AURORA memandang kosong ke luar tingkap kereta. Hatinya berat ketika melihat papan tanda besar sekolah tahfiz yang semakin hampir.
“Belajar elok-elok ya, Aurora,” pesan ibunya sambil tersenyum.
Aurora hanya mengangguk perlahan. Sebenarnya, dia tidak pernah meminta untuk masuk ke sekolah tahfiz. Dia tidak pernah bercita-cita mahu menjadi seorang hafizah. Namun, dia tahu betapa besar harapan kedua-dua ibu bapanya. Mereka mahu sekurang-kurangnya seorang anak perempuan dalam keluarga mereka menjadi penghafaz al-Quran. Jadi, Aurora mengalah. Dia mengikut sahaja.
Walaupun jauh di sudut hati, dia selalu tertanya-tanya, “aku ni layak ke jadi hafizah?”
Hari pertama persekolahan, Aurora datang dengan seribu harapan. Dia membayangkan semua pelajar di sekolah agama akan ramah, baik dan mudah berkawan. Namun, realitinya jauh berbeza. Dia melihat kelompok-kelompok kecil yang berlaku dalam kalangan pelajar. Yang itu berkawan dengan yang ini, yang ini berkawan dengan yang itu.
Aurora berdiri sendirian. Tiada siapa mengajaknya berbual dan menghulurkan salam persahabatan. Dia kecewa tetapi dia cuba memahami.
“Mereka pun manusia biasa,” bisiknya. Mereka ada hak untuk berkawan dengan sesiapa yang mereka mahu,” bisik hati Aurora.
Lalu Aurora memilih untuk bersabar. Hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan. Dia makan seorang diri, duduk seorang diri, berjalan seorang diri, pergi ke surau seorang diri dan pulang seorang diri. Kadang-kadang, ketika waktu rehat, dia akan masuk ke tandas. Mengunci pintu dan menangis. Itulah satu-satunya tempat yang tidak ada sesiapa melihat air matanya.
Di kelas hafazan, semangatnya semakin hilang. Dia melihat rakan-rakannya menghantar hafalan dengan lancar. Sedangkan dia masih terkial-kial di juzuk 30. Tidak bergerak, tidak meningkat dan tidak berubah.
Setiap kali pulang ke rumah, ibu bapanya akan bertanya. “Hari ni macam mana sekolah?”
Aurora hanya menjawab ringkas. “Okey.”
Sedangkan hakikatnya, tiada apa yang ingin diceritakan. Apa yang hendak dikongsikan? Mahu bercerita tentang dia tiada kawan? Dia makan seorang diri? Dia menangis hampir setiap hari? Akhirnya dia berhenti bercerita.
Aurora mempunyai dua orang abang. Salah seorang daripadanya ialah Zarief. Zarief juga belajar di sekolah tahfiz. Tetapi ketika Aurora masih bergelut dengan juzuk 30, Zarief sudah berada di juzuk 18.
Setiap kali pulang ke kampung, Aurora melihat sendiri bagaimana orang memuji abangnya. “Masya-Allah, Zarief. Nampak bercahaya muka. Bagus betul hafalan dia.”
Aurora hanya tersenyum. Namun di dalam hati, dia bertanya. “Kalau muka abang bercahaya, adakah muka aku nampak gelap?”
Soalan itu sering membuatkan dadanya sesak. Apabila saudara-mara bertanya tentang sekolah sepupu-sepupunya, mereka akan teruja. “Wah, pandainya! Wah, hebatnya!”
Tetapi apabila Aurora menjawab bahawa dia belajar di sekolah tahfiz, kebanyakan mereka hanya berkata. “Oh!” Sekadar itu.
Aurora pulang dengan hati yang terluka. Malam-malamnya dipenuhi tangisan dan doa. Hanya Allah yang menjadi tempat dia meluahkan perasaan.
Keadaan menjadi semakin buruk. Aurora mula mencari alasan untuk tidak hadir ke sekolah. Kadang-kadang dia berpura-pura sakit perut, sekolah cuti dan mereka cerita tentang masalah elektrik dan air. Walaupun dia tahu ibu bapanya mula mengesyaki sesuatu, mereka tidak pernah memarahinya. Mereka hanya diam. Diam yang penuh pengertian.
Ada minggu yang Aurora hadir hanya dua hari sahaja. Namun anehnya, guru hafazannya tidak pernah mempersoalkannya. Mungkin guru itu memahami sesuatu yang Aurora sendiri tidak mampu luahkan.
Tahun demi tahun berlalu. Aurora kini berada di tingkatan tiga. Tiga tahun tanpa sahabat, tiga tahun tanpa semangat dan memujuk dirinya untuk terus bertahan.
Suatu hari, ketika sedang melayari media sosial, muncul satu video ceramah. Aurora tidak ingat siapa ustaz itu. Tetapi kata-katanya menusuk jauh ke dalam hati. “Kenapa kita malu menjadi hafiz atau hafizah, sedangkan penghafaz al-Quran ialah golongan yang mulia? Dan ingatlah, Allah tidak akan menguji seseorang melainkan Dia tahu hamba itu mampu.”
Aurora terdiam. Matanya berkaca. Seolah-olah Allah sedang berbicara terus kepadanya. Malam itu pula dia teringat kata-kata seorang ustazah di sekolah. “Kalau kamu tertanya-tanya kenapa kamu berada di sini, ingatlah, Allah ada sebab memilih kamu. Bukan semua orang mampu bertahan di sekolah agama.”
Malam itu Aurora menangis lagi. Tetapi kali ini bukan kerana kecewa. Sebaliknya kerana hatinya mula terpujuk. Aurora mula berubah. Dia mula bangun awal pagi untuk menghafal. Mengulang hafazan selepas Subuh dan mengulang lagi selepas Maghrib. Sedikit demi sedikit hafalannya meningkat. Daripada juzuk 30, dia berjaya naik ke juzuk satu. Kemudian juzuk dua. Kemudian juzuk tiga.
Buat pertama kali dalam hidupnya, dia mula percaya bahawa dia sebenarnya mampu. Antara insan yang paling banyak memberi semangat kepadanya ialah nenek. Setiap kali Aurora mengadu penat dan sedih, neneklah yang mendengar. Neneklah yang memujuk dan sentiasa percaya kepadanya. Namun Allah lebih menyayangi nenek.
Ketika Aurora berada di tingkatan tiga, nenek meninggal dunia. Dunia Aurora terasa gelap. Hafalannya terhenti. Semangatnya merosot.
Pada suatu malam, selepas berhari-hari memendam rasa, Aurora berbisik. “Ya Allah, susahnya! Aku rasa nak mengalah.”
Malam itu dia tertidur dan dia bermimpi. Dalam mimpi itu, dia melihat arwah nenek duduk di hadapannya.
Aurora terus menangis. “Nenek, susahlah! Adik rasa adik tak boleh!”
Nenek tersenyum. “Adik boleh. Adik boleh. Nenek yakin sangat yang adik boleh. Sebab cucu nenek ni hebat. Adik hebat!”
Aurora terjaga dengan air mata membasahi pipinya. Sejak malam itu, setiap kali dia ingin berputus asa, dia akan mengingati kata-kata nenek. “Adik hebat!”
Semakin dewasa, Aurora mula memahami sesuatu. Dia tidak perlu menjadi seperti Zarief. Dia tidak perlu menjadi seperti orang lain. Dia hanya perlu menjadi dirinya sendiri. Dia berhenti membandingkan diri. Berhenti mengejar pengiktirafan manusia. Berhenti mencari pujian. Dia menghafal kerana Allah dan bukan kerana manusia.
Dan anehnya, sejak itu hatinya menjadi tenang. Walaupun masih tiada kawan dan masih bersendirian tetapi dia tidak lagi berasa sunyi kerana dia yakin Allah sentiasa ada dan al-Quran sentiasa menemaninya.
Tiga tahun terakhir di sekolah tahfiz dilaluinya dengan satu tujuan. Menghabiskan hafazan. Aurora bangun sebelum Subuh. Menghafal, mengulang, menghafal lagi dan mengulang lagi. Hari demi hari, bulan demi bulan. Sehingga akhirnya dia berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk. Aurora sujud syukur. Dia menangis bukan kerana sedih tetapi kerana terlalu syukur.
Dia terkenang dirinya yang dahulu. Gadis yang datang ke sekolah tanpa rela, gadis yang menangis sendirian di tandas dan gadis yang tidak mempunyai seorang sahabat pun. Namun Allah tidak pernah meninggalkannya.
Selepas tamat tahfiz, Aurora dihantar ke sebuah program Fast Track SPM di Hulu Langat. Kali ini dia perlu tinggal di asrama. Aurora sedih. Dia tidak pernah berjauhan dengan ibu bapanya. Tetapi seperti biasa, dia mengikut sahaja.
Malam sebelum mendaftar, dia berdoa. “Ya Allah, kalau boleh hadirkanlah seorang kawan yang baik.” Itu sahaja permintaannya.
Hari pertama di sana, sesuatu yang tidak pernah dia sangka berlaku. Seorang pelajar tersenyum kepadanya. Kemudian seorang lagi. Kemudian seorang lagi. “Awak baru kan? Jom duduk sini. Nama awak siapa?”
Aurora terpinga-pinga. Selama enam tahun dia hidup dalam kesunyian. Kini, tiba-tiba ramai yang menyapanya. Ramai yang mengambil berat dan ramai yang ingin berkawan dengannya.
Aurora hampir menangis. Allah akhirnya menjawab doanya. Di sekolah itu, dia belajar sesuatu yang baharu.
Apabila dia termenung, pasti ada yang bertanya. “Awak okey? Kenapa? Ceritalah.”
Jika dia tidak faham pelajaran, pasti ada yang membantu. Tiada yang merendahkan dan memperlekehkannya. Guru-gurunya juga luar biasa. Sabar, lembut dan penuh keyakinan.
Mereka sentiasa berkata, “Kamu boleh. Kami percaya pada kamu.”
Dan buat pertama kali dalam hidupnya, Aurora memahami betapa pentingnya seseorang mempercayai kita. Ketika percubaan SPM, hampir seluruh kelas gagal Matematik. Hanya segelintir yang lulus. Semua murid murung. Takut dan risau.
Lalu seorang pelajar bertanya kepada guru Matematik. “Cikgu kecewa tak dengan kami?”
Guru itu tersenyum. “Saya langsung tak kecewa. Sebab saya yakin kamu semua boleh berjaya. Saya percaya nanti ramai antara kamu akan dapat A.” Kata-kata itu membakar semangat seluruh kelas.
Mereka belajar bersungguh-sungguh. Berdoa, berusaha dan bertawakal. Dan apabila keputusan SPM diumumkan, ramai benar yang memperoleh A. Termasuk Aurora.
Pada hari itu, Aurora tersenyum sambil memegang slip keputusan. Akhirnya dia dapat menunjukkan kepada ibu bapanya bahawa pelajar tahfiz juga mampu berjaya dalam akademik. Saudara-mara yang dahulu memandang rendah kini terkejut.
Namun Aurora tidak lagi mencari pengiktirafan mereka kerana dia sudah belajar satu perkara yang sangat berharga. Kesabaran tidak pernah sia-sia.
Kadangkala Allah membiarkan seseorang berjalan sendirian bertahun-tahun lamanya bukan kerana Dia meninggalkannya, tetapi kerana Dia sedang membentuk hati seseorang supaya kuat.
Aurora memandang ke langit sambil tersenyum. “Terima kasih, ya Allah. Kerana ketika semua orang tidak nampak kekuatanku. Engkau sentiasa nampak.”
Dan itulah hadiah paling indah dalam hidupnya.
