BULAN Ramadan bukan sekadar untuk berpuasa dan beribadah sepanjang masa, tetapi juga waktu terbaik untuk seorang penulis memperkukuh disiplin serta memperkemas jiwa dalam berkarya. Ramadan yang membawa ketenangan dan keseimbangan antara rohani dan jasmani dapat menjadi medan untuk menulis dengan lebih berstruktur, penuh makna dan konsisten. Namun, bagaimanakah seorang penulis boleh memanfaatkan bulan yang mulia ini untuk membangunkan disiplin menulis sambil menghidupkan jiwa dalam setiap perkataan yang dihasilkan? Sehubungan dengan itu, penulisan ini akan membincangkan tiga aspek penting; menulis dengan lebih berjiwa, mengkaji dan membaca karya bermutu serta meningkatkan disiplin dan konsistensi dalam berkarya.
Apakah yang dimaksudkan dengan menulis dengan lebih berjiwa dan bukan sekadar mencoret kata-kata di atas kertas atau menaip aksara di skrin? Namun, penulisan seharusnya merupakan suatu bentuk luahan jiwa yang menghubungkan penulis dengan pembaca. Ramadan, dengan suasana keheningan dan ketenangan spiritual ini, memberikan ruang yang lebih luas untuk seorang penulis menggali makna yang lebih mendalam dalam karya yang hendak dihasilkan agar pembaca juga boleh menghayatinya dengan sepenuh jiwa raga. Sehubungan dengan itu, penulis boleh merenung pengalaman peribadi, memperkaya emosi dalam tulisan dan meneliti tema kemanusiaan yang lebih universal seperti kasih sayang, pengorbanan dan harapan. Sebagai contohnya, Zainol Idris (DBP, 2021) dalam novel Maria Perempuan Estet menggambarkan kehidupan seorang perempuan yang penuh cabaran. Malah gaya bahasa yang tersusun indah dan menyentuh jiwa sebegitu akan lebih memberikan impak kepada pembaca. Jadi karya sebegini tidak hanya menghiburkan tetapi juga memberikan ruang untuk pembaca bermuhasabah.
Menurut Julia Cameron dalam The Artist’s Way, penulis yang ingin menulis dengan lebih berjiwa perlu melibatkan emosi dalam setiap karyanya. Ramadan boleh menjadi peluang terbaik untuk melakukan muhasabah diri dan menuangkannya dalam bentuk cerpen, puisi atau novel yang penuh makna. Seperti yang disebut dalam al-Quran, “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan.” (Surah al-‘Alaq, 96:1). Ayat ini menegaskan bahawa ilmu dan pembacaan ialah asas kepada pemikiran dan kreativiti, termasuklah dalam bidang penulisan karya sastera.
Seterusnya penulis juga perlu ada sikap mahu mengkaji dan membaca karya-karya yang bermutu. Seorang penulis yang baik bukan sahaja perlu menulis tetapi juga harus rajin membaca dan mengkaji karya sastera yang berkualiti. Ramadan ialah waktu yang sesuai untuk mendalami karya-karya yang memperkaya pemikiran dan memperluas wawasan. Membaca karya-karya bermutu membantu penulis memahami teknik penulisan yang baik, gaya bahasa yang indah serta cara membina naratif yang kuat. Sebagai contoh, novel Menunggu Tuan Juragan yang Belum Pulang oleh Mahizan Husain (PENA, 2021) memperlihatkan teknik penceritaan yang santai dengan pembinaan watak yang kompleks. Begitu juga dengan Manikam Kalbu karya Faisal Tehrani (DBP, 2015) yang mengangkat tema budaya dan seni tekstil dengan penuh keindahan berbahasa. Selain novel dan cerpen, penulis juga boleh membaca buku berkaitan teori penulisan seperti On Writing oleh Stephen King atau Bird by Bird oleh Anne Lamott. Buku-buku ini memberikan panduan praktikal tentang cara seorang penulis boleh mengasah bakatnya dan menulis dengan lebih efektif. Dalam konteks sastera Melayu, buku Seni Mengarang oleh Za’ba juga merupakan rujukan penting bagi penulis yang ingin memahami asas penulisan dengan lebih mendalam.
Pada bulan Ramadan yang penuh berkat ini, selain membaca serta tadabbur al-Quran, penulis juga boleh mengkaji dan membaca karya yang bermutu. Perkara ini bukan sekadar meningkatkan kemahiran menulis tetapi juga membantu pengarang memahami perspektif yang lebih luas dalam berkarya. Malah pelbagai dimensi seseorang pengarang juga akan dapat diteliti untuk memperbaik penulisan kita. Maka, dengan merenung isi kandungan dan gaya penulisan penulis lain, seorang pengarang boleh menyesuaikan pendekatan mereka untuk menghasilkan karya yang lebih mendalam dan berinspirasi.
Selain itu, pada bulan Ramadan yang mengajar kita erti sabar dan ikhlas dalam beribadah boleh diimplementasikan dalam bidang penulisan untuk meningkatkan disiplin dan konsisten. Disiplin ialah elemen utama dalam kejayaan seorang penulis. Tanpa disiplin, seorang penulis mungkin akan mengalami masalah seperti “writer’s block” atau sukar menyiapkan sesuatu karya. Ramadan boleh menjadi masa terbaik untuk melatih diri agar lebih berdisiplin dalam menulis. Berikut adalah beberapa panduan untuk meningkatkan disiplin untuk menulis;
- Menetapkan jadual menulis yang konsisten
Ramadan memberikan jadual harian yang lebih tersusun kepada semua. Oleh sebab itu, seorang penulis boleh menetapkan masa tertentu untuk menulis, contohnya selepas waktu bersahur, selepas solat duha atau selepas solat tarawih. Disiplin menulis setiap hari walaupun hanya satu muka surat atau 500 perkataan akan membantu seseorang membentuk tabiat menulis yang lebih baik. Seperti kata Haruki Murakami, “Talent is nothing without focus and endurance.”
- Menggunakan sesuatu kaedah agar fokus
Teknik Pomodoro, iaitu suatu kaedah penyelesaian pengurusan masa yang tuntas untuk seseorang bekerja dalam tempoh masa tertentu. Contohnya, mengehadkan kepada 30 minit dan berehat selama 5 minit. Ini dapat membantu penulis lebih fokus dan tidak cepat letih. Kaedah ini sangat sesuai digunakan bagi penulis yang ingin mengekalkan momentum dalam berkarya.
- Menulis jurnal Ramadan
Menulis jurnal setiap hari boleh menjadi latihan yang baik untuk mengekalkan momentum menulis. Jurnal ini boleh mengandungi refleksi peribadi sepanjang Ramadan, idea untuk cerpen atau novel. Malah segala pengalaman dan pemerhatian pada bulan Ramadan boleh juga dijadikan bait-bait puisi yang indah untuk pedoman dan manfaat kepada pembaca.
- Mengurangkan gangguan digital.
Pada zaman moden, media sosial boleh menjadi gangguan utama bagi seorang penulis. Ramadan ialah masa yang baik untuk mengawal penggunaan media sosial dan memberikan tumpuan kepada penulisan. Seorang penulis boleh menetapkan had masa tertentu untuk menggunakan media sosial dan memilih untuk menulis dalam persekitaran yang lebih tenang seperti mana beribadah pada bulan Ramadan.
Sehubungan dengan itu, menulis dengan lebih berjiwa pada bulan Ramadan bukan sekadar menghasilkan karya yang indah dari segi bahasa, tetapi juga menyentuh hati pembaca, memberikan inspirasi, dan mengajak kepada kebaikan. Dengan memanfaatkan elemen spiritual, teknik naratif yang kuat, serta menyisipkan nilai Islam secara halus, penulis dapat menghasilkan karya yang bukan sahaja bermutu tetapi juga membawa manfaat kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara. Bulan Ramadan ialah masa terbaik untuk melatih diri menulis dengan hati, menghayati makna sebenar kehidupan dan berkongsi kebijaksanaan melalui karya.
Tuntasnya, menulis pada bulan Ramadan bukan sahaja melibatkan aspek disiplin dan konsistensi tetapi juga cara seorang penulis boleh menulis dengan lebih berjiwa serta mendalami karya-karya yang berkualiti dan hebat. Ramadan menawarkan suasana yang indah dan mendamaikan sesuai untuk memperkukuh semangat dan dedikasi dalam berkarya. Dengan mengamalkan rutin menulis yang konsisten, memperkaya diri dengan bahan bacaan yang berkualiti, serta menulis dengan lebih emosi dan reflektif, seorang penulis boleh menghasilkan karya yang lebih bermakna dan berimpak tinggi. Sebagaimana kata Ernest Hemingway, “The first draft of anything is shit. But keep writing, and it will improve.” Maka, manfaatkan Ramadan sebagai bulan untuk membina disiplin menulis yang lebih kukuh dan menghidupkan jiwa dalam setiap perkataan yang dicoretkan. Selamat menulis dan semoga karya yang dihasilkan menjadi manfaat kepada pembaca dan dunia sastera.
Husairi Hussin merupakan seorang pensyarah kesusasteraan di Pusat Pengajian Jarak Jauh, USM. Beliau juga seorang penulis kreatif yang menghasilkan cerita kanak-kanak, cerpen, novel, skrip drama pentas dan juga puisi dengan menggunakan nama pena Putraery Ussin.