Sungai Pahang yang mengalir tenang membelah daerah Temerloh bukan sekadar saksi geografi kepada sebuah penempatan lama, tetapi merupakan saksi bisu kepada titik permulaan dan urat nadi ketamadunan peradaban Melayu di negeri Pahang Darul Makmur.
Di tebing sungai yang sarat dengan lembaran sejarah penentangan pahlawan Semantan. Obor persuratan Melayu dinyalakan secara rasmi pada tanggal 17 Mei 1957 melalui penubuhan Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP).
Menjejaki usia matang 69 tahun penubuhannya pada tahun 2026, DPMP sekali lagi membuktikan kemandiriannya melalui penganjuran Wacana Intelektual dan Tautan Ukhuwah Sastera Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-69 DPMP bertemakan “Menyemarakkan Semangat Waja Anak Semantan” yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Pentas Terbuka Bazar Lurah Semantan, Temerloh.
Program yang diatur secara strategik pada pagi hari Ahad bukan sahaja menghimpunkan para cendekiawan sastera di bawah khemah wacana, bahkan gema perkongsian ilmiahnya turut meresap ke luar pentas, menyapa halwa telinga ribuan pengunjung Pekan Sari, iaitu pasar pagi Ahad yang sinonim dengan keunikan budaya setempat.
Seluruh pengisian program ini juga disiarkan secara langsung melalui pelantar Facebook DPMP bagi membolehkan para pencinta persuratan Melayu seluruh tanah air turut sama mendengar amanat peradaban ini.
Sinergi Kerabat Sastera dan Rakan Strategik
Kejayaan pementasan wacana kali ini merupakan manifestasi muafakat yang utuh antara badan bukan kerajaan (NGO) sastera dengan institusi kerajaan di bawah semangat ukhuwah yang erat. Program bersejarah ini telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden GAPENA, Encik Zainal bin Mohd. Jais.
Kehadiran beliau sebagai perasmi bukan sahaja mengesahkan kepentingan diplomasi sastera di peringkat kebangsaan, malah melambangkan dokongan berterusan GAPENA terhadap perjuangan persuratan di bumi Pantai Timur.
Majlis bertambah seri dengan kehadiran delegasi dan ahli-ahli DPMP dari pelbagai cawangan dan daerah termasuk Bera, Temerloh, Rompin, Jerantut, Kuantan, dan Bentong. Menariknya, bagi mengukuhkan ekosistem sastera sebagai pemandu dasar sosial, program ini turut mendapat dukungan daripada rakan strategik terbaik persatuan dengan kehadiran wakil Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh, wakil Dato’ Pegawai Daerah Temerloh, serta wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah Temerloh. Kehadiran barisan pentadbir awam ini menterjemahkan kefahaman bahawa kesusasteraan merupakan teras utama dalam pembinaan karakter masyarakat dan modal insan.
Tahlil Ringkas: Penghormatan Spiritual Buat Tokoh Terdahulu
Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil yang dipimpin oleh Ustaz Mohd. Borhan bin Jamaludin, ahli DPMP Bera. Tahlil ini diatur khusus sebagai tanda penghargaan spiritual dan kenangan abadi buat roh para pengasas dan peneraju DPMP terdahulu (seperti Arman Sani, Allahyarham Pak Sako, A. Samad Malaya, Pak Zack, Tengku Alauddin dan semua ahli DPMP yang lain), rakan-rakan pejuang dalam kerabat GAPENA, serta seluruh wira kemerdekaan dari bumi Semantan dan tanah air amnya yang telah kembali ke rahmatullah.
Usaha ini membuktikan bahawa DPMP tidak sesekali melupakan tiang seri yang telah meletakkan batu asas persatuan sejak tahun 1957.
Selesai tahlil, pentas diambil alih oleh Presiden DPMP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Haji Mohd. Mansor bin Abdullah yang menyampaikan ucapan alu-aluan penuh bermakna. Beliau mengupas jatuh bangun perjuangan DPMP menempuhi cabaran 69 tahun serta melontarkan visi digital persatuan bagi memastikan penulis muda Pahang terus relevan dalam mendepani kepesatan teknologi maklumat masa kini.
Kupasan Ilmiah: Membedah Sosiologi Bangsa Pejuang dan Rahsia Pak Sako
Wacana intelektual yang dikendalikan dengan penuh tertib oleh Encik Nasrul Isyam bin Abdul Hamid selaku moderator berjaya mengadunkan perkongsian yang serius, mendalam, dan berwibawa.
Sesi pertama menyaksikan kupasan daripada Timbalan Presiden GAPENA, Encik Zainal bin Mohd. Jais melalui tajuk “Pahang dan Semangat Semantan: Sosiologi Bangsa Pejuang dan Amanat Kelangsungan DPMP”. Menggunakan landasan keilmuan peradaban, beliau mencerakinkan sejarah penentangan di lembah Kuala Semantan dan pesisir Sungai Pahang yang sarat dengan noda darah pejuang terdahulu.
Beliau menitipkan amanat berharga agar generasi pelapis memahami penulisan yang benar-benar mengangkat peradaban bangsa, serta menghuraikan bagaimana warisan etos kepahlawanan ini wajar diadaptasi sebagai kekuatan utama untuk menjamin kelangsungan persatuan dan jati diri ahli DPMP pada masa kini.
Sesi ini kemudiannya disusuli oleh Encik Khaidir bin Ahmad (Sang Wartawan Tua) yang membentangkan tajuk bertaraf memoir eksklusif, “Perkongsian Eksklusif Pengalaman Perjuangan Pena: Kisah Bersama Pak Sako”. Sebagai anak saudara terdekat yang pernah tinggal bersama-sama Allahyarham Pak Sako (Ishak Haji Muhammad), beliau menyingkap sisi peribadi tokoh nasionalis agung itu dari mata kaca keluarga.
Encik Khaidir berkongsi bagaimana Pak Sako mempamerkan sikap yang berhati lembut dan sentiasa pemurah dalam menyantuni masyarakat, namun mempunyai ketegasan prinsip dan ketajaman mata pena yang amat digeruni oleh pentadbir British. Perkongsian ini menyuntik “darah kepahlawanan” ke dalam sanubari penulis muda agar mengasah mata pena sebagai senjata membela kebenaran tanpa gentar.

Sastera Melestarikan Peradaban Bangsa
Sesi kemuncak wacana ilmiah dijayakan oleh Profesor Dr. Azhar bin Haji Wahid (pensyarah bidang Kesusasteraan Melayu dari Universiti Pendidikan Sultan Idris) yang membentangkan tajuk “DPMP: Melestarikan Pembinaan Peradaban Bangsa”. Beliau mencerakinkan sastera bukan sekadar sebagai bahan bacaan santai, tetapi instrumen mutlak pembinaan tamadun.
Beliau yang baru-baru ini merangkul Anugerah Khas ASEAN International Book Award (AIBA) menerusi bukunya Worldview dan Hegemoni Sastera Melayu turut melontarkan idea yang sangat bernilai tinggi, iaitu agar setiap daerah di seluruh negeri Pahang memulakan penyelidikan rasmi dan membukukan sejarah serta tokoh-tokoh Pahang mengikut lokaliti daerah masing-masing. Gagasan ini disambut baik sebagai langkah konkrit melestarikan sejarah peradaban tempatan.
Bagi menyentuh emosi perjuangan khalayak, majlis turut diserikan dengan deklamasi sajak selingan yang sangat puitis dan bertenaga daripada pendeklamasi tersohor negara, Puan Siti Nur Zafran binti Zainal Abidin dan Encik Ma’roof bin Seman.
Sebagai penutup tirai program yang penuh nostalgia ini, para tetamu dan ahli DPMP telah diraikan dalam majlis jamuan makan tengah hari yang menyajikan hidangan kebanggaan bumi Temerloh.
Secara keseluruhannya, Wacana Intelektual dan Tautan Ukhuwah Sastera ini telah mencapai matlamatnya untuk melahirkan satu wacana amanat bernilai tinggi pada abad ini. Ranjau dan duri perjalanan selama 69 tahun telah mematangkan fikiran persatuan. Melalui tautan ukhuwah yang erat di tebing Kuala Semantan, DPMP kini bersiap siaga melangkah dengan gagah menuju ke ambang sambutan Jubli Platinum (70 tahun) pada tahun hadapan demi kelestarian sastera, bahasa, dan budaya Melayu di persada dunia.
