Skip to content
Integriti Bukan Pilihan Tetapi Kewajipan
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Bahasa > Integriti Bukan Pilihan Tetapi Kewajipan
Integriti Bukan Pilihan Tetapi Kewajipan
Bicara Bahasa

Integriti Bukan Pilihan Tetapi Kewajipan

  • SHAHIDAH HAMZAH
  • 5 Jun 2026
  • DBP Wilayah Selatan
  • 2

INTEGRITI pada asasnya tidak bergantung pada pemantauan luaran, tetapi lahir daripada kesedaran dalaman. Integriti bukan soal siapa yang memerhati, tetapi siapa kita apabila tiada siapa yang melihat. Namun realitinya pada hari ini, nilai ini kian terhakis bukan kerana kurang kefahaman, tetapi kerana pilihan. Hal ini dikatakan demikian kerana pilihan untuk menangguhkannya demi kepentingan, strategi peribadi, atau semata-mata kerana kelaziman masyarakat yang membenarkannya.

Dalam era digital dan budaya penonjolan kendiri di media sosial, integriti semakin mudah dicemari. Seseorang boleh kelihatan jujur di ruang alam maya, namun dalam realiti, masih melakukan penipuan kecil seperti meniru tugasan rakan, mengubah waktu kehadiran, atau menokok tambah maklumat dalam permohonan kerja. Penekanan terhadap pencapaian luaran dan persepsi telah mengubah integriti daripada prinsip kepada strategi. Menurut laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM, 2023), lebih 50 peratus pesalah rasuah yang ditahan pada tahun 2023 merupakan individu berusia 40 tahun ke bawah, iaitu kelompok yang sepatutnya berada dalam fasa pembinaan nilai dan kerjaya. Hal ini membuktikan bahawa integriti bukan berkait dengan usia, tetapi mengenai prinsip yang dipilih oleh seseorang individu.

Ironinya, semakin kerap integriti dibicarakan, semakin nyata ketempangannya dalam amalan. Di sekolah, integriti menjadi tema kempen nilai, tetapi peniruan dalam tugasan yang diberikan oleh guru masih berlaku. Di tempat kerja, integriti dilaungkan dalam taklimat dan laporan, namun tuntutan tidak sah tetap diajukan. Di pentas politik, integriti dijadikan janji, tetapi hilang Bersama-sama mandat. Ketidaksepadanan antara kata dengan tindakan bukan sahaja menjejaskan imej individu, malah menghakis keyakinan masyarakat terhadap sistem secara menyeluruh.

Lebih merisaukan lagi apabila ketidakjujuran kecil mula dinormalisasikan. Ungkapan seperti “semua orang buat” digunakan sebagai justifikasi untuk terus berdiam diri atau membiarkan penyelewengan kecil berleluasa. Hakikatnya, kemerosotan integriti tidak berlaku secara drastik, tetapi secara perlahan bermula dengan toleransi terhadap pelanggaran kecil, kemudian menjadi sebahagian daripada budaya dan ikutan.

Maka, usaha membina semula integriti menuntut keberanian individu untuk membuat keputusan yang berasaskan prinsip, bukan persepsi. Integriti bermula dengan kesediaan untuk melakukan perkara yang betul walaupun tanpa pengiktirafan atau pemerhatian. Apabila integriti dijadikan kompas tingkah laku, dan bukan sekadar slogan atau hiasan dasar, barulah integriti dapat diangkat sebagai nilai teras yang sebenar dalam kehidupan bermasyarakat.

Sementara itu, sijil, gelaran dan jawatan mungkin kelihatan mengagumkan di atas kertas, namun semuanya tidak membawa makna sekiranya tidak disokong oleh nilai integriti. Dalam konteks profesional hari ini, kejayaan sering diukur berdasarkan pangkat, pencapaian prestasi, dan jumlah pendapatan. Namun demikian, pencapaian sedemikian tidak akan kekal kukuh sekiranya dibina di atas asas penipuan, salah guna kuasa dan budaya kerja yang mengabaikan etika.

Di sebalik kecemerlangan yang dipaparkan, terdapat isu kerosakan sistemik yang semakin ketara. Laporan Ketua Audit Negara (2023) telah menegur beberapa kementerian dan agensi atas kelemahan dalam pengurusan kewangan, perolehan yang tidak mengikut prosedur serta ketirisan berulang termasuklah yang melibatkan pegawai berpangkat tinggi dan berpengalaman. Situasi ini menggambarkan bahawa kedudukan atau kelayakan formal belum tentu menjamin integriti, terutamanya apabila elemen akauntabiliti tidak diterapkan secara konsisten.

Lebih membimbangkan, budaya kerja yang longgar seperti sikap “buat kerja ikut gaji” dan “asal siap” semakin menular dalam pelbagai sektor, terutamanya dalam organisasi yang terlalu birokratik atau dipimpin tanpa teladan etika. Apabila pekerjaan dilihat sekadar tanggungjawab rutin, mudah timbul sikap sambil lewa, pengabaian terhadap amanah, dan keputusan yang tidak berlandaskan keadilan. Dalam erti kata sebenar, profesionalisme bukan hanya soal kompetensi teknikal, tetapi juga berakar pada nilai kejujuran dan amanah.

Hakikatnya, integriti dalam profesion bukan hanya dinilai daripada ketiadaan salah laku yang dikesan, tetapi melalui konsistensi dalam melakukan perkara yang betul meskipun tiada pemantauan. Kes seperti jurutera yang meluluskan laporan binaan tanpa pemeriksaan teliti, pegawai bank yang memanipulasi maklumat pelanggan, atau pendidik yang mengabaikan tanggungjawab mendidik semuanya mampu memberi kesan yang jauh lebih besar daripada sekadar kerosakan teknikal kerana boleh mencetuskan krisis kepercayaan terhadap institusi dan melemahkan sistem secara menyeluruh.

Dalam dunia profesional yang semakin kompleks, integriti perlu dilihat sebagai elemen asas, bukan sekadar pelengkap. Integriti ialah asas etika kerja dan kepercayaan sosial. Tanpa integriti, gelaran hanya menjadi simbol kosong dan jawatan tidak membawa nilai kepada pembangunan masyarakat secara keseluruhan.

Walau bagaimanapun, ilmu yang diperoleh tanpa etika merupakan satu bentuk pencapaian yang tidak sempurna. Dalam persekitaran pendidikan yang semakin kompetitif, pencapaian akademik sering dijadikan ukuran kejayaan utama. Namun begitu, dalam keghairahan mengejar keputusan cemerlang dan pengiktirafan ilmiah, nilai integriti akademik semakin terabai malahan dalam sesetengah kes, sengaja diketepikan.

Oleh hal yang demikian, amalan tidak beretika dalam dunia akademik kini bukan lagi perkara terpencil. Plagiat, peniruan tugasan, pembelian tesis, manipulasi data penyelidikan, dan penggunaan kecerdasan buatan tanpa kefahaman sebenar telah menjadi sebahagian daripada cabaran semasa dalam institusi pengajian tinggi. Menurut Kementerian Pengajian Tinggi (2022), lebih 300 aduan berkaitan pelanggaran etika akademik seperti peniruan dan plagiat dilaporkan dalam tempoh dua tahun terkini, menunjukkan peningkatan yang membimbangkan. Fenomena ini mencerminkan prinsip integriti yang semakin diketepikan dalam mengejar hasil secara pantas walaupun melanggar peraturan.

Lebih membimbangkan, pelanggaran integriti akademik turut berlaku dalam kalangan penyelidik, pensyarah dan individu bergelar ilmuwan. Kesannya bukan sahaja menjejaskan kredibiliti peribadi, malah mencemarkan nama institusi dan mengelirukan masyarakat. Ilmu yang tidak diperoleh secara sah berisiko menghasilkan dasar yang lemah, produk penyelidikan yang tidak sahih, serta pemimpin yang tidak berlandaskan kebenaran.

Seperti yang diketahui umum, pendidikan seharusnya menjadi wadah pembentukan sahsiah, bukan sekadar pengumpulan maklumat atau pencapaian sijil. Etika akademik perlu dilihat sebagai cerminan keikhlasan dalam menuntut ilmu dan bukan sekadar satu peraturan institusi. Kejayaan yang dicapai melalui usaha yang jujur memberi impak yang lebih berkekalan, manakala kejayaan melalui penipuan hanya menangguhkan kegagalan yang lebih besar pada masa hadapan.

Oleh hal yang demikian, dalam membentuk masa depan negara yang berdaya saing, penekanan terhadap integriti akademik tidak boleh dipandang ringan. Negara bukan sahaja memerlukan pelajar yang cemerlang atau penyelidik yang prolifik, tetapi juga ilmuwan yang beretika dan pendidik yang menjadi contoh dan teladan kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara. Tanpa prinsip, kecerdasan tidak lagi menjadi kelebihan sebaliknya boleh menjadi ancaman kepada kualiti ilmu dan kepercayaan awam terhadap institusi pendidikan.

