Pantun Melayu lama yang dicipta oleh orang-orang tua kita dahulu merupakan khazanah yang sangat bernilai dan berharga sebagai salah satu lambang keintelektualan bangsa. Namun kelihatannya pantun seperti sudah tidak begitu dihargai oleh generasi hari ini. Pantun sudah agak jarang digunakan tidak seperti pada dekad lalu dan juga pada masa silam ketika orang-orang tua kita masih ada. Generasi yang sempat merasai hidup berpuluh-puluh tahun pada kurun terdahulu tentu lebih mengenali pantun dan barangkali agak biasa mendengarnya di mana-mana.
Dalam majlis keluarga atau program di peringkat kampung atau daerah, masih ada yang pandai berpantun pada waktu tersebut. Kini generasi lama yang sempat merasai hidup pada abad lalu itu sudah ramai yang pergi meninggalkan kita, maka makin berkuranglah orang tua yang boleh diharapkan untuk berpantun di dalam majlis merisik, meminang atau kenduri. Begitu jugalah halnya dengan majlis-majlis lain pun, yang lebih muda selalunya akan memulai dan mengakhiri majlis seperti biasa sahaja tanpa pantun atau pepatah.
Kita pernah memiliki sekian banyak naskhah berharga perihal pantun tinggalan pengkaji terdahulu. Antara yang agak terkenal ialah pantun yang dikumpulkan dalam buku Hati Mesra: Pantun Melayu Sebelum 1914 Suntingan Hans Overback yang diselenggarakan oleh Anwar Ridhwan dan E. U. Kratz terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Buku ini mempunyai kisahnya yang tersendiri dan latar sejarah yang menyentuh hati perihal pengumpulnya yang merupakan seorang sarjana Barat berbangsa Jerman yang lahir pada 28 Mac 1882 di Bremen – Hans F. Overbeck. Penulis yang turut menggunakan nama samaran Si Anoe ini sebenarnya telah mati lemas di Lautan Hindi selepas meletusnya Perang Dunia II akibat karamnya kapal yang memindahkannya dari satu kem tahanan ke kem tahanan yang lain. Kita kutip serangkap pantun daripada buku ini, yang rima tengahnya juga sama. Keindahannya sebagai sebuah pantun hampir sempurna apabila rangkap ini memiliki kedua-dua rima, iaitu rima tengah dan rima akhir:
Merah kesumba tepi kuali,
Melati kudup di balik kota;
Minta perhamba sekali-kali,
Mati hidup reda semata.
(Halaman 145)
Kita juga mempunyai pengkaji dalam kalangan bangsa kita sendiri yang juga dalam masa yang sama merupakan seorang sarjana ekonomi terkenal yang turut menaruh minat yang mendalam terhadap pantun Melayu. Insan yang dimaksudkan ialah Allahyarham Ungku Aziz yang menulis buku khusus perihal pantun berjudul Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu (DBP, 2011). Uniknya tentang buku ini ialah Ungku Aziz turut melihat pantun dari sudut ekonomi dalam bab khusus yang dinamakan sebagai Pantun Pilihan Pedagang. Satu kelainan dan keistimewaan buku ini juga yang tidak ada pada buku pantun lain ialah pantun yang dipilih oleh pengarang turut disertakan dalam tulisan jawi dan diiringi ilustrasi menarik di bahagian bawah setiap halaman yang memberi gambaran cerita dalam pantun tersebut. Perhatikan salah satu rangkap yang dipilih oleh Ungku Aziz itu. Pantun ini menurut beliau merupakan doa pedagang yang memohon agar diberi rezeki sebesar lautan dan meminta umur agar menjadi setinggi gunung. Menurut Ungku Aziz lagi pantun ini juga mengandungi ilmu astronomi dengan adanya frasa “bintang timur”:
Rumput tinggi tepi hutan
Bintang timur tinggi melambung
Minta rezeki besar lautan
Minta umur tinggi gunung
(Halaman 6)
Mari kita tinjau pula pantun yang dikumpulkan oleh Mohd Ali bin Hitam sekitar tahun 60-an pada abad lalu dalam bukunya Pantun Melayu Lama di Pedalaman Dungun, Terengganu (DBP, 1967). Kajian yang dilakukan oleh Mohd Ali ini juga tidak kurang menariknya kerana beliau hanya mengkhususkan kepada pantun yang diucapkan oleh penduduk di kawasan pedalaman Dungun sahaja. Salah satu keindahan yang jelas pada pantun ialah pembayangnya diambil daripada alam dan persekitaran kehidupan masyarakat yang mengucapkannya. Ada buyung, tempayan, burung dan ayam pada rangkap yang dikutip ini. Manakala suasana kehidupan pada masa itu digambarkan pula dengan ungkapan ‘basuh kaki’ dan juga ‘menghibur hati’. Cuba perhatikan dalam rangkap penuhnya di bawah:
Pecah buyung tempayan ada,
Boleh juga basuh kaki;
Terbang burung ayam ada,
Boleh juga menghibur hati.
(Halaman 74)
Tetap ada rima, iaitu bunyi yang sama pada bahagian tengah pantun seterusnya ini walaupun ianya sebuah pantun mudah dan bersahaja. Namun ada emosi kesyahduan dan rasa sayu pada pengucapannya. Perhatikan rangkap tersebut betul-betul:
Che Ahmad menjual budu,
Orang di bukit menjual lada;
Kalau teringat zaman dahulu,
Rasa bertitik air mata.
(Halaman 49)
Manakala di bawah ini pula saya kutip dua rangkap yang bersifat lucu atau barangkali pemantunnya mahu berseloroh dengan ungkapan pantun yang diucapkan. Hal ini kerana pengucapan seni sastera tradisional juga merupakan salah satu cara masyarakat zaman dahulu berhibur dan bersenang hati melepaskan penat, serta menghilangkan bosan dalam kehidupan seharian mereka:
Encik hilir saya pun mudik,
Mari bersanget kajang perahu;
Encik molek saya pun cantik,
Mari berjangkit panau di bahu.
(Halaman 37)
Tebu hitam panjang sedepa,
Buat ubat demam cika;
Tubuh hitam cantik juga,
Hembus pelita sama belaka.
(Halaman 76)
Sebagai sebuah buku yang menghimpunkan pantun-pantun dari sebuah kawasan pedalaman di Terengganu, tentu saja ia juga memiliki pengaruh bahasa pasar atau loghat daerah yang kurang difahami pembaca luar. Antara ayat yang agak tebal dengan pengaruh dialek Terengganu ialah dua rangkap ini:
Merbuk emas pasir palembang,
Pikat kait buluh lidi;
Gila mabuk ke anak orang,
Kerja sekuit tidak menjadi.
(Halaman 37)
Ayam denak di hujung Tualang,
Rotan batu bersimpul pulih;
Hak jinak menjadi jalang,
Guana tipu hendak memboleh.
(Halaman 38)
Manakala Omardin Haji Asha‘ari pula menurunkan pantun ini tatkala berbicara tentang pantun indah yang sepatutnya menarik perhatian dan meruntun fikiran dalam bukunya Kajian Pantun Melayu (Malaya Publishing House Limited, 1961). Katanya, tujuan atau maksud sesebuah pantun perlu dalam dan luas seperti pantun nasihat yang dicatatkannya ini:
Keris sempana keris tampang,
Canai anak dagang Melayu;
Jangan lama di negeri orang,
Bencana banyak mendaun kayu.
(Halaman 34)
Sebuah lagi pantun yang sangat indah bentuk dan hasil ciptaannya dimuatkan dalam buku yang sudah pun berusia 60 tahun ini. Rangkap pantun tersebut terdiri daripada 9 dan 10 suku kata pada setiap barisnya. Omardin menyebutnya sebagai “sembilan atau sepuluh bunyi”. Perhatikan struktur binaan dan inti pati pantun berkenaan:
Jika nak tahu rumah raja,
Lihatlah rumah mengkubumi;
Jika nak tahu tuah saya,
Lihatlah ombak membanting diri.
(Halaman 35)
Pantun agama yang dikutipnya juga indah, di samping dalam masa yang sama menyampaikan kebenaran Islam. Rangkap yang menceritakan tentang keunggulan peribadi Nabi Muhammad SAW ini juga hampir sempurna sebagai sebuah pantun Melayu:
Banyaklah hari antara hari,
Tiada semulia hari jumaat;
Banyaklah nabi antara nabi,
Tiada semulia Nabi Muhammad.
(Halaman 16)
Lebih menarik, kita temui pantun yang hampir sama dengan pantun yang dikumpul oleh Mohd Ali bin Hitam di pedalaman Dungun yang telah penulis sebutkan sebelum ini berkenaan ingatan kepada peristiwa dan kenangan pada masa silam yang membuatkan kita berasa sedih. Kenangan pada masa silam atau memori lama itu disebutkan sebagai “zaman dahulu” dalam kedua-dua pantun. Cuma pantun terdahulu dalam bentuk penyataan apabila digunakan kalimah “kalau”. Manakala dalam pantun di bawah ini lebih kepada bentuk arahan atau saranan dengan adanya kata kunci “Jangan”. Perbezaan yang ketara hanyalah pada bahagian pembayang. Cuba perhatikan:
Pulau Pinang bandarnya baharu,
Kapten Light menjadi raja;
Jangan dikenang ke zaman dahulu,
Duduk mengalir si air mata.
(Halaman 25)
Kita menemui pantun nasihat yang menarik dalam buku Kumpulan Pantun Melayu (DBP, 1991) yang diselenggarakan oleh Zainal Abidin Bakar. Sudah lama rupanya masyarakat kita dinasihatkan agar mengawal pengambilan gula dalam makanan:
Buah durian dari hulu,
Pokoknya banyak di kebun Cik Amin;
Tak tahukan tuan semenjak dahulu,
Dalam gula racun bermain.
(Halaman 195)
Dalam Kajian Perbandingan Pantun Melayu dengan Nyanyian Rakyat Cina karya Xu You Nian (SIRD, 2015) dikutip satu pantun nasihat yang begitu bagus sebagai pedoman abadi untuk para pembacanya. Pantun ini juga hampir sempurna sebagai sebuah pantun Melayu yang indah kerana ia juga mengandungi rima tengah, bukan saja rima akhir seperti kebiasaan pantun-pantun yang lain:
Kalau ada si kembang baru,
Bunga kenanga dikupas jangan;
Kalau ada sahabat baru,
Sahabat lama dibuang jangan.
(Halaman 222)
Ada dicatatkan pantun terkenal dalam masyarakat Batak di Indonesia yang disebut dalam buku Khazanah Pantun Indonesia (Bee Media Pustaka, 2018) oleh P. Oktavianawati. Pantun dalam suku mereka dipanggil umpasa. Oktavianawati memetik pantun orang Simalungun yang berupa nasihat dan sikap mereka terhadap upacara adat:
Banyak bintang di langit,
Hanya satu yang paling terang;
Banyak gadis yang cantik,
Pujaan hatiku cuma dikau seorang.
(Halaman 10)
Beberapa rangkap pantun yang sempat dibincangkan mengungkapkan kepada kita pelbagai perkara dalam kehidupan masyarakat zaman dahulu melalui seni penciptaan yang indah dan memuatkan maksud yang bermanfaat sebagai pedoman pendengar dan pembaca. Tinggal saja ia perlu dihidupkan semula biar kembali merakyat dalam masyarakat dan negara kita kerana pantun ialah seni sastera tradisi yang menjadi salah satu ciri jati diri bangsa bertuah ini.