Oleh: Ayu Marliana Muhamad dan Mohamad Suhaizi Suhaimi
Dialek ialah variasi bahasa yang dituturkan oleh sekelompok penutur tertentu dan di kawasan tertentu yang melampaui sempadan politik. Malaysia misalnya mempunyai kepelbagaian dialek mengikut negeri masing-masing. Dialek mempunyai ciri fonologi, morfologi, dan sintaksis yang unik, termasuk penggunaan kata-kata tertentu yang berbeza daripada bahasa Melayu standard. Menurut Nasrun Alias dan Rusydiah (2019), dialek ialah kelainan bahasa yang digunakan secara lazim dan merupakan medium yang paling dekat dengan penutur.
Penggunaan kata penguat sering digunakan untuk menambah makna intensiti terhadap sesuatu kata adjektif, termasuk yang berkaitan dengan pancaindera seperti penglihatan, pendengaran, rasa, bau dan sentuhan. Oleh hal yang demikian, sebahagian kata penguat yang digunakan oleh masyarakat setempat dalam sesuatu dialek mungkin tidak wujud dalam bahasa standard atau sukar difahami penutur jati. Menurut Yusniza Yaakub et al. (2020) menyatakan bahawa perkara ini berlaku akibat daripada pengaruh media dan teknologi komunikasi yang menguasai kehidupan harian dan sekali gus menyebabkan masyarakat tidak lagi menggunakan kata penguat dalam dialek masing-masing kerana kurangnya pengetahuan dan pendedahan terhadap dialek tempatan, di samping pengaruh bahasa slanga yang amat berleluasa dalam kalangan remaja. Tanpa usaha mengenal pasti dan mendokumentasikan kata-kata penguat ini secara sistematik, terdapat kemungkinan sebahagian besar unsur linguistik ini akan pupus atau tidak lagi digunakan secara aktif.
Kata penguat merupakan unsur linguistik yang digunakan untuk menambahkan kekuatan makna terhadap sesuatu kata, frasa, atau ayat. Dalam konteks bahasa Melayu standard, kata penguat seperti “amat”, “sungguh”, “terlalu”, dan “paling” lazim digunakan dalam bentuk yang lebih formal dan terkawal dari segi struktur. Namun begitu, dalam dialek-dialek tempatan seperti dialek Kedah, kata penguat hadir dalam bentuk yang lebih bersahaja, bersifat idiomatik, dan sering kali sarat dengan ekspresi emosi penutur. Dalam dialek Kedah, kata penguat tidak hanya berfungsi sebagai penegas makna semata-mata, malah ia turut memainkan peranan dalam mencerminkan emosi, hubungan sosial, serta identiti penutur dalam situasi tertentu.
Kata Penguat Penglihatan
Dalam dialek Kedah, terdapat ungkapan-ungkapan tertentu yang digunakan untuk menegaskan atau menambah kekuatan makna terhadap perkara yang melibatkan penilaian terhadap kecantikan, keadaan fizikal, warna atau situasi visual yang ekstrem. Perbincangan ini akan mengetengahkan persepsi visual diperkukuh melalui pilihan kata yang tidak hanya mencerminkan penegasan makna, malah turut membawa nilai budaya dan ekspresi identiti masyarakat Kedah.
|
No. |
Kata Adjektif |
Kata Penguat |
Fonetik |
|
|
Segak |
nala |
[sɛy.gaɁ] [na.la] |
|
2. |
Tampan |
kemain |
[tam.pan] [kə.main] |
|
3. |
Buruk |
ngat aih |
[bu.ruɁ] [ŋatt] [aih] |
|
4. |
Hodoh |
piang |
[ho.doh] [pi.aŋ] |
Perkataan “nala” dalam dialek Kedah digunakan sebagai kata penguat yang membawa maksud tersangat atau teramat dan kerap digunakan untuk memperkukuh makna sesuatu pujian atau gambaran yang melangkaui kebiasaan. Dalam konteks seperti “segak nala”, ungkapan ini bukan sekadar menyatakan bahawa seseorang itu segak, tetapi menegaskan bahawa segaknya berada pada tahap yang luar biasa atau menonjol berbanding yang lain. “Nala” ini dipercayai berasal daripada pengaruh dialek Pulau Pinang yang mengaitkan bunyinya dengan perkataan “menyala” yang membawa maksud sesuatu yang kuat, terang atau mencolok. Kenyataan ini menunjukkan bahawa “nala” bukan sahaja berfungsi sebagai penguat makna secara linguistik, tetapi juga berperanan sebagai penanda emosi dan penekanan dalam pertuturan harian masyarakat Kedah.
Selain itu, ungkapan “tampan kemain” digunakan dalam dialek Kedah bagi menggambarkan seseorang yang kelihatan luar biasa tampan berbanding kebiasaannya. “Kemain” ini berasal daripada frasa “bukan main”, yang digunakan untuk menyatakan sesuatu secara serius atau sungguh-sungguh. Dalam pertuturan tempatan, “kemain” sering dilafazkan apabila seseorang itu tampil dengan gaya atau penampilan yang lain daripada kebiasaan, ungkapan tersebut turut membawa maksud “lain macam selalu” yang merujuk kepada sikap atau penampilan yang seolah-olah cuba menunjukkan diri atau berlagak lebih daripada biasa. Perkara ni memperlihatkan kata penguat seperti “kemain” bukan sahaja berperanan dalam memberi tekanan makna, tetapi turut mencerminkan faktor sosiolinguistik seperti persepsi sosial terhadap kelakuan atau penampilan individu dalam komuniti setempat.
Perkataan bagi kata penguat penglihatan yang seterusnya ialah “buruk ngat aih”. Ungkapan tersebut dalam dialek Kedah merupakan satu bentuk kata penguat yang menggabungkan dua unsur utama, iaitu “ngat” yang berasal daripada kata standard “sangat”, dan “aih”, iaitu kata penguat yang biasa digunakan sebagai penegas dalam ujaran. Ungkapan ini sebenarnya datang daripada gabungan “sangat aih”, namun melalui penggunaan harian, ia mengalami proses penyesuaian fonologi dan pemendekan dalam pertuturan tempatan. Tambahan pula, kata penguat “aih” pada hujung ungkapan membawa kesan emosi yang lebih mendalam dan ia bukan sahaja menyampaikan maksud yang kuat, tetapi juga melibatkan nada suara, ekspresi muka, dan kadangkala unsur sinis atau sindiran, bergantung pada konteks sosial. Kata penguat ini dengan jelas menggambarkan masyarakat Kedah yang menggunakan gaya bahasa yang kaya dengan maksud tersirat, emosi dan lapisan makna, sekali gus mencerminkan kekayaan budaya komunikasi lisan yang bersifat spontan, bersahaja tetapi sarat dengan isyarat sosial tersirat.
Akhir sekali bagi kata penguat penglihatan ialah perkataan “piang” yang disebut dengan kata adjektif hodoh, iaitu “hodoh piang”. Ungkapan tersebut membawa makna penegasan maksimum terhadap rupa atau keadaan yang sangat tidak menarik. Perkataan “piang” ini ialah ciri khas dialek Kedah dan wujud dalam dialek-dialek utara yang lain secara langsung serta sering muncul dalam pertuturan tidak formal yang menggambarkan keaslian emosi penutur. Masyarakat Kedah apabila ingin menyatakan sesuatu yang terlalu atau melampau, lazimnya mereka akan menambah perkataan “piang” bagi menunjukkan tahap keterlaluan yang sebenar-benarnya, iaitu satu bentuk pernyataan yang tidak hanya menyampaikan makna langsung, tetapi turut mencerminkan tekanan emosi serta pengukuhan makna dalam konteks sosial tertentu.
Kata Penguat Pendengaran
Dalam dialek Kedah, terdapat ungkapan-ungkapan tertentu yang digunakan untuk menegaskan atau menguatkan reaksi terhadap bunyi yang didengar, sama ada bunyi tersebut terlalu kuat, menyakitkan, mengejutkan, mahupun memberi kesan emosi tertentu.
|
No. |
Kata Adjektif |
Kata Penguat |
Fonetik |
|
|
Nyaring |
berdesing |
[ɳa.riŋ] [bər.də.siŋ] |
|
2. |
Serak |
paghau |
[sə.raɁ] [pa.ɣau] |
Ungkapan “nyaring berdesing” merujuk kepada situasi apabila sesuatu bunyi itu terlalu kuat atau tinggi hingga terasa menusuk telinga. Dalam konteks pertuturan harian masyarakat Kedah, ungkapan ini lazim digunakan apabila suara seseorang atau bunyi tertentu dirasakan terlalu lantang dan menyakitkan telinga, seolah-olah menyebabkan kesan berdesing yang nyata. Kata berdesing ini berperanan sebagai kata penguat yang bukan sahaja menambah kesan mendalam terhadap kata nyaring, tetapi juga menggambarkan respons fizikal atau emosi yang dirasai penutur akibat kekuatan bunyi tersebut. Dari sudut sosiolinguistik, penggunaan frasa seperti “nyaring berdesing” turut mencerminkan kecenderungan masyarakat Kedah yang gemar menggunakan ungkapan berganda dan berimpak tinggi untuk meluahkan pengalaman deria secara lebih tepat dan dramatik. Selain menjadi alat penguatan makna, ia juga berperanan sebagai penanda ekspresi budaya lisan yang kaya dan bersifat tempatan serta memperlihatkan bagaimana bahasa berfungsi sebagai medium untuk menggambarkan sensitiviti sosial dan emosi dalam konteks komunikasi harian.
Selain itu, bagi kata penguat yang berkaitan dengan pendengaran ungkapan “serak paghau” menjadi salah satu bentuk yang menarik untuk dibincangkan. “Paghau” membawa maksud suara yang hampir hilang atau tidak keluar sepenuhnya, lazimnya disebabkan oleh masalah pada tekak seperti sakit rengkung. Dalam konteks ini, “paghau” digunakan sebagai kata penguat kepada keadaan suara serak yang bukan sekadar parau biasa, tetapi menunjukkan tahap keserakan yang melampau sehingga hampir tidak kedengaran. Dari sudut sosiolinguistik, penggunaan frasa ini mencerminkan kecenderungan masyarakat Kedah untuk menggambarkan pengalaman deria secara sangat konkrit dan bersifat tempatan, termasuk melalui rujukan terhadap keadaan fizikal penutur itu sendiri.
Kata Penguat Rasa
Dalam dialek Kedah, aspek rasa menjadi antara unsur penting dalam interaksi harian, terutama apabila berkait dengan makanan dan minuman yang sinonim dengan identiti tempatan. Penutur sering menggunakan kata penguat tertentu untuk menggambarkan rasa yang terlalu kuat atau luar biasa, seperti terlalu sedap, terlalu manis atau terlalu pedas, bagi menambah kesan dalam penyampaian makna.
|
No. |
Kata Adjektif |
Kata Penguat |
Fonetik |
|
|
Manis |
melecaih, piaw, |
[ma.nis] [mə.lə.čaih] [ma.nis] [pi.aw] |
|
2. |
Masin |
pait |
[ma.sin[ [pa.it] |
|
3. |
Pahit |
perdegung, piang |
[pa.hit] [bər.də.guŋ] [pa.hit] [pi.aŋ] |
|
4. |
Masam |
kerut |
[ma.sam] [kə.rut] |
|
5. |
Pedas |
berdesing, ternganga, menyengat, menyerit |
[pə.das] [tər. ŋa. ŋa] [pə.das] [bər.də.siŋ] [pə.das] [mə.ɳe.ŋat] [pə.das] [mə.ɳe.rit] |
|
6. |
Tawar |
hebiaq |
[ta.war] [hɛ.biaq] |
“Melecaih” merujuk kepada tahap manis yang sangat tinggi dan manis yang bukan sahaja terasa seketika, malah berlarutan serta melekat pada deria rasa dalam mulut. Dalam masyarakat Kedah, perkataan ini sering digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang manis secara melampau, sama ada makanan atau minuman, hingga menyebabkan rasa manis itu “tertahan” dalam mulut untuk jangka masa yang panjang. Penggunaan kata penguat ini menggambarkan bahawa rasa manis tersebut memberi kesan yang kuat dan berpanjangan, menjadikannya sesuatu yang amat ketara dan kadang kala dianggap terlalu berlebihan. Ungkapan ini juga sering disampaikan dengan nada penegasan atau keluhan, terutamanya apabila manis itu dianggap berlebihan dan menimbulkan rasa kurang selesa. Maka jelas menunjukkan bahawa penggunaan “melecaih” memperlihatkan bukan sahaja ciri kepekatan rasa yang dirasai, malah turut mencerminkan gaya komunikasi dan kepekaan budaya masyarakat Kedah terhadap keseimbangan rasa dalam kehidupan harian mereka.
Kata penguat “pait” pula disertakan bersama-sama kata adjektif “masin” bagi menggambarkan tahap kemasinan yang melampau. “Pait” dalam konteks ini merujuk kepada rasa masin yang terlalu kuat sehingga mampu memberikan reaksi wajah yang spontan, seperti berkerut, seakan-akan sedang merasai kepahitan menelan sesuatu makanan yang masin. Dalam kalangan penutur dialek Kedah, perkataan “pait” digunakan secara kreatif untuk menzahirkan kesan fizikal yang ditinggalkan oleh rasa masin yang berlebihan. Melalui hal ini, telah mencerminkan bagaimana masyarakat Kedah menilai kepekaan terhadap rasa bukan hanya melalui lidah tetapi turut diterjemahkan melalui ekspresi wajah dan tindak balas tubuh.
Kata penguat “berdegung” yang disertakan dengan kata adjektif “pahit” membawa makna kepahitan yang amat kuat dan mendalam sehingga dapat dirasai hingga ke rengkung atau tekak. Apabila seseorang menyebut ungkapan tersebut menunjukkan bahawa pahit itu bukan sekadar di lidah tetapi turut memberi kesan yang mendalam pada rongga tekak, seolah-olah kepahitan itu “bergema” atau “menyerap” terus ke dalam tubuh. Masyarakat Kedah menggunakan ungkapan ini untuk menzahirkan bentuk keterlaluan pada rasa yang tidak menyenangkan malah memberi kesan emosi dan fizikal kepada penutur.
Kata penguat yang seterusnya ialah perkataan “kerut” yang disertakan dengan kata adjektif “masam” dalam dialek Kedah. Perkataan ini membawa makna reaksi spontan seseorang apabila merasai sesuatu yang terlalu masam. Perkataan “kerut” merujuk kepada perubahan mimik muka terutamanya kerutan pada dahi dan sekeliling mulut yang berlaku secara automatik akibat rasa masam yang kuat. Dalam konteks ini, “kerut” digunakan sebagai penanda rasa yang melampau dan bukan sekadar menyatakan rasa tetapi turut menggambarkan kesan fizikal yang dialami tubuh serta menjadikan bahasa pertuturan mereka lebih hidup dan dekat dengan realiti kehidupan seharian.
