Skip to content
Estetika Malam Bulan Dipagar Bintang: Simfoni Romantisme Zaman Silam
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Sastera > Estetika Malam Bulan Dipagar Bintang: Simfoni Romantisme Zaman Silam
Estetika Malam Bulan Dipagar Bintang: Simfoni Romantisme Zaman Silam
Bicara Sastera

Estetika Malam Bulan Dipagar Bintang: Simfoni Romantisme Zaman Silam

  • Intan Zubaidah
  • 20 Disember 2025
  • DBP Cawangan Sarawak
  • 178

LAGU  ialah suatu bentuk seni yang indah. Menghasilkan sebuah lagu yang membekas di hati pendengar merupakan tugas berat seorang seniman. Indah, merdu serta menyentuh hati akan menjadikan sebuah lagu itu mahal pada nilainya.

Seniman Agung P. ramlee ialah seorang pengarah, pelakon, penyanyi dan pencipta lagu tersohor. Karya-karyanya, baik  dalam bentuk filem mahupun lagu sentiasa membekas di hati peminat. Karya-karya beliau berkualiti tinggi hingga mampu merentas batasan zaman. Jalan cerita yang menarik serta garapan watak-watak yang kuat, menjadikan filem-filem arahan beliau masih menjadi tontonan hingga kini. Alunan lagu ciptaannya yang mengasyikkan dengan lirik yang membuai, menjadikan ia masih membelai telinga pendengar meski sudah ditulis puluhan tahun dahulu.

Antara filem yang masih menjadi tayangan di stesyen televisyen tempatan termasuklah Bujang Lapok, Labu Labi, Nujum Pak Belalang dan Madu Tiga. Filem-filem ini juga diingat kerana runut bunyi filemnya seperti Nak Dara Rindu, Aci Aci Buka Pintu, Bunyi Gitar mahupun Madu Tiga.

Setiap filem yang dihasilkan pasti tidak lengkap tanpa lagu yang mengiringi jalan ceritanya. Menurut Colin H. McGinn, “Music in film plays a crucial role in not only creating emotional depth but also in enhancing the narrative structure, enabling the audience to connect more deeply with the characters and the story”.

Begitu sekali pentingnya muzik tema dalam sesebuah filem, sehingga ia disebut McGinn sebagai pencipta kedalaman emosi dengan menghubungkan penonton kepada watak dan penceritaan. 

Antara filem P. Ramlee yang terkenal ialah Pendekar Bujang Lapok. Filem ini menceritakan tentang tiga orang sahabat, iaitu Ramlee, Sudin dan Aziz. Mereka bertiga berhasrat untuk mendalami ilmu silat setelah terlibat dengan pergaduhan di sebuah pangkalan penambang. Bermacam-macam dugaan harus mereka hadapi sepanjang tempoh menuntut ilmu silat.

Filem komedi klasik ini menggabungkan unsur komedi, aksi dan kritikan sosial yang dipersembahkan secara santai hingga terkesan menghiburkan. Di balik isu kemasyarakatan yang ditampilkan, bumbu-bumbu asmara turut dimasukkan dalam plot filem bagi menambah manis jalan cerita.

Rose, anak gadis Pendekar Mustar, digambarkan sebagai seorang guru di sebuah sekolah bagi orang dewasa yang buta huruf. Dia awalnya tidak senang dengan kehadiran ketiga-tiga bujang lapok di rumah keluarganya kerana menganggap mereka sebagai ancaman. Pun begitu, usaha ketiga-tiga mereka untuk memohon maaf, telah melembutkan hatinya.

Sejak itu, ketiga-tiga sahabat itu pun cuba untuk mengambil hati anak gadis guru silat mereka itu. Dalam salah satu babak filem ini, semasa ketiga-tiga mereka sedang berlatih silat, mereka telah bergilir-gilir meninggalkan latihan untuk menemui Rose atas alasan seluar koyak. Di situlah, ketiga-tiga mereka bercakap secara langsung dengan Rose untuk memperkenalkan keperibadiannya masing-masing.

Alunan lagu Malam Bulan Dipagar Bintang yang digunakan sebagai latar babak kedekatan antara Ramlee dan Rose, benar-benar tepat. Lagu dengan genre balada ini, memiliki melodi khas dengan makna kasih sayang yang mendalam sehingga mampu menyuntik kesan romantis.

Berdasarkan buku “Music and Meaning: Towards a Cultural Theory of Music” (2012) karya Philip Tagg, “The slow tempos and lyrical melodies of ballads often evoke feelings of intimacy and longing, making them particularly effective at conveying romantic emotions in both lyrics and musical expression”. Irama lagu yang merdu dan membelai, diserikan lagi oleh lirik dengan makna mendala, telah menjadikan alam sebagai perumpamaan akan sebuah perasaan. Kehalusan karya seniman agung ini dapat dilihat daripada penggalan lirik berikut:

Malam bulan dipagar bintang
Makin indah jika dipandang
Bagai gadis beri senyuman
Pada bujang idaman

Susunan dan pilihan kata dalam rangkap pertama lagu ini begitu lembut sekali. Suatu bentuk perumpamaan yang menunjukkan pujian akan manisnya senyuman seorang gadis hingga mampu mengingatkan penyanyi pada keindahan malam yang diterangi oleh bulan dan bintang.

Perumpamaan Malam Bulan Dipagar Bintang itu menjelaskan akan sesuatu yang menawan. Bulan itu sendiri ialah simbol untuk suatu yang indah dan istimewa. Bintang pula merupakan hiasan kecil yang berkelip-kelip di langit malam. Istilah “dipagar” diambil untuk menjelaskan situasi diapit ataupun dikelilingi. Ketika sesuatu yang indah dan istimewa dikelilingi oleh hiasan kecil yang berkelip-kelip, ia akan mewujudkan malam yang lebih mempersona. Itulah gambaran P. Ramlee tentang keindahan senyuman gadis idamannya dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

Belai kasih ingin dimanja
Dengan cumbuan mesra
Untuk pelipur lara
Penawar dek asmara

Lagu diteruskan dengan permintaan watak Ramlee yang ingin cintanya dibalas oleh Rose. Penggalan ini digarap romantis dengan patah-patah kata yang dimulakan dengan menyatakan hasrat hati lalu disambung dengan kemanisan kisah cinta jika diakhiri dengan kebersamaan  antara kedua-dua watak.

Bahagian pertama lagu ini didominasi oleh suara penyanyi lelaki, iaitu P. Ramlee. Secara tidak langsung ia mempamerkan usaha seorang lelaki yang ingin mendekati gadis idamannya. Beliau telah menampakkan ketegasan seorang lelaki yang yakin akan keseriusan serta komitmennya untuk sesebuah hubungan.

Seterusnya, lagu Malam Bulan Dipagar Bintang ini dilanjutkan ke rangkap ketiga. Pada rangkap ini barulah suara penyanyi wanita, iaitu Saloma yang mewakili watak Rose, ditonjolkan. Berikut ialah rangkap nyanyian yang dimaksudkan:

Malam bulan dipagar bintang
Tambah seri cuaca malam
Murni sungguh ciptaan Tuhan
Bulan bintang lampu alam

Balasan daripada nyanyian ini menjadi antara bahagian paling menarik pada lagu Malam Bulan Dipagar Bintang. Jika didengar sekali lalu, maka pendengar akan menganggap rangkap ini tidak selari dengan dua rangkap sebelumnya.
Pada penggalan inilah kerja halus seorang penulis lirik itu patut dipuji. Beliau berjaya menyulam nilai tinggi seorang gadis Melayu ke dalam setiap bait yang dinyanyikan.

Kehormatan watak Rose dipelihara baik dengan cara membalas permintaan Ramlee dengan kiasan yang begitu indah. Ros tidak mengiakan secara terang-terangan akan perasaan yang dia miliki. Dia memberi gambaran keindahan alam sebagai lapisan luar dari perasaannya yang terdalam. Yang membuat kita tahu bahawa cinta yang berputik di hati boleh diibaratkan seperti keindahan malam yang diterangi oleh cahaya bulan dan bintang.

Setelah kedua-dua watak saling meluahkan isi hati masing-masing, mereka pun menutup lagu dengan rangkap terakhir. Watak Ramlee dan watak Ros menyanyikan serentak penggalan lirik seperti di bawah ini dengan harmoni hingga memberikan kesan syahdu.

Andai kata bintang menyepi
Bulan tidak berseri
Malam menjadi sunyi
Tidak berseri lagi

Begitulah bayangan mereka akan kelompongan perasaan cinta tidak berbalas atau terpisah. Malam akan kosong kerana penyerinya, iaitu bintang dan bulan tidak melimpahkan keindahan cahayanya. Sama seperti sepinya perasaan seseorang sekiranya orang yang dia sayangi tidak bersama dengannya.

Masyarakat Melayu melihat alam sebagai suatu yang akrab dengan jiwa manusia (Salinah Jaafar, 2017). Disebabkan itulah malam, bulan dan bintang yang dibahas dalam lagu ini mampu mewakili perasaan watak-watak yang terlibat, iaitu Ramlee dan Ros.

Kesimpulannya, lagu Malam Bulan Dipagar Bintang dari filem Pendekar Bujang Lapok merupakan salah satu karya istimewa seorang seniman agung Malaysia. Walaupun sudah ditulis lebih setengah abad yang lalu, irama serta lirik lagu ini masih berupaya untuk membuai pendengarnya. Ia menyuntik kemanisan pada babak kebersamaan  antara watak Ramlee dan Rose hingga penonton dapat menikmati suasana romantis pada filem tersebut.

# dbpcawangansarawak# Esei
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Selamat Malam Cinta Pertama
Puisi

Selamat Malam Cinta Pertama

  • 6 Mac 2024
  • 228
  • 4.7
اڤي اورڠ مودا
Puisi Moden

اڤي اورڠ مودا

  • 20 Januari 2026
  • 4.8
Januari, Tebakang Berduka
Puisi

Januari, Tebakang Berduka

  • 5 Februari 2025
  • 144
  • 4.8
Bermain Sembunyi-sembunyi
Puisi

Bermain Sembunyi-sembunyi

  • 7 November 2025
  • 138
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP