JAUH daripada keluarga ketika berada di sekolah berasrama bukanlah sesuatu yang mudah bagi Dr. Maskiah Masrom, penulis prolifik dari selatan tanah air. Namun, daripada rasa rindu itulah lahirnya tulisan yang kemudiannya menjadi antara titik mula perjalanan beliau dalam dunia sastera. Malah, gelora emosi rindunya yang mencengkam dada ketika berada di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad, Muar pada tahun 1970-an sewaktu berusia 14 tahun, tidak diluahkan menerusi ratapan yang sia-sia. Sebaliknya, melalui pena dan lembaran kertas, rasa sepi itu ditenun menjadi sebuah karya kreatif bertajuk “Sepanjang Jalan Kenangan” yang akhirnya tersiar dalam majalah Salina.

Beliau mengakui bahawa segalanya bermula daripada tabiat membaca yang sangat mendalam sejak kecil lagi. Di sebuah rumah tempat beliau membesar bersama-sama keluarga, terdapat sebuah almari kecil di dalam kamar tidur ibu bapanya yang menyimpan pelbagai bahan bacaan. Antaranya termasuklah buku berkaitan agama, adat, bahasa Melayu dan karya dari Indonesia. Beliau tidak memilih bahan bacaan dan turut membaca buku yang dibaca oleh bapanya.
Pengalaman pembacaan yang tidak terbatas kepada satu jenis bahan akhirnya mempengaruhi beliau melihat bahasa dan cerita, sehingga lama-kelamaan menimbulkan keinginan untuk menulis dan menghasilkan karya sepenulis buku yang dibacanya.
Lima Sumber Ilham
Dr. Maskiah Masrom menjelaskan bahawa ilham tidak datang daripada satu sumber sahaja, tetapi hadir menerusi lima inspirasi utama iaitu, pengalaman mimpi yang membawa arus kesedaran (stream of consciousness), kisah nyata manusia di sekeliling, hasil pembacaan tuntas, pengalaman pengembaraan, serta syarat-syarat khusus penganjuran pertandingan sastera.
Lima Pantang Larang Penulisan
Sebagai seorang pengarang beridentiti Islam, Dr. Maskiah Masrom memegang teguh lima prinsip yang digariskannya dalam setiap penulisan yang dihasilkannya. Pertama, beliau menulis karya dalam bahasa Melayu kerana sesebuah bahasa dapat dimartabatkan melalui pendokumentasian karya. Dr. Maskiah sentiasa memastikan dirinya berdiri tegak tanpa penggunaan bahasa rojak yang pada akhirnya akan merosakkan perkembangan bahasa Melayu pada masa depan.
Kedua, beliau menolak penggunaan kata-kata makian dan bahasa kesat dalam karyanya. Prinsip teguh yang dipegang teguh oleh Dr. Maskiah membuktikan bahawa mesej yang sarat dengan realiti kehidupan yang pahit atau konflik yang tegang sekalipun, masih mampu disampaikan dengan berkesan tanpa perlu mengetepikan nilai tata susila dan estetika penulisan.
Ketiga, beliau tidak membenarkan sebarang adegan berunsur erotik, porno atau lucah dimuatkan dalam penulisan. Bagi beliau, seorang pengarang memikul tanggungjawab sosial yang besar terhadap pemikiran pembaca, justeru itu setiap baris fiksyen yang dihasilkan haruslah bersifat mendidik dan menyuci jiwa, bukannya merangsang nafsu.
Pendirian tegas ini bertitik tolak daripada kesedaran beliau untuk menjaga batas-batas syariat, sekali gus membuktikan bahawa sastera Islamik atau sastera murni mampu berdiri teguh tanpa perlu bersandarkan eksploitasi unsur sensitif demi meraih populariti murah.
Keempat, beliau tidak mahu menghasilkan karya yang merendahkan agama serta yang terakhir beliau menolak kemasukan unsur yang bertentangan dengan akidah. Dr. Maskiah berpandangan, karya sastera bukan sekadar wadah seni kreativiti yang bebas, tetapi merupakan sebuah amanah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak, sekali gus menuntut pemeliharaan kesucian Islam dalam setiap bait aksara.
Yang menariknya, Dr. Maskiah sentiasa memastikan penulisannya wajib dihiasi dengan bahasa yang indah, pengajaran yang mendidik, serta perwatakan yang menjulang nilai akhlak mulia.
Melalui pendekatan sedemikian, beliau beryakinan teguh bahawa karya sastera tidak sekadar berfungsi sebagai bahan hiburan halwa telinga, malah bertindak sebagai cermin rujukan moral yang mampu menyentuh sanubari pembaca. Kesan daripada adunan diksi yang puitis dan teladan yang utuh ini secara tidak langsung meninggalkan impak psikologi yang positif dalam membentuk jati diri masyarakat.
Keunggulan Cerpen “Selimut’
Antara ratusan karya yang ditulis, cerpen “Selimut” memegang tempat paling istimewa dalam sanubari beliau. Karya tersebut mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi dua anugerah sastera besar, iaitu Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2014 serta Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2014. Isu kesesatan Syiah yang teramat berat telah diolah secara bijaksana oleh beliau menerusi kiasan ‘musuh dalam selimut’, sekali gus memperlihatkan bahawa mesej dakwah dan nilai estetika sastera mampu dipadukan secara harmoni.
Menurut Maskiah Masrom, cerpen tersebut merupakan kisah benar berkaitan seorang wanita yang berkahwin dengan lelaki daripada aliran Syiah. Selain itu, keistimewaan karya ini turut merakamkan keupayaan beliau mengimbangi antara mesej dakwah yang berat dengan keindahan seni persuratan.
Amanah Sasterawan Negeri Johor Ke-14

Pada 23 April 2026, perjalanan panjang Dr. Maskiah Masrom dalam dunia persuratan menerima satu lagi pengiktirafan terunggul apabila beliau dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Johor ke-14 dalam Majlis Penyampaian Anugerah Sastera Johor ke-14 di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Yayasan Warisan Johor. Beliau menerima watikah penghargaan, wang tunai RM10,000 dan hadiah iringan.
“Sebenarnya, saya merasakan amanah ini cukup berat. Ketika menerima pengiktirafan, memang ada rasa gembira, syukur, bangga dan bahagia kerana bukan mudah untuk mencapai tahap ini. Namun, selepas menerimanya, saya sedar bahawa beratnya tanggungjawab yang dipikul jauh lebih besar daripada perasaan yang saya rasakan pada awalnya,” kata Maskiah Masrom.
Sebagai Sasterawan Negeri Johor ke-14, beliau sedar bahawa dirinya membawa nama negeri dan golongan sasterawan. Oleh yang demikian, setiap tindakan, tutur kata dan pandangan perlu dijaga agar tidak menjejaskan kedua-duanya.
Menyemai Minat Generasi Muda
Usaha membimbing generasi muda dan melahirkan pelapis penulis terus diteruskan oleh Dr. Maskiah Masrom menerusi peranan beliau sebagai pensyarah dan pengarah di Institut Persuratan Melayu di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI). Perihal ini dibuktikan melalui ikhtiar beliau yang sentiasa mendorong para pelajar terutamanya dalam bidang pengajian Islam dan perguruan untuk meninggalkan ‘tanda jasa’ kepada masyarakat di dunia menerusi penulisan buku. Melalui bimbingan yang berterusan, beliau terus memberi dorongan kepada generasi muda untuk mendekati dunia penulisan dan seterusnya melahirkan pelapis yang mampu meneruskan legasi persuratan tanah air.
Pada akhirnya, sastera bukan tentang siapa yang paling banyak menulis, tetapi tentang apa-apa yang mampu ditinggalkan melalui tulisan. Dalam perjalanan Dr. Maskiah Masrom, memperlihatkan bahawa nilai seorang sasterawan tidak hanya terletak pada jumlah karya atau anugerah yang diraih, tetapi pada sejauh mana pemikiran dan nilai yang dibawanya mampu memberi makna kepada masyarakat. Walhal, dalam dunia yang semakin pantas berubah, sastera tetap mempunyai ruang untuk merakam pengalaman manusia, menyampaikan teguran secara halus dan membentuk cara generasi melihat kehidupan.
Oleh yang demikian, pengiktirafan sebagai Sasterawan Negeri Johor ke-14 yang disandangnya bukan semata-mata lambang penghormatan, tetapi turut mencerminkan kepercayaan terhadap pengalaman, pemikiran dan suara beliau untuk terus memperkaya khazanah persuratan Melayu. Selagi karya terus dibaca dan ilmu terus dikongsikan, perjalanan seorang sasterawan tidak berakhir pada sebuah penghargaan, sebaliknya terus hidup melalui pembaca dan penulis yang datang selepasnya.
