Skip to content
Kecerdasan Buatan (AI) Cetus Minat Penulis Baharu
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Bahasa > Kecerdasan Buatan (AI) Cetus Minat Penulis Baharu
Kecerdasan Buatan (AI) Cetus Minat Penulis Baharu
Bicara Bahasa

Kecerdasan Buatan (AI) Cetus Minat Penulis Baharu

  • Asrizam
  • 5 Julai 2025
  • DBP Wilayah Tengah
  • 6
  • 5

Menulis sajak bukanlah suatu perkara yang mudah dan hanya digemari oleh golongan tertentu sahaja. Penghasilan sajak perlu disertai dengan teknik penulisan yang berkesan, latihan yang berterusan, dan kreativiti penulis, yang ditambah dengan pengalaman dan pemerhatian penulis terhadap alam sekelilingnya.

Bersempena dengan Sambutan Hari Alam Sekitar, pada 5 Jun 2025, Putra Science Park dan Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (TNCPI), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Sayembara Penulisan Sajak Alam Sekitar 2025 berbantukan kecerdasan buatan (AI) khusus untuk penulis sajak yang baru ingin mengenali dunia penulisan sajak.

Menariknya, sayembara ini menggalakkan peserta menggunakan AI dalam menghasilkan karya sajak sebelum disunting oleh penulis sendiri mengikut gaya dan pemahaman mereka sendiri.

Penggunaan AI memberikan peluang kepada peserta untuk menggabungkan kreativiti manusia dan teknologi terkini dalam menghasilkan sajak yang bermakna dan menyentuh jiwa.

Sayembara penulisan sajak ini bertepatan dengan tema “Kesedaran, Kelestarian Alam Sekitar serta Tanggungjawab Kita Terhadap Alam Ini” dan peserta sebenarnya didedahkan dengan kepentingan menjaga alam sekitar melalui sajak yang kreatif dan berkesan.

Format sayembara juga menarik apabila disusun berdasarkan penjurian AI secara satu sajak lawan satu sajak menggunakan sistem kalah mati sehingga diketahui siapa yang layak dinobatkan sebagai juara dan naib juara.

Setiap peserta akan berdepan dengan peserta lain dalam sesi penilaian penulisan sajak secara langsung oleh AI yang menilai aspek kreativiti, kesesuaian tema, dan keunikan karya berdasarkan metrik pemarkahan yang dicadangkan oleh AI.

Kecerdasan Buatan (AI) Cetus Minat Penulis Baharu

Pemenang sayembara mestilah penulis baharu dalam dunia penulisan sajak namun telah berjaya menghasilkan karya yang terbaik dan paling menyentuh jiwa dalam meningkatkan kesedaran tentang alam sekitar.

Kejayaan sayembara sebegini membuktikan bahawa bakat dan kreativiti dalam penulisan sajak dapat digilap walaupun melalui medium baharu seperti bantuan AI.

Prakarsa ini bertujuan memupuk minat peserta terhadap penulisan kreatif, khususnya dalam bidang penulisan sajak yang berkaitan dengan alam sekitar. Selain itu, teknik sayembara ini juga memberikan pendedahan tentang bagaimana teknologi AI boleh dimanfaatkan untuk menambah baik mutu karya sastera.

Pada masa yang sama, peserta digalakkan untuk sentiasa berfikir secara kritis dan menggali idea segar dalam menghasilkan sajak yang bukan sahaja unik tetapi juga mempunyai mesej yang mendalam. Hal ini sejajar dengan maksud penulisan kreatif yang mengungkapkan cetusan idea dan perasaan penulis secara imaginatif dan puitis.

Impak sayembara ini memperlihatkan pelbagai karya yang sangat bermakna dan menyentuh tema kelestarian alam. Antaranya termasuklah sajak “Elegi Luka Semesta” karya Aiman Raziq Noor Asmadi yang menonjol dengan kedalaman makna dan gaya puitisnya.

Sajak “Elegi Luka Semesta” menggunakan bahasa yang penuh dengan simbolisme dan metafora untuk menyentuh isu kerosakan alam sekitar. Melalui karya tersebut, pembaca diajak merenung dosa-dosa manusia terhadap bumi serta mengingatkan peranan khalifah yang semakin dilupakan dalam menjaga alam ciptaan.

Selain itu, sajak “Katalog Kepupusan di Meja No. 6” oleh Naszroul Haqimee Rahmat pula menampilkan isu kepupusan spesies dan kritikan sosial yang tajam terhadap pembangunan yang tidak lestari. Sajak ini menggambarkan dengan jelas bagaimana kemajuan yang tidak terkawal membawa kesan buruk kepada alam sekitar dan kehidupan makhluk di dalamnya.

Sementara itu, sajak “Bila Akar Berdoa” hasil karya Noor Fadilah Ayu Wichi menyampaikan suara alam yang hampir hilang dengan cara yang sangat puitis dan menyentuh. Melalui personifikasi dan imej yang hidup, sajak ini memberikan nyawa kepada alam yang terluka, serta mengajak pembaca merasai kesakitan dan kehilangan yang dialami oleh alam sekitar.

Sajak “Hijau di Jantung UPM” karya Nurul Wan Adzlyn pula mengangkat tema kelestarian alam sekitar, khususnya di kampus UPM. Dengan gaya bahasa yang sederhana tetapi efektif, karya ini menggunakan imej alam dan inovasi di kampus untuk menonjolkan kehijauan sebagai falsafah hidup.

Kesemua karya ini membuktikan bahawa penulisan sajak merupakan medium yang amat berkesan dalam menyuarakan kesedaran dan tanggungjawab terhadap alam sekitar, sambil mengekalkan keindahan dan keunikan seni puisi.

Inisiatif sebegini bukanlah ibaratnya seperti “membalikkan telapak tangan”, namun memberikan kesedaran dan ruang kepada mereka yang tidak pernah mengikuti perkembangan dunia sastera dan sajak.

Kehadiran AI dalam dunia penulisan sajak membawa kesan yang signifikan dan pelbagai dimensi. Memang tidak dinafikan bahawa AI berperanan sebagai alat bantu yang memperluas kreativiti penulis dengan menyediakan idea, struktur, dan gaya bahasa yang pelbagai, sekali gus membantu mengatasi kebuntuan dalam menghasilkan karya.

Dengan kemampuan AI untuk menganalisis corak bahasa dan menghasilkan bait-bait sajak yang puitis, penulis dapat mempercepat proses penulisan dan menambah baik mutu karya penulis baharu terutamanya.

Selain itu, AI juga membuka ruang untuk penulis baharu yang mungkin kurang berpengalaman untuk mencuba dan belajar melalui interaksi dengan teknologi ini, sekali gus memperluaskan akses kepada dunia sastera.

Namun demikian, penggunaan AI juga menimbulkan perdebatan mengenai keaslian dan keunikan karya, disebabkan risiko karya menjadi terlalu generik atau mungkin kehilangan sentuhan peribadi penulis.

Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said juga pernah menyatakan kepentingan generasi muda didedahkan dengan karya-karya sastera sejak awal supaya mereka dapat memahami nilai-nilai murni, sejarah dan identiti bangsa.

Melalui sajak, mereka bukan sahaja belajar bahasa yang indah tetapi juga diasuh dengan kepekaan terhadap masyarakat dan juga alam sekitar. Tanpa penghayatan sastera, generasi muda akan kehilangan akar budaya yang menjadi tunjang jati diri mereka.

Maka itu, seiring dengan perkembangan modenisasi generasi marcapada, seharusnya teknologi seperti AI perlu diaplikasikan dalam dunia sastera dan sajak bagi memastikan kemapanan pembudayaannya seiring dengan perkembangan zaman namun haruslah dalam keadaan terkawal.

Dalam konteks penggunaan AI sebagai rakan kongsi kreatif, artikel autobiografi dari Oxford Intersections: AI in Society (Edwin Creely, 2025)  menyorot bahawa AI dapat menjadi alat yang membantu penulis dalam menjana idea, memberikan maklum balas segera, dan  meningkatkan kecekapan proses penulisan sajak.

Namun begitu, AI tidak dapat menggantikan seni kreativiti manusia, yang bersifat intuitif dan tidak dapat diramal sepenuhnya, terutama dalam aspek puitis yang eksperimental dan ekstensif, sebaliknya berfungsi sebagai rakan kongsi yang membantu mengasah dan memperkaya proses penciptaan sajak.

AI membawa revolusi dalam penulisan sajak dengan menggabungkan kecekapan teknologi dan kehalusan seni, membuka peluang baharu sambil mengekalkan nilai estetika dan emosi dalam karya sastera.

Penulis berharap agar lebih ramai warga universiti dan masyarakat umum menggalakkan penulisan kreatif, terutamanya dalam bentuk sajak dan puisi, sebagai medium menyampaikan mesej penting berkaitan kelestarian alam. Semoga akan lahir lebih ramai penulis yang mampu menyumbang karya bermutu dan memberikan impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar.

 

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (14) #karyasastera (15) #penulis (5) #penulisbaharu (16) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (5) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (15) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) bengkel (2) budaya (2) cerpen (9) dbpcawangansabah (6) dbpcawangansarawak (17) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (24) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) ramadhan (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

كاسيهمو ايبو
Puisi Moden

كاسيهمو ايبو

  • 21 Oktober 2024
  • 23
  • 3
Hikayat Seri Kelantan: Naskhah Sastera Sejarah Kelantan
Bicara Sastera

Hikayat Seri Kelantan: Naskhah Sastera Sejarah Kelantan

  • 19 Oktober 2023
  • 870
  • 3.3
احد
Puisi Moden

احد

  • 15 Jun 2023
  • 68
  • 4.6
اكو دان كاو
Puisi Moden

اكو دان كاو

  • 20 September 2023
  • 24
  • 2.3

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP