Skip to content
Penghayatan al-Quran Melalui Karya Persuratan: Al-Quran Inspirasi Pencerekaan Narasi Gua dan Raqim
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Sastera > Penghayatan al-Quran Melalui Karya Persuratan: Al-Quran Inspirasi Pencerekaan Narasi Gua dan Raqim
Penghayatan al-Quran Melalui Karya Persuratan: Al-Quran Inspirasi Pencerekaan Narasi Gua dan Raqim
Bicara Sastera

Penghayatan al-Quran Melalui Karya Persuratan: Al-Quran Inspirasi Pencerekaan Narasi Gua dan Raqim

  • MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF
  • 20 Disember 2025
  • DBP Wilayah Utara
  • 135
  • 5

17 Ramadan merupakan tarikh yang tidak asing lagi dalam sejarah ketamadunan Islam serta menjadi peringatan yang kekal sepanjang zaman. Pada tanggal 17 Ramadan bersamaan 6 Ogos 610 Masihi, telah berlaku peristiwa penurunan ayat al-Quran yang pertama kepada Rasulullah SAW, iaitu ayat “Iqra’” yang membawa maksud “bacalah”. Zuhairi Misrawi (2010), dalam bukunya yang berjudul Al-Quran Kitab Toleransi, menyatakan bahawa al-Quran merupakan kitab suci yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW sebagai wahana komunikasi antara Tuhan dengan makhluk-Nya. Menerusi kitab suci ini, terkandung pelbagai pengajaran dan panduan yang menjadi pedoman dalam menjalani kehidupan seharian.                                 .

        Sementara itu, seorang pengarang kreatif yang tidak asing lagi, iaitu Profesor Madya Dr. Mawar Safei atau nama penanya Mawar Safei, turut tidak ketinggalan dalam menghayati kandungan al-Quran dan menyerapkan pesanan-pesanan yang terkandung di dalamnya. Pesanan-pesanan ini kemudiannya digabungjalinkan dengan kemahiran kepengarangan beliau dalam menghasilkan cerpen yang mampu memberikan pedoman kepada khalayak pembaca. Kecenderungan Mawar ini jelas dapat dikesani menerusi Kumpulan Cerpen Narasi Gua dan Raqim terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

        Kumpulan Cerpen Narasi Gua dan Raqim telah memenangi hadiah sagu hati dalam Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi ITBM-PENA-BERITA HARIAN. Naskhah tulisan Mawar Safei ini menghimpunkan lebih kurang 10 buah cerpen yang begitu memikat hati para pembaca. Naskhah yang lebih nipis berbanding kumpulan cerpen lain menjadikan kumpulan cerpen ini tidak memerlukan masa yang panjang untuk dihabiskan. Selain itu, saiznya yang sesuai juga memudahkan pembaca untuk membawanya ke mana-mana sahaja bagi mengisi masa lapang.

       Sebagai seorang ahli akademik dalam lapangan persuratan Melayu yang sinonim dengan penelitian karya-karya bersifat intertekstual, Mawar Safei turut menampilkan pendekatan yang sama dalam kumpulan cerpen ini. Cerpen yang dipaparkan dalam Kumpulan Cerpen Narasi Gua dan Raqim mempunyai  kaitan dengan kisah yang telah sedia dikenal oleh khalayak. Secara keseluruhan, cerpen-cerpen dalam kumpulan ini dibangunkan berasaskan kisah yang terkandung dalam kitab suci al-Quran. Mawar Safei seterusnya menggarap idea, menjana kreativiti dan membentuk naratif yang berteraskan citra Islam.

       Menyoroti cerpen yang menjadi judul kumpulan ini, iaitu “Narasi Gua dan Raqim”, penulis membawa pembaca menyoroti kisah tentang sebuah rumah agam yang telah lama ditinggalkan oleh leluhur “Saya” dan “Mel” yang telah kembali ke rahmatullah. Rumah pusaka itu ditinggalkan tanpa penghuni. Namun begitu, Saya  dan Mel akhirnya pulang ke rumah tersebut untuk membuat pengubahsuaia dan menyusun semula segala perkakas dan perabot bagi menyiapkannya sebagai sebuah rumah makan. Alur cerita kemudiannya beralih kepada persoalan subjektif tentang ruang solat bagi seorang wanita yang sebaiknya dilakukan di kamar sendiri, seperti yang tergambar dalam petikan berikut:

“Solat di kamar sendiri itu lebih baik daripada solat di ruang rumah. Dan solat di ruang rumah itu lebih utama daripada solat di masjid. Solat di rumah itu lebih utama jika dibandingkan dengan solat di masjid. Lulusnya solat perempuan itu apabila dia bersolat di ruangnya saat lelaki bersolat di musala.” (halaman 38) 

           Secara tidak langsung, penulis membincangkan soal keutamaan ruang solat untuk kaum wanita yang disarankan oleh tuntutan agama. Seterusnya, Mawar Safei mengakhiri kisah ini dengan menghadirkan perasaan bawah sedar apabila Saya dan Mel begitu tersentak kerana tidak menyedari waktu sudah menginjak ke tengah hari, malah tidak terasa masa begitu pantas berlalu sedangkan mereka  baru sahaja tiba di rumah tersebut. Saya yang mula mengatur langkah meninggalkan rumah agam itu teringat pada susunan indah tafsiran Surah al-Kahf yang begitu dekat dengan kisah pemuda yang ditidurkan Allah dalam gua dan dibangunkan setelah beberapa tahun lamanya.

Dan saya melihat Mel masih terpinga. Sedang saya teringat narasi al-Kahf akan orang-orang yang mendiami gua dan raqim yang merupakan tanda-tanda kekuasaan Allah yang menakjubkan. (halaman 40)

         Petikan ini menggambarkan suasana kebingungan watak Mel dalam satu situasi yang digambarkan oleh pencerita. Mel kelihatan terpinga-pinga, seolah-olah tidak memahami atau terkejut dengan keadaan yang berlaku. Pada masa yang sama, penulis teringat akan narasi dalam Surah al-Kahf mengenai sekumpulan pemuda yang beriman dan berlindung di dalam gua bersama-sama raqim sebagai bukti kekuasaan Allah yang luar biasa. Perbandingan ini menimbulkan unsur renungan rohani, menunjukkan betapa peristiwa biasa dalam kehidupan boleh dikaitkan dengan kisah-kisah agung dalam al-Quran. Ia juga menyerlahkan kebesaran Allah melalui tanda-tanda kekuasaan-Nya.

         Cerpen “Dia antara Helaian Doa” pula mengisahkan saya yang menerima nota pesanan menerusi telefon daripada seorang sahabatnya yang meminta supaya dia yang berada di Muzadalifah menitipkan doa buat bondanya supaya dipulihkan ingatan. Tafsiran Surah ad-Dhuha memimpin naratif penciptaan cerpen ini mendidik pembaca untuk  berdoa memohon kepada Allah SWT apabila ditimpa musibah atau masalah. Hal ini demikian seperti yang diungkapkan oleh penulis menerusi petikan yang berikut: 

Sangat lumrah, penyakit dilihat sebagai satu musibah. Dan akan berbondong-bondonglah doa, kita mengharapkan penyembuhan. Saya mahu melihat kembali erti musibah itu. O, Allah, bukankah ia membawa saya lebih dekat kepada pintu penyerahan dan mahu lekas melerai kunci dan menyertai ruangnya untuk mengadu dan merintih. Saya lekas kembali dekat dengan-Mu, Ya Allah. Sedangkan sekian jam dan masa, segalanya seperti angin kosong yang berjalan di tepi bahu. O, Allah. Saya selalu mendekati-Mu hanya apabila watak yang bernama musibah datang menjengah. Sedang saya selalu mahu menjadi hamba yang mendekati-Mu tanpa ada syarat waktu. (halaman 13)

           Menerusi cerpen ini, pengarang mengajak pembaca merenung dan mentafsir diri sendiri ketika dilanda musibah. Sudah menjadi lumrah manusia, sering kali melupakan Tuhan tatkala hidup dilimpahi kesenangan dan kelapangan. Namun, apabila diuji dengan musibah, barulah kita kembali mencari Tuhan, memohon pertolongan dan keampunan. Cerpen ini secara halus mengingatkan pembaca supaya sentiasa bersyukur dan mendekatkan diri kepada Tuhan dalam apa jua keadaan—sama ada senang mahupun susah. Petikan ini secara tuntasnya mengajak pembaca supaya sentiasa berdoa dan bergantung harap kepada Allah SWT. Secara tidak langsung cerpen ini menekankan kepentingan doa sebagai penghubung antara hamba dan Tuhan serta keyakinan bahawa Allah SWT sentiasa dekat dan mendengar segala permintaan hamba-Nya dengan penuh kasih sayang.

          Selanjutnya, cerpen “Dia yang Mengirim Angin” menginspirasikan Surah ar-Rum, ayat 46 yang membawa pembaca menyelami kisah Allah SWT yang mengirimkan angin sebagai perantara terbentuknya awan, lalu mengalami kitaran tertentu menjadi sumber hujan, Malah ayat ini juga mengajak manusia untuk merenung dan mensyukuri nikmat serta menyedari kekuasaan-Nya. Cerpen ini perlahan-lahan menyusup ke dalam hati pembaca dan mengajarkan tentang perihal bersyukur atau berterima kasih pada Allah SWT Yang Maha Memberi.

            Angin sebagai subjek dalam cerpen ini dihadirkan dalam keadaan yang berbeza. Ada ketika pengarang menggambarkan angin datang sekerasnya sebagai ribut sehingga meranapkan bangunan berbentuk kapal dan begitu juga perihalnya dengan ribut yang menumbangkan pokok besar di kampus saya. Pun begitu, adakalanya angin mampir begitu ramah lagi menyenangkan seolah-olah mahu bersahabat dan berkongsi cerita. Pengarang menyisipkan ingatan yang begitu bermakna menerusi cerpen ini tentang segala kejadian, apatah lagi kemusnahan adalah tentang ingatan Tuhan yang harus dimaklumi hamba-Nya. Petikan berikut memperincikan:

Saya melihat matanya seperti mahu bersuara, “seusai ribut dan gegaran, bukankah ia ingatan Tuhan untuk manusia yang banyak mengubah tata perjalanan yang alami. Jangan lagi berhalakan kapal besar!” (halaman 21)

               Petikan di atas secara tuntasnya mengajak manusia untuk merenung kembali kesan buruk tindakan mereka terhadap alam. Cerpen ini menyampaikan mesej bahawa bencana alam bukan sekadar fenomena fizikal, tetapi juga mesej spiritual, iaitu peringatan Allah SWT kepada manusia supaya kembali menghormati keseimbangan alam dan tidak terlalu menyembah kemajuan material semata-mata.

           Ternyata, cerpen-cerpen yang dikemukakan bersifat didaktik dalam menyampaikan nilai-nilai murni untuk  mendidik pembaca. Secara jelasnya, kumpulan cerpen ini memanfaatkan al-Quran sebagai sumber idea pengkaryaan. Oleh yang demikian, al-Quran menyediakan tema yang universal, sesuai dibangunkan sebagai teras penceritaan sesebuah cerpen dalam usaha menyantuni pembaca. Sensitiviti dan kreativiti pengarang juga begitu signifikan dalam menginspirasikan ketokohan beberapa tokoh yang dikisahkan dalam al-Quran, lalu dikisahkan kembali dengan penceritaan yang baharu yang disesuaikan dengan peredaran semasa.

             Menelusuri keseluruhan cerpen di dalam naskhah ini, pembaca akan menemukan sisi kepengarangan Mawar Safei berdasarkan keutuhan penyampaiannya melalui medium bahasa. Membaca cerpen-cerpen Mawar begitu mengasyikkan kerana keindahan bahasa yang ditampilkan, lantas melancarkan pembacaan. Bahasa yang ditampilkan begitu indah dan bersifat komunikatif. Mawar Safei ternyata begitu cermat dalam membuat pemilihan diksi, lantas memperelok susunan setiap ayat-ayat yang dikarang sehingga begitu menyenangkan apabila dihayati.

           Tuntasnya, Narasi Gua dan Raqim membawa pembaca mengharungi pengembaraan rohani melalui watak-watak yang diciptakan oleh penulis. Cuplikan tafsiran ayat al-Quran yang disisipkan turut menyedarkan akan fungsi kitab suci tersebut yang tidak terbatas sebagai medium bacaan kerohanian semata-mata, sebaliknya sebuah kitab panduan yang menyantuni pelbagai aspek kehidupan. Keberadaan naskhah kumpulan cerpen ini begitu signifikan dalam kalangan masyarakat sebagai cerminan masyarakat dalam mendepani kehidupan.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Di Kamarnya (Buat Patimah)
Puisi

Di Kamarnya (Buat Patimah)

  • 20 Januari 2025
  • 119
  • 4.8
Semut Mulia karya Joe K.A.S: Simfoni Perkembangan Diri dan Nurani Insan
Bicara Sastera

Semut Mulia karya Joe K.A.S: Simfoni Perkembangan Diri dan Nurani Insan

  • 20 Mac 2026
  • 118
  • 5
مربي دهوجوڠ دناي
Puisi Moden

مربي دهوجوڠ دناي

  • 18 Mei 2026
  • 4.5
Loceng Tidak Lagi Berdentang
Cerpen

Loceng Tidak Lagi Berdentang

  • 20 Mei 2026
  • 643
  • 4.8

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP