Bahasa merupakan elemen utama dalam komunikasi yang membentuk interaksi sosial dalam masyarakat. Seiring dengan perkembangan zaman, bahasa mengalami pelbagai perubahan dan adaptasi.
Dalam kalangan generasi muda, terutamanya di media sosial, bahasa slanga telah menjadi bahasa komunikasi utama. Tidak kira dalam perbualan seharian atau di media sosial, bahasa slanga digunakan secara meluas.
Walaupun ada yang mengaitkan bahasa slanga ini dengan kebebasan ekspresi, namun secara sedar atau tidak, ia menimbulkan kebimbangan tentang kesannya terhadap bahasa Melayu itu sendiri. Jika dibiarkan, adakah bahasa slanga boleh menjadi ancaman kepada bahasa Melayu pada masa akan datang ?
Apa Itu Bahasa Slanga?
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, slanga didefinisikan sebagai kata-kata atau ungkapan yang tidak tergolong dalam bahasa baku dan biasa digunakan dalam percakapan tidak rasmi.
Contoh beberapa perkataan slanga yang popular dalam kalangan remaja Malaysia ialah “membawang”, yang bermaksud mengumpat, “pishang“, yang bermaksud bosan dan “bersemut”, yang bermaksud situasi yang romantik
Selain itu, ada juga perkataan slanga digunakan oleh generasi kini untuk membezakan diri mereka dengan generasi terdahulu dan sering dianggap lebih formal atau konservatif dalam berbahasa. Generasi muda mungkin menggunakan bahasa slanga untuk mencipta bahasa khas yang hanya difahami oleh mereka, menjadikannya eksklusif dalam kelompok tertentu.
Faktor yang Mendorong Penggunaan Bahasa Slanga
Terdapat beberapa faktor yang mendorong penggunaan bahasa slanga. Antaranya ialah:
i. Pengaruh Media Sosial
Penggunaan media sosial dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam kalangan generasi muda memainkan peranan besar dalam menyebarkan pengaruh bahasa slanga ini dengan cepat.
Apabila bahasa slanga ini mula digunakan dan menjadi ikutan di media sosial, ia biasanya akan digunakan dalam kehidupan seharian, terutamanya menerusi aplikasi mesej.
Menurut kajian oleh Fazal Mohamed Mohamed Sultan dan Muhammad Syafreza Azwan Pisol (2022) mendapati bahawa penggunaan slanga dalam platform seperti WhatsApp dan Instagram berkait rapat dengan kata ganti nama diri, kata kerja dan pengaruh bahasa asing. Malah kajian ini juga menyatakan bahawa penggunaan slanga ini jika tidak dikawal, boleh memberikan impak negatif terhadap bahasa Melayu sekiranya tidak dibendung dengan sempurna.
ii. Budaya Pop dan Hiburan
Seiring dengan perkembangan zaman, gaya hidup generasi muda berubah mengikut budaya pop dan kandungan hiburan yang ditonton oleh mereka. Sebagai contoh, dialog ikonik “why so serious” daripada watak Joker dalam filem The Dark Knight pada tahun 2008 ini telah menjadi slanga yang sering digunakan untuk menyindir seseorang yang terlalu serius dalam sesuatu perkara.
Ia biasanya akan dikongsikan dalam hantaran di media sosial untuk menggambarkan kehidupan seharian mereka. Penggunaan slanga daripada filem dan budaya pop di media sosial menjadikan komunikasi lebih santai dan ekspresif, dan dalam masa yang sama mencerminkan identiti budaya generasi muda yang suka berinteraksi dengan cara kreatif dan berjenaka.
iii. Kemajuan Teknologi dan Perubahan Platform Komunikasi kepada Media Sosial
Melalui perkembangan teknologi yang mengubah cara komunikasi seharian kepada media sosial, ia secara tidak langsung memainkan peranan terhadap perubahan bahasa. Generasi muda lebih cenderung untuk menggunakan perkataan yang lebih pendek dan ringkas untuk berkomunikasi dengan lebih cepat.
Perubahan cara berkomunikasi ini telah mewujudkan istilah baharu atau bahasa slanga yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada kosa kata dalam kalangan generasi muda.
Ancaman terhadap Bahasa Melayu
Melemahkan Penguasaan Bahasa Melayu Standard
Generasi muda cenderung meniru penggunaan bahasa slanga yang popular di media sosial. Menurut kajian oleh Nurul Faizza Narawi dan Anida Sarudin (2024) menggunakan Teori Sosiokognitif Bandura, mereka mendapati bahawa murid-murid meniru bahasa slanga yang mereka temui di platform media sosial, yang kemudiannya mempengaruhi komunikasi harian mereka.
Hal ini secara tidak langsung melemahkan penguasaan bahasa Melayu standard sejak dari bangku sekolah. Apa yang membimbangkan ialah apabila generasi muda ini membesar, ia akan memberi impak yang besar dalam komunikasi harian dan penerapan nilai bahasa Melayu kepada pewaris mereka kelak.
Bahasa slanga yang biasa digunakan sering bercampur dengan bahasa Inggeris dan menggalakkan penggunaan bahasa rojak. Lama-kelamaan, golongan muda akan kurang menggunakan bahasa Melayu dengan betul.
Saban hari, di media sosial, pasti ada kisah tular tentang golongan muda yang tidak mempunyai etika dan menggunakan bahasa pasar atau slanga untuk urusan rasmi seperti menghantar surat permohonan kerja. Hal ini amat membimbangkan dan secara tidak langsung mencerminkan nilai bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda sekarang.
Jika dahulu permohonan kerja dikarang dengan teliti dan menggunakan format yang lengkap, sebaliknya pada masa kini, hanya e-mel ringkas tanpa pengenalan atau sekadar perbualan Whatsapp sahaja digunakan.
Evolusi Slanga dalam Bahasa Melayu
Secara tidak sedar, bahasa slanga juga sebenarnya mampu memberikan kesan positif terhadap masyarakat. Antaranya ialah:
i. Bahasa Melayu Kekal Dinamik dan Relevan Sepanjang Zaman
Sebenarnya, perubahan bahasa Melayu bukan sahaja pada era digital, tetapi boleh diimbas kembali sejak Zaman Melayu Kuno. Pada waktu itu, bahasa Melayu banyak dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit disebabkan oleh hubungan perdagangan dengan pedagang India dan pada waktu itu juga berlakunya penyebaran agama Hindu-Buddha.
Kemudian, pada abad ke 14 hingga 19, bahasa Melayu dipengaruhi oleh bahasa Arab dan Parsi melalui penyebaran agama Islam di Nusantara. Contohnya, perkataan adab, fikir, ilmu, hikmah dan taufik mula diperkenalkan dan penggunaan tulisan Jawi pun bermula.
Apabila berlakunya penjajahan dari pihak Belanda, British dan Portugis, ia juga membawa perubahan kepada bahasa Melayu dan bahasa Melayu ditulis menggunakan tulisan Rumi. Akhir sekali, bahasa Melayu berevolusi pada zaman moden sehinggalah bahasa slanga ini mula wujud.
Walaupun merentas zaman, bahasa Melayu tetap bertahan teguh dan terus berevolusi.
ii. Pengenalan Kosa Kata Baharu
Bagi memastikan bahasa Melayu kekal relevan sepanjang zaman, Dewan Bahasa dan Pustaka telah memperkenalkan beberapa istilah baharu dalam bahasa Melayu yang berkaitan dengan media sosial dan teknologi digital, iaitu pempengaruh digital (digital influencer), sohor Instagram/pesohor Instagram (instafamous) dan pencipta kandungan (content creator).
Bahasa Slanga: Ancaman atau Evolusi?
Api semasa kecil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan. Begitulah kata pepatah yang boleh menggambarkan situasi penggunaan bahasa slanga ini. Sebenarnya, keseimbangan yang betul perlu dicapai, antara penggunaan bahasa slanga dan pemeliharaan bahasa Melayu standard.
Melalui pemahaman dan penggunaan yang betul, bahasa slanga boleh menjadikan bahasa Melayu kekal dinamik dan tetap relevan. Generasi muda harus diberi pendedahan tentang kepentingan menggunakan bahasa mengikut konteks yang sesuai agar mereka dapat menguasai kedua-duanya dengan baik.
Tetapi, jika penggunaan bahasa slanga digunakan secara berlebihan dan tidak terkawal, maka seperti api, ia boleh menjadi lawan. Bahasa Melayu akan mula hilang nilainya dalam kehidupan seharian dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan boleh terhakis.
Lebih menakutkan, kepupusan bahasa bukan sesuatu yang mustahil. Contohnya, kepupusan bahasa Sumeria adalah kerana tiada penutur asli atau generasi muda yang mewarisinya.
Kesimpulan
Oleh itu, bagi memastikan bahasa Melayu tetap terpelihara, keseimbangan antara penggunaan bahasa slanga dan bahasa Melayu Standard perlu dicapai supaya bahasa ini kekal relevan.
Sayang seribu kali sayang, sekiranya bahasa Melayu yang pernah menjadi lingua franca di Asia Tenggara tidak dipelihara dengan sebaiknya dan hilang ditelan zaman.
Melalui pemantauan dan usaha yang berterusan dari pihak Dewan Bahasa dan Pustaka, telah banyak pembetulan dan pedoman diberikan kepada masyarakat, terutamanya dari aspek ejaan, tatabahasa dan sebagainya.
Walaupun bahasa Melayu mengalami perubahan, ia akan kekal sebagai bahasa utama yang mencerminkan identiti dan budaya bangsa, sejajar dengan slogan “Bahasa Jiwa Bangsa.”
