Skip to content
Datuk Jamdin Buyong Sasterawan Negeri Sabah Kelima
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Tokoh > Datuk Jamdin Buyong Sasterawan Negeri Sabah Kelima
Datuk Jamdin Buyong Sasterawan Negeri Sabah Kelima
Tokoh

Datuk Jamdin Buyong Sasterawan Negeri Sabah Kelima

  • Maslijan binti Abd. Rasad
  • 5 Oktober 2026
  • DBP Cawangan Sabah
  • 28
  • 5

Datuk Jamdin Buyong akhirnya dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Sabah Kelima. Pengiktirafan berprestij itu disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah dalam Malam Anugerah Pena Kinabalu (MAPENA) 2026 yang berlangsung pada 11 September 2026, di Hotel The Pacific Sutera, Kota Kinabalu.

Pengiktirafan Sasterawan Negeri Sabah merupakan penghargaan tertinggi terhadap tokoh yang telah memberikan sumbangan besar dan berterusan terhadap perkembangan kesusasteraan di negeri Sabah. Sebagai penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah, Yang Berbahagia Datuk Jamdin Buyong menerima wang tunai berjumlah RM30,000.00, watikah penghormatan dan kemudahan penerbitan karya sebagai sebahagian daripada bentuk penghargaan terhadap jasa dan sumbangan beliau dalam dunia kesusasteraan. Penganugerahan tersebut bukan sekadar sebuah penghormatan kepada seorang pengarang, bahkan merupakan pengiktirafan terhadap ketekunan, pemikiran dan sumbangan beliau dalam memperkaya khazanah kesusasteraan di negeri Sabah.

 

Datuk Jamdin Buyong Sasterawan Negeri Sabah Kelima
Datuk Jamdin Buyong menerima Anugerah Sastera Negeri Sabah Kelima yang disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah.

 

Latar Belakang Datuk Jamdin Buyong

Datuk Jamdin Buyong dilahirkan dan dibesarkan di Putatan, Sabah, pada 5 September 1946. Beliau menerima pendidikan awal di Government Primary School Buit Hill, Putatan, dari tahun 1952 hingga 1959. Dalam keterbatasan ruang dan peluang pendidikan pada ketika itu, beliau tetap gigih meneruskan pembelajaran dan memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara persendirian. Kesedaran terhadap ilmu kemudiannya membawa beliau mengikuti Jurusan Penulisan dan Kewartawanan melalui pengajian pos di Writing School of London.

Kegigihan beliau menuntut ilmu sejak usia muda memperlihatkan keperibadian yang tidak mudah menyerah kepada keterbatasan. Kesungguhan tersebut akhirnya turut mendapat pengiktirafan apabila beliau dianugerahi Ijazah Kehormat Sarjana Sastera oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada tahun 2006. Pencapaian ini bukan sekadar sebuah pengiktirafan akademik, tetapi turut mencerminkan perjalanan panjang seorang insan yang menjadikan ilmu sebagai landasan untuk membina kehidupan dan kepengarangan.

Daripada seorang anak kampung yang berdepan dengan keterbatasan dalam pendidikan, Datuk Jamdin Buyong membuktikan bahawa jalan menuju ilmu dan dunia kepengarangan tidak semestinya lurus dan mudah. Ada liku yang perlu ditempuh, ada pintu yang perlu diketuk dan ada cahaya yang perlu dicari dengan kekuatan serta keazaman sendiri. Namun demikian, segala keterbatasan itu tidak pernah memadamkan tekadnya untuk terus berkarya. Sebaliknya, pengalaman hidup yang ditempuh menjadi sumber yang memperkaya pandangan, pemikiran dan pengucapan kreatifnya.

Pengiktirafan ini ibarat sebutir cahaya yang diletakkan di persada kesusasteraan Sabah, bukan untuk menerangi seorang tokoh semata-mata, tetapi untuk meneruskan nyala obor kepada generasi yang akan datang kerana pada akhirnya, sasterawan mungkin pergi, tetapi kata-kata yang jujur akan terus hidup; karya yang bermakna akan terus berbicara; dan sastera yang berakar pada jiwa bangsa akan terus menyala sepanjang zaman. Beliau pengarang yang “menyulam kata menyuburkan jiwa bangsa”, kata-kata ini diungkap oleh Datuk Jamdin Buyong ketika menyampaikan ucapan penghargaan atas pengurniaan Anugerah Sastera Negeri Sabah Kelima.

Berdasarkan laporan panel penilai, kepengarangan Datuk Jamdin Buyong memperlihatkan penglibatan dalam beberapa genre, khususnya puisi, cerpen dan drama. Selain itu, beliau turut menghasilkan karya berbentuk rencana dan kertas kerja yang berkaitan dengan sejarah, budaya, bahasa dan masyarakat Sabah. Penglibatan dalam bidang seni tampak melalui lukisan dan karikatur turut memperlihatkan keluasan minat serta bakat kreatif beliau. Oleh itu, penilaian terhadap kepengarangan beliau perlu melihat bukan sahaja jumlah karya yang dihasilkan, tetapi juga mutu, keaslian, sumbangan, pengaruh dan ketahanan karya dalam perkembangan kesusasteraan Sabah.

Sasterawan ini berpengalaman luas. Beliau pernah menjadi pembaca berita radio dan televisyen, editor akhbar, pegawai penterjemah, Pengarah Muzium Sabah, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam, Sabah, Setiausaha Akhbar Ketua Menteri dan beberapa lagi. Pengalaman yang luas itu membolehkannya berkarya tentang aneka tema. Keluasan temanya terbukti apabila buku-bukunya dibaca.

 

Karya Secara Umum

Datuk Jamdin Buyong telah menghasilkan lebih 500 buah karya puisi, antaranya Tuntuan Bersemadi di Makam Zaman (2008), Hikayat Hangus oleh Sejarah (2013) dan puisi tentang isu konfrontasi Indonesia, iaitu Konfrantasi yang Tenggelam (2006). Beliau juga telah mengemukakan pendapat melalui lebih 30 kertas kerja tentang bahasa, sastera, budaya dan sejarah. Buku kumpulan puisi beliau bertajuk Ada dalam Tiada dan Kembara Kayangan memuatkan puisi yang menyentuh isu-isu tempatan dan antarabangsa.

Buku yang bertajuk Rona-rona Bahasa (2017) menyentuh isu kepupusan tulisan Jawi dan terdapat pemimpin memandang rendah bahasa Melayu dan tulisan Jawi. Karya lukisan dan kartun editorial merupakan media penyampai yang sangat mencabar dalam suasana politik yang tidak stabil pada masa 1960-an. Karya lukisan atau puisi tidak semuanya sama dengan persepsi pengkaryanya sendiri, namun hasil analisis semiotik yang analitikal ke atas karya beliau, didapati karya-karya itu menepati konsep, tema, mesej dan motifnya. Karya kartun beliau merupakan karikatur yang bersifat sinikal yang menggambarkan realiti sentimen perkauman di Sabah.

 

Pencapaian dalam Bidang Sastera

Dalam bidang sastera, Datuk Jamdin Buyong memenangi Hadiah Sastera Malaysia melalui puisi “Langit Merah” 1971, dan “Kematian Kekasih Bumi” 1973. Kedua-dua sajak yang menang ini dimuatkan dalam buku Ada dalam Tiada, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2008. Temanya ialah sikap terhadap perjuangan untuk difikirkan oleh pembaca. “Langit Merah” mencadangkan sikap berani menghadapi musuh atau petualang. Sajak “Kematian Kekasih Bumi” menyatakan bahawa setiap kezaliman akan berada dalam ingatan pihak yang dizalimi. Penyair tidak mencadangkan tindakan yang wajar kepada penzalim. Yang disebutkan ialah kekalnya sejarah hitam dalam fikiran peribumi.

Selain tema yang bersifat kebangsaan dan universal, Datuk Jamdin Buyong juga berupaya menghasilkan puisi peribadi yang berkesan. Sajak naratif “Kolam di Kaki Bukit” memuatkan pengalaman dan perasaan sedih dan pilu. Kata-kata tertentu dalam puisi ini, terutama kata ganti pertama dan kedua, menggambarkan muatan pengalaman keluarga, iaitu bapa yang kehilangan anak. 

Kumpulan puisi Kembara Kayangan diterbitkan dalam tahun 2018 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Kumpulan puisi ini sekuat kumpulan puisi sebelumnya. Elok disebutkan, puisi tentang anak yang hilang muncul juga dalam buku ini. Tajuknya “Norazlan dalam Kenangan”. Ini ialah dua rangkap yang amat berkesan:

                     Pun kami amat rindu

                     pada wajah dan bibirmu

                     pada senyum dan tawamu.

                     Salam rindu

                     dan doa syahdu berpanjangan.

                                                                                     (Kembara Kayangan, halaman 76)

 

Kepengarangan dalam Genre Puisi

Penglibatan Datuk Jamdin Buyong dalam penulisan puisi bermula sejak tahun 1959 dan karya beliau mula diterbitkan dalam akhbar tempatan Sabah serta majalah Wadah sekitar tahun 1960-an hingga 1990-an. Antara pencapaian penting ialah puisi “Kematian Kekasih Bumi” yang pernah menerima Hadiah Sastera Kebangsaan pada tahun 1971. Pencapaian ini penting kerana menunjukkan bahawa karya seorang penulis dari Sabah telah mendapat pengiktirafan pada peringkat kebangsaan pada ketika perkembangan kesusasteraan Sabah masih berada pada tahap awal.

Karya-karya puisi beliau kemudiannya dihimpunkan dalam kumpulan puisi Ada dalam Tiada yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2008. Kumpulan tersebut menghimpunkan sebanyak 154 buah puisi yang ditulis dari sekitar tahun 1960-an hingga 2003. Antara karya awal ialah “Perahu Hilang Pengayuh”, yang ditulis pada tahun 1962 dan mengangkat kehidupan nelayan di sekitar Putatan.

Pada tahun 2018, Dewan Bahasa dan Pustaka turut menerbitkan kumpulan puisi Kembara Kayangan yang menghimpunkan 72 buah puisi. Dari segi tema, puisi beliau banyak berkaitan dengan kehidupan masyarakat, khususnya masyarakat desa dan peribumi Sabah. Persoalan kemiskinan, kehidupan petani dan nelayan, perubahan masyarakat, patriotisme dan persoalan moral merupakan antara tema yang dapat dikenal pasti.

Gaya bahasa beliau secara umumnya mudah difahami dan lebih mengutamakan penyampaian mesej secara langsung. Pendekatan ini menjadi salah satu ciri kepengarangan beliau. Walau bagaimanapun, dari sudut penilaian estetika, penggunaan bahasa yang langsung juga perlu dilihat secara kritikal kerana kekuatan sesebuah puisi bukan hanya terletak pada mesej, tetapi juga pada kekuatan imejan, simbol, metafora, bunyi, struktur dan kehalusan bahasa.

Dengan demikian, kekuatan utama puisi beliau ialah jumlah karya yang besar, kesinambungan penghasilan serta kecenderungan mengangkat persoalan masyarakat Sabah.

 

Kepengarangan dalam Genre Cerpen

Selain puisi, Datuk Jamdin Buyong turut menghasilkan cerpen sejak sekitar tahun 1960-an. Antara karya awal beliau ialah “Lewat Tiga Minit”. Cerpen-cerpen awal beliau banyak menggambarkan kehidupan masyarakat kampung, kemiskinan, kemunduran dan perubahan kehidupan masyarakat. Unsur tradisi dan kepercayaan masyarakat turut digunakan sebagai sebahagian daripada latar cerita.

Sebanyak 32 buah cerpen beliau telah dihimpunkan dalam dua kumpulan cerpen, iaitu Ombak Malam dan Cinta di Rimba. Ombak Malam menghimpunkan 14 buah cerpen yang ditulis sekitar tahun 1967 hingga 1987, manakala Cinta di Rimba menghimpunkan 18 buah cerpen. Salah satu kekuatan cerpen beliau ialah penggunaan watak daripada masyarakat yang berbeza. Watak Melayu, Cina dan India misalnya hadir dalam beberapa karya. Keadaan ini memperlihatkan gambaran masyarakat Sabah yang berbilang kaum. Cerpen seperti “Gadis China”, “Kuching” dan “Lapar” memperlihatkan kecenderungan beliau mengangkat hubungan antara kaum serta persoalan ekonomi dan kehidupan masyarakat.

Dari segi tema, terdapat perkembangan daripada persoalan kemiskinan dan kehidupan masyarakat desa kepada persoalan hubungan manusia, konflik keluarga, kehidupan bandar dan desa serta persoalan moral.

 

Kepengarangan dalam Genre Drama

Penglibatan Datuk Jamdin Buyong dalam drama memperlihatkan satu lagi dimensi kepengarangan beliau. Drama “Ratapan Ibu”, misalnya, bukan sahaja digunakan sebagai karya persembahan tetapi turut mempunyai fungsi kemasyarakatan melalui kutipan derma untuk pembinaan masjid.

Beliau juga menghasilkan dan mengarahkan drama “Bajau 64”, yang menggunakan bahasa Bajau dalam dialognya. Hal ini menunjukkan usaha beliau menggunakan seni persembahan untuk mengangkat unsur budaya dan bahasa tempatan. Satu lagi karya penting ialah drama “Mat Salleh”, yang ditulis dan diarahkan pada tahun 1972. Drama tersebut mengangkat perjuangan Mat Salleh sebagai tokoh peribumi Sabah yang menentang penjajahan. Karya tersebut kemudiannya dirakam oleh RTM.

Dari sudut sumbangan, drama-drama ini mempunyai nilai kerana menghubungkan sastera, sejarah, budaya, masyarakat dan identiti tempatan. Walau bagaimanapun, dari sudut penilaian kepengarangan, nilai sejarah sesuatu drama perlu dibezakan daripada nilai estetiknya. Sesebuah drama boleh penting sebagai dokumentasi sejarah tetapi pada masa yang sama masih perlu dinilai dari segi kekuatan dialog, konflik, watak, struktur dramatik dan bahasa.

 

Kepengarangan dalam Bidang Bahasa

Pada tahun 2017 Datuk Jamdin Buyong menerima anugerah buku umum terbaik kerana penghasilan buku Rona-Rona Bahasa terbitan DBP. Kandungan buku ini ialah pelbagai isu tentang bahasa Melayu, termasuk sejarah perjuangan yang membawa pada pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di Sabah. Walaupun  bahasa Melayu diperjuangkan sedemikian, namun dalam hal penggunaannya ada masalah di sektor swasta, malah dalam hal tertentu, ada juga masalah di sektor kerajaan. Isu-isu ini dihuraikan oleh Datuk Jamdin Buyong dengan baik sekali. Beliau mengemukakan pandangan bahawa bahasa Melayu ialah teras pembentukan peradaban dan berfungsi mengukuhkan keharmonian dalam kalangan rakyat.

 

Pengaruh Terhadap Perkembangan Sastera

Datuk Jamdin Buyong merupakan antara tokoh terpenting dalam mencetus dan mencorakkan perkembangan bahasa dan sastera di Sabah sejak awal pembentukan Malaysia. Sumbangannya tidak berhenti setakat menyuburkan pemikiran masyarakat melalui karya-karya sastera yang dihasilkan. Lebih daripada itu, merentasi pelbagai kegiatan yang berjaya membina tunjang bahasa dan persuratan negeri sehingga memberikan kesan yang mendalam dan berpanjangan.

Sepanjang perkhidmatannya sebagai Pegawai Bahasa, Setiausaha dan kemudiannya Ketua Biro, Bahasa Malaysia Sabah. Datuk Jamdin Buyong memimpin pelbagai kegiatan yang menjadi asas kepada perkembangan bahasa Melayu di Sabah. Antara kegiatan utama beliau ialah:

  1. Menggerakkan pelaksanaan bahasa Malaysia baku dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah;
  2. Mengadakan program penerangan dan pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu dalam jabatan-jabatan kerajaan;
  3. Mengusahakan penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah sehingga berjaya direalisasikan pada tahun 1977;
  4. Menjadi Ketua Pentadbir, Urus Setia Seminar Bahasa dan Sastera Sabah pada tahun 1970;
  5. Menggubal resolusi Seminar Bahasa dan Sastera yang akhirnya membawa kepada pengisytiharan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negeri Sabah pada 16 September 1971;
  6. Menjadi penterjemah dokumen-dokumen penting Kerajaan Negeri;
  7. Menjadi pakar rujuk bahasa dan bahasa istana;
  8. Menyediakan panduan penggunaan bahasa Melayu baku dalam perkhidmatan awam; 
  9. Membentangkan puluhan kertas kerja berkaitan bahasa Melayu di seminar peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa;
  10. Menjadi Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka; dan
  11. Menjadi Ahli Majlis Bahasa dan Kebudayaan yang merancang pembangunan bahasa di Sabah.

Semua kegiatan tersebut di atas membuktikan bahawa Datuk Jamdin bin Buyong merupakan figura yang lebih daripada sekadar seorang penyair atau penulis. Beliau juga seorang penggerak aktiviti dan institusi yang terlibat secara langsung dalam merancang, memimpin dan melaksanakan pelbagai program pembangunan bahasa dan sastera di Sabah. Beliau telah meletakkan asas yang kukuh kepada perkembangan bahasa Melayu dan kesusasteraan di Sabah. Sumbangan yang bersifat menyeluruh dan panjang ini menjadikan beliau antara tokoh yang paling berpengaruh dalam sejarah pembangunan bahasa dan sastera negeri Sabah.

 

Hadiah dan Pengiktirafan

Dalam dunia sastera khususnya, juga bahasa dan budaya, pengiktirafan bukan sekadar lambang kejayaan seseorang tokoh tetapi merupakan tanda bahawa pemikiran, perjuangan dan sumbangan yang diberikan telah membawa makna kepada masyarakat. Demikianlah perjalanan Datuk Jamdin bin Buyong, seorang tokoh persuratan Sabah yang namanya terpahat dalam sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu, bahasa dan kebudayaan negeri Sabah.

Pelbagai hadiah dan pengiktirafan yang diterimanya sepanjang lebih lima dekad penglibatan dan dunia ilmu bukanlah hadir secara tiba-tiba tetapi lahir daripada kesetiaan beliau terhadap bahasa, kecintaan terhadap sastera dan komitmen memelihara warisan budaya bangsa.

Perjalanan pengiktirafan Jamdin Buyong bermula sejak awal dekad 1970-an apabila karya-karya puisinya mula mendapat perhatian pada peringkat kebangsaan. Pada tahun 1971, puisi “Langit Merah” dan 1973, puisi “Kematian Kekasih Bumi”, beliau menerima Hadiah Sastera Malaysia, suatu pengiktirafan yang berprestij dalam dunia kesusasteraan negara. Hadiah Sastera Malaysia yang diterima pada awal perjalanan kreatifnya menjadi titik penting yang memperkukuh kedudukan beliau dalam peta kesusasteraan Melayu. Pada ketika itu, Sabah sedang membina identiti sasteranya sendiri dalam lingkungan kesusasteraan kebangsaan.

Pada tahun 1984, beliau menerima pengiktirafan sebagai Pahlawan Bahasa, Sastera dan Budaya Sabah. Gelaran ini membawa makna yang besar kerana perjuangan beliau tidak hanya terbatas kepada penciptaan karya kreatif tetapi turut melibatkan usaha memperkukuh kedudukan bahasa Melayu, mengembangkan kegiatan persuratan dan mempertahankan warisan budaya Sabah.

Selanjutnya, pada tahun 1989, beliau dianugerahkan sebagai Tokoh Penulis Sabah. Pengiktirafan ini memperlihatkan penerimaan masyarakat sastera terhadap ketokohan beliau sebagai penulis yang komited memperjuangkan dunia persuratan.

Lima tahun kemudian, pada tahun 1994, beliau menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Penyair Islam Sabah. Penghormatan ini mengangkat sumbangan beliau dalam puisi-puisi yang berteraskan nilai kerohanian dan kemanusiaan. Anugerah ini menjadi salah satu pengiktirafan penting dalam perjalanan kreatif beliau.

Pada tahun 2002, beliau sekali diberikan penghormatan apabila dinobatkan sebagai Tokoh Budaya Sabah. Pengiktirafan ini memperluas pandangan terhadap sumbangan beliau. Beliau bukan sahaja seorang penulis dan penyair tetapi juga seorang budayawan yang memahami bahawa kebudayaan merupakan asas pembinaan identiti masyarakat.

Pada tahun 2006, Universiti Malaysia Sabah menganugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana Sastera (Sastera) kepada beliau. Penganugerahan ini merupakan pengiktirafan akademik terhadap jasa beliau dalam bidang persuratan atau kesusasteraan. Pengiktirafan ini juga mengesahkan bahawa pengalaman serta pengalaman beliau mempunyai nilai ilmu dan wajar dihargai oleh dunia akademik.

Lima tahun kemudian, pada tahun 2011, beliau menerima Anugerah Penyair GAPENA. Pengiktirafan daripada Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) ini amat bermakna kerana diberikan oleh sebuah badan yang memperjuangkan perkembangan kesusasteraan Melayu di peringkat nasional.

Seterusnya, pada tahun 2014, beliau menerima Anugerah Tokoh Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara. Pengiktirafan ini meletakkan beliau dalam lingkungan tokoh persuratan Islam yang lebih luas, bukan sahaja dalam konteks Sabah dan Malaysia tetapi dalam dunia Melayu Nusantara.

Pada tahun 2017, buku beliau Rona-rona Bahasa Kita menerima Anugerah Buku Umum Terbaik Ketua Menteri Sabah. Pengiktirafan ini memperlihatkan bahawa perjuangan beliau dalam bidang bahasa terus mendapat perhatian walaupun selepas puluhan tahun berkarya.

Hadiah dan pengiktirafan yang diterima oleh Datuk Jamdin Buyong dalam bidang sastera terutamanya, juga dalam bidang bahasa dan budaya merupakan pengiktirafan terhadap sebuah perjuangan panjang yang berteraskan ilmu, kreativiti dan kecintaan terhadap warisan bangsa.

 

Sumbangan Fikiran dan Inisiatif dalam Sastera di Negeri Sabah

Beliau antara pencetus dan penggerak utama yang berusaha agar DBP menubuhkan cawangannya di Sabah, pada awal tahun 1970-an. Melalui BAHASA, beliau mengadakan Seminar Bahasa dan Sastera yang pertama kali diadakan secara     besar-besaran di Sabah pada 4 Ogos hingga 6 Ogos 1970. Salah satu daripada resolusi utama hasil seminar tersebut, mendesak agar Kerajaan Negeri menyokong penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di negeri Sabah. Usul itu telah dibawa ke Sidang DUN dan diluluskan. Akhirnya, DBP Cawangan Sabah dan Sarawak ditubuhkan pada 1 Januari 1977.

Beliau merupakan individu yang bertanggungjawab menubuhkan Badan Bahasa Sabah (BAHASA), pada 15 Mac 1970, bagi menamatkan perbalahan antara dua buah persatuan penulis pada ketika itu, iaitu Angkatan Gaya Bebas (AGABA) dan Angkatan Persatuan Melayu Sabah (APMS). Kedua-dua persatuan ini berjaya digabungkan dalam satu bumbung persatuan, iaitu BAHASA, dan beliau sendiri yang menjadi setiausahanya yang pertama, dan bertahan hingga hari ini.

Beliau juga berusaha merapatkan hubungan dan kerjasama dengan penulis di Semenanjung, khususnya dengan Gabungan Penulis Nasional (GAPENA). Beliau telah mengatur pertemuan para penulis Sabah dengan GAPENA yang diketuai oleh Tan Sri Ismail Hussien dan Atondra. Dalam pertemuan tersebut, beliau berharap dan menggesa para penulis Sabah diberikan peluang untuk menghantar karya mereka di akhbar dan majalah di Semenanjung. Selain itu, BAHASA juga berhasrat untuk menjadi gabungan dalam GAPENA. Selain itu, beliau juga seorang wartawan di akhbar tempatan. Beliau merupakan pengarang dan editor bahasa Melayu di dua buah akhbar, iaitu Sabah Times (1963 – 1969) dan Daily Ekspress (1969 – 1970).

Selain menyiarkan berita, beliau juga menyiarkan karya para penulis Sabah seperti puisi, cerpen dan rencana sastera di kedua-dua akhbar tersebut. Maka akhirnya ramai penulis Sabah yang muncul berkarya pada ketika itu.

Kesimpulannya, sumbangan fikiran dan inisiatif beliau dalam perkembangan sastera Sabah amatlah besar dan menjadi tanda aras kepada kemunculan penulis-penulis mapan Sabah selepas era tersebut. Selain itu, penubuhan BAHASA dan DBP di Sabah menjadi pemangkin kepada kebangkitan penulis Sabah pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa selepas era itu.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#baimbad (3) #cerpendbp (14) #cerpenkehidupan (8) #dbpselatan (17) #karyasastera (32) #kedah (4) #komsas (3) #penulis (9) #penulisbaharu (35) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (5) #puisijawi (7) #puisimoden (25) #sasteramelayu (11) #sasteramoden (4) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (16) abuyon (5) adie abd gani (6) anak (3) bahasa (3) cerpen (17) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (31) dbpsarawak (4) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (6) Esei (5) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (7) palestin (3) penulis sarawak (16) puisi (35) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (13) rindu (3) sajak (12) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (4) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Seni Warisan Ukiran Tembaga di Terengganu: Warisan Budaya yang Perlu Kekal Hidup
Kearifan Tempatan

Seni Warisan Ukiran Tembaga di Terengganu: Warisan Budaya yang Perlu Kekal Hidup

  • 20 September 2025
  • 168
  • 5
Malam yang Diam
Puisi

Malam yang Diam

  • 5 April 2025
  • 435
  • 4.7
دوهاي اديقكو
Puisi Moden

دوهاي اديقكو

  • 20 Mei 2025
  • 5
Malam Tanpa Cahaya
Puisi

Malam Tanpa Cahaya

  • 10 Ogos 2023
  • 150
  • 4.4

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP