DI kebanyakan tempat di dunia pada hari ini, kemajuan semakin kehilangan arah. Kemajuan sesebuah wilayah diukur melalui bangunan pencakar langit, penggunaan teknologi dalam kehidupan harian, dan kemudian lahir pula kecerdasan buatan yang mula menggantikan banyak tugas manusia. Namun dalam masa yang sama, kebencian, manipulasi, kerakusan dan penindasan meliar seperti virus yang merebak tanpa terkawal. Amat menakutkan.
Jelas, kita hidup pada zaman yang sarat dengan maklumat tetapi miskin kebijaksanaan. Dunia pada masa kini seakan-akan sedang berubah menjadi sebuah belantara yang dihuni oleh makhluk homo sapiens yang saling memburu sesama spesiesnya, memperalat dan menindas antara satu sama lain demi kuasa, pengaruh dan keuntungan peribadi.
Hakikatnya, kemajuan yang gagal melahirkan manusia berakhlak sebenarnya bukanlah kemajuan yang sebenar. Sejarah memperlihatkan bahawa tamadun yang hebat tidak runtuh kerana kekurangan teknologi, tetapi kerana keruntuhan nilai.
Apabila integriti, belas ihsan dan rasa tanggungjawab terhadap manusia lain semakin terhakis, sesebuah masyarakat sebenarnya sedang bergerak menuju kemerosotan walaupun kelihatan maju pada mata dunia.
Dalam konteks inilah pendidikan seharusnya memainkan peranan sebagai benteng terakhir yang mempertahankan nilai kemanusiaan daripada terus terhakis. Persoalannya, ke mana perginya sistem pendidikan yang selama ini dianggap sebagai tiang pembentukan kemanusiaan?
Pendidikan hari ini terlalu banyak menumpukan pada pencapaian material dan kebolehpasaran ekonomi. Sekolah dan universiti semakin sibuk melahirkan tenaga kerja, tetapi kurang memberi perhatian terhadap pembentukan manusia.
Kita diajar untuk menjadi modal insan yang kompetitif, tetapi tidak diajar untuk menjadi manusia yang berperikemanusiaan. Manusia dilatih untuk mengejar kejayaan, tetapi jarang sekali dididik untuk memahami makna moraliti, keadilan, empati dan tanggungjawab sosial. Akibatnya, lahirlah manusia yang cerdas akal tetapi tumpul nuraninya.
Lebih membimbangkan, dunia pendidikan kini dibanjiri dengan lambakan ilmu pseudo, yakni ilmu yang kelihatan seperti ilmu, tetapi sebenarnya kosong daripada nilai kebenaran dan kemanusiaan. Ilmu pseudo bukan sahaja menyebarkan maklumat palsu atau teori konspirasi, tetapi juga segala bentuk pengetahuan yang digunakan semata-mata untuk manipulasi, propaganda dan kepentingan peribadi.
Dalam era media sosial misalnya, ramai manusia lebih percaya kepada sensasi daripada fakta dan lebih tertarik kepada retorik daripada pemikiran kritis. Generasi yang sedang dilahirkan merupakan generasi yang haus teknologi. Malangnya, mereka tidak tahu membezakan antara kebenaran dengan kepalsuan. Keadaan ini seakan-akan sebuah isyarat bahawa sistem pendidikan dunia sedang dalam fasa kepincangan.
Fenomena ini menjadi lebih membimbangkan apabila kecerdasan buatan dan teknologi digital semakin memudahkan manusia memperoleh jawapan tanpa perlu melalui proses berfikir yang mendalam. Maklumat dapat dijana hanya dalam beberapa saat. Namun, kebijaksanaan yang sebenar tidak dapat dicapai secara segera. Ia menuntut proses yang lebih kritis, melibatkan pembacaan, penilaian, pertimbangan dan penaakulan yang mendalam. Tanpa kemampuan tersebut, manusia hanya menjadi pengguna maklumat, bukannya pencari ilmu.
Oleh sebab itu, pendidikan tidak seharusnya hanya menjadi mesin pengeluaran sijil dan pekerja industri semata-mata. Pendidikan mesti kembali kepada tujuan asalnya, iaitu untuk membentuk manusia yang berfikir, berakhlak dan mampu memperbaiki dunia. Secara asasnya, konsep ilmu tidak pernah dipisahkan daripada nilai moral dan tanggungjawab sosial. Ilmu bukan alat untuk mendapatkan pekerjaan, melainkan jalan untuk memahami hakikat kehidupan dan memperbaiki hubungan sesama manusia.
Ilmu sebenar ialah ilmu yang mengubah manusia menjadi lebih baik. Ilmu sebenar menjadikan seseorang lebih rendah hati, lebih adil dan lebih memahami penderitaan orang lain. Ilmu sebenar tidak melahirkan manusia yang memperalatkan manusia lain demi keuntungan peribadi, tetapi melahirkan manusia yang membantu membebaskan manusia lain daripada penindasan, kemiskinan dan kejahilan.
Misalnya, seorang doktor menggunakan pengetahuan untuk menyelamatkan nyawa sedang mengamalkan ilmu sebenar. Seorang guru yang mendidik murid supaya berfikir secara kritis dan berani mempertahankan kebenaran sedang mengamalkan ilmu sebenar. Namun seorang individu yang menggunakan kepintarannya untuk menipu masyarakat, memanipulasi politik atau mengeksploitasi pekerja sebenarnya sedang menyalahgunakan ilmu. Inilah tragedi terbesar dunia moden, yakni manusia semakin bijak, tetapi kebijaksanaan itu tidak lagi dipandu oleh nilai kemanusiaan.
Atas sebab itulah, masyarakat tidak boleh lagi menilai seseorang hanya berdasarkan kecemerlangan akademik, gelaran profesional atau kedudukan yang dimilikinya.
Seseorang yang bergelar pakar masih mampu menyalahgunakan ilmunya jika kehilangan kompas moral. Sebaliknya, seseorang yang sederhana ilmunya tetapi menjadikan ilmu sebagai jalan untuk berkhidmat kepada masyarakat mungkin lebih hampir kepada makna pendidikan yang sebenar.
Persoalannya bukan lagi sama ada manusia semakin pintar, tetapi sama ada kecerdasan itu benar-benar menjadikan kita lebih berperikemanusiaan.
Paulo Freire pernah mengkritik sistem pendidikan yang hanya menjadikan pelajar sebagai “bekas kosong” untuk diisi maklumat. Pendidikan seperti ini gagal membebaskan manusia kerana ia tidak mengajar pelajar untuk berfikir secara kritikal terhadap dunia di sekeliling mereka. Akibatnya, manusia mudah diperalatkan oleh ideologi, media dan kuasa politik.
Jelas, krisis utama dunia moden ialah kekeliruan terhadap ilmu. Apabila ilmu dipisahkan daripada adab dan nilai, manusia akan kehilangan arah moral. Maka lahirlah masyarakat yang maju teknologinya tetapi rosak akhlaknya. Kita dapat melihat kesannya hari ini. Ramai pelajar tertekan kerana mengejar keputusan peperiksaan sehingga kehilangan makna pembelajaran sebenar.
Universiti pula semakin mengejar kedudukan (ranking) dan statistik pasaran kerja, sementara persoalan tentang kemanusiaan, etika dan pemikiran kritikal semakin dipinggirkan. Pendidikan menjadi terlalu mekanikal seolah-olah manusia hanyalah produk kilang ekonomi. Sedangkan dunia hari ini tidak memerlukan lebih ramai manusia yang hanya pandai bekerja. Dunia memerlukan lebih ramai manusia yang mampu berfikir secara mendalam tentang masa depan manusia sejagat.
Perubahan sistem pendidikan tidak hanya melibatkan silibus atau teknologi pembelajaran semata-mata, tetapi perubahan falsafah pendidikan itu sendiri.
Sistem pendidikan seharusnya berupaya mendidik pelajar supaya mampu memahami dunia dan tidak membaca buku teks semata-mata.
Pelajar perlu diajar untuk cakna akan ketidakadilan sosial, kerosakan alam sekitar, manipulasi media dan seterusnya dapat membezakan antara ilmu pseudo dengan ilmu sebenar.
Selain itu, pendidikan perlu menghidupkan semula budaya membaca, berdialog dan berfikir secara reflektif. Dalam kehidupan yang semakin rencam hari ini, manusia semakin kehilangan kemampuan untuk merenung. Hal ini kerana, manusia kelihatan lebih suka bereaksi daripada memahami. Akibatnya, emosi lebih mudah menguasai masyarakat berbanding rasionaliti.
Jika keadaan ini berterusan, dunia akan terus menjadi belantara tempat manusia saling bersaing tanpa belas kasihan. Teknologi yang sepatutnya membantu manusia akhirnya menjadi alat penguasaan segelintir pihak terhadap masyarakat yang lemah. Ilmu pula hanya menjadi komoditi pasaran, bukan jalan pembebasan insan. Namun pendidikan masih memiliki harapan untuk mengubah keadaan ini.
Sejarah membuktikan bahawa perubahan besar dunia sering bermula daripada perubahan cara manusia berfikir. Revolusi intelektual di pelbagai tamadun lahir daripada pendidikan yang membebaskan manusia daripada kejahilan dan ketakutan. Maka, jika kita benar-benar mahu dunia menjadi lebih baik, perubahan itu mesti bermula di bilik darjah, perpustakaan dan universiti.
Setiap guru, pensyarah, ibu bapa dan anggota masyarakat sebenarnya berkongsi tanggungjawab tersebut. Pendidikan tidak bermula apabila seseorang melangkah masuk ke sekolah dan tidak berakhir apabila seseorang menerima segulung ijazah. Pendidikan ialah proses yang membentuk cara manusia melihat dunia, melayani orang lain dan membuat keputusan sepanjang hayat. Selagi masyarakat meletakkan nilai kemanusiaan sebagai asas kepada ilmu, selagi itulah pendidikan akan terus menjadi harapan untuk membina masa depan yang lebih bermaruah.
Sistem pendidikan yang mengamalkan ilmu yang sebenar perlu melahirkan generasi yang bukan sahaja pintar, tetapi juga berjiwa manusia.
Tanpa jiwa manusia, segala kemajuan yang dibina akan kehilangan makna.
Hal ini kerana akhirnya, ukuran sebenar pendidikan bukanlah sejauh mana manusia mampu menguasai dunia, tetapi sejauh mana manusia mampu menjadi lebih manusiawi.
