Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari membaca cerpen “Langit Terbelah” karangan Mas Fawzi dan menemui bahawa karya ini menuntut manusia atau pembaca memahami cerpen ini melalui ilmu dan menggalakkan pembaca menggali ilmu tersebut untuk mengetahui jawapan pada persoalan yang ditinggalkan oleh pengarangnya.
“Cerpen ini menggalakkan pembaca mencari sumber-sumber lain bagi mendapatkan jawapan kepada persoalan yang ditinggalkan oleh pengarang. Alam ini memuatkan aneka fenomena yang menuntut manusia memahaminya melalui ilmu dan menggalakkan pembaca menggali ilmu tersebut untuk mengetahui jawapannya.”
Cerpen Mas Fawzi yang berjudul “Langit Terbelah” bermula dengan petikan ayat al-Quran, Surah al-Infitar (82:1-5), diikuti hujah-hujah watak. Ini ialah cerpen hujah atau cerpen idea. Cerpen jenis ini tidak memberatkan plot. Dari segi perwatakan, kita hanya mengenali watak-watak ini sebagai dua orang yang gemar membaca kajian sains, dan suka berbahas tentang hubungan fakta-fakta sains dengan ajaran agama. Tiada pergerakan watak dari pengenalan hingga ke puncak atau klimaks. Tiada konflik besar, melainkan perbezaan cara berfikir. Pengarang berpuas hati apabila hujah dan idea watak-watak itu dapat disampaikan dengan lancar. Apakah hujah dan idea dalam cerpen ini?
Dialog permulaannya sudah pun memuatkan idea. Watak Que mengemukakan soalan untuk dijawab oleh watak Aku. Soalannya berkaitan dengan isu keagamaan. Perlu disebutkan, bahawa soalan begini memungkinkan seseorang terpesong jika tidak dijawab dengan baik. Perhatikan bunyi soalannya: “Entah kenapa aku rasa ayat-ayat ini sangat indah. Langit terbelah? Kat langit tu ada apa? Tak ada apa-apakan yang kita belajar? Vakum. Void. Ruang kosong. Hampagas.”
Ayat-ayat yang dimaksudkan oleh Que ialah ayat-ayat al-Quran yang disebutkan di atas. Maksud ayat-ayat itu ialah “Apabila langit terbelah, dan apabila bintang-bintang jatuh berserakan, dan apabila lautan dijadikan meluap, dan apabila kuburan-kuburan dibongkar, setiap jiwa akan mengetahui apa-apa yang telah dikerjakan dan yang dilalaikan.” Que mempersoalkan kenyataan tersebut, bahkan secara tidak langsung menafikan bahawa langit yang bersifat vakum boleh terbelah.
Watak Aku mengatakan bahawa pengisahan dalam al-Quran itu pasti boleh berlaku, kerana udara boleh dibelah. Dia beraksi mengkarate ruang udara di hadapannya. Tindakan Aku tidak menarik perhatian Que, malah Que menganggap contoh yang diberikan oleh Aku ialah contoh yang remeh. Que sedia mengerti tentang perkara seperti itu. Seterusnya, Que menunjukkan bukti tentang sifat udara dengan mengemukakan fakta tentang awan putih tidak menyatu. Maksud Que, pembelahan udara bukan bukti bahawa vakum boleh dibelah.
Watak Aku perlu memikirkan hujah tambahan bagi mengalahkan hujah Que yang ringkas. Que mungkin mahu mengatakan bahawa dari sudut Ilmu sains, kenyataan bahawa langit akan terbelah adalah tertolak (atau mustahil). Dia menyebutkan bahawa pemikiran tentang evolusi menentukan kemandirian sesuatu makhluk sejak dahulu kala. Dengan menyatakan demikian, isu menjadi lebih luas dan lebih kompleks.
Sebenarnya, watak Aku suka dicabar begitu kerana cabaran membuat dia berfikir. Ketika dia berusaha untuk meringankan persoalan, Que mengulangi pertanyaan: “… bolehkah langit yang bersifat vakum itu dibelah?”
Watak Aku tidak menjawab soalan Que secara langsung. Aku mengemukakan fakta sains tentang angkasa. Disebutnya Teori Einstein tentang relativiti. Teori itu diperkukuh oleh saintis lain bernama Eddington. Kemudian disebutkan pula tentang teori Isaac Newton. Perkara yang disuarakan oleh watak Aku itu tidaklah menjawab soalan tentang langit boleh dibelah atau tidak. Oleh yang demikian, Que menempelak Aku dengan soalan “Apa kaitannya?”
Watak Aku ingin menjelaskan maksud yang ada dalam pemikirannya. Dalam fikiran watak Aku, perkara yang perlu ditegaskan ialah bahawa ruang angkasa bukan vakum. Sesuatu yang vakum tentu tiada struktur. Menurut watak Aku lagi, ruang angkasa mempunyai geometri yang relatif kepada ruang masa. Watak Aku bermaksud menyatakan bahawa langit mempunyai bentuk tertentu, walaupun manusia tidak dapat melihat bentuknya.
Hujah tentang bentuk langit, dan kemunasabahan bahawa langit boleh dibelah ditambah lagi oleh watak Aku. Disebutkan bahawa di langit ada pelbagai gelombang, misalnya radio wave dan magnetic wave, dan ditambahi lagi dengan wujudnya para malaikat yang memberi kesan riak pada gelombang-gelombang.
Ketika watak Aku melihat mata Que agak bersinar, hujah ditambahi. Kata watak Aku, dalam al-Quran ada disebutkan satu ironi. Ironi yang dimaksudkan ialah kenyataan bahawa langit yang akan terbelah itu akan kelihatan indah seperti bunga ros. Pemandangan yang cantik itu dikatakan ironi, kerana membawa kesan ketakutan yang amat sangat. Sesuatu yang cantik tetapi menakutkan ialah ironi.
Cerpen ini tidak diselesaikan dengan persetujuan yang pasti daripada watak Que. Hujah-hujah watak Aku terhenti kerana jam sudah menunjukkan pukul 1.45 pagi. Pernyataan jam itu ialah latar masa, manakala kedai mamak (tempat mereka berbahas) ialah latar tempat.
Cerpen hujah memang begini. Cuma, jika penulis menambah sedikit asam garam kehidupan, cerpen ini mungkin lebih berkesan. Selaku pembaca, kita tidaklah boleh menganjurkan sesuatu yang tiada dalam fikiran pengarang. Saya, dan mungkin pembaca lain juga, tertanya-tanya, adakah satu kebiasaan bagi kedua-dua watak dalam cerpen ini, berjumpa dan berbahas hingga ke pagi? Adakah idea-idea yang dirumuskan hasil perbahasan itu dibawa ke tengah, misalnya mereka menggunakannya untuk berceramah atau berbengkel?
Pembaca juga mungkin tertanya-tanya tentang kedudukan mereka di dalam masyarakat. Adakah mereka dikenali sebagai tokoh-tokoh ilmu yang terlalu mengutamakan perbahasan begitu?
Persoalan tentang ruang yang maha luas, dan masa yang berpanjangan, ialah persoalan yang ada dalam fikiran peminat falsafah. Dramatis Sharif Shaary, iaitu penulis dan pengarah drama Obsesi, Dia yang Sepi dan Bukan Gila, pernah mengajak khalayak berfikir tentang hujung ruang dan hujung masa. Menurutnya, masa dan ruang bersifat infiniti. Inilah yang ada dalam fikiran watak Que apabila dia mengatakan langit itu bersifat ‘tiada apa-apa’ (vakum).
Aku berfikir tentang masa yang diambil oleh cahaya ketika bergerak dari bulan hingga ke bumi. Jika kita melihat bulan, menurutnya bulan yang kita lihat bukan serentak dengan perbuatan kita melihatnya. Kita terlewat, kerana masa yang diambil oleh cahaya dari bulan ke bumi ialah 1.3 saat.
Untuk membaca karya yang begini, pembaca hendaklah bersedia dengan anggapan bahawa pengarang tidak berhasrat menyampaikan cerita. Pengarang berminat mengemukakan idea. Kesimpulan perbahasan adalah tergantung atau terbuka. Boleh juga kita katakan bahawa kesimpulan tidak dibuat. Atas alasan waktu terlalu lewat, iaitu jam sudah 1:45 pagi, perbahasan itu amat wajar dihentikan. Pembaca mungkin menyimpulkan bahawa waktu yang menjelang pagi itu ialah helah untuk pengarang tidak membuat kesimpulan.
Mengapakah perbahasan mereka ditamatkan dalam keadaan terbuka? Untuk menjawab soalan ini, kita kembali pada tema. Tema keagamaan yang menyentuh makna yang tersembunyi dalam al-Quran bukanlah boleh dipermudah. Jika kesimpulan yang dibuat mengikut tanggapan watak Que, maka ertinya al-Quran tidak menyatakan sesuatu yang benar-benar akan berlaku. Oleh itu, pembicaraan perlu dihentikan setakat yang wajar, selebihnya diserahkan kepada pembaca mentafsirkannya.
Setelah cerpen ini dibaca dengan cermat, pembaca akan tiba pada satu kesimpulan masing-masing, atau kesimpulan yang tersendiri. Antara lain, cerpen ini berakhir dengan pemberhentian perbahasan untuk menggalakkan pembaca mencari sumber-sumber lain bagi mendapatkan jawapan. Alam ini memuatkan aneka fenomena yang menuntut manusia memahaminya melalui ilmu. Jadi, karya Mas Fawzi ini menggalakkan pembaca menggali ilmu.