Kata adjektif “pedas” dalam dialek Kedah turut diperkuat dengan kata penguat “berdesing”, membentuk ungkapan “pedas berdesing” yang lazim digunakan untuk menggambarkan tahap kepedasan yang amat tinggi. Ungkapan ini merujuk kepada rasa pedas yang bukan sahaja terasa di lidah, tetapi seakan menjalar hingga ke telinga, seolah-olah mencetuskan sensasi berdesing yang mencucuk. Fenomena ini menggambarkan bahawa dalam pengalaman masyarakat Kedah, rasa pedas yang keterlaluan bukan sahaja menjejaskan rasa malah memberi kesan fisiologi yang ketara dan mendalam. Penggunaan kata penguat “berdesing” menunjukkan kecenderungan masyarakat Kedah untuk mengekspresikan pengalaman deria secara dramatik dan bersifat hiperbola bagi menunjukkan kesan keterlaluan sesuatu rasa. Selain itu, kata adjektif pedas turut menerima kata penguat yang lain, iaitu perkataan “ternganga” yang membentuk frasa “pedas ternganga”. Ungkapan yang sering digunakan oleh masyarakat setempat bagi menggambarkan tahap kepedasan yang melampau. Ungkapan ini merujuk kepada situasi iaitu seseorang tidak lagi mampu menahan rasa pedas sehingga mulut ternganga secara tidak sedar, seolah-olah meminta atau menadah air untuk meredakan rasa perit yang dirasakan pada lidah dan tekak. Di samping itu, kata adjektif pedas turut diperkuatkan dengan kata penguat menyengat, membentuk frasa “pedas menyengat” yang sering digunakan oleh masyarakat Kedah untuk menggambarkan tahap kepedasan yang melampau. Ungkapan ini merujuk kepada rasa pedas yang bukan sahaja terasa di lidah, malah menyebabkan sensasi seperti disengat, tajam, mencucuk dan memerit. Rasa pedas yang menyengat ini sering digambarkan seolah-olah lidah diserang rasa panas yang mencucuk-cucuk dan sukar ditahan. Dari sudut sosiolinguistik, penggunaan kata penguat menyengat dalam dialek ini bukan sekadar penanda tahap pedas, malah membawa dimensi emosional dan fizikal yang lebih mendalam, menggambarkan kesan langsung makanan terhadap tubuh. Akhir sekali, bagi kata adjektif “pedas” dalam dialek Kedah turut diperkuatkan dengan kata penguat “menyerit”, menghasilkan ungkapan “pedas menyerit” yang menggambarkan tahap kepedasan yang sangat luar biasa sehingga mampu mencetuskan tindak balas spontan dalam bentuk suara menjerit. Ungkapan ini merujuk kepada keadaan rasa pedas yang dialami terlalu kuat hingga menyebabkan seseorang mengeluarkan suara sama ada dalam bentuk keluhan, teriakan kecil, atau seakan meraung tidak tahan.
Akhir sekali bagi pancaindera rasa adalah kata adjektif “tawar”. Kata adjektif “tawar”dalam dialek Kedah sering digandingkan dengan kata penguat “hebiaq” untuk menggambarkan tahap rasa tawar yang melampau. Ungkapan “tawar hebiaq” membawa maksud bahawa makanan atau minuman tersebut langsung tidak memiliki sebarang rasa, kosong, seolah-olah tidak ditambah sebarang bahan perasa. Perkataan “hebiaq” dalam konteks ini bukan sahaja memperkukuhkan maksud tawar, malah mencerminkan reaksi jujur orang Kedah terhadap makanan yang hambar atau tidak menepati cita rasa.
Kata Penguat Sentuhan
Dalam konteks dialek Kedah, ungkapan berkaitan sentuhan bukan sahaja digunakan untuk menyatakan keadaan tubuh, malah turut membawa makna kiasan yang mencerminkan gaya hidup dan cara berfikir penutur. Penggunaan ini secara tidak langsung memperlihatkan cara masyarakat Kedah menyampaikan pengalaman deria secara berlapis antara fizikal dan emosi.
|
No. |
Kata Adjektif |
Kata Penguat |
Fonetik |
|
|
Licin |
meghelit |
[li.čin] [mə.ɣe.lit] |
|
2. |
Halus |
tet, ceh |
[ha.lus] [tɛt] [ha.lus] [cɛh] |
|
3. |
Kasar |
gedegaq |
[ka.sar] [gə.də.gaq] |
|
4. |
Keras |
kong |
[kə.ras] [kɔŋ] |
|
5. |
Lembut |
lembai, lentoq |
[ləm.but] [ləm.bai] [ləm.but] [lən.toq] |
|
6. |
Geli |
geleman |
[gə.li] [gə.lə.man] |
Kata penguat sentuhan yang pertama akan dihuraikan ialah “meghelit”, yang disertakan bersama-sama kata adjektif “licin”. Ungkapan tersebut digunakan oleh masyarakat Kedah untuk menggambarkan keadaan permukaan yang bukan sahaja licin, malah berkilat dan bersinar secara keterlaluan. Perkataan “meghelit” ini dipercayai berasal daripada sebutan “merelit” dalam bahasa Melayu standard, namun ditransformasikan mengikut fonologi dialek Kedah. Biasanya, kata ini digunakan apabila sesuatu permukaan seperti lantai, kulit kepala atau bahagian badan kelihatan sangat licin sehingga boleh memantulkan cahaya. Penggunaan kata ini menggambarkan keterujaan atau keterlaluan pada keadaan permukaan tersebut, dan sekali gus menzahirkan ekspresi tempatan yang lebih berwarna dan bersifat hiperbola.
Kata penguat sentuhan yang seterusnya ialah “tet” dan “ceh”, yang disertakan bersama-sama kata adjektif “halus”, Kedua-dua ungkapan “halus tet” dan “halus ceh” lazim digunakan oleh masyarakat Kedah untuk menggambarkan tahap kehalusan yang luar biasa, iaitu sangat kecil dan halus hingga sukar dilihat dengan mata kasar. Ungkapan ini bukan hanya menggambarkan halus pada makna fizikal semata-mata, tetapi turut mengisyaratkan sesuatu yang sangat mikro, seperti zarah atau debu halus, malah lebih kecil daripada titik. Perkataan “tet” dan “ceh” di sini berfungsi sebagai penegas hiperbola yang memberi gambaran visual dan kesan bunyi yang dramatik. Kedua-dua kata ini dipercayai muncul secara kreatif melalui pemerhatian dan interaksi sosial dalam kalangan penutur dialek Kedah yang gemar mengaitkan bentuk fizikal dengan perumpamaan yang berlebihan tetapi mengena. Hal ini memperlihatkan keunikan dialek Kedah yang bukan sahaja kaya dengan perlambangan, tetapi juga memperlihatkan cara masyarakatnya berfikir, berbahasa dan menilai sesuatu dengan penuh gaya dan kreativiti.
Selain itu, kata penguat sentuhan “gedegaq” yang disertakan bersama-sama kata adjektif “kasar” merupakan satu lagi contoh ekspresi yang unik dalam dialek Kedah. Menurut informan, ungkapan “kasar gedegaq” digunakan untuk menggambarkan permukaan yang terlalu kasar hingga boleh menimbulkan kesan fizikal seperti rasa bergegar atau bunyi hentakan apabila dilalui. Dalam konteks ini, perkataan “gedegaq” memberi gambaran yang berlebihan dan dramatik terhadap sifat kasar, iaitu bukan sahaja permukaannya tidak licin, tetapi seolah-olah menggerutu dan mampu menghasilkan kesan bunyi apabila bergeseran. Kata penguat ini juga mengandungi makna tersirat dan menyampaikan rasa tidak selesa yang timbul akibat sentuhan tersebut.
Di samping itu, kata penguat sentuhan “kong” yang disertakan dengan kata adjektif “keras” turut menjadi salah satu bentuk ekspresi hiperbola dalam dialek Kedah. Ungkapan tersebut merujuk kepada keadaan sesuatu objek yang bukan sahaja keras, tetapi mempunyai kepadatan dan keteguhan yang sangat padu, seolah-olah tiada ruang longgar langsung pada struktur benda tersebut. Perkataan “kong” di sini menggambarkan bunyi atau kesan apabila sesuatu yang sangat keras diketuk atau terjatuh, iaitu bunyi yang padat, tumpat dan kuat yang akan menyerlahkan sifat kekerasan itu secara bunyi dan sentuhan. Dalam hal ini, kata “kong” bukan sahaja berperanan sebagai penegas, tetapi turut memberi gambaran tekstur atau impak fizikal sesuatu objek apabila disentuh atau terhentak. Oleh itu, ungkapan ini wujud sebagai satu bentuk perlambangan pengalaman sentuhan yang dirasai, lalu dizahirkan dalam bentuk kata penguat yang padat dengan makna nilai sesebuah budaya setempat.
Seperkara lagi yang turut memperlihatkan kekayaan ekspresi dalam dialek Kedah ialah penggunaan kata penguat sentuhan seperti “lentoq” dan “lembai”, yang sering digandingkan dengan kata adjektif “lembut”. Ungkapan tersebut digunakan untuk menggambarkan kelembutan yang melampau yang bukan sekadar lembut secara fizikal tetapi turut membawa maksud simbolik kepada kelunakan atau kelembutan gerak tubuh yang memberi kesan tertentu pada deria sentuhan dan pengamatan. Kata penguat “lentoq” misalnya, memberikan gambaran “lembut” yang menyebabkan tubuh seolah-olah hilang kekuatan atau mengarah kepada kelakuan manja dan menggoda, bahkan dalam konteks tertentu boleh juga merujuk kepada posisi badan seperti kepala jatuh ke bahu yang menandakan kelunakan tubuh secara tidak langsung. Manakala kata penguat “lembai” digunakan untuk menambah unsur berirama atau keindahan dalam percakapan, selain menggambarkan sifat lemah lembut atau melentik. Penggunaan bentuk ganda ini dalam dialek tempatan bukan sahaja berfungsi sebagai penegasan tetapi turut menjadi satu bentuk estetik lisan yang memperkaya ragam berbahasa dalam kalangan penutur. Oleh itu, ungkapan “lembut lentoq” dan “lembut lembai” merupakan contoh jelas sesebuah ekspresi linguistik ditunjangi oleh latar sosial dan budaya yang turut mempengaruhi makna dan penilaian terhadap sesuatu pengalaman sentuhan.
Akhir sekali, kata penguat sentuhan yang akan dihuraikan ialah perkataan “geleman”, yang lazimnya digandingkan dengan kata adjektif “geli”. Ungkapan ini digunakan untuk menggambarkan rasa geli yang teramat sangat, iaitu apabila seseorang mengalami tindak balas tubuh yang spontan seperti menggeliat, menggeletik atau menunjukkan reaksi tubuh seperti menggigil kecil atau lebih dikatakan “gedik” apabila terlihat atau terasa sesuatu yang mencetuskan rasa geli. Dalam konteks dialek Kedah, “geleman” berperanan bukan sahaja sebagai unsur penguatan makna, tetapi juga menambah keindahan bunyi dan kesan dramatik dalam pertuturan. Rasa geli bukan sekadar disebut sebagai sesuatu yang ringan, tetapi turut dikaitkan dengan kesan fizikal yang jelas menandakan hubungan erat antara bahasa, tubuh, dan budaya. Penggunaan “geli geleman” menjadi bukti bahawa makna dalam dialek bukan hanya bersifat makna terus, tetapi tersirat dengan perlambangan yang mencerminkan kepekaan deria dan cara masyarakat menzahirkan reaksi terhadap pengalaman seharian.
Nota: Penulis merupakan pelajar dan pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Pagoh.
