Pengenalan
Etnik Rungus mempunyai warisan tenunan, sama ada untuk pakaian lelaki atau perempuan, majoritinya duduk di kawasan utara pulau besar Borneo, melibatkan daerah Kudat, Kota Marudu dan Pitas, Sabah. Etnik ini mempunyai banyak persamaan dengan etnik Kadazandusun dalam amalan budaya, bahasa dan kepercayaan (Topin 1996, 3; Reid 1997, 135). Bezanya, etnik ini menganggap komuniti mereka sebagai Momogun. Selain etnik Rungus, etnik seperti Sinandapak, Garo, Tobiung dan Kimaragang di utara negeri Sabah juga menganggap komuniti mereka sebagai Momogun. Pada masa yang sama, terdapat juga subetnik dalam kalangan Rungus, iaitu Pilhapazan, Nulhuw dan Gonsomon. Hal ini disebutkan oleh George N. Appell (Appell 1963: 9-10). Rungus ialah kumpulan etnik yang terbesar dalam rumpun Momogun di utara Sabah. Rungus telah diiktiraf oleh Kerajaan Negeri Sabah sebagai satu etnik pada tahun 2015.
Momogun
Appell (King, 1978:145) menghubungkan istilah Momogun yang dirujuk sebagai nama bangsa dalam etnik Rungus dengan etnik Dusun mengatakan;
“The Dusunic speaker in the Kudat District, and perhaps elsewhere as well, refer to themselves collectively in contrast to the costal Muslim as Momogun. More precisely, therefore, the Rungus should be called the Rungus Momogun.”
Peta Sabah 1: Daerah Kudat, Pitas dan Kota Marudu. (Sumber: Ihsan daripada Dwi Kristiyanto).
Penulis sendiri memberikan tafsiran Momogun sebagai ‘bangsa yang mempunyai cara hidup bertani, berpindah-randah, memburu binatang dan hidup berorientasikan hutan’ – berdasarkan cara hidup sebenar mereka yang asli, malah purba pada masa dahulu (kodhori) atau selewat-lewatnya pada awal abad ke-20. Momogun merupakan nama satu rumpun bangsa yang tinggal di utara Borneo, atau negeri Sabah. Dari segi bahasa, istilah momogun berasal daripada kata dasar pogun yang bermaksud ‘rumah yang sudah ditinggalkan’ dalam bahasa etnik Rungus. Apabila ditambah imbuhan mi dan m diganti dengan n menjadi minomogun, bererti ‘orang atau kumpulan orang (masyarakat manusia) yang telah meninggalkan jejak kediaman atau bekas menghuni sesuatu tempat, sama ada bekas rumah (pogun) atau bekas ladang padi huma (umo)’. Istilah momogun adalah satu nama bangsa atau rumpun bangsa. Dalam bahasa etnik Rungus, istilah momogun tidak dapat diberikan makna selain sebagai satu nama bangsa.
Etnik Rungus mempunyai mitos asal usul yang sama dengan etnik Kadazan Dusun lain. Rata-rata informan dalam kajian ini memberitahu bahawa nenek moyang mereka berasal daripada sebuah tempat yang dikenali sebagai Nunuk Ragang. Semua etnik Kadazandusun lain turut percaya dengan cerita ini. Dari Nunuk Ragang, rumpun Kadazandusun berpecah dan membentuk pelbagai etnik yang ada pada masa ini (Luping 1985, 6; Arena Wati 1978, 9; Hamiddun Udin 1992, 50; Low Kok On 2006, 44).
Tidak ada catatan sejarah dapat menjelaskan dari mana asal etnik ini. Menurut Inggul Pulok (1991), memang tidak diketahui dari mana asalnya etnik Rungus. Walau bagaimanapun, ada kemungkinan bahawa etnik Rungus berasal dari Tanah Besar Asia dan berhijrah ke Asia Tenggara pada zaman lampau, kerana orang-orang Rungus mempunyai banyak persamaan dengan orang-orang Shan dan Khacin di bahagian utara negara Burma (Jailis Masarip, 1990:14, Jeubirin Bin Sopital, 2000:47).
PAKAIAN ETNIK RUNGUS
Pakaian etnik Rungus sinonim dengan tenunan. Hal ini terjadi kerana etnik Rungus mempunyai warisan kearifan dalam bidang tenunan, serentak dengan pewarisan ilmu lafaz ritual (rinait) oleh para pakar ritual (bhobholhizan), daripada alam ghaib pada zaman dahulu. Warisan tenunan dalam pelbagai jenis kain yang ditenun untuk kegunaan sendiri, dalam pelbagai keadaan, masa atau suasana pemakaian, terus diwarisi sehingga pada masa kini.
Walaupun ada kinsiyam, iaitu kain biasa yang muncul kemudian, yang dipanggil masap apabila dijadikan seluar yang digunakan oleh orang lelaki sebagai seluar harian dan seluar kerja, seluar marabulu, iaitu seluar untuk majlis perkahwinan, serta baju sinudaan, kain tenunan masih merupakan pakaian utama yang dipakai ketika upacara ritual, majlis perkahwinan dan perbicaraan adat. Malah kain tenunan ini juga dipakai ketika masa peperangan pada zaman silam.
Gambar 1: Seluar masap daripada kinsiyam. (Sumber: Koleksi penulis).
Gambar 2: Seluar marabulu. (Sumber: Koleksi penulis).
Gambar 3: Baju Sinudaan. (Sumber: Koleksi penulis).
Tenunan Etnik Rungus dan Asal Usul
Aktiviti menenun merupakan budaya masyarakat Malaysia, termasuk etnik-etnik tertentu di Sabah. Menurut Puteri Roslina Abdul Wahid dan Mohaini Mohd. Saffar dalam pengenalan mereka terhadap Glosari Budaya Malaysia: Seni Tenun (1993: vii), bidang budaya Malaysia merujuk kepada segala kegiatan budaya kebendaan dan bukan budaya kebendaan yang diamalkan oleh masyarakat bumiputera di Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Kegiatan tenunan etnik Rungus berkaitan langsung dengan lafaz ritual (rinait), yang menjadi amalan kalangan pakar upacara (bhobholhizan), dalam bentuk hafalan minda pakar-pakarnya.
Menurut Kinindangan Masani dan Sinogipun Montuduk (menceritakannya kepada penulis pada tahun 2000), rinait yang terdapat di Matunggong, khususnya di Guomon (Matunggong-Guomon), berasal daripada ikan. Puan Kinindangan Masani ialah seorang penenun yang juga menguasai sebahagian rinait. Menurut Kinindangan Masani dan Sinogipun Montuduk, terdapat seorang gadis miskin telah bermimpi diarahkan oleh seseorang untuk mempelajari rinait di sungai tempatnya selalu mandi, kononnya boleh menyembuhkan ibunya yang sedang terlantar sakit.
Di sungai berkenaan, gadis itu terdengar seekor ikan sedang mengajarkan lafaz ritual (monusui rinait) kepada anaknya. Ibu ikan itu mengatakan bahawa rinait tersebut boleh menyembuhkan penyakit yang mempunyai ciri-ciri khusus. Ciri-ciri penyakit yang disebutkan oleh ibu ikan itu sama dengan ciri-ciri penyakit yang sedang dihidap oleh ibunya. Justeru, gadis tersebut dapat menguasai rinait yang telah didengarinya. Pada masa yang sama, ilmu motif dalam tenunan (surip) telah diajarkan di sungai itu oleh ikan tersebut. Sekembalinya dari sungai, anak gadis itu telah melakukan ritual sendiri dan berjaya menyembuhkan ibunya.
Penulis turut mendengar cerita yang sama daripada Rundabang Linsapu. Rundabang Linsapu ialah pakar penenun generasi tua di Matunggong-Guomon yang kini berada di Matunggong-Pakuh, yang telah mencapai taraf rampahan-bhodhuvan, iaitu taraf tertinggi dalam penguasaan kemahiran bidang tenunan dan rinait. Menurut Rundabang Linsapu, dia telah mewarisi kemahiran menenun ini daripada leluhur, iaitu nenek moyangnya sendiri yang bernama Odhu Rongkigo. Warisan dan cerita asal usul tenunan di Matunggong yang dipelopori oleh leluhur ini sudah menjadi legenda kerana zaman hayat Odhu Rongkigo sudah terlalu lama berlalu.
Cerita berkenaan Odhu Rongkigo yang disebut oleh Rundabang ini, disebutkan juga oleh Puan Noriban Mogiom, penenun masa kini yang juga berasal dari jalur keturunan Rundabang Linsapu, yang berasal usul dari leluhur Odhu Rongkigo. Cerita legenda Odhu Rongkigo ini turut dipetik oleh Enohetty Majial dan Ester Nora Majial, dalam buku kajian mereka bertajuk Inavol: Tenunan Etnik Rungus yang telah diterbitkan pada tahun 2021.
Kemahiran menenun ada dalam hampir semua etniknya, yang tersebar di seluruh negeri. Antara etnik itu termasuklah Rungus. Tenunan etnik Rungus istimewa kerana warisan kearifan asli motifnya, iaitu corak khas Rungus yang disebut sebagai surip. Keistimewaan warisan surip ini membezakan tenunan Rungus dengan tenunan etnik lain. Hal ini turut menyerlahkan keindahan busana tradisional etnik Rungus yang kaya dengan nilai-nilai seni dan budaya yang menggambarkan identiti masyarakat Rungus di Sabah (Miryiaanefka Marambal dan Noria Anak Tugang, dalam Proceedings International Seminar on the Heritage & Folklore of the Malay Archipelago, 2016:215).
Menurut Miryiaanefka Marambal dan Noria Anak Tugang, masyarakat Rungus masih mengamalkan tenunan secara tradisional dengan penekanan kepada motif-motif tradisi mengikut kategori nama busana wanita Rungus Sabah. Penulis bersetuju dengan ini dan menambah bahawa penekanan ini turut melibatkan pakaian lelaki kerana penekanan terhadap motif pakaian lelaki yang disebut bhadhu, sebenarnya lebih berat dan dijadikan kemuncak dalam ilmu dan pembelajaran tenunan dalam kalangan masyarakat Rungus. Bagi masyarakat Rungus, kepakaran menenun diukur daripada keupayaannya menguasai pelbagai motif (surip) pada kain tenunan. Taraf kepakaran menenun yang paling tinggi dalam kalangan Rungus disebut rampahan-bhodhuvan.
Kain Tenunan Mugah
Tenunan etnik Rungus meliputi pakaian lelaki dan pakaian perempuan, serta kain tenun yang menjadi keperluan umum, digunakan oleh kalangan lelaki dan kalangan perempuan. Inilah yang terjadi terhadap kain tenunan yang disebut mugah (Gambar 4). Kain tenunan mugah digunakan sebagai sarung yang dikenakan oleh penari lelaki ketika menari mongigol. Mugah juga digunakan untuk menyelimuti pengantin perempuan ketika menjalani istiadat mongori dalam adat perkahwinan masyarakat Rungus. Mugah boleh juga digunakan sebagai selimut.
Gambar 4: Kain tenunan mugah. (Sumber: Koleksi penulis).
Pakaian Lelaki
Selain baju (bhadhu) dan seluar yang dipanggil masap serta marabulu, lelaki Rungus juga memakai seluar tenunan (suval inavol). Seluar tenunan dipakai dalam majlis dan ritual tertentu sahaja. Baju tenunan untuk lelaki yang dipanggil bhadhu mempunyai motif (surip) yang bernilai tinggi. Harganya sangat mahal, bukan sahaja disebabkan oleh ketinggian seni motif dan kehalusan tenunannya, malah melibatkan adat dan pantang larang ketika menenun dan memakainya. Hanya bhobholhizan yang bertaraf rampahan-bhodhuvan dibenarkan menenun bhadhu pada masa dahulu.
Gambar 5: Seluar tenunan (suval inavol) dan baju bhadhu. (Sumber: Koleksi penulis).
Pada masa kini, seluar tenunan dan baju bhadhu, dipakai mengikut kesesuaiannya, termasuk majlis perkahwinan, sambutan pesta menuai (Tadau Kaamatan) dan pelbagai pesta lain serta majlis keramaian sebagaimana yang ditunjukkan dalam Gambar 6, iaitu baju tenunan bhadhu dipakai ketika menyanyikan lagu tradisional etnik Rungus yang dikenali sebagai Dhihihoi dan Ondi.
Gambar 6: Baju tenunan bhadhu dipakai untuk pelbagai persembahan pada masa kini. (Sumber: Koleksi penulis).
Gambar 7: Seluar yang ditenun dan dipakai dalam majlis perkahwinan masa kini. (Sumber: Koleksi penulis).
Pakaian terakhir yang dipakai oleh lelaki etnik Rungus ialah tengkolok yang disebut sigal. Sigal ialah penutup kepala yang dipakai setiap kali keluar rumah. Sigal berfungsi sama ada sebagai perlindungan kepala atau sebagai perhiasan.
Set pakaian lelaki Rungus yang lengkap termasuk manik-manik dan perhiasan lain adalah seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 8. Antara yang dapat dilihat dalam Gambar 8 ini ialah pengikat pinggang yang dikenali sebagai hokos (berwarna hijau-merah-kuning), sepasang pinakol dan sepasang sandang (dipakai bersilang di dada), lhinivotung (kalung), manik pakai ketat dan longgar di leher (sulhau om inggot), tembaga perhiasan tangan (saring otigas) dan tembaga lilit di leher (ganggalhung).
Gambar 8: Set pakaian lelaki Rungus yang lengkap. (Sumber: Fedoh Ompiduk, 2021).
Lelaki etnik Rungus perlu dibantu untuk memakai set pakaian bertenun dan penuh aksesori itu, terutama pada masa keramaian dan kemeriahan. Pada masa keramaian dan kemeriahan ini, seseorang itu boleh diminta menari mongigol, sama ada sudah siap berpakaian Rungus atau tidak. Jika belum berpakaian Rungus, orang yang tahu dan pandai akan membantunya memakai pakaian itu.
Jika seseorang itu berpakaian biasa dan tiba-tiba dijemput tuan rumah atau pihak tertentu untuk mongigol, individu itu akan dipakaikan sigal di kepala, kain mugah bagi menutupi seluar panjang yang dipakainya dan baju bhadhu, serta sepasang sandai dan hokos. Berbekalkan sepasang jali-jali, iaitu sapu tangan kecil yang dipegang di kedua-dua tangan, individu itu mula mongigol sebaik sahaja paluan gong dibunyikan. Para penari perempuan yang disebut sebagai sumundai dan sudah bersedia akan segera menyusul di belakang penari mongigol yang mengetuai tarian tersebut, sebagai pemimpin yang akan memimpin persembahan tarian itu dari awal sehinggas selesai. Inilah keistimewaan dan menariknya pakaian dan budaya serta seni dan keindahan yang terdapat dalam kalangan masyarakat Rungus.
Rujukan
Appell, G.N., 1963. “Myths and legends about the Rungus of the Kudat District” dlm. The Sabah Society Journal (4): 9-15.
Appell, G.N., 1964. “The Long-house Apartment of the Rungus Dusun” dlm. Sarawak Museum Journal XI: 570-573.
Appell, G.N., 1968. “The Dusun Languages of Northen Borneo: The Rungus Dusun and Related Problems” dlm. Oceanic Linguistics, Vol. VII, No.1: 1-14.
Appell, G.N., 1978. The Rungus Dusun. Dalam Victor T. King (ed.) Essays on Borneo Societies: 141-171. Hull Monographs on South-East Asia No.7, Oxford: Oxford University Press.
Appell, G.N., 1986. “Social Anthropological Research among the Rungus Dusun”. Kertas seminar dalam A talk for the Sabah Society, 1-36. August 22.
Appell, G.N., 1994. “The Sabah Oral Literature Project: Report for the Period 1986 to 1992”. Persidangan Dwitahunan Kedua Majlis Penyelidikan Borneo, Kota Kinabalu, Sabah, 13-17 Julai: 1-15.
Arena Wati, 1978. Pribumi Sabah: Satu Tinjauan dalam Konteks Kepercayaan, Kultus dan Hukum Adat di Sabah. Kota Kinabalu: Penerbit Yayasan Sabah.
Enohetty dan Ester Nora, 2021. Tenunan Etnik Rungus Inavol, Matunggong, Kudat, Sabah: Penerbitan Sendiri.
Evans, I.H.N.. 1990. Among Primitive Peoples in Borneo. Singapore: Oxford University Press, Oxford New York.
Ismail Ibrahim. 2009. Warisan Motif dan Corak Etnik Sabah. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah.
Pitas and the Lotud in Tuaran. In Sabah Museum Monograph Vol. 7: Cultural Adaptation in Borneo: 31-58. Kota Konabalu: Department of Sabah Museum.
Noria Tugang. 2014. Pua: Identiti dan Budaya Masyarakat Iban. Kota Samarahan: Universiti Malaysia Sarawak.
Oxford Advance Learner’s Dictionary. 2000. Oxford: Oxford University Press.
Porodong, P. 1997. Kemiskinan di Kalangan Masyarakat Rungus di Kudat, Sabah. Latihan Ilmiah (M.A.). Kuala Lumpur: University Malaya.
Porodong, P., 2001. Bobolizan, Forest and Gender Relations in Sabah, Malaysia. In Gender, Technology and Development 5(1): 63-90. New Delhi: Sage Publications India Pvt. Ltd.
Porodong, P., 2004. The Impact of colonialism on the indigenous society in Sabah: A Case Study in Kudat District of Sabah. In Mohd. Sarim Mustajb (ed.). Warisan Budaya Sabah: Etnisiti dan Masyarakat: 77-103. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah.
International Seminar on The Heritage and Folklore of the Malay Archipelago (Conference Proceedings), 27-28 Oktober, 2016. Kota Kinabalu. Borneo Heritage Unit, Faculty of Humanities, Arts and Heritage, Universiti Malaysia Sabah.
Puteri Roslina Abdul Wahid dan Mohaini Mohd. Saffar. 1993. Glosari Budaya Malaysia: Seni Tenun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Raymond Majumah. 2003. Momogun Rungus Borneo Utara: Warisan Sastera dan Budaya Sabah. Kota Kinabalu: SLC Sdn. Bhd.
Raymond Majumah. 2015. Rungus Peribumi Momogun Sabah. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Lasimbang, R. and Moo-Tan, S. (ed.). 1997. An Introdution To The Tradition Costumes of Sabah. Kota Kinabalu: Nutural History Publications with Department of Sabah Meseum.
Topin, B. 1996. Sharing on Kadazandusun Culture. Penampang: Sabah State Library, Penampang Branch.
Senarai informan
Bil. |
Informan |
Umur |
Jantina |
Tempat |
Pekerjaan |
1. |
Rundabang Linsapu |
78 |
Perempuan |
Kampung Matunggong |
Bhobholhizan (Pakar upacara) |
2. |
Kinindangan binti Masani |
83 |
Perempuan |
Kampung Matunggong |
Pembantu Bhobholhizan |
3. |
Rinjamal Montuduk |
62 |
Lelaki |
Kampung Matunggong |
Pakar Adat Rungus |
4. |
Majial Mangulizang |
53 |
Lelaki |
Kampung Matunggong |
Ketua Anak Negeri |
5. |
Mongurintai Masaping |
60 |
Perempuan |
Kampung Pinawaantai |
Bhobholhizan |
6. |
Noriban Mogiom |
70 |
Perempuan |
Kampung Matunggong-Inukirn |
Penenun/Petani |