Mohd Darus Ahmad atau nama penanya Darussalam dilahirkan pada 15 Oktober 1939 di Sungai Petani, Kedah. Beliau kemudiaanya mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Petani pada tahun 1946. Pada tahun 1952 beliau melanjutkan pendidikan ke Sekolah Ibrahim Rendah Sungai Petani. Apabila bapanya bertukar tempat bertugas, beliau kemudiannya menyambung pendidikan di Batu Road School, Kuala Lumpur. Mulai 1.1.1954-1958, Darussalam memasuki Victoria Institution sehingga lulus Senior Cambridge. Pada bulan Disember 1962, Darussalam menerima latihan perguruan di Day Training Centre (DTC) Green Lane, Pulau Pinang.
Beliau memulakan kariernya di Sekolah Kebangsaan Sungai Pasir. Kemudian, beliau berkhidmat sebagai Penolong Kanan di Sekolah Kebangsaan Jalan Sekerat, diikuti dengan Sekolah Kebangsaan Teluk Wang, Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, dan Sekolah Kebangsaan Tikam Batu. Beliau kemudiaanya menjawat jawatan sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Seri Pinang, Pinang Tunggal.

Berteraskan prinsip mendidik dan membentuk sahsiah kehidupan anak-anak muridnya agar menjadi insan yang berwibawa dan berbakti kepada bangsa dan Negara, Darussalam menjadikan penulisan novel kanak-kanak dan remaja sebagai wadah untuk membentuk keperibadian yang berintegriti serta membina jati diri yang kukuh, berteraskan nilai moral yang unggul. Hal Ini bertujuan membantu mereka mengharungi arus masa depan yang penuh dengan cabaran dan dugaan dalam kehidupan.
Sebagai seorang karyawan ASASI yang berjiwa pendidik, Darussalam memulakan bakat penulisannya dengan menghasilkan novel kanak-kanak berjudul Ayam di Kepuk. Novel ini mengisahkan sikap kanak-kanak yang suka ponteng sekolah. Kemudiannya disusuli dengn novel Jasmin (1967) yang mengetengahkan persoalan kerajinan dan tanggungjawab. Sikap ini ditonjolkan oleh watak kanak-kanak bernama Jasmin yang lahir daripada keluarga miskin. Dia menyara hidupnya dengan mengambil upah menurunkan kelapa orang kampung dengan pertolongan Joko, beruk kesayangannya.
Dalam bidang penulisan, beliau mula menghasilkan cerpen sekitar tahun 1960-an. Satu-satunya kumpulan cerpen Darussalam ialah Api di Balik Bukit (DBP 1991). Kumpulan ini memuatkan kira-kira 14 buah cerpen terpilih yang beliau hasilkan dari tahun 1967 hingga 1989. Cerpen-cerpen Darussalam mengetengahkan beberapa persoalan tentang silaturahim dan hubungan kemasyaratan. Sebagai penulis guru, Darussalam menyedari tentang masalah sosial dan politik pada zamannya banyak mempengaruhi dunia penulisannya. Seperti penulis lain, Darussalam cuba mengetengahkan tema identiti bangsanya yang rata-rata susah dan miskin.

Cerpen “Hari yang Berdanur” menyorot peristiwa malang dalam keluarga Dolah, anak murid Cikgu Rahman, apabila harapan bapanya untuk mendapatkan pendapatan yang lebih hancur berkecai kerana menjalankan perniagaan di tempat yang salah. Sementara itu, dalam cerpen “Anak Seluang, Seluang Jua,” Darussalam mengungkapkan rasa kesalnya terhadap seorang guru besar yang berjanji untuk membantu seorang anak murid yang miskin, tetapi janji tersebut tidak ditunaikan pada masa yang diperlukan.
Bakatnya dalam bidang penulisan telah memberikan ruang kepadanya merakamkan semula pengalamannya untuk melahirkan karya yang bermutu selaras dengan dunia pendidikan yang diceburinya. Hal ini dapat di sorot dalam karya kanak-kanak dan remaja seperti Ayam di Kepuk (Sinaran Bros.1966), Memburu Hidup (Sinaran Bros, 1967), Esok yang Cerah (DBP, 1988) Bercuti ke Pulau Sayak (DBP, 1975), Tergelincir (Pena Sdn Bhd, 1988), Api di Balik Bukit (DBP, 1991), Meniti Pelantar Rapuh (Utusan Publication, 1993) dan Dalam Perjalanan (UPENA, 2009).
Namun begitu, sebuah novelnya yang paling menarik terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka berjudul Bercuti ke Pulau Sayak. Novel ini mengisahkan sekumpulan kanak-kanak, iaitu Roslan, Jamilah, Syahid, dan rakan mereka dari Kuala Lumpur, Azman yang datang bercuti ke Pulau Sayak. Mereka terserempak dengan pembuat samsu haram lalu ditangkap oleh sindiket yang menjalankan kegiatan tersebut di pulau itu. Namun, mereka berjaya diselamatkan oleh pasukan polis yang telah menjejak mereka.
Sebuah lagi novel kanak-kanak karya Darussalam berjudul Esok yang Cerah juga menggunakan latar kehidupan dan keharmonian kanak-kanak di sebuah kampung sebagai landasan penceritaan. Setelah terhenti sekian lama, Darussalam menulis sebuah lagi novel berjudul Meniti Pelantar Rapuh. Novel ini berlatarkan perkampungan setinggan, Kampung Bahagia, yang terletak di tepi sungai di pinggir bandar. Beliau memaparkan kisah suka duka sekumpulan kanak-kanak di kampung itu yang tidak mempunyai kemudahan asas seperti elektrik dan air. Mereka terpaksa menggunakan pelantar rapuh sebagai laluan dari rumah ke rumah serta ke jalan raya. Kemiskinan memaksa kanak-kanak kampung itu untuk berhenti sekolah. Namun begitu kehadiran Cikgu Riduan ke kampung itu bersama-sama anak-anaknya, Faizul dan Fiz, adalah untuk meninjau kehidupan anak muridnya, Dolah dan Zainal. Cikgu Riduan sangat simpati dengan kedaifan anak muridnya dan berusaha mengatasi masalah mereka dengan mengemukakannya kepada guru besar untuk diambil tindakan segera.Pada tahun 1988, beliau telah menghasilkan novel Tergelincir yang mengangkat tema kebebasan remaja. Asmah, anak seorang penarik beca menyalahgunakan kebebasan yang diberi kedua-dua orang tuanya hingga menyebabkan dirinya terjerumus ke lembah maksiat. Kerana malu, Asmah mengambil tindakan singkat, menamatkan riwayat hidupnya dengan terjun ke dalam sungai.
Dalam aktiviti menggerakkan persatuan penulis di Kedah, peranan Darussalam cukup besar dan tidak boleh dilupakan. Beliau seorang aktivis sastera yang sentiasa sedar bahawa peranan sastera dan karya sastera adalah penting dalam membentuk kesedaran dan pemikiran masyarakatnya. Sebagai seorang penggiat persatuan penulis pada peringkat awal di Kedah, beliau berganding bahu dengan Nazril Mohd Zain (Allahyarham) untuk menubuh dan menggerakkan Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Kedah (3PSK). Atas komitmennya sebagai penulis yang dedikasi, beliau berjaya mementaskan drama Selingkar Kisah di Makam Condong di Sungai Petani dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Malah untuk menampung hasil penulisan rakan-rakan penulis, Darussalam berjaya menerbitkan majalah Dupa dalam bentuk stensilan.
Nazril Mohd. Zain, yang pernah bertugas di Jabatan Haiwan Sungai Petani, telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Kedah (3PSK). Pada 17 Februari 1964, bertempat di Sekolah Kebangsaan Pusat, Sungai Petani, suatu persetujuan dicapai untuk menubuhkan sebuah persatuan penulis yang dinamakan 3PSK. Darussalam terlibat secara langsung dalam penubuhan ini dan menjadi pendorong kuat kepada Nazril untuk menggerakkan pelbagai kegiatan berkaitan penulisan.
Kemudian, 3PSK bersetuju untuk bergabung dengan Angkatan Sasterawan Sedar (GATRA). Atas permuafakatan bersama, 3PSK dan GATRA telah bergabung menjadi Angkatan Penulis Nasional Kedah (PENULIS). PENULIS kemudiannya, pada 2 Mei 1978, bertukar nama sekali lagi menjadi Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI). Shahnon Ahmad dilantik sebagai Ketua Satu ASASI yang pertama, manakala Nazril Mohd. Zain menjadi Ketua Dua bagi tahun 1978-79.
Sehingga kini Darussalam meneruskan sumbangan bakti dalam Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI). Sebagai ahli veteran ASASI, kini pada usia 85 tahun, beliau masih berkarya dengan menghasilkan sajak-sajak kritis tentang negara dan masyarakat dan menyiarkannya menerusi media sosial miliknya.