PAGI itu, kabus tipis masih menyapu halaman sekolah ketika bas terakhir meninggalkan perkarangan. Di bilik darjah SS3, meja-meja tersusun rapi. Di hadapan papan putih berdiri Cikgu Nur.
“Kita mulakan hari ini dengan satu perkara yang saya percaya, iaitu setiap seorang daripada kamu ada kekuatan,” kata Cikgu Nur memulakan kelas. “Kekuatan tidak selalu ketara; kadangkala ia tersembunyi. Tugas kita adalah untuk mencari, menemukan lalu mengasahnya.”
Di barisan depan, Bella duduk tegak. Orangnya pendiam, namun mudah senyum dan setiap geraknya mengisyaratkan ketekunan. Bella mendapat semua A dalam peperiksaan semester satu. Orang mungkin menyangka itu mudah untuknya. Hakikatnya, dia selalu menyimpan keresahan tentang Bahasa Melayu. Bukan kerana dia malas, sebaliknya kerana sifat ketelitiannya. Dia gigih menyiapkan nota, menulis semula ayat-ayat, menghafal contoh dan segala bentuk esei. Cikgu Nur melihat kekuatan Bella. Dia tidak mengeluh ketika gagal, malah kembali berusaha sampai ayat itu “rasa betul”. Selepas beberapa minggu kelas tambahan dan latihan tatabahasa yang disusun rapi, Bella memperoleh A dalam Bahasa Melayu.
Di bangku kiri, Iris, pelajar yang pemalu, sering hanya mengangguk apabila ditanya. Namun kekuatannya pada telinga yang mahu mendengar dan hati tidak jemu belajar. Iris menumpukan perhatian sepenuhnya semasa guru mengajar. Apabila Cikgu Nur menawarkan sesi bimbingan menulis peribadi, Iris menerima peluang itu dengan gembira.
Roneschi pula seorang pelajar yang berapi-api, berani, dan pantas. Suaranya lantang, langkahnya laju dan dia tidak gentar mencuba. Dalam perbincangan kelas, dia sering mengangkat tangan paling awal, bersedia mengambil tugasan spontan dan memimpin latihan pembentangan. Kadangkala semangatnya membuai sehingga dia terdorong membantah pendapat rakan, tetapi Cikgu Nur melihat potensi besar padanya. Dia ada keberanian bercakap, kreatif dan rajin berusaha. Cikgu Nur mengajarnya teknik mendengar aktif dan menyusun hujah secara sistematik. Dengan bimbingan itu, Roneschi memerah tenaganya menjadi pelajar yang berpotensi cemerlang dalam Bahasa Melayu,
Di hujung kanan, Kontheol duduk menunduk, namun wajah dan tindak-tanduknya mempamerkan aura kepimpinannya. Kulit putihnya, rambut ikal mayang dan penampilannya yang kemas membuat guru sering memanggil “pelajar bersinar” Di padang, dia terkenal sebagai peraih pingat, ketua rumah sukan, pengerusi kelab badminton dan pemain bola sepak yang digeruni.
Cikgu Nur melihat potensi Kontheol, pelajar yang pantas dalam menangkap pelajaran, mempunyai keupayaan memimpin boleh menjaga pasukan. Dengan penuh kasih, Cikgu Nur memberikan peluang kepadanya memimpin projek kelas, menugaskan dia sebagai ketua kumpulan pembentangan dan pembimbing rakan, serta memberikan latihan berbentuk reflektif supaya Kontheol boleh belajar menulis pengalamannya sendiri.
Vyonne, pelajar yang sering senyum manis dan tak jemu berusaha. Prestasinya di semester 1 tidak jelas, tetapi di tangan Cikgu Nur, Vyonne ditempatkan sebagai mentor kecil. Kekuatan Vyonne ialah kepekaannya. Dia mudah merasakan apabila ada rakan yang keliru. Vyonne akan memberikan kata sokongan dan memimpin dengan kelembutan. Tugas sebagai mentor menyalakan semangatnya. Dari situ, dia belajar untuk mengurus masa, menyusun nota ringkas dan memberikan tunjuk ajar yang jelas.
Bob, matang dan sopan. Selepas pembedahan mata yang memerlukan cuti panjang, Bob kembali ke kelas dengan sikap tenang dan matlamat jelas untuk menjadi peguam. Minatnya dalam politik membuat rakan memanggilnya “YB”. Cikgu Nur menyediakan nota audio, memberikan masa tambahan dan memotivasinya supaya tidak terbeban. Kekuatan Bob ialah konsistensi dan bervisi.
Azman datang daripada keluarga yang kurang berada. Dia mengaku sering merayau dengan rakan. Tetapi apabila diberikan perhatian peribadi, dia menunjukkan kebolehan terpendam. Kekuatan Azman ialah kepekaan praktikal, iaitu apabila diberikan tugasan yang mengaitkan teori dengan kerja harian, contoh penulisan laporan kecil tentang aktiviti komuniti, dia memberikan respons positif. Cikgu Nur mengangkat kekuatan Azman dengan peluang praktikal dan dia berkembang menjadi murid contoh yang mengambil peluang kecil untuk mengubah haluan hidup.
Andrew, yang aktif dalam sukan, berpotensi cemerlang jika meningkatkan usaha. Kenny, pemuzik berbakat, adalah anak guru besar sekolah rendah; masing-masing mempunyai kekuatan unik. Andrew membuktikan bahawa disiplin sukan boleh dialihkan ke dalam teknik pembelajaran. Bersama jurulatih yang betul, dia mampu mengurus jadual ulangkaji. Kenny, dengan bakat muziknya, menunjukkan kreativiti. Lirik dan melodi menjadi alat memori untuk menghafal fakta, suatu teknik yang Cikgu Nur galakkan. Ini mengajar murid-muridnya bahawa kekuatan boleh saling melengkapi.
Amanda, ketua tingkatan yang tegas tetapi lembut, menunjukkan kemahiran kepimpinan. Dia memastikan suasana teratur, menyusun jadual ulangkaji dan menjaga kebersihan kelas. Jo dan Charlie, walaupun pemalu atau kurang menonjol dalam bidang akademik, namun mereka berdua memiliki kesopanan dan usaha gigih. Siaw Siaw, penyanyi sekolah, mempunyai kelebihan pengaruh sosial dan mampu mempengaruhi rakan melalui seni. Rachel, pelajar yang sopan-santun dan lemah-lembut, disayangi semua guru kerana sikapnya. Nolan dan Hatta pula menonjol dalam disiplin dan bakat pidato.
Nolan, daripada pelajar yang paling lemah, membuktikan potensinya apabila berjaya meningkatkan pencapaian Bahasa Melayu daripada F kepada C. Ia hasil dorongan yang berterusan dan pengiktirafan kecil oleh Cikgu Nur yang memberikan motivasi besar. Ini menunjukkan bahawa bakat yang terpendam jika diasah akan terserlah juga. Sebab itulah Nolan sentiasa berpegang kepada prinsip ‘bangkit’ kerana dia yakin dengan keupayaan dirinya untuk berjaya dalam peperiksaan.
Rachel pula seorang yang tidak mudah berputus asa. Semangat yang kuat ini telah mendorong dirinya meneruskan perjuangan di tingkatan 6 meskipun pada mulanya dia ada niat untuk berhenti sekolah. Hatta dari segi disiplin diri, Rachel telah menunjukkan tekad untuk berjaya, terutamanya sewaktu Cikgu Nur memberikan bimbingan kerja kursus. Dia telah memberikan tumpuan sepenuhnya mendengar penjelasan Cikgu Nur. Itu merupakan satu kelebihan juga bagi Cikgu Nur.
Cikgu Nur melihat semua potensi dan kelebihan para pelajarnya untuk memantau kekuatan mereka supaya ia tidak hilang. Dia berinteraksi dengan setiap pelajar secara peribadi.
Dia menyediakan nota ringkas bertulis tangan untuk Bella; pujian lembut untuk Iris; latihan debat untuk Roneschi; bimbingan kepimpinan untuk Kontheol; rakaman pengajaran untuk Bob; tugasan praktikal untuk Azman; peluang pentas untuk Kenny; amanah organisasi untuk Amanda; dan latihan memori untuk Charlie dan Jo. Kasihnya kepada para pelajar adalah sesuatu yang jujur, ikhlas dan sepenuh hati . Bukan demi menuntut balasan, tetapi demi memberikan ruang kepada pelajar-pelajar itu menyerlahkan kekuatan masing-masing.
Suatu pagi, Cikgu Nur membawa helaian kertas berwarna ke hadapan kelas. Di papan tertulis dengan huruf besar: Kontrak Pembelajaran — Pilih Laluanmu.
“Kamu semua sudah dewasa. Oleh sebab itu, cara cikgu mengajar juga berubah. Ada tiga laluan tugasan untuk topik esei kali ini: Akademik, Kreatif dan Praktikal. Pilih mengikut kekuatan dan tujuan masing-masing. Semua akan dinilai dengan rubrik yang adil, tetapi bentuk hasilnya boleh berbeza.”
Bella mengangkat tangan. “Cikgu, saya pilih laluan akademik. Saya mahu perhalusi tatabahasa dan rujukan.”
Iris memegang pen dengan tangan yang sedikit gemetar. “Saya… saya mahu cuba laluan kreatif, tapi cikgu, boleh tak pembentangan saya kecil saja pada mulanya?”
“Boleh,” jawab Cikgu Nur. “Kita mulakan perlahan. Dua minit, kemudian tambah sedikit demi sedikit. Vyonne akan jadi mentor kamu pada minggu pertama.”
Roneschi menepuk meja penuh semangat. “Saya mahu buat audio siar! Boleh saya gabungkan esei dan rakaman suara?”
“Boleh, Roneschi. Tapi ikut syarat. Kamu perlu hadir sesi latihan mendengar aktif. Kita akan latih bagaimana mengemukakan hujah tanpa menenggelamkan rakan.” Cikgu Nur menghadiahkan senyuman yang menenangkan.
Kontheol berdiri. “Saya mahu jadi ketua kumpulan. Boleh cikgu beri saya ruang memimpin projek?”
“Boleh. Tetapi kamu juga wajib menulis refleksi mingguan tentang keputusan yang dibuat dan bagaimana ia mempengaruhi ahli kumpulan. Pemimpin yang baik mesti tahu menilai kesan tindakannya.”
Bob menoleh, suaranya tenang. “Cikgu, saya perlukan bahan audio untuk ulangkaji. Selepas pembedahan mata, saya susah membaca panjang.”
“Sudah tentu. Saya akan rakam kuliah dan muat naik. Kamu juga boleh minta sesi bersemuka jika perlu.”
Di dalam kelas Cikgu Nur, dia mewujudkan suasana hormat dan keterbukaan. Tidak ada pelajar yang dipaksa. Setiap orang diberi autonomi untuk memilih cara mereka belajar. Dalam minggu-minggu berikut, kelas berubah menjadi bengkel hidup.
Teknik Pick and Count diperkenalkan sebagai permainan. Pelajar dikehendaki memilih perkataan dalam satu perenggan, memecahkannya kepada morfem, kemudian membentangkan penemuannya. Permainan itu membawa gelak tawa. Apabila ada salah pecahan, rakan-rakan menegur secara mesra. Apabila ada yang berjaya, sorakan kecil akan bergema.
Suatu petang selepas waktu sekolah, Kontheol duduk di tepi padang bersama Cikgu Nur. Matahari kebetulan rendah, bayang-bayang panjang meleret di atas rumput.
“Cikgu, kadangkala saya rasa saya tak layak jadi ketua. Dulu lain, sekarang lain. Saya takut buat salah,” ujar Kontheol rendah.
Cikgu Nur memandang jauh, kemudian kembali memandang anak muridnya. “Semua pemimpin pernah takut. Perbezaannya ialah, pemimpin yang baik berani tunjuk kelemahan dan belajar daripadanya. Cuba tulis satu insiden minggu ini yang membuatkan kamu ragu. Kemudian tuliskan tiga perkara yang boleh kamu lakukan lain kali. Kita tidak mahu sempurna. Kita mahu berkembang.”
Kontheol mengangguk.
Di bilik tutorial lain, Bella dan Iris duduk bersama. Bella menunjukkan nota ringkas yang disusun rapi. “Iris, kalau kamu mahu, kita boleh buat latihan ini bersama setiap petang. Saya boleh baca pembukaan esei kamu dan beri komen.”
Iris memandang Bella, matanya berkaca. “Terima kasih. Saya takut suara saya kedengaran bodoh apabila bercakap depan ramai.”
Bella menepuk bahu Iris. “Kita mulakan perlahan. Sekali saya bercakap dulu, kamu catat apa yang awak rasa elok. Apabila kita cuba bersama, suara kamu akan jadi biasa.”
Malam-malam, rakaman Cikgu Nur menjadi teman setia Bob. Dia mendengar kuliah berulang-ulang ketika menyiapkan tugasan. Suatu hari, Bob datang dengan mata yang bersinar. “Cikgu, saya rasa saya boleh jawab soalan esei panjang sekarang. Rakaman tu bantu saya susun pemikiran.”
“Bagus, Bob. Ingat, proses itu penting, bukan hanya keputusan.”
Azman pula diberi tugasan praktikal, iaitu menulis laporan mengenai sebuah projek gotong-royong di kampung. Dia pergi ke lapangan, bertanya, menulis dan pulang dengan mata yang lebih terang. “Cikgu, apabila saya tulis pasal pengalaman itu, saya rasa macam ilmu itu betul-betul berguna,” katanya ringkas.
Kenny bekerjasama dengan Siaw Siaw menghasilkan satu lagu ringkas yang membantu rakan mengingati imbuhan dan kata dasar. Lagu itu disusun ringkas, bernada ceria dan mudah dihafal. Di dalam kelas, apabila Kenny dan Siaw Siaw menyanyikan lagu itu, beberapa rakan yang sebelum ini garu kepala pun mula mengangguk mengikut irama, dan pembelajaran jadi ringan.
Peperiksaan akhir menjadi pentas untuk membuktikan kesungguhan mereka. Bella berjaya memperoleh A penuh; Iris mendapat peningkatan yang menonjol; Roneschi memenangi anugerah esei kreatif; Kontheol menunjukkan lonjakan akademik dan dipuji kerana kepimpinannya; Vyonne diangkat sebagai mentor rasmi; Bob melangkah lebih dekat dengan cita-citanya; Azman dan yang lainnya menunjukkan hasil usaha. Yang paling penting, mereka pulang dengan sesuatu yang lebih daripada markah, iaitu keyakinan diri, rasa hormat kepada ilmu dan kesedaran bahawa kasih seorang guru ialah dorongan yang jujur dan ikhlas.
Pada hari perpisahan kecil di dewan sekolah, Cikgu Nur berdiri menatap pelajar-pelajarnya.
“Ilmu memberikan kamu kunci,” katanya. “Tetapi kekuatan, ketekunan, keberanian, kesabaran dan kreativiti, itulah yang membukakan pintu. Ingat, guru memberikan cahaya; tetapi kamu yang mesti menyalakan lampu itu setiap hari.”
Selepas semua orang pulang, Cikgu Nur duduk di bangku guru, menatap ruang kelas yang sunyi. Di mejanya terletak beberapa nota kecil. Catatan tangan Bella, senarai lagu oleh Kenny, laporan Azman dan refleksi mingguan Kontheol. Dia membaca setiap satu secara perlahan.
“Engkau bagai bintang di langit,” bisik Cikgu Nur pada dirinya, mengulang ungkapan yang sering diucapkannya pada murid. “Tapi mereka yang mesti belajar menyalakan lampu sendiri.”