Sehubungan dengan itu, organisasi bukan sekadar satu struktur hierarki atau susunan jabatan, tetapi mencerminkan sistem nilai yang diikut oleh seluruh warganya. Nilai integriti dalam organisasi tidak terbina melalui slogan atau kempen semata-mata, sebaliknya perlu diterapkan secara konsisten dalam dasar, prosedur kerja, dan amalan seharian. Integriti hanya menjadi budaya apabila dibentuk melalui tindakan, bukan sekadar ucapan.

Kepimpinan memainkan peranan penting dalam membentuk budaya integriti organisasi. Pemimpin yang berintegriti bukan sahaja menetapkan polisi yang jelas dan adil, tetapi juga menunjukkan teladan dalam setiap tindakan. Ketelusan dalam membuat keputusan, keadilan dalam pengagihan sumber, serta kesediaan menerima teguran adalah antara ciri kepimpinan yang mendorong warganya untuk mengekalkan standard etika yang tinggi.

Perbezaan antara organisasi yang benar-benar berintegriti dengan organisasi yang hanya menampakkan imej baik sangat ketara. Organisasi berintegriti menjadikan etika sebagai asas kepada setiap keputusan dan operasi. Sebaliknya, organisasi yang bersifat hipokrit cenderung menekankan persepsi luaran, tetapi mengabaikan pelaksanaan sebenar dengan menutup kesalahan dalaman, bersikap selektif dalam penguatkuasaan, atau mengabaikan mekanisme semakan. Dalam jangka panjang, organisasi seperti ini bukan sahaja kehilangan kepercayaan awam, tetapi juga gagal membina daya tahan dalaman yang diperlukan untuk berkembang secara mampan.

Hakikatnya, kepimpinan bukan hanya berkisar tentang keupayaan memberi arahan atau membuat keputusan, tetapi tentang membina kepercayaan dan memimpin melalui teladan. Seorang pemimpin yang berintegriti tidak sekadar berbicara soal etika, tetapi menunjukkan nilai tersebut dalam setiap tindakan seharian sama ada dalam pengurusan organisasi, hubungan dengan pasukan, atau ketika berdepan tekanan dan konflik.

Kepimpinan bermaruah bermula daripada disiplin kendiri dan komitmen kepada prinsip. Apabila seseorang dalam kedudukan kuasa tidak menyalahgunakan jawatan, tidak bersikap pilih kasih, dan bersedia untuk bertanggungjawab terhadap kesilapan, serta memberikan mesej jelas bahawa integriti bukan pilihan, tetapi keperluan dan kewajipan sebagai individu dalam masyarakat. Tingkah laku ini bukan sahaja mempengaruhi persepsi kakitangan, malah membentuk budaya kerja yang lebih sihat dan berasaskan nilai.

Dalam konteks yang lebih luas, kerapuhan integriti kepimpinan sering menjadi punca hilangnya kepercayaan rakyat terhadap institusi, baik dalam sektor awam mahupun swasta. Pemimpin yang gagal menepati janji, mengelak akauntabiliti atau melindungi salah laku akan merosakkan kredibiliti institusi secara keseluruhan. Oleh hal yang demikian, untuk membina kepimpinan yang berkualiti dan dipercayai, usaha pembentukan integriti perlu bermula dari peringkat individu dengan kesedaran bahawa setiap keputusan dan tindakan mempunyai kesan langsung terhadap reputasi dan kesejahteraan organisasi.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#baimbad (2) #cerpendbp (9) #cerpenkehidupan (4) #dbpselatan (17) #karyasastera (24) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (24) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (6) #puisimoden (20) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (4) #Tunanetra (4) #wadahdbp (10) abuyon (4) adie abd gani (4) bengkel (2) cerpen (12) dbpcawangansabah (9) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (4) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (32) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (10) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (10) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Dampak Peranti Mudah Alih Terhadap Perkembangan Kesusasteraan Kanak-kanak
Bicara Bahasa

Dampak Peranti Mudah Alih Terhadap Perkembangan Kesusasteraan Kanak-kanak

  • 20 Mac 2024
  • 473
  • 4.6
Mantera Gajah
Cerpen

Mantera Gajah

  • 20 Oktober 2024
  • 433
  • 5
Senandika yang Berselerak di Atas Tilam
Bicara Sastera

Senandika yang Berselerak di Atas Tilam

  • 23 September 2024
  • 167
  • 6.7
Pangkat
Puisi

Pangkat

  • 14 Mei 2026

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP