Skip to content
Muzium Kota Tinggi: Menjejak Kegemilangan Kesultanan Johor Lama
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Sejarah dan Budaya > Muzium Kota Tinggi: Menjejak Kegemilangan Kesultanan Johor Lama
Muzium Kota Tinggi: Menjejak Kegemilangan Kesultanan Johor Lama
Sejarah dan Budaya

Muzium Kota Tinggi: Menjejak Kegemilangan Kesultanan Johor Lama

  • Mokhtar Omar
  • 5 Disember 2025
  • DBP Wilayah Selatan
  • 241
  • 4.9

Muzium Kota Tinggi terletak di Kampung Makam merupakan destinasi bersejarah yang menjanjikan keunikan dan kelainan tersendiri berbanding dengan muzium-muzium lain yang ada di negara ini. Muzium ini dibuka secara rasmi pada 30 Ogos 2022 , yang menjejaki sejarah Kesultanan Johor Lama dari tahun 1528 hingga 1699.

Muzium ini mempunyai ruang pameran berkeluasan 6,480 meter persegi yang menggabungkan elemen seni bina tradisional Melayu dengan sentuhan kontemporari yang melatari bangunan muzium ini. Reka bentuk ini mencerminkan warisan budaya tempatan dan memberikan suasana autentik kepada pengunjung, menjadikannya sebagai pusat rujukan penting bagi memahami warisan negeri Johor.

Muzium dua tingkat ini, membolehkan pembahagian ruang pameran secara sistematik, santai dan selesa. Ini memudahkan pengunjung mengikuti kronologi sejarah yang dipaparkan. Catatan-catatan penting dipaparkan pada bingkai-bingkai yang tergantung kemas di dinding bahagian atas bahan artifak yang dipamerkan. Setiap catatan disusun secara teratur mengikut tahun dan tempoh pemerintahan seseorang sultan. Catatan bersejarah ini dimulai dengan pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1511–1528) hinggalah Sultan Mahmud Shah II (1685-1699).

Muzium Kota Tinggi: Menjejak Kegemilangan Kesultanan Johor Lama
Pameran Kesultanan Johor di Muzium Kota Tinggi.

Dinding-dinding di ruang pameran muzium turut dihiasi dengan lukisan-lukisan menarik yang menceritakan perihal setiap catatan penting dalam sejarah Kesultanan Johor Lama. Deretan lukisan ini membantu pengunjung menyelami peristiwa bersejarah dan melakar gambaran dalam fikiran seolah-olah berada dalam suasana ratusan tahun dahulu, semasa melihat artifak-artifak yang dipamerkan.

 

Muzium Kota Tinggi: Menjejak Kegemilangan Kesultanan Johor Lama
Sejarah Permulaan Pemerintahan Kesultanan Johor di Pekan Tua

Lebih daripada 600 artifak asli dari era Kesultanan Johor Lama dipamerkan, termasuk senjata tradisional seperti keris, meriam, istinggar, dan lembing. Koleksi senjata di muzium ini amat luar biasa dengan pameran ratusan senjata sebenar seperti keris lok, keris panjang, golok Jawa, parang Jengok, rencong, kerambit, lawi ayam, tumbuk lada dan betuk. Beberapa artifak, seperti keris yang diperbuat daripada campuran besi dan bahan semula jadi lain, memerlukan penjagaan khas untuk memastikan kelestariannya.

Muzium Kota Tinggi: Menjejak Kegemilangan Kesultanan Johor Lama
Parang Jengok (gambar tengah).
Muzium Kota Tinggi: Menjejak Kegemilangan Kesultanan Johor Lama
Keris warisan bangsa Melayu di Nusantara.

 

 

 

Muzium Kota Tinggi: Menjejak Kegemilangan Kesultanan Johor Lama
Istinggar, iaitu sejenis senjata api berkancing sumbu yang diciptakan oleh pelbagai kelompok etnik dari kepulauan Nusantara.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Pameran teknologi persenjataan Kesultanan Melayu yang menampilkan senjata api seperti istinggar dan meriam menjadi antara keistimewaan utama muzium ini. Pameran ini membuktikan bahawa Kesultanan Melayu Johor telah menguasai teknologi persenjataan yang canggih pada zamannya.

 

 

Muzium Kota Tinggi: Menjejak Kegemilangan Kesultanan Johor Lama
Meriam.
 

 

 

 

 

 

 

 

Muzium Kota Tinggi: Menjejak Kegemilangan Kesultanan Johor Lama
Al-Quran tulisan tangan.

Koleksi kitab-kitab dan manuskrip lama menggunakan tulisan tangan yang sangat berharga turut dipamerkan. Koleksi ini merangkumi pelbagai naskhah Islam klasik dan teks Melayu yang mencerminkan kekayaan intelektual dan budaya rantau ini. Satu kajian oleh Annabel Gallop pada tahun 2011, Muzium Kota Tinggi memiliki sekurang-kurangnya 20 manuskrip bertulisan tangan dan satu naskhah al-Quran litograf yang dicetak di Singapura. Antara koleksi yang ada di sini ialah al-Quran dari Terengganu, Patani, Jawa, dan jilidan Minangkabau, Hidayat al-Salikin, kitab Maulid Syaraful Anam dan manuskrip tasawuf. Koleksi manuskrip ini mencerminkan keunggulan keilmuan dan seni penulisan Islam di nusantara, tetapi juga menunjukkan hubungan intelektual antara Johor, Sumatera, Jawa dan Mekah. Kehadiran manuskrip yang disalin di Mekah oleh penulis dari Kedah dan Bugis menandakan jaringan ulama serta pelajar Melayu yang meluas pada abad ke-19.

Di ruang pameran tingkat dua muzium ini mempamerkan pelbagai barangan sejarah lain seperti tembikar, wang syiling lama, dan alat muzik tradisional. Artifak-artifak bernilai tinggi ini yang amat sukar diperoleh pada masa kini, menjadi daya tarikan dan memenuhi sebahagian ruang pameran di sini. Peralatan budaya, rekreasi dan adat istiadat Melayu lama turut dipamerkan antaranya ialah kacip besar, gong, tepak sirih, tanjak dan kotak pemancing berukir.

Muzium Kota Tinggi: Menjejak Kegemilangan Kesultanan Johor Lama
Tembikar.
Muzium Kota Tinggi: Menjejak Kegemilangan Kesultanan Johor Lama
Duit lama atau kenali sebagai pitis.

 

 

 

 

 

 

 

Muzium ini masih dalam proses naik taraf dengan penggunaan teknologi digital seperti skrin sentuh, audio visual dan realiti terimbuh (augmented reality-AR) untuk menarik minat generasi muda. Langkah ini bertujuan untuk menjadikan pembelajaran sejarah lebih interaktif dan menarik. Sebuah Bilik Tayang turut disediakan untuk memaparkan visual dan audio berkaitan bahan pameran dan sejarah Kesultanan Johor Lama.

Selain pameran tetap, Muzium Kota Tinggi juga menganjurkan pelbagai aktiviti dan program pendidikan untuk pengunjung. Antaranya ialah lawatan berbasikal ke Kampung Makam.  Di sini pengunjung dapat melihat sendiri makam-makam sultan terdahulu dan memahami konteks sejarah secara langsung.

Muzium ini juga berperanan sebagai pusat rujukan kepada pelajar institusi pengajian tinggi daripada pelbagai peringkat pengajian dari seluruh negara. Muzium Kota Tinggi sering menerima kedatangan ramai pengkaji untuk mendapatkan sumber berkaitan sejarah negeri Johor dan menjadi simpanan berharga kerajaan Johor.

Jarak yang hanya terletak 5 km dari bandar Kota Tinggi, Muzium Kota Tinggi mudah diakses dan berdekatan dengan persimpangan utama seperti Jalan Mawai, Jalan ke Desaru dan Jalan Johor Bahru. Kedudukannya yang amat strategik memudahkan para pengunjung datang dari pelbagai arah. Hal ini memudahkan pengunjung untuk datang dan menikmati pengalaman sejarah di Muzium Kota Tinggi.

Bagi pengunjung yang berminat untuk melihat sendiri khazanah ini, Muzium Kota Tinggi dibuka dari hari Sabtu hingga Khamis, pukul 9.30 pagi hingga 4.30 petang dan tutup pada hari Jumaat. Tiada sebarang bayaran masuk dikenakan dan pengunjung boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui jurupandu yang disediakan di muzium.

Dengan kombinasi reka bentuk tradisional, pameran artifak yang kaya dan integrasi teknologi moden, Muzium Kota Tinggi menawarkan pengalaman dan pengetahuan pembelajaran sejarah yang sangat unik dan mendalam kepada setiap pengunjung. Selamat berkunjung dan anda akan menikmati pengalaman berharga dengan penerangan yang sangat jelas dan teratur oleh kurator muzium yang terlatih dan berpengalaman. 

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Awan dan Kehidupan
Cerpen

Awan dan Kehidupan

  • 5 Disember 2025
  • 150
  • 5
“Sawala Merdeka”: Sajak Bertingkah Hidupkan Semangat Patriotik
Bicara Bahasa dan Sastera

“Sawala Merdeka”: Sajak Bertingkah Hidupkan Semangat Patriotik

  • 5 September 2025
  • 125
  • 5
جاري سڤولوه
Puisi Moden

جاري سڤولوه

  • 20 Mac 2024
  • 4.9
Rasa Secawan Espreso Penguasa
Puisi

Rasa Secawan Espreso Penguasa

  • 20 November 2024
  • 260
  • 4.4

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP