Skip to content
Perkongsian
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Perkongsian
Perkongsian
Cerpen

Perkongsian

  • Benedict Anak Samling
  • 5 Disember 2025
  • DBP Cawangan Sarawak
  • 5973
  • 5

AKU benci berkongsi. Cukup! Tidak akan kukompromi soal perkongsian lagi. Jangan engkau cuba membeli secebis simpati dari aku dengan sedulang air matamu. Aku yakin air mata yang engkau dagangkan itu barangkali topeng kepalsuan yang diguna untuk menutup cermin hatimu yang membiaskan siapa dirimu yang sebenarnya.

Benar bukan? Pergi! Aku tekad. Tiada lagi perkongsian antara kita. Percayalah, renunganmu itu tidak akan mengendurkan hatiku.

Dahulu, aku pernah merelakan perkongsian di antara kita. Namun, sebaik sahaja kita memeterai perkongsian itu, engkau seperti lupa diri. Mana tidaknya, batas-batas yang kita janjikan ketika engkau bersujud untuk sebuah perkongsian yang sepatutnya bersifat sementara, engkau langkau tanpa mengira terbit atau terbenamnya matahari.

Puas aku ingatkan engkau tentang musibah dari perkongsian: Perkongsian pasti menuntut kekalahan, perkongsian adalah satu janji yang rapuh, perkongsian menyemai benih kekecewaan dan perkongsian membina perpecahan. Terbukti, apa yang aku katakan kepada engkau dahulu telah berlaku dan sekarang sekali lagi engkau inginkan perkongsian?

Aku cukup kenal akan tindak tandukmu. Engkau amat licik, selicik belut yang bersembunyi di bawah lumpur dan hanya akan memunculkan diri andai ada habuan terhidang di depan mata. Mungkin aku terkhilaf dalam mencaturkan perkongsian ini dahulu.

Mungkin engkau tidak tahu. Wajahmu bagaikan kata yang ingin kulukiskan dengan sebatang pensil yang sudah lama tidak diasah matanya. Sesungguhnya, ingin kutulis sekali lagi namamu di dalam perjanjian perkongsian ini, namun kita belum kenal-mengenali.

Engkau datang apabila ingin menuntut kenikmatan dari perkongsian ini, dan engkau pergi setelah menjamah kenikmatan itu.

Aku? Memang di sini tempatku, menjaga perkongsian ini sebaik-baiknya. Akhirnya, kugambarkan sahaja leret senyummu yang engkau lukis di antara bibir merah jambumu itu. Huh! Bibirmu itu memagari lidahmu dari terus menuntut perkongsian.

Aku pasti, engkau sedang menanti seseorang atau sesuatu lalu membawa ke dalam lingkungan perkongsian kita, seseorang atau sesuatu yang amat dekat dengan dirimu, kerana itu aku akan menghalang perkongsian kita. Huh! Aku benci tentang perkongsian dan perkongsian ini harus dileraikan.

Andai aku membatalkan perkongsian ini dahulu, tentu sahaja aku tidak berada di atas persimpangan kecelaruan. Aku tahu engkau sedang merancang untuk membelakangi perkongsian ini. Engkau ingin menguasai perkongsian ini. Dari lenggok tubuhmu yang gebu itu, aku tahu perancanganmu untuk mengkhianati perkongsian ini sedang engkau lakukan dengan teliti.

Renungan matamu pada kali ini tidak akan membuka peluang kedua untuk perkongsian yang baru. Renungan mata yang kaubenamkan di dalam sepasang mata yang berkilau itu sepatutnya aku sisihkan dari dulu lagi. Aku fikir sepasang mata itu tidak sesuai menjadi sebahagian dari tubuhmu. Engkau hanya mempergunakan renungan yang seindah bayang-bayang bulan di atas Tasik Biru untuk perkongsian yang akhirnya engkau khianati.

Perkongsian kita dahulu suatu yang istimewa. Sebenarnya, terlalu istimewa. Sepatutnya, sebelum aku menghulurkan perkongsian ini, harus kubisik padamu begini, “ini perkongsian antara kau dan aku.” Ish, aku gambarkan bibirmu mengukir sekuntum senyuman, senyuman yang membelai mataku. Tapi, engkau tidak akan faham sampai bila-bila tentang perkongsian ini. Perkongsian ini menggusarkan dan amat mendebarkan. Aku yakin, engkau tidak merasai apa yang aku rasa.

Dari lenggok tubuhmu, dapatku baca mimik wajahmu, di antara kejujuran dan kepalsuan ada jalur keikhlasan yang cuba engkau semai di dalam ladang perkongsian ini. Sesungguhnya, budi pekerti yang engkau hamparkan setinggi kesabaranmu menanti belaian dan ledakan marahku. Ya, aku marah kerana perkongsian kita kini dicemari buih-buih ketamakan yang engkau tiupkan tanpa henti. Betapa engkau tidak tahu ruang lingkup perkongsian ini hanya cukup untuk engkau dan aku.

Sudahlah, jangan memandang aku dengan matamu yang berkaca-kaca itu. Aku boleh padamkan janji kita dalam laman perkongsian ini.

Aku tidak membenci siapa dirimu tetapi aku benci akan perkongsian. Perkongsian ini akan menjadi yang pertama dan terakhir di antara kita. Engkau boleh tinggalkan aku dan mencari perkongsian yang lain.

Aku relakan. Aku tidak mahu tangan-tangan liar menempel pada tubuh dan menjamah kejelitaanmu. Ceh! Engkau biarkan sahaja derai-derai kejelitaanmu memilih bayu keasyikan yang melemaskan.

Ya, Tuhan. Mengapa engkau di sini tatkala aku mahu memadamkan perkongsian kita? Sapaanmu menegakkan leherku, membeliakkan mataku lalu mengusik jiwaku. Tanganmu mengusirku. Senyuman yang engkau leretkan itu tidak lagi menangkap mataku ketika engkau melintas di hadapanku, bagaikan angin sendalu yang membawa memori masa lalu. Aku sebenarnya telah memotretkan kemolekan wajahmu. Namun, potret itu bagaikan ketulan kapas putih terdampar di antara kaki-kaki meja di laman perkongsian ini.

Andai waktu itu aku menolak perkongsian ini, tentu sahaja laman mawarku ini seindah lautan yang menguak dadanya ketika senja datang membelai. Andai perkongsian ini engkau junjung dan sanjung tentu sahaja laman mawarku ini dikunjungi kupu-kupu yang membawa perkhabaran dari sang bayu.

Apa lagi yang engkau tunggu di situ? Pergi! Pendirianku tidak akan berubah. Noktah.

Engkau tentu tahu, kerana perkongsian ramai yang menderita, hilang tempat berteduh dan terputus susur-galur. Ada yang diusir dari tanah milik nenek moyangnya hanya kerana tersalah rakan kongsi. Ada yang menikam rakan kongsi dan mengambil semua yang dikongsikan. Aku tidak mahu itu berlaku antara kita.

Engkau tidak tahu bagaimana penduduk di sebuah wilayah yang kaya dengan hasil bumi tiba-tiba menjadi miskin dan terasing di atas tanah milik mereka. Pada mulanya, penduduk di wilayah (aku namakan wilayah itu Kota Singgah) itu menyambut sesiapa sahaja yang berkunjung ke daerah mereka. Suatu hari mereka dikunjungi oleh seseorang yang tubuhnya dibalut kain putih (hakikatnya, hampir hilang putihnya) dan ada koyakan di beberapa bahagian. Orang itu berambut panjang berketul-ketul. Kakinya mendakap bumi. Datangnya disambut kegirangan.

Kata orang itu kepada penduduk di Kota Singgah, dia tiada tempat untuk bermimpi dan mohon diizinkan untuk meminjam sehari dua tanah di Kota Singgah untuk dia meleraikan mimpi yang telah lama bergayut di kelopak matanya. Maka, Kota Singgah riuh menerima tetamu yang tidak diketahui dari mana asalnya.

Pada malam harinya, Kota Singgah menganjurkan pesta untuk meraikan orang itu sebagai tetamu. Kain yang membalut tubuh orang itu dilucut dan disarungkan sepasang pakaian yang harum semerbak, seharum bunga zaitun di Kota Singgah. Pakaian dari bulu biri-biri itu secocok dengan tubuh orang itu. Kemudian, kakinya disarungkan sepasang capal diperbuat dari kulit lembu. Dan, orang yang tidak diketahui asal-usulnya itu serupa penduduk di Kota Singgah.

Setelah tiga purnama, orang itu membina sebuah pondok kecil di atas tanah Kota Singgah. Purnama keempat, orang itu membawa peneman juga tidak diketahui asal-usulnya. Purnama kelima, pondok kecil itu diubahsuai menjadi sebuah perkampungan yang dipagari tembok yang dikelilingi bilah-bilah kayu yang runcing. Purnama keenam, perkampungan itu dibanjiri orang-orang yang tidak diketahui asalnya. Dan purnama ketujuh, penduduk di Kota Singgah diusir oleh orang yang tidak diketahui asalnya itu.

Kejam? Itulah hakikat perkongsian. Sekarang, engkau faham mengapa aku ingin membatalkan perkongsian antara kita?

Engkau pun seperti itu dahulu. Perkongsian yang kita persetujui adalah antara kita berdua sahaja. Namun, engkau berubah dalam sekelip mata. Setelah aku memperkenankan perkongsian antara kita, engkau membawa rakan-rakanmu dan mendiami keseluruhan tempatku.

Tidak cukup dengan itu, engkau dan rakan-rakanmu menceroboh masuk ke dalam kamarku. Apa sahaja yang menjadi milikku kalian rampas. Kawasan yang kududuki sebelum kedatangan engkau hampir keseluruhannya menjadi milik kalian kecuali sebuah kerusi rotan yang kuletak di sudut rumah ini. Aku sedikit sangsi mengapa kerusi rotan itu tidak kalian duduki sedangkan ia tempat yang sangat menyenangkan.

Pergilah dengan rela hati. Aku percaya dengan kegebuan tubuhmu pasti dapat mengikat perkongsian baharu di tempat baru. Pasti ada yang sudi memberikan perkongsian kepada engkau.

Kini, engkau tentu faham akan perangai manusia, mereka cintakan keindahan dan mereka juga memusnahkannya. 

Usah gusar, tidak akan kulupakan tentang pertemuan pertama kita. Pada ketika itu, kulit tubuhmu itu membawa kesengsaraan yang engkau gendong. Sesungguhnya, aku tidak sanggup menatap tubuhmu dalam keadaan sebegitu. Kulitmu yang merah melepuh itu bagaikan bersatu dengan kulitku sehingga aku dapat merasakan betapa kepedihannya menusuk dan mencakar-cakar pangkal jantungku.

Setelah berbulan-bulan engkau bertarung dalam penyeksaan, akhirnya aku berjaya mengembalikan senyuman yang engkau tinggalkan di lorong-lorong gelap yang menyimpan mimpi-mimpi duka, di pasar yang memperdagangkan resah dan gelisah dan di tempat longgokan sisa-sisa kehidupan yang dihurungi langgau menikmati bau-bau busuk yang menusuk sehingga ke menumbusi otak.

Kini, dadaku terasa selapang lautan tanpa ombak setiap kali menatap tubuhmu yang dibaluti bulu-bulu putih, seputih kabus di puncak gunung dan selembut kapas yang baru meletus dari bijinya. Mata birumu yang memancarkan cahaya kasih seperti mengikat hatiku padamu. Namun, perkongsian ini perlu ditamatkan. Aku tidak terdaya lagi membuka rumahku untuk perkonsian kita. Aku perlukan ruang yang secukupnya untuk anak dan juga isteriku. Mereka yang pertama dan terakhir dalam hidupku. Rumah dan ruangan ini milik mereka. Engkau dan rakan-rakanmu perlu segera beredar.

Cukup! Jangan engkau renungkan ikan masin goreng di atas pingganku ini. Kita tidak mampu meneruskan perkongsian ini. Ikan masin ini milikku dan aku harap engkau faham betapa aku perlu mengisi perutku pada ketika ini.

“Bapa Elai, jangan lupa beri makan kepada anak-anak bulu, ya.”

Kata-kata isteriku itu melenyapkan lamunanku.

Cepat-cepat aku memotong ikan masin kembung dan menghulurkan kepada Amy, seekor kucing jalanan yang aku selamatkan dahulu dari dalam parit.

“Nah, separuh untuk engkau dan separuh untuk aku. Kita perlu sama-sama hidup.”

Amy membawa ikan masin itu kepada kucing-kucing liar yang berkeliaran di taman miniku. Secebis ikan masin itu disambut dengan penuh riang. Setelah itu, Amy datang kepadaku dan menggesel-gesel tubuhnya pada kakiku.

Ya, aku akur. Perkongsian sesuatu yang perit untuk ditelan. Namun, ia akan menjadi seindah laut yang ditemani camar ketika perkongsian itu bertiangkan keikhlasan dan kesetiaan, desis hatiku lalu mengusap tubuh Amy.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Latu Purnama
Puisi

Latu Purnama

  • 5 Februari 2024
  • 64
  • 2
Warisan Leluhur
Puisi

Warisan Leluhur

  • 6 Mei 2025
  • 94
  • 3.5
Syukur
Puisi

Syukur

  • 5 Januari 2025
  • 107
  • 4
Cerita Rakyat: Modul Pendidikan Awal Kanak-kanak yang Ampuh
Bicara Sastera

Cerita Rakyat: Modul Pendidikan Awal Kanak-kanak yang Ampuh

  • 5 Februari 2025
  • 289
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP