FESTIVAL SASTERA SARAWAK 2026 anjuran Pustaka Negeri Sarawak Miri telah berlangsung pada 23 hingga 27 September 2026 di Stadium Tertutup Miri. Penganjuran festival ini bertujuan untuk mengangkat karya penulis, bahasa dan warisan kesusasteraan Sarawak serta memperluas pelibatan masyarakat dalam aktiviti sastera.
Antara pengisian Festival Sastera Sarawak 2026 ialah pameran dan jualan buku, sesi bertemu penulis, forum kesusasteraan, bengkel penulisan kreatif, aktiviti bercerita, bengkel kraf tradisional serta persembahan puisi dan muzik.
Salah satu program yang menjadi pengisian festival ini ialah Malam Gema Puisi dan Teater. Malam persembahan ini diadakan pada 23 September 2026 di Pentas Mini, Stadium Tertutup Miri.
Malam persembahan ini mengetengahkan seni puisi daripada pelbagai genre dan gaya persembahan. Program ini telah menghimpunkan beberapa kumpulan penggiat seni, bukan sahaja dari Sarawak, malah turut menampilkan wakil dari negara jiran, iaitu Brunei Darussalam.
Persembahan pembukaan menyaksikan kemunculan Alena Murang, penyanyi dan pencipta lagu tempatan yang cukup sinonim dengan persembahan nyanyian sambil bermain sape. Di tangannya, alat muzik tradisional masyarakat Orang Ulu itu bukan sekadar menjadi pengiring melodi, malah seolah-olah menjadi medium yang menghidupkan kisah, identiti serta budaya Sarawak.
Sape merupakan alat muzik bertali yang lazimnya diperbuat daripada sebatang kayu berbentuk panjang dan berongga. Alat muzik ini dimainkan dengan cara dipetik. Secara tradisinya, sape dimainkan untuk mengiringi tarian, upacara dan pelbagai bentuk kegiatan kebudayaan.
Alena Murang membawa penonton menyelami keindahan bahasa dan warisan masyarakat Kelabit dengan menyampaikan empat buah lagu dalam bahasa Kelabit. Menariknya, setiap lagu yang disampaikan oleh Alena Murang menyimpan sejarah masyarakat Kelabit, iaitu kisah-kisah yang jarang didengari oleh orang awam. Kisah tersebut diwarisi secara turun-temurun daripada ahli keluarganya, memandangkan Alena sendiri mempunyai darah campuran Kelabit di sebelah bapa dan Inggeris-Itali di sebelah ibu.
Lagu Dayang Bulan yang dipersembahkan pada malam itu menceritakan tentang seorang puteri berasal dari bulan yang turun ke bumi, bernama Dayang Bulan. Dayang Bulan tidak dapat kembali ke tempat asalnya kerana sayapnya telah hilang. Semasa berada di bumi, Dayang Bulan jatuh cinta kepada seorang pemuda lalu memutuskan untuk berkahwin dengannya. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak.
Keluarga kecil ini hidup bahagia sehinggalah pada suatu hari, ketika anak mereka sedang bermain di sungai, anak itu menemukan sayap yang selama ini dicari-cari oleh ibunya. Penemuan itu membuatkan hati anak tersebut dilanda dilema. Jika dia memulangkan sayap ibunya, ibunya akan memperoleh semula keupayaan untuk kembali ke bulan dan meninggalkan keluarga kecil mereka.
Persembahan seterusnya dipentaskan oleh Studio Labu Sakti menerusi sebuah teater berjudul Tiga Titik Racun yang diadaptasi daripada novel Melati Sarawak karya Muhammad Rakawi Yusuf.
Teater ini mengangkat tradisi bermukun, iaitu salah satu warisan seni persembahan masyarakat Melayu di Sarawak yang menggabungkan kemahiran bergendang, bertandak (menari) dan berbalas pantun secara spontan.
Dalam persembahan bermukun, pantun menjadi medium komunikasi antara seh gendang, iaitu pemukul gendang yang lazimnya terdiri daripada wanita. Pantun dilontarkan secara bersahut-sahutan dengan penandak atau nopeng yang menari sebagai penyeri persembahan.
Teater yang dijayakan oleh sepuluh orang anak seni tempatan ini mengisahkan watak Aminah, seorang seh gendang yang menjadi rebutan ramai jejaka dari kampung sekitar. Utusan cinta yang disampaikan oleh Aminah dengan cara menjatuhkan sapu tangan di hadapan jejaka pilihan hatinya, iaitu Ramli, akhirnya bertukar menjadi sebuah harapan palsu.
Sapu tangan yang jatuh itu rupa-rupanya diambil oleh Hashim, rakan baik Ramli. Kebahagiaan Hashim musnah apabila Aminah mengaku bahawa sapu tangan tersebut sebenarnya ditujukan kepada Ramli. Hal ini menyebabkan kedua-dua rakan baik itu sempat berkelahi. Walau bagaimanapun, cinta Aminah ditolak oleh Ramli kerana hatinya telah dimiliki oleh orang lain. Akhirnya, Aminah menerima Hashim sebagai kekasihnya.
Hujan renyai sempat mengusik perkarangan Stadium Tertutup Miri di celah-celah persembahan pada malam itu. Biarpun begitu, semangat anak-anak seni ini tidak mudah patah. Mereka tetap mahu membawa karya masing-masing ke atas pentas untuk dihayati oleh masyarakat.
Persembahan selanjutnya diisi oleh kumpulan Kelang Kelus. Mereka mempersembahkan tiga buah lagu puisi yang begitu membuai telinga. Kesemua lagu tersebut diambil daripada puisi-puisi nukilan Sasterawan Negeri Sarawak kelima, Zainal Abidin Suhaili atau lebih dikenali sebagai Abizai. Lebih istimewa lagi, Abizai turut naik ke pentas untuk menyampaikan sendiri lagu ketiga pada malam itu.
Gubahan lagu yang dipersembahkan terbukti mampu menyatukan keindahan bahasa dengan susunan muzik. Kumpulan Kelang Kelus berjaya menyampaikan emosi dan menghidupkan makna puisi dengan lebih mendalam kepada para pendengar.
Malam Gema Puisi dan Teater diteruskan dengan deklamasi puisi daripada Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA). Deklamasi puisi oleh persatuan yang ditubuhkan sejak tahun 1979 ini dimulakan dengan persembahan oleh Abizai, diikuti oleh lebih daripada sepuluh orang penulis tempatan dari Miri yang turut mewakili PUTERA.
Dalam persembahan tersebut, penonton dihidangkan dengan kepelbagaian gaya dan genre bacaan puisi yang disampaikan secara kreatif. Puisi yang mengangkat tema perasaan, kehidupan, alam serta ketuhanan silih berganti dipersembahkan. Masing-masing hadir dengan warna dan suasana yang tersendiri.
Perubahan intonasi, nada, tekanan suara serta gaya bacaan menjadikan setiap persembahan terasa berbeza dan tidak monoton. Kepelbagaian tersebut turut memperlihatkan bahawa puisi tidak bergantung pada kata-kata yang tertulis di atas kertas semata-mata. Apabila dibawa ke atas pentas, puisi berkembang melalui suara, penghayatan serta cara penyampaiannya.
Jemputan khas dari negara Brunei Darussalam mengambil giliran berikutnya. Saudara Zefri Ariff yang mewakili Kumpulan PUTRA Seni (KBS) membawa kelainan menerusi gabungan deklamasi puisi, permainan nada dan ilustrasi visual.
Persembahan ini begitu memukau. Ia memperlihatkan keindahan seni kata, seni muzik dan seni visual yang mampu menjentik fikiran serta jiwa penonton yang hadir. Beliau begitu lincah mengupas makna rasa melalui metafora warna dengan cara yang kompleks, namun masih mengekalkan daya tarikan sesebuah puisi.
Kemeriahan persembahan pada malam tersebut diteruskan oleh lima orang wakil Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA). Mereka datang dari Kuching bagi bersama-sama membangkitkan semangat berpuisi dalam kalangan pengkarya tempatan.
Affendy Azhari menjadi pendeklamator pertama yang menyampaikan puisi tentang kisah nostalgiknya bersama seorang kawan lama. Persembahan kemudian disambung oleh pendeklamator kedua, iaitu Haji Haziq Ahmad Zaki. Beliau yang merupakan seorang penulis autistik telah menyampaikan dua buah puisi hasil tulisannya sendiri.
Tiga orang ahli kumpulan Tongkat Abyad daripada Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak turut membawa nama PEKASA dengan mendeklamasikan puisi daripada buku Antologi Sajak Tongkat Putih di Daerah Ini. Haspha Mya menyampaikan sajak berjudul “Sujudku” karya Azreen Azirah. Persembahan diteruskan oleh Intan Zubaidah dan Azizie Suip yang menyampaikan sajak “Di Daerah Ini” dengan konsep deklamasi duet.
Pentas malam itu ditutup dengan deklamasi puisi oleh wakil Studio Labu Sakti, iaitu Tachsu Zakaria. Persembahannya begitu luar biasa, disulami penghayatan dan penyampaian yang mempesona.
Secara keseluruhannya, Malam Gema Puisi danTeater sempena Festival Sastera Sarawak 2026 ini bukan sahaja menyemarakkan dunia sastera, malah menjadi wadah untuk menghimpunkan serta meraikan kepelbagaian ekspresi kreatif. Penganjuran program ini pastinya dapat memperkaya pengalaman masyarakat dalam mengapresiasi nilai seni.
Hujan renyai yang mengusik bumi Miri pada malam itu seolah-olah mahu menyuburkan benih niat yang hendak ditanam oleh Pustaka Negeri Sarawak, Miri. Titisannya bagai karya demi karya yang berterusan. Semoga bunga seni yang menguntum di taman negeri ini, bahkan juga di laman serantau, semakin mekar dengan penganjuran program seumpamanya.
