Skip to content
Falsafah Peterana Dato’ Undang dan Dato’ Lembaga Sungei Ujong
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Sejarah dan Budaya > Falsafah Peterana Dato’ Undang dan Dato’ Lembaga Sungei Ujong
Falsafah Peterana Dato’ Undang dan Dato’ Lembaga Sungei Ujong
Sejarah dan Budaya

Falsafah Peterana Dato’ Undang dan Dato’ Lembaga Sungei Ujong

  • Dato' Lembaga Sungei Ujong
  • 5 April 2025
  • DBP Wilayah Tengah
  • 79
  • 5

Peterana merupakan sebuah tempat duduk yang dikhaskan untuk individu yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Individu ini kebiasaannya mendapat penghormatan dan sentiasa dimuliakan dalam kelompok masyarakat tersebut. Kedudukan peterana adalah menghadap tetamu yang datang mengikut adat istiadat Melayu.

Menurut Ibnu Khaldun dalam karya agung Muqaddimah yang ditulis kira-kira 640 tahun lalu, beliau mentakrifkan peterana dengan menyebut:

“Takhta, peterana, tempat peraduan, kerusi – semuanya adalah bermaksud kepingan-kepingan kayu atau perlengkapan kerajaan yang diadakan khusus untuk raja, supaya baginda mempunyai tempat yang lebih tinggi daripada orang lain di balairung dan agar baginda tidak tampak setara dengan hamba rakyat. Kesemuanya ini sudah menjadi budaya kebangsawanan, malah sebelum Islam, dan semasa dinasti-dinasti bukan Arab.”

Dalam konteks Luak Sungei Ujong, peterana ialah tempat bersemayam YTM Dato’ Klana Petra dan tempat duduk YM Dato’-Dato’ Lembaga di Luak Sungei Ujong, Negeri Sembilan.

Peterana YTM Dato’ Klana Petra direka khusus setinggi lima tingkat manakala YM Dato’-Dato’ Lembaga lain setinggi tiga tingkat sahaja.

Peterana lima tingkat melambangkan lima rukun Islam dan peterana tiga tingkat pula mewakili fiqah, tauhid dan tasawuf.

Namun demikian, hanya peterana YTM Dato’ Klana Petra, YM Telaga Undang, YM Dato’ Orang Kaya Laksamana, YM Dato’ Johan Tua Tahu dan YM Dato’ Maharaja Lela terdapat hiasan gunung berangkat, silang gunting dan berwarna kuning diraja.

Peterana YM Dato’ Andulika Mandalika Tua Lembaga Tiang Balai merangkap Tua Lembaga Waris di-Darat mempunyai hiasan gunung berangkat dan silang gunting tetapi tiada warna kuning diraja.

Kesemua pusaka perjawatan itu disandang oleh Waris Negeri Sungei Ujong. Hiasan gunung berangkat di peterana menandakan kedudukan Waris Negeri paling tinggi berbanding dengan Waris-waris lain dalam Sungei Ujong. 

Hiasan silang gunting melambangkan kalimah syahadah, tanda peringatan untuk YTM Dato’ Klana Petra dan YM Dato’-Dato’ Lembaga Waris Negeri Sungei Ujong menjunjung agama Islam dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Bagi YM Dato’ Lembaga Tiang Balai, Dato’ Lembaga Bergajah Tunggal dan Dato’ Lembaga Lingkungan, peterana di telapak mereka tidak dibenarkan memakai gunung berangkat, silang gunting dan warna kuning diraja.

Sekiranya YM Dato’ Andulika Mandalika, YM Dato’ Johan Tua Tahu atau YM Dato’ Maharaja Lela berada di lingkungan pegangan masing-masing, maka peterana YM Dato’ Lembaga Lingkungan terlibat akan menjadi peterana bagi mereka di lingkungan berkenaan. 

Berikut dijelaskan hiasan lain yang harus ada pada peterana YTM Dato’ Klana Petra dan YM Dato’-Dato’ Lembaga di Sungei Ujong.

  1. Tabir Lelangit

Tabir lelangit ialah alat kebesaran yang dipasang pada bahagian atas (siling). Tabir ini dipasang di ruang istiadat, ruang YTM Dato’ Klana Petra dan YM Dato’ Lembaga menerima tetamu, juga menjadi tempat ibu soko duduk.

Tabir lelangit diperbuat daripada kain perca yang disambung atau kain daripada satu warna. Kain batik lepas juga kadangkala digunakan. Tabir lelangit berfungsi sebagai pelindung daripada najis haiwan atau habuk agar tidak kena pada YTM Dato’ Undang atau YM Dato’ Lembaga.

Bagi YTM Dato’ Klana Petra, tabir lelangit melambangkan Negeri dan Luak yang diperintah manakala bagi YM Dato’ Lembaga pula bermakna lingkungan atau jajahan yang diketuainya.

Dari segi perspektif Islam, lelangit diilhamkan daripada kisah langit berawan yang melindungi Rasulullah SAW dan lelangit itu diumpamakan pelindung kepada pemerintah dan menjaga daripada anasir tidak diingini.

2. Sesampai

Sesampai ialah alat kebesaran yang melambangkan pendukung adat mempunyai pusaka memerintah negeri, luak dan lingkungan. Kedudukan pembesar Melayu ditandai dengan  isyarat lipatan (tingkat atau takek) pada kain sesampai itu. Empat kain sesampai diletakkan di peterana, iaitu di kiri, kanan, depan dan belakang peterana.

YTM Dato’ Klana Petra mempunyai lima lipatan sesampai, YM Dato’ Lembaga Waris Negeri ada tiga lipatan sesampai manakala YM Dato’ Lembaga Bergajah Tunggal dan YM Dato’ Lembaga Lingkungan tiada lipatan pada kain sesampai. Kain sesampai mengikut simbol keislaman pula bermakna malaikat yang melindungi Rasulullah SAW dan perlambangan empat Khalifah ar-Rasyidin.

3. Tabir Lingkung

Tinggi tabir lingkung dari lantai ialah satu meter. Jenis kain yang dipasang ialah kain batik dan kain yang mempunyai satu warna sahaja.

Dari segi warna pula, kuning khusus untuk YTM Dato’ Klana Petra dan YM Dato’ Lembaga Waris Klana. YM Dato’ Lembaga lain bebas dan tidak terikat dengan warna kecuali warna kuning.

4. Tilam Pandak

Tilam kecil yang dibalut dengan kain batik lepas dan diletakkan bawah tabir lelangit. Tilam pandak menjadi tempat duduk YTM Dato’ Klana Petra dan YM Dato’-Dato’ Lembaga, di atasnya dibentangkan tikar rompok. Tilam pandak juga bertujuan memberikan keselamatan dan kemuliaan kepada YTM Dato’ Klana Petra dan YM Dato’-Dato’ Lembaga.

5. Tikar Rompok

Tikar rompok diperbuat daripada anyaman mengkuang atau pandan sepanjang enam kaki dan lebarnya dua kaki. Bagi YTM Dato’ Klana Petra dan YM Dato’ Lembaga Waris Klana, bahagian tepi tikar dibalut kain berwarna kuning.

Bagi YM Dato’ Lembaga lain, mereka tidak boleh memakai kain berwarna kuning pada tepi tikar tetapi bebas menggunakan warna lain. Tikar rompok diletakkan di atas tilam pandak, kebiasaannya lima lapis untuk YTM Dato’ Klana Petra, tiga lapis untuk YM Dato’ Lembaga dan selapis untuk YM To’ Buapak.

Bagi tilam pandak lima dan tiga lapis, lapis pertama paling panjang, diikuti dengan lapisan seterusnya hingga lapisan terakhir yang paling pendek. Saiz setiap lapisan selebar kain pemidang. Bahagian kepala dan bawah tikar ditekat motif menggunakan benang emas.

Tikar rompok merupakan alas tempat duduk YTM Dato’ Klana Petra, YM Dato’ Lembaga dan ketua-ketua adat lain dalam majlis adat istiadat.

Ketika istiadat mengenal batang tubuh terhadap ke bawah kaus YTM Dato’ Klana Petra, hanya YM Dato’ Lembaga Tiang Balai, Dato’ Lembaga Waris Klana, Dato’ Lembaga Bergajah Tunggal dan Semenda Waris Klana sahaja boleh naik peterana hingga tingkat kelima bagi memperkenalkan batang tubuh dengan YTM Dato’ Klana Petra.

Bagi Dato’ Lembaga Lingkungan, mereka hanya naik setakat tingkat ketiga peterana YTM Dato’ Klana Petra semasa istiadat mengenal batang tubuh, namun jarang-jarang dibuat kerana kebiasaannya lantikan YM Dato’ Lembaga Lingkungan hanya sampai kepada  YM Dato’ Lembaga Waris Negeri masing-masing sahaja.

Mengikut Adat Purbakala, YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong dan YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirzaman Undang Luak Jelebu hanya duduk seorang di atas peterana mereka, melambangkan kedudukan sebagai pemerintah “berkeadilan” di luak masing-masing. Adat sama juga terpakai untuk YM Dato’-Dato’ Lembaga di Sungei Ujong, iaitu hanya penyandang pusaka duduk atas peterana di telapak masing-masing ketika istiadat.

Adat Purbakala menetapkan peterana lima tingkat YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong di Balai Undang diapit peterana YM Dato’ Lembaga di bahagian kiri dan kanan. Peterana kanan diduduki oleh YM Dato’ Lembaga Tiang Balai yang diumpamakan paru-paru pentadbiran, yakni mengurus tadbir Balai Undang. Peterana sebelah kiri pula diisi oleh YM Dato’ Lembaga Waris Klana yang diumpamakan sebagai jantung – punca kuasa YTM Dato’ Klana Petra.

Berdasarkan Adat Purbakala Jelebu pula, peterana YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirzaman Undang Luak Jelebu di Balai Mengadap diapit oleh peterana YM Dato’ Lembaga Tiang Balai di bahagian kiri dan kanan. Empat YM Dato’-Dato’ Lembaga Talian Adat duduk di peterana kanan manakala empat YM Dato’-Dato’ Lembaga Talian Pusaka di sebelah kiri.

YTM Dato’ Undang Johol dan YTM Dato’ Undang Rembau boleh duduk di peterana bersama-sama isteri masing-masing lantaran kedudukan dua YTM Dato’ Undang itu tiada “berkeadilan” di luak mereka. Peterana YTM Dato’ Undang Johol dan YTM Dato’ Undang Rembau juga tidak diapit oleh peterana YM Dato’ Lembaga mereka.

Sama seperti peterana, kepuk makam YTM Dato’ Undang dan YM Dato’ Lembaga juga dibina bertingkat mengikut kedudukan. Jika YTM Dato’ Undang Luak kepuk makamnya lima tingkat manakala YM Dato’ Lembaga kepuk makamnya tiga tingkat.

Catatan:

Tulisan ini dilakukan berdasarkan sumber yang berikut:

  1. Temu bual bersama-sama YM Dato’ Andulika Mandalika, Pantai (Oktober 2024).
  2. Temu bual bersama-sama YM Dato’ Johan Tua Tahu, Pantai (Oktober 2024).
  3. Temu bual bersama-sama YM Semenda Waris Klana di-Hulu Mohd Yusoff Yahaya, Klang (Oktober 2024).
  4. Mukadimah Edisi Bahasa Melayu (Muqaddimah), Ibnu Khaldun (Biblio Press, 2023).
  5. Artikel “Tabir “elangit dan Tabir Lingkungan”, Facebook Muzium Negeri Sembilan (Mei 2020).
  6. Rumah dan peralatan olek serta permainan tradisional Negeri Sembilan, Lembaga Muzium Negeri Sembilan (2007).

 

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (12) #karyasastera (13) #penulis (4) #penulisbaharu (12) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (4) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (13) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) budaya (2) cerpen (8) dbpcawangansabah (4) dbpcawangansarawak (16) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (4) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (22) Puisi Islam (6) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) Rasulullah (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Saat Nadinya Terhenti
Cerpen

Saat Nadinya Terhenti

  • 20 Oktober 2024
  • 78
  • 5
Tikus-tikus Istana Lama
Puisi

Tikus-tikus Istana Lama

  • 5 November 2024
  • 64
  • 5
مڠهارڤ سيسا سينر
Puisi Moden

مڠهارڤ سيسا سينر

  • 20 Februari 2025
سيريه ڤولڠ کڬاڬڠ
Puisi Moden

سيريه ڤولڠ کڬاڬڠ

  • 20 Jun 2023
  • 101
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP