JUSOH Ahmad selain menulis sajak dan cerpen, turut menghasilkan pantun dan gurindam yang menyantuni persoalan berunsur Islamik. Kegigihannya mengangkat tema iman dan takwa dalam karya-karyanya makin terserlah ekoran terbitnya sebuah kumpulan gurindam terbaharu beliau, iaitu Hidup Bertawajuh Dihiasi al-Quran oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2025.
Buku setebal 100 halaman ini mengandungi 27 judul, bermula dengan “Zikir” dan berkesudahan dengan “Liku-liku Tauhid”. Dalam prakatanya, Jusoh Ahmad menegaskan “dengan mencari maksudnya, mencengkam perasaan hati untuk terus hidup bertawajuh. Apa lagi dengan bertambahnya hiasan warna-warni al-Quran. Tunduk dan sujud kepada Allah SWT, Tuhan Yang Maha Berkuasa. Tuhan Sekalian Alam.”

Karya ini dipersembahkan mengikut urutan penyampaian secara kronologi bagi memudahkan pembaca menghayati kandungannya yang berteraskan kepada sikap, perlakuan dan amalan hidup berlandaskan ajaran Islam yang suci selaras dengan perkara yang termaktub dalam al-Quran.
Buku ini boleh dibahagikan kepada tiga fasa. Fasa pertama, menitipkan ingatan kita kepada Allah SWT. Ungkapannya tuntas:
Mengingati Allah lebih besar
Dari hidup terputus sasar.
Dengan berzikir, kita akan sentiasa mengingati dan berada di sisi Allah SWT. Justeru itu, selain mengutip pahala, ia juga mempunyai hikmah yang menjadi radar pemanduan ke arah kehidupan yang lebih baik.
Teras kehidupan orang mukmin sejati ialah solat. Solat sebagai tiang agama, perlu dilaksanakan dengan sempurna kerana ganjarannya:
Ingat solat ingatlah syurga
Siang dan malam berjaga-jaga.
Amal ibadat dan suruhan Allah SWT, terungkap dalam kitab suci al-Quran. Hal ini ditegaskan dalam baris:
Isi al-Quran menjadi pedoman
Untuk manusia penentu iman.
Al-Quran itu mukjizatnya Rasul. Ia merupakan kalam Allah SWT, dibawa oleh malaikat dan disampaikan kepada Rasullullah. Pentingnya al-Quran sebagai pedoman hidup ditekankan lagi dalam baris yang berikut:
Jemputlah membaca ayat-ayat al-Quran
Selagi hayat dikandung badan.
Dengan mengamalkan perintah yang terkandung dalam al-Quran, manusia diajar menjadi makhluk yang sempurna dan memiliki tingkah laku di samping melaksanakan satu bentuk komunikasi yang mengeratkan silaturahim. Justeru itu, ucapan salam menjadi tali penghubung sesama Muslim:
Labuhlah hidup cara berhemah
Memberi salam yang banyak hikmah.
Salam yang melestarikan kesantunan ukhuwah, membawa insan menyedari hakikat diri yang lemah, terdedah kepada kekurangan dan kekhilafan. Ia datang daripada pelbagai punca dan tingkah laku. Lantaran itu, beristighfar menjadi satu landasan untuk mendapat keampunan Allah SWT. Hal ini ditegaskan dalam baris yang berikut:
Pohonlah doa jika bersalah
Jangan biar beku jadi masalah.
Dengan beristighfar, harapannya tidak lain dari:
Ya Allah nanti kami waktu bertemu
Masukkan kami dalam ampun maaf-Mu.
Fasa kedua, Jusoh Ahmad mengalihkan fokus kepada alam kehidupan yang lebih jauh. Dalam Alam Barzakh, beliau menitipkan:
Barzakh itu yang menjadi syarat
Membatasi dunia dengan akhirat.
Alam barzakh ialah alam penantian yang mempunyai kompleksiti yang “rumit dan mencabar” dalam hidup seseorang sebelum dibangkitkan semula di Padang Mahsyar. Banyak “rentetan” yang perlu dilalui, bergantung kepada amal ibadat kita ketika di dunia. Jusoh menampilkan ungkapan:
Sebelum diri dihancur lebur
Mohon terlepas azab barzakh atau kubur.
Jusoh Amad mengalih semula persoalan kepada kisah cinta yang menyentuh ketakwaan kepada Yang Maha Esa. Manusia yang asalnya datang dari syurga (Adam dan Hawa), biarlah kembali ke sana juga. Hal ini boleh dicapai sekiranya manusia mengamalkan amalan baik dan menjauhi yang mungkar. Diadunkan rangkai katanya dengan berkata:
Orang bertakwa kepada Allah
Dapat membeza yang baik dan yang salah.
Ulangan tentang amalan solat juga diungkapkan pada halaman 30-33. Walaupun ada perbezaan dengan solat di halaman 4-6, ia wajar dirangkumkan bagi membina kekuatan dan keserasian yang jitu. Contohnya, pada halaman 4:
Solat ada yang wajib ada yang sunat
Menunaikannya tak tak berasa penat.
Namun pada halaman 34-35, solat sunat witir, duha, tasbih diperjelas dengan lebih mendalam. Sama halnya dengan Al-Quran pada halaman 7-9. Walaupun halaman ini ditekankan tentang bacaan, khatam dan manfaatnya, pada halaman 36-37 diperhalus semula tentang pemahaman, adab dan syafaat yang boleh dikutip, jika dicantumkan ia menjadi lebih mantap dan tersusun.
Walau bagaimanapun kumpulan gurindam ini kekal memberi tumpuan kepada persoalan pokok tentang seruan yang tidak boleh dikesampingkan dengan zikir dan doa dalam mencari keredaan Allah SWT. Suruhan dan tegahan menampilkan ingatan agar hidup tidak tersasar:
Hati-hati jagalah perasaan
Dengan permainan iblis dan syaitan.
Dalam hidup manusia, iblis dan syaitan ialah perasuk yang sentiasa mencari jalan supaya manusia terbabas ke jalan yang salah. Dalam hubungan ini, peranan sesama manusia adalah dituntut:
Melarang menegah fardu kifayah
Seorang melarang yang lain tak payah.
Bagi mencapai matlamat hidup yang sempurna, manusia tidak dapat lari daripada pelbagai godaan. Selain berjihad, memahami yang haram dan yang baik, manusia juga perlu sedar, sebagai hamba Allah SWT dan hamba dunia, manusia juga diberi kesempatan bertaubat:
Kami bertaubat nak hati berubah
Setiap hari nak penuhi ibadah.
Fasa ketiga kumpulan gurindam ini, setelah patuh dan menuruti perintah Allah, kesimpulannya ialah bersyukur Itu nikmat. Jangan membantah perkara yang Allah SWT perintahkan, kekayaan di dunia itu bukan isu utama dalam kebahagiaan hidup, sebaliknya kita perlu bermurah hati dan bertenang diri dengan dunia dan sentiasa muraqabah terhadap Allah.
Diakhiri dengan “Liku-liku Tauhid” dari halaman 84-93, ditekankan dengan ungkapan:
Tauhid itu adalah cahaya
Ambillah ingat jika hendak berjaya.
Keinginan dan tekad untuk menjadi insan yang sempurna, diwaraskan dalam baris:
Bergantung tauhid kepada al-Wali
Berputus asa jangan sekali.
Melalui kekuatan iman dan takwa, seseorang akan lebih berwibawa menjadi insan yang sempurna. Hal ini ditegaskan dalam baris yang berikut:
Kuatkan iman tauhidkan Allah
Perkara khurafat tak masuk mencelah.
Akhirnya, melalui iman dan takwa yang kental, manusia akan berada di landasan yang dirahmati Allah SWT. Pastinya:
Ke Jalan Allah biarlah selesa
Dunia dan akhirat Allah berkuasa.
Kumpulan Gurindam Hidup Bertawajuh Dihiasi al-Quran merupakan buah tangan Jusoh Ahmad yang patut menjadi bacaan bukan sahaja mereka yang meminati gurindam, tetapi juga semua khalayak sastera yang meminati karya yang bermanfaat ke arah anjakan pemikiran Islamik yang menjadi wadah generasi yang mencari dan mahu menambah pengetahuan dalam bentuk bahasa tradisional, yakni gurindam. Walaupun setiap baris gurindam wajar mempunyai suku kata antara 10 hingga 14 sahaja, terdapat juga beberapa baris yang tidak diimbangi dengan dengan wajar dan hal ini mengurangkan rentak dan rima gurindam yang serasi. Hal ini dapat dilihat dalam baris yang berikut (halaman 52):
Ambil yang baik yang maksiat berdiam diri
Tanda orang berilmu lagi bijak bistari.
Sekalung tahniah dan syabas kepada Cikgu Jusoh Ahmad, semoga beliau diberikan kesihatan yang baik untuk teruskan berkarya meskipun rakan-rakan seperjuangan dan seusia dengan cikgu sudah meletakkan pena, keletihan dan tidak berdaya lagi memerahkan minda kreatif yang tajam dan penuh makna.
