Skip to content
Ketika Bahasa Menjadi Racun Emosi
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Bahasa > Ketika Bahasa Menjadi Racun Emosi
Ketika Bahasa Menjadi Racun Emosi
Bicara Bahasa

Ketika Bahasa Menjadi Racun Emosi

  • AZEAN IDRUWANI BINTI IDRUS
  • 5 Julai 2026
  • DBP Wilayah Selatan
  • 16

Perkembangan teknologi komunikasi pada hari ini telah mengubah cara manusia berinteraksi dalam kehidupan seharian. Jika dahulu masyarakat lebih banyak berkomunikasi secara bersemuka, kini pelbagai platform media sosial seperti Facebook, TikTok, Instagram, Threads dan X menjadi medium utama untuk meluahkan pendapat, berkongsi maklumat dan berinteraksi dengan orang lain. Walaupun media sosial memberikan banyak manfaat kepada masyarakat, kewujudannya turut membawa cabaran besar terhadap budaya komunikasi manusia.

Satu daripada isu yang semakin membimbangkan pada ketika ini ialah ketidaksantunan berbahasa yang semakin berleluasa dalam ruang digital. Hari ini, penggunaan bahasa kasar, penghinaan, sindiran dan kecaman dalam media sosial bukan lagi sesuatu yang asing. Ramai pengguna media sosial seolah-olah bebas berkata apa-apa sahaja tanpa memikirkan kesan terhadap orang lain. Dalam sesetengah keadaan, bahasa kasar dijadikan bahan hiburan dan dianggap normal dalam komunikasi harian. Fenomena ini sebenarnya sangat berbahaya kerana bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi turut mempengaruhi emosi, hubungan sosial dan kesejahteraan mental masyarakat.

Menurut Jonathan Culpeper dan Vittorio Tantucci (2022) dalam makalah yang bertajuk “Reciprocity and Epistemicity: On The (Proto) Social and Cross-cultural ‘Value’ of Information Transmission” yang diterbitkan dalam Journal of Pragmatics menjelaskan bahawa ketidaksantunan berbahasa berlaku apabila seseorang menggunakan bahasa yang melanggar norma sosial sehingga menyebabkan individu lain berasa tersinggung atau terancam secara emosi. Sementara itu, Sara Beden dan Nurul Jamilah Rosly (2022) dalam makalah bertajuk “Strategi Ketidaksantunan Culpeper (1996) Sebagai Tanda Keprihatinan Netizen Semasa Penularan Wabak Covid-19″ pula menjelaskan bahawa ketidaksantunan boleh berlaku secara langsung melalui makian dan kata-kata kasar atau secara tidak langsung melalui sindiran dan ejekan.

Hakikatnya, dalam dunia media sosial, bentuk komunikasi seperti ini semakin menjadi kebiasaan kerana pengguna merasakan mereka mempunyai kebebasan mutlak untuk meluahkan emosi dan pandangan tanpa batasan. Realitinya, media sosial telah mewujudkan budaya komunikasi yang terlalu bebas sehingga ramai pengguna gagal mengawal emosi ketika berinteraksi.

Faktor anonimiti dan jarak sosial menjadikan seseorang lebih berani menggunakan bahasa kasar kerana mereka tidak berhadapan secara langsung dengan individu yang diserang. Akibatnya, ruang digital menjadi tempat yang dipenuhi dengan kecaman, penghinaan dan kebencian. Situasi ini akhirnya melahirkan budaya komunikasi toksik yang semakin membimbangkan dalam masyarakat.

Kajian sarjana oleh M. Xavier Thayalan (UM, 2017) bertajuk “Impoliteness Strategies in The Social Media Comments on The Low Yat Plaza Incident” membuktikan bahawa rakyat Malaysia cenderung menggunakan strategi ketidaksopanan dalam komen media sosial, terutama dalam isu yang melibatkan sensitiviti kaum dan emosi masyarakat. Kajian tersebut mendapati bahawa penggunaan perkataan kesat dan penghinaan sering digunakan untuk menyerang pihak lain sehingga mencetuskan ketegangan sosial. Selain itu, unsur sarkasme, tuduhan tanpa asas dan ejekan juga semakin banyak digunakan dalam komunikasi digital masyarakat hari ini.

Hal yang lebih membimbangkan, ketidaksantunan berbahasa kini bukan lagi sekadar isu adab komunikasi, tetapi telah menjadi ancaman serius terhadap kesihatan mental masyarakat. Ramai tidak menyedari bahawa kata-kata yang ditulis di media sosial boleh meninggalkan luka emosi yang sangat mendalam kepada mangsa. Individu yang menerima penghinaan dan kecaman secara berterusan berisiko mengalami tekanan emosi, keresahan, kemurungan dan hilang keyakinan diri. Dalam keadaan tertentu, mangsa juga boleh mengalami trauma psikologi yang berpanjangan.

Sementara itu, golongan remaja merupakan antara kelompok yang paling mudah terkesan dengan budaya komunikasi toksik ini. Pada usia remaja, emosi dan identiti diri masih berada dalam proses perkembangan. Oleh hal yang demikian, kata-kata penghinaan dan kecaman dalam media sosial boleh memberi kesan besar terhadap pembentukan emosi mereka.

Pernyataan ini disokong oleh kajian Azianura Hani Shaari dan Mohammad Rahim Kamaluddin (2022)  yang diterbitkan dalam International Journal Of Environmental Research and Public Health bertajuk “The Role of Family Life and The Influence of Peer Pressure on Delinquency: Qualitative Evidence From Malaysia” menjelaskan bahawa unsur ketidaksantunan dalam media sosial telah menyumbang kepada peningkatan kes buli siber dalam kalangan remaja di Malaysia. Penggunaan bahasa kasar dan penghinaan secara terbuka menyebabkan ramai remaja hidup dalam tekanan dan ketakutan ketika menggunakan media sosial.

Kesan buli siber dan komunikasi toksik terhadap kesihatan mental bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan. Menurut Sameer Hinduja dan Justin W. Patchin (2010) dalam makalahnya bertajuk “Cyberbullying and Self-esteem” mendapati mangsa buli siber mempunyai kecenderungan lebih tinggi untuk mengalami pemikiran membunuh diri dan mencederakan diri sendiri. Pengalaman menerima penghinaan dan serangan verbal secara berterusan menyebabkan mangsa berasa malu, terasing dan tidak dihargai. Penemuan ini membuktikan bahawa komunikasi toksik dalam media sosial mampu memberi kesan serius terhadap kesejahteraan psikologi individu.

 Selain memberi kesan kepada individu, budaya komunikasi toksik turut mempengaruhi kesejahteraan sosial masyarakat secara keseluruhannya. Persekitaran yang dipenuhi bahasa kasar dan kebencian menjadikan masyarakat lebih mudah marah, agresif dan sensitif ketika berinteraksi. Hubungan interpersonal menjadi semakin renggang kerana komunikasi yang tidak beretika sering mencetuskan konflik dan salah faham. Dalam jangka panjang, masyarakat akan kehilangan nilai-nilai empati, hormat-menghormati dan toleransi yang menjadi asas kepada keharmonian sosial.

Sehubungan dengan itu, fenomena ini juga menunjukkan bahawa masyarakat moden sedang berhadapan dengan kemerosotan nilai kesantunan dalam komunikasi. Dalam dunia digital yang bergerak pantas, ramai pengguna lebih mengutamakan emosi dan populariti berbanding dengan adab dan tanggungjawab sosial. Tidak hairanlah apabila media sosial kini dipenuhi budaya “menghukum”, memalukan dan menyerang individu lain secara terbuka tanpa rasa bersalah.

Oleh hal yang demikian, pendidikan kesantunan berbahasa perlu diperkasakan dalam masyarakat. Kesantunan berbahasa bukan sekadar berkaitan adab percakapan, tetapi mencerminkan tahap ketamadunan dan keperibadian seseorang. Penggunaan bahasa yang baik boleh mewujudkan hubungan sosial yang lebih harmoni serta membantu mengurangkan konflik dalam masyarakat. Nilai kesantunan perlu diterapkan sejak kecil melalui institusi keluarga dan pendidikan agar generasi muda memahami pentingnya menjaga bahasa ketika berkomunikasi.

Walau bagaimanapun, ibu bapalah yang sebenarnya memainkan peranan penting dalam membentuk budaya komunikasi yang sihat dalam kalangan anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana kanak-kanak yang dibesarkan dalam suasana komunikasi yang sopan dan penuh hormat, cenderung mempunyai kawalan emosi yang lebih baik ketika berinteraksi. Selain itu, pihak sekolah juga perlu memberi penekanan terhadap etika komunikasi digital supaya pelajar memahami tanggungjawab mereka ketika menggunakan media sosial. Masyarakat juga perlu lebih bijak mengawal emosi ketika berkomunikasi dalam talian. Sebelum menulis sesuatu komen atau berkongsi pandangan, pengguna media sosial perlu memikirkan kesan kata-kata tersebut terhadap orang lain. Sikap berhati-hati dalam komunikasi berupaya membantu mengurangkan konflik dan mengelakkan penyebaran kebencian dalam masyarakat.

Kesimpulannya, ketidaksantunan berbahasa bukan lagi sekadar isu komunikasi biasa, tetapi telah menjadi ancaman besar terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan sosial masyarakat. Penggunaan bahasa kasar, penghinaan dan serangan verbal dalam media sosial boleh meninggalkan kesan mendalam terhadap emosi individu serta mewujudkan budaya komunikasi yang toksik. Jika fenomena ini terus dibiarkan, masyarakat akan semakin kehilangan nilai empati, hormat-menghormati dan toleransi dalam kehidupan seharian. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan dalam membudayakan komunikasi yang lebih santun, beretika dan bertanggungjawab demi melestarikan kesejahteraan hidup masyarakat.

*Penulis merupakan pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kampus Pagoh, Johor.

 

# #EMOSI# #KETIDAKSANTUNAN# #RACUN# bahasa
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris
Bicara Bahasa

Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris

  • 4 Mac 2024
  • 8029
  • 4.3

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP