Puisi
Tokoh

Menyorot Lagu Tetamu Senja sebagai Puisi

  • 20 Februari 2024
  • 627
  • 4.8

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

wadahdbp@gmail.com

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP