- Pengenalan
Hukum dari segi bahasa bermaksud peraturan yang dibuat oleh sesuatu kekuasaan, adat yang dianggap mesti dipatuhi, undang-undang dan lain-lain. Kanun pula ialah perkataan yang bersinonim dengan undang-undang, hukum, peraturan, kaedah, tatacara dan prosedur (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005).
Menurut Azman Yusof (2012), hukum kanun ialah kitab undang-undang yang digubal melalui ketetapan pemerintah sesebuah kerajaan atau kesultanan dan keabsahannya terhad kepada wilayah kesultanan tersebut sahaja. Contohnya ialah Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Pahang.
Terdapat juga kitab undang-undang yang tidak dinamakan hukum kanun tetapi mempunyai fungsi yang serupa seperti Undang-undang 99 Perak, Undang-undang Kedah, Undang-undang Riau dan lain-lain.
Hukum Kanun Pahang
Hukum Kanun Pahang digubal semasa pemerintahan Sultan Abdul Ghaffar Mahyuddin Shah antara tahun 1592 hingga 1614 Masihi. Hukum Kanun Pahang merupakan undang-undang tertua selepas Undang-undang Melaka.
Selama 22 tahun pemerintahan Sultan Abdul Ghaffar Mahyuddin Shah, baginda telah membina kekuatan pertahanan, ekonomi dan mengukuhkan kedudukan undang-undang negeri berteraskan Islam bagi tujuan keadilan dalam pentadbiran negeri.
Hukum Kanun Pahang merupakan kesinambungan daripada Hukum Kanun Melaka kerana Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka telah menguasai negeri Pahang pada tahun 1470 Masihi.
Sultan Pahang yang pertama berketurunan raja Melaka, iaitu Sultan Muhammad Shah (1470-1475 M) dan seterusnya telah bertukar ganti sehinggalah kepada Sultan Abdul Ghaffar Mahyuddin Shah (1592-1614 M). Baginda merupakan keturunan raja Melaka yang ke-12.
Dalam upaya mentadbir negeri Pahang supaya lebih efisien, baginda telah membuat penambahbaikan terhadap Undang-undang Pahang yang diwarisi daripada Hukum Kanun Melaka. Baginda menamakannya sebagai Hukum Kanun Pahang serta memperkemas peruntukan undang-undang yang sedia ada; mengekalkan mana yang sesuai dan menambahkan undang-undang baharu mengikut keperluan setempat dan semasa.
Pembaharuan yang dilakukan ialah memurnikan undang-undang adat supaya selari dengan syariat Islam. Dengan kata lain, undang-undang berkenaan menampakkan penambahan, terutamanya yang berkaitan dengan aspek keislaman.
Hal ini dapat dilihat melalui peruntukan yang terkandung dalam Hukum Kanun Pahang, iaitu tentang kedudukan raja sebagai khalifah, kedudukannya dalam mentadbir negeri seperti kedudukan nabi mentadbir umat, menjalankan amar makruf nahi mungkar serta bertanggungjawab terhadap rakyatnya.
Status ini diperkukuh dengan dalil al-Quran dan hadis. Malahan ada pendapat mengatakan bahawa manuskrip ini merupakan terjemahan dan cedokan daripada kitab-kitab fikah menurut mazhab Syafie.
Berdasarkan catatan teks Hukum Kanun Pahang yang disimpan di Muzium Pahang dan di Perpustakaan Negara Malaysia menyatakan Hukum Kanun Pahang ini dikuatkuasakan di Pahang dan Johor. Naskhah yang tersimpan di Royal Asiatic Society (RAS) pula menyatakan Hukum Kanun Pahang dikuatkuasakan di Pahang, Johor, dan Perak.
Berdasarkan maklumat itu dapatlah dibuat kesimpulan bahawa undang-undang yang dikuatkuasakan di Pahang dan Johor dianggap sebagai peringkat pertama dalam pemerintahan Sultan Abdul Ghaffar.
Pada peringkat kedua, undang-undang tersebut turut dikuatkuasakan di Perak kerana terdapat penambahan dan susunan bahasa yang lebih baik. Teks Hukum Kanun Pahang yang tersimpan di Royal Asiatic Society tidak terlalu klasik sepertimana teks yang disimpan di Muzium Pahang dan Perpustakaan Negara Malaysia.
Inti pati Hukum Kanun Pahang secara umumnya mengandungi pelbagai jenis undang-undang berkaitan dengan pemerintahan dan pentadbiran Sultan, Undang-undang Jenayah, Undang-undang Sivil, Undang-undang Acara dan Keterangan, Undang-undang Keagamaan, Undang-undang Antarabangsa dan Undang-undang Percukaian, dan Undang-undang Laut.
Undang-undang Pemerintahan dan Pentadbiran (perlembagaan) menyatakan kedudukan Sultan sebagai Ketua Negeri, hubungannya dengan pegawai-pegawai yang dilantik, hubungan dengan rakyat awam, dan kawasan berkuatkuasanya undang-undang dan pemerintahan.
Undang-undang Jenayah pula secara khusus menyatakan hak istimewa raja yang tidak boleh dicabuli, hukum orang yang menceroboh tanah atau kampung, hukum pembunuhan dan qisas kecederaan, Hukum Hudud: minum arak, mencuri, menyamun, murtad, berzina, tuduhan zina dan durhaka kepada raja.
Undang-undang Muamalat menyatakan hal ehwal perniagaan, jual beli dan aib, hukum berhutang dan bergadai, memberi hutang dan pinjaman barang, hukum orang muflis, hukum tentang hamba dan yang berkaitan, hukum menaruh amanah dan barang amanah, dan hukum sewaan dan upah pekerja, hukum terjumpa barang hilang, hukum denda dan diyat, hukum bapa dan nenek mengambil pemberian anak-anak (hibah), hukum pembukaan tanah, dan tanah, serta hukum wakaf.
Undang-undang Acara dan Keterangan pula menyatakan hukum membuat sesuatu tuntutan, prosedur membuat tuntutan di mahkamah, hukum tentang saksi dan sumpah, prosedur perbicaraan dalam mahkamah, dan hukum hakim menerima rasuah. Undang-undang Keagamaan pula menyatakan hukum mengenai murtad, hukum mengenai menunaikan solat, dan hukum tidak membayar zakat.
Undang-undang Antarabangsa pula menyentuh hukum perang sabil, hukum orang tawanan, hukum jenayah antara Muslim dan bukan Muslim, hukum jenayah antara bukan Muslim dengan bukan Muslim, dan hukum hubungan antara negara.
Selanjutnya, Undang-undang percukaian menyatakan jenis-jenis barang yang dikenakan cukai, kadar bayaran yang ditetapkan bagi setiap barangan, ketetapan cukai berdasarkan kawasan, ketetapan kadar minimum barang yang dikenakan cukai dan kadar cukai kapal masuk ke pelabuhan.
Undang-undang Laut pula menggunakan hukum Kanun Laut Melaka yang meliputi kuasa di laut, nakhoda dan awak-awak, perahu serta undang-undang yang dikuatkuasakan seperti jenayah hudud, sivil, hukum kapal masuk pelabuhan dan sebagainya.
Kesimpulan
Meskipun Hukum Kanun Pahang dipengaruhi oleh Hukum Kanun Melaka, undang-undang tersebut juga mengalami evolusi untuk disesuaikan dengan konteks politik dan sosial negeri Pahang.
Beberapa hukum adat atau praktik khusus yang sesuai dengan keadaan tempatan dipertahankan, menjadikannya unik dalam penerapannya di Pahang dan menjadi bukti penting bagaimana masyarakat Melayu mengintegrasikan hukum Islam dalam kehidupan harian sambil tetap mempertahankan adat tradisi mereka. Keunikannya terletak pada keseimbangan yang dicapai antara dua sistem hukum ini dan disesuaikan dalam konteks lokal.
Rujukan
Abdul Moner Yaakob. “Pengaruh Adat Hukum Kanun Melaka dalam Adat Istiadat Negeri Pahang”. Jurnal Tuah 4:1, hlm. 56 – 62, 2023.
Azman Yusof, 2012. “Pemikiran Ketatanegaraan Raja Ali Haji dalam Thamarat al-Muhimmah”. Tesis PhD. Universiti Putra Malaysia.
Rahimin Affendi Abd Rahim, 2022. “Hukum Kanun Pahang Sebagai Korpus Perundangan Tempatan Melayu Pahang”. Kertas Kerja Persidangan dan Pameran Antarabangsa Manuskirp Melayu (PAMM) 2022. Anjuran Perpustakaan Negara Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Universiti Pendidikan Sultan Idris, 9 – 11 Ogos 2022.
