Skip to content
Bahasa dan Sastera Pemacu Ketamadunan Negara
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bahasa dan Sastera Pemacu Ketamadunan Negara
Bahasa dan Sastera Pemacu Ketamadunan Negara
Bicara Bahasa dan Sastera

Bahasa dan Sastera Pemacu Ketamadunan Negara

  • LIM SAN SHIEN
  • 5 Mei 2025
  • DBP Wilayah Selatan
  • 10
  • 5

“Kekayaan saudagar pundi-pundi emasnya. Kekayaan pendeta keping-keping kertasnya.” 

Mutiara kata Pendeta Za’ba yang dilontarkan beberapa dekad yang lalu tetapi masih relevan untuk direnung agar dapat memaknakan ayat tersebut yang sarat dengan iktibar dan motivasi kepada generasi hari ini wajar untuk kita renungkan bersama-sama.

Sehubungan dengan itu, nilai ilmu dan pendidikan kian diberikan penekanan yang mustahak dan adalah sama atau lebih maknanya berbanding dengan nilai emas dalam dunia yang serba canggih ini. Sementelahan lagi, bahasa dan sastera dilihat sebagai pelengkap kepada rohani dan jiwa manusia sejagat. Khazanah bahasa dan sastera merupakan bidang yang harus giat dibangunkan selari dengan kerancakan ekonomi dan kemajuan peradaban manusia pada masa kini. Pada hakikatnya kekuatan nilai dan ketinggian akhlak masyarakat dan negara bukan sahaja bersandar pada aspek kemodenan semata-mata, malah turut melibatkan pendidikan rohani melalui pembacaan karya, yang merangkumi aspek bahasa dan ranah kesusasteraan tanah air. Melalui ranah inilah yang dapat menyerlahkan idealisme, kebestarian dan kepintaran rakyat untuk aktif berfikir serta bersifat kritis dalam melontarkan pandangan serta berkarya bagi mengetengahkan aspirasi dan suara hati rakyat.

Seterusnya, sastera sering kali disinonimkan dengan kegiatan penulisan dan penerbitan karya maka hanya bersifat eksklusif untuk orang daripada bidang sastera tetapi realitinya sastera mencakupi cukup banyak dimensi dan spektrum dalam kehidupan sosial, ekonomi hingga politik, malah menggalakkan rakyat lebih cakna dan kreatif dalam mengekspresikan perasaan, meluahkan buah fikiran ataupun pandangan yang kritis, baik tentang kehidupan seharian atau perihal semasa dalam konteks yang lebih besar serta melonjakkan pembangunan sastera, bahasa dan budaya kebangsaan.

Oleh hal yang demikian, penulis memainkan peranan penting sebagai pencetus inspirasi dan jurucakap masyarakat pada zamannya malah penulisan yang dihasilkan akan membantu dalam pembinaan insan yang kamil dan memberikan impak berpanjangan terhadap pembangunan ketamadunan negara. Bidang kesusasteraan dalam konteks yang lebih besar ialah falsafah yang diadun secara teliti bersama-sama susunan kata yang puitis dan pemikiran berwawasan untuk melahirkan karya yang kekal segar dek zaman untuk dihadamkan oleh pembaca. Begitulah keunikan penulis dan karya sastera.

Selain itu, bidang sastera dan bahasa merupakan tonggak asas ketamadunan negara dan cerminan tahap keintelektualan rakyatnya. Semua rakyat khususnya belia dan penulis baharu mesti lebih proaktif dalam usaha mengangkat darjat bahasa dan sastera serta menjulang martabat kedua-dua bidang ini dengan mengamalkan budaya ilmu dan merancakkan aktiviti penulisan untuk pemugaran bidang bahasa dan sastera kebangsaan dalam usaha menonjolkan isu terkini yang berkait rapat dengan rakyat melalui rencana secara makronya atau hanya sekadar wadah mencatatkan perjalanan hidup dalam bentuk puisi dan cerpen pun sudah memadai. Dan karya yang lebih kuat, melalui penulisan novel yang mempunyai nilai falsafah yang tinggi sesuai dengan tuntutan zaman serta relevan sepanjang zaman amatlah diperlukan oleh masyarakat pembaca sebagai panduan dan sandaran dalam kehidupan.

Oleh hal yang demikian, rakyat kini harus mengambil semangat sasterawan negara dan penulis dahulu contohnya Sasterawan Negara A Samad Said yang berjaya menyelitkan makna kepentingan membaca dalam puisi “Merindui Buku”, signifikan perpaduan melalui puisi “Hidup Bersama”, kesyukuran terhadap kemerdekaan dan demokrasi negara dalam puisi “Senyum Demokrasi”. Penulis sekarang sewajarnya mempunyai fokus dan hala tuju yang jelas dalam menghasilkan penulisan dengan memberikan jiwa kepada aspirasi mereka dalam bentuk yang kreatif dan membangkitkan kesedaran rakyat tentang isu semasa. Penulis kerjanya bukan berkhayal, atau kerap dianggap mengembara jauh dari bumi nyata, tetapi mempunyai gagasan idea dan kepercayaan diri yang utuh melalui persembahan karya yang menjadi panduan dan pedoman kepada pembaca.

Sementelah itu, sematkanlah dalam sanubari masing-masing bahawa keutamaan yang kita ingin ketengahkan dan naikkan dalam dunia sastera adalah kedudukan bahasa dan sastera itu sendiri. Oleh hal yang demikian, penulis kini perlu lebih bersedia untuk menghasilkan karya yang mengandungi citra kenegaraan dan menjadi lidah rasmi rakyat jelata untuk menjadikan sesuatu karya yang ada impak berpanjangan lalu mungkin dijulang sebagai adikarya dalam tamadun manusia yang serba moden ini.

Selain memberi makna kepada karya, belia dan generasi kini yang akan memastikan kesinambungan bidang bahasa dan sastera harus menerokai banyak platform yang disediakan untuk berkarya dan menajamkan kemahiran penulisan. Tamsilnya, belia boleh sahaja menyertai aktiviti yang sesuai dan kena dengan jiwa dan karakter diri. Belia boleh menulis di majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai permulaan antaranya termasuklah Dewan Siswa dan Tunas Cipta serta berkarya dengan akhbar tempatan seperti Mingguan Malaysia dan Berita Minggu pada setiap Ahad, mendaftarkan diri untuk menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR), menyertai Sayembara Penulisan Kreatif dan Deskriptif, dan Ekspresi Muzik Jalanan: Bahasa Jiwa Bangsa, aktiviti Majalah Dalam Kelas (MDK) dan Eksplorasi Bahasa.

Walau bagaimanapun, usaha untuk memartabatkan bahasa dan sastera tidak semestinya bersifat formal seperti pemikiran orang ramai dan sebenarnya ada sahaja aktiviti yang lebih santai dan dekat dengan pembawaan dan personaliti belia. Antaranya, Jelajah Apresiasi Lirik, Ekspresi Muzik dan Malam Puisi Riong yang bersifat merakyat dan lebih dekat dengan khalayak. Yang paling utama, penganjuran program seumpama itu mempunyai nawaitu yang murni untuk meningkatkan penghayatan dan kecintaan terhadap bahasa dan sastera kebangsaan.

Seperti yang masyarakat umum sedia maklum, semua rakyat Malaysia sewajarnya mengenal potensi dan kepakaran yang dimiliki masing-masing dan mula menulis dalam pelbagai bidang serta memulakan perjalanan kepengarangan mereka dalam pelbagai arena. Hal ini dikatakan demikian kerana semua rakyat berpotensi untuk berkarya secara formal atau santai melalui platform media sosial kerana semua mempunyai tanggungjawab yang sama dalam usaha memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan. Sesiapa jua boleh menulis atau berkarya tidak kira bangsa, agama dan keturunan. Menulis dalam bahasa kebangsaan adalah tanggungjawab bersama-sama kerana melalui penulisan bahasa dan sastera kebangsaan dapat diangkat dan dimartabatkan setaraf dengan bahasa Inggeris dan Mandarin yang kini menjadi bahasa utama dunia. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus memupuk sikap dan menganjak paradigma bahawa “semua orang adalah penulis” dan penulisan ini adalah berkongsi kisah kehidupan dan menyumbang buah fikiran untuk masyarakat pembaca. Di samping itu, minat kita terhadap bahasa dan sastera menuntut kekerapan dan juga penulis mestilah konsisten dan bersemangat dalam memperjuangkan topik yang diminati dan juga menulis agar dapat menyebarluaskan ilmu dan pengetahuan.

Memetik kata yang pernah dilafazkan oleh Usman Awang dan A Samad Said berbunyi “Kesusasteraan bukanlah taman bunga tempat orang sesekali datang berehat-rehat menghirup udara segar dalam masa lapangnya. Kesusasteraan ialah rumah dan kehidupan manusia yang berombak dan bergelombang, dengan denyut nafas dan degup jantungnya.” Ungkapan ini menunjukkan bahawa penulis kini perlu mendakap erat kecintaan dan minat yang mendalam terhadap bidang bahasa dan sastera lalu bergiat aktif untuk berkarya dan menghasilkan karya-karya yang boleh meningkatkan literasi rakyat, menggalakkan budaya ilmu, membentuk masyarakat kita yang holistik dan juga membina negara yang lebih progresif.

Bagi penulis yang baru memulakan aktiviti berkarya, negara kita sebenarnya sudah menyediakan banyak hadiah dan anugerah yang boleh dijadikan pengiktirafan untuk mereka yang konsisten dalam usaha menulis. Antaranya, Hadiah Tunas Cipta, Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Karya Ilmiah, Anugerah S.E.A. Write dan yang tertinggi ialah Anugerah Sasterawan Negara yang mempunyai prestij tersendiri. Hal yang menjadi keutamaan, kita harus ingat bahawa tujuan menulis untuk menyampaikan maklumat serta meningkatkan kecerdasan intelektual dan hadiah serta ganjaran yang lumayan bukanlah motif utama yang dikejar.

Seperkara lagi, rakyat mestilah menggarap karya mereka dalam pelbagai genre penulisan dan  bukan terhad kepada penulisan dan penghasilan karya kreatif sahaja, sebaliknya penulis wajib mengembangkan dan meluaskan horizon dan dunia dengan berkongsi ilmu, kemahiran, pengalaman berkarya, perkongsian tentang karya dan juga mengupas isu-isu semasa, kandungan buku dalam wadah seperti forum, wacana ilmu, ceramah, dan sesi bedah buku. Sasterawan Negara yang ke-15, Dato’ Rahman Shaari pernah mengatakan bahawa, penulis harus menjaga tiga perkara penting iaitu seni, pemikiran dan identiti dalam penulisan. Maka, identiti yang perlu ditonjolkan oleh penulis kini harus bersifat lebih anjal iaitu bukan sahaja berkarya secara penulisan tetapi boleh juga melakukan perkongsian ilmu dengan memanfaatkan program ilmiah dan kecanggihan teknologi.

Sementara itu, perkembangan teknologi terkini dan peredaran masa yang menuntut cara pemartabatan bahasa dan sastera dalam platform media sosial seperti bentuk video kreatif, montaj pendek, gubahan lagu dan siaran langsung dalam paparan media sosial. DBP juga bertindak dengan bijak dalam melantik Ikon Bahasa antaranya Ahmad Fedtri Yahya, Roslan Madun, Haziq Rosebi, Boss James dan Dr. Malar atas kesedaran bahawa pempengaruh turut memainkan fungsi mustahak untuk mendidik masyarakat tentang ilmu bahasa dan sastera melalui media sosial.

Hakikatnya, perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah. Rakyat Malaysia mestilah mencuba menulis walau sekadar berkongsi coretan hidup. Selain menjadikanlah Sasterawan Negara seperti Usman Awang, A Samad Said, Anwar Ridhwan, Rahman Shaari, Zurinah Hassan, Siti Zainon Ismail sebagai contoh yang giat menulis tentang nilai kemanusiaan dan isu kemiskinan, penulis seharusnya mempunyai fokus dan hala tuju dan meneruskan penulisan untuk memberikan inspirasi dan merangsang minda masyarakat yang bertamadun dan mempunyai pemikiran yang maju ke hadapan lagi progresif.

Melalui puisi Usman Awang “Selembar Kamus Kemiskinan” memberikan takrifan manusia yang miskin, iaitu terpaksa menanggung kelaparan dan keciciran dalam mendapatkan pendidikan formal. Namun demikian, melihat pada konteks dunia moden pada masa kini, puisi Usman Awang dapat ditakrifkan sebagai kemiskinan manusia hari ini apabila mereka sibuk mengejar duniawi dan jiwa serta jati diri mereka hilang kerana ketamakan dunia walaupun hakikatnya mereka orang yang berilmu dan bijak pandai. Sastera itu berkembang seiring perkembangan dunia dan tamadun. Karya sastera tetap relevan seiring perkembangan dunia.

Akhir kalam, Profesor Diraja Syed Naquib Syed al-Attas pernah berpesan bahawa ilmu ialah ketibaan makna daripada maklumat yang benar dan manusia harus terus membuat kebaikan amal jariah dengan berkarya dan mendapat pahala yang melimpah dengan mencari makna hidup melalui pengkaryaan yang memberikan manfaat dan inspirasi kepada sejagat manusia di dunia. Perkembangan ekonomi seharusnya seiring dengan pembangunan bahasa dan sastera. Marilah kita membina karya di samping menguatkan keazaman untuk mengagungkan bahasa dan sastera kebangsaan serta bersama-sama merencana masa depan negara ke arah yang lebih makmur dan mampan.

 

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (12) #karyasastera (13) #penulis (4) #penulisbaharu (12) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (4) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (13) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) budaya (2) cerpen (8) dbpcawangansabah (4) dbpcawangansarawak (16) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (4) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (22) Puisi Islam (6) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) Rasulullah (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Munajat Seorang Jururawat  (Bawah Runtuhan Hospital di Tebing Barat)
Puisi

Munajat Seorang Jururawat (Bawah Runtuhan Hospital di Tebing Barat)

  • 6 November 2023
  • 567
  • 4.8
Simbolik Senario Kemajuan Pembangunan Johor dalam “Sirat Figura”
Bicara Sastera

Simbolik Senario Kemajuan Pembangunan Johor dalam “Sirat Figura”

  • 4 Januari 2024
  • 164
  • 5
Banjir di Mata, Basah di Hati
Cerpen

Banjir di Mata, Basah di Hati

  • 5 Mac 2025
  • 206
  • 4.8
Seorang Wanita di Tepi Beranda
Puisi

Seorang Wanita di Tepi Beranda

  • 14 Jun 2023
  • 217
  • 4

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP