Prolog
Kesusasteraan kanak-kanak ialah satu genre yang menyingkap persoalan dunia kanak-kanak. Menurut Sutherland Z (1986), sastera kanak-kanak merangkumi semua jenis penulisan berbentuk kreatif dan imaginatif yang dibaca, dihiburkan, dan dinilai oleh kanak-kanak, sesuai dengan keinginan semula jadi mereka. Selain itu, kanak-kanak juga ingin menyayangi dan disayangi, dihargai dan mempunyai rasa ingin tahu. Menurut Arman Sani (1976), kesusasteraan kanak-kanak berfungsi sebagai pemberi teladan, hiburan dan meluaskan pandangan, bagi membentuk jiwa positif dalam kalangan kanak-kanak.
Perkembangan kesusasteraan kanak-kanak melalui penghasilan bahan bacaan untuk kanak-kanak, bermula seiring dengan bermulanya sejarah perbukuan dunia. Apabila keperluan bahan bacaan untuk kanak-kanak semakin meningkat, penulis dan penerbit mula memberikan perhatian terhadap aspek persembahan dan format buku-buku dewasa, agar disesuaikan dan dapat memenuhi cita rasa kanak-kanak. Buku kanak-kanak terawal diterbitkan pada tahun 1744, di England. Buku tersebut berjudul A Little Pretty Pocket Book, dan di dalamnya terkandung puisi-puisi berirama yang mewakili abjad-abjad tertentu.
Perkembangan awal kesusasteraan kanak-kanak bermula dengan sastera lisan atau sastera rakyat. Dalam kalangan masyarakat Melayu tradisional, cerita-cerita rakyat yang popular antaranya ialah Pak Pandir, Pak Kaduk, Si Luncai, Pak Belalang dan Lebai Malang. Kemudian muncul pula kisah-kisah hikayat yang diadaptasi daripada cerita dongeng Barat. Hikayat Penerang Hati merupakan cerita kanak-kanak terawal yang pernah diterbitkan. Hikayat tersebut adalah terjemahan daripada kisah-kisah teladan yang ditulis oleh Aesop, iaitu seorang penglipur lara berbangsa Greek. Antara kisah teladan yang terkenal dalam koleksi Aesop Fables ialah The Wind and The Sun, The Boy Who Cried Wolf, The Ass and The Mule, The Hare and The Tortoise, The Ant and The Grasshopper, The Lamb and The Wolf, The Crow and The Fox, The Fox and The Grape, The Ant and The Dove, The Bowman and The Lion, dan The Milkmaid and Her Pail.
Menurut Misran Rokimin (2000), sejarah penerbitan buku kanak-kanak di Malaysia berkembang dalam tiga tahap. Tahap yang pertama, berlaku apabila mubaligh Kristian dari England dan Amerika Syarikat datang ke Negeri-negeri Selat untuk menyebarkan agama Kristian. Pada masa yang sama, mereka turut menjalankan kegiatan pendidikan melibatkan belia-belia masyarakat setempat. Tahap yang kedua, berlaku apabila ditubuhkan Pejabat Karang-Mengarang (PKM) pada tahun 1924, melalui sokongan penguasa pendidikan kolonial, serta kerjasama daripada penerbit, pencetak dan pengedar Inggeris. Dan tahap yang ketiga pula, berlaku apabila negara mencapai kemerdekaan dan penerbit-penerbit tempatan muncul, bersama-sama dengan kedatangan beberapa penerbit antarabangsa yang membuka operasinya di Malaysia.
DBP Peneraju Penerbitan Bermutu di Sabah
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia ditubuhkan pada tahun 1956, di Johor Bahru sebagai sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran. Apabila DBP dinaikkan taraf menjadi sebuah badan berkanun pada tahun 1959, melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka, agensi ini diberikan peranan autonomi untuk menggubal dasarnya yang khusus; menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera; dan menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku secara kompetitif.
Peranan ini kemudiannya dicerakinkan dan digarap menjadi enam matlamat penting penubuhan DBP, iaitu:
- Membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi;
- Memperkembang bakat sastera dalam bahasa kebangsaan;
- Mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan bentuk-bentuk kesusasteraan lain dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa lain;
- Membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan;
- Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul;
- Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Apabila DBP Cawangan Sabah ditubuhkan pada tahun 1977, setahun kemudiannya Unit Penerbitan diwujudkan bagi melaksanakan fungsi penerbitan seperti yang dinyatakan dalam matlamat penubuhan DBP. Tanggungjawab yang diamanahkan ini sangat penting agar kedudukan DBP sebagai badan penerbit bahan bacaan berbahasa Melayu di Sabah, sama relevannya dengan peranan penerbitan yang dilaksanakan oleh DBP di Kuala Lumpur. Pada awalnya, bentuk terbitan yang diusahakan ialah majalah. Hanya selepas tahun 1986, penerbitan buku mula digiatkan di Sabah.
Unit ini turut menyokong usaha pembinaan dan pengembangan sastera di Sabah melalui penerbitan karya-karya yang dihasilkan oleh para penulis Sabah. Perolehan karya genre kreatif yang diusahakan termasuklah novel, kumpulan puisi dan kumpulan cerpen. Pengumpulan manuskrip dilaksanakan melalui bengkel-bengkel perolehan yang diadakan di DBP, pusat pengajian tinggi, serta jabatan kerajaan dan swasta. Setiap tahun, sekitar 20 manuskrip buku dalam genre kreatif diuruskan oleh Unit Penerbitan DBP Cawangan Sabah, dan kemudiannya dikemukakan ke Jabatan Penerbitan DBP untuk tujuan proses penerbitan.
Penerbitan Buku Kanak-kanak di Sabah
Pewujudan Unit Penerbitan pada tahun 1978 di DBP Cawangan Sabah, merupakan titik pemula kepada berkembangnya sastera di Sabah. Walaupun era penerbitan buku oleh DBP Cawangan Sabah bermula terkemudian, berbanding penerbitan majalah-majalahnya, penerbitan buku terus berkembang hingga kini termasuklah penerbitan buku kanak-kanak.
Antara matlamat penerbitan buku kanak-kanak oleh DBP ialah:
- Memperbanyak bahan bacaan dalam bahasa Melayu yang sesuai untuk bacaan kanak-kanak, dan dijadikan bahan sokongan dalam pengajaran peringkat prasekolah dan tadika.
- Menyediakan bahan bacaan kanak-kanak yang bercitrakan tempatan, khususnya negeri Sabah, sebagai salah satu bahan ilmu atau bacaan yang memberikan informasi kepada masyarakat.
- Memberikan ruang kepada para guru yang mengajar kanak-kanak peringkat prasekolah dan tadika menulis buku kanak-kanak, selain penulis sedia ada.
DBP Cawangan Sabah mengusahakan penerbitan buku untuk kanak-kanak yang berusia 1 hingga 12 tahun, dalam dua bentuk, iaitu buku fiksyen dan buku informatif. Karya yang dikategorikan sebagai fiksyen termasuklah buku bergambar, buku ilustrasi, novel, kumpulan cerpen, lagu dan drama, sama ada karya asli atau terjemahan. Manakala, karya informatif ialah buku pengetahuan, pedoman mudah, biografi, autobiografi dan buku rujukan, sama ada karya asli atau terjemahan.
Buku kanak-kanak yang pertama diusahakan oleh DBP Cawangan Sabah adalah pada tahun 1989, berjudul Cerita Rakyat Sabah yang diselenggara oleh Wan Yusof Hassan dan Siti Hadiah Haji Abd. Mutalib. Buku ini menghimpunkan cerita-cerita rakyat Sabah yang diperoleh hasil daripada projek penyelidikan di bawah peruntukan DBP. Ini kemudiannya diikuti dengan penerbitan buku Dewi Labu Kundur (1992) karya Azmah Nordin, buku Puteri Bongsu dan Suluwaden (2010) karya Ruhaini Matdarin dan buku Kumpulan Cerita Rakyat Sabah Puteri Sumung Buyung (2016) karya Azmah Nordin.
Penghasilan atau penulisan karya sastera kanak-kanak, tidaklah semudah yang disangkakan. Banyak aspek yang perlu diambil kira bagi menghasilkan karya yang bermutu. Selain memberikan penekanan terhadap bentuk, isi cerita dan tujuan sesebuah karya itu, penulis hendaklah juga mengutamakan aspek perlindungan material, perlindungan emosi, perlindungan intelektual dan perlindungan spiritual pembacanya (Izzah, 2000). Sulaiman Masri (1984) menggariskan beberapa kriteria penulisan karya sastera bermutu untuk kanak-kanak, iaitu;
- Karya sastera dihasilkan berdasarkan tujuan pendidikan kanak-kanak;
- Tema, pemikiran dan persoalan yang disajikan hendaklah selari dengan matlamat pendidikan kanak-kanak;
- Latar cerita hendaklah dalam lingkungan kehidupan kanak-kanak;
- Penggunaan bahasa dalam karya hendaklah menepati tahap penguasaan kanak-kanak;
- Karya sastera memaparkan gambar atau ilustrasi berdasarkan fungsinya yang sebenar;
- Bentuk fizikal karya yang dihasilkan hendaklah mengambil kira didaktis-psikologi seperti jenis kertas, saiz buku, saiz dan jenis fon, dan sebagainya.
Bagi mempergiat dan mempercepat penerbitan buku kanak-kanak, DBP Cawangan Sabah merangka beberapa pelan penerbitan seperti penerbitan secara berpakej yang melibatkan kerjasama dengan pelbagai pihak di negeri Sabah, perolehan manuskrip melalui sesi perbengkelan yang melibatkan penulis dan pelukis tempatan, dan peraduan penulisan atau sayembara penulisan, sejak tahun 1990-an. Antara projek pemerolehan manuskrip dan penerbitan buku kanak-kanak di bawah kendalian DBP Cawangan Sabah ialah Penerbitan Buku Kanak-kanak YS – DBP, Penerbitan Hasil Peraduan Menulis Novel Kanak-kanak 1998, Bengkel Perolehan Manuskrip Novel Kanak-kanak, Bengkel Perolehan Manuskrip Novel Kanak-kanak DBP – MOMOGUNSIA, dan Penerbitan Buku Bergambar Kanak-kanak DBP – UMS.
Perancangan dan Harapan
Sastera kanak-kanak boleh dikatakan telah mendapat pengiktirafan dalam kalangan negara maju kerana peranan penting yang dimainkan oleh genre ini dalam usaha ke arah sosialisasi dan pendidikan. Sastera kanak-kanak menjadi fokus kepada pelbagai diskusi tentang isu-isu sosial seperti kedudukan orang tua dalam keluarga, kehidupan kolektif, atau konflik budaya dalam kalangan golongan minoriti.
Sastera kanak-kanak juga diberikan perhatian dalam bidang pengajian dan penyelidikan kesusasteraan melalui pusat-pusat penyelidikan dan pengembangan sastera untuk membantu ke arah penyediaan data-data yang penting, pengungkapan idea-idea baharu yang segar, dan penggalian sumber-sumber penting. Ini merupakan sebahagian strategi pembangunan sastera untuk golongan muda yang dilakukan oleh organisasi seperti institusi pengajian tinggi, persatuan profesional, badan-badan kerajaan, atau badan bukan kerajaan.
Pembangunan sastera dan buku kanak-kanak merupakan agenda yang perlu diberikan perhatian oleh karyawan sastera dan perbukuan. Penulis, penerbit, dan editor serta pihak-pihak lain seperti pendidik, ibu bapa, dan masyarakat perlu memberikan perhatian terhadap kemajuan pendidikan generasi muda. Salah satu strategi untuk menggalakkan penerbit buku menghasilkan bahan-bahan bacaan ini, dilaksanakan melalui pengiktirafan terhadap karya, bahan penulisan, dan penerbitan, seperti aktiviti pertandingan, pemberian anugerah atau hadiah.
Pada peringkat antarabangsa, banyak anugerah diwujudkan bagi mengiktiraf karya sastera kanak-kanak. Antara yang terpenting ialah anugerah Children’s and Young People’s Literature in the Service of Tolerance yang diperkenalkan oleh UNESCO pada tahun 1995. Anugerah ini bukan sahaja bertujuan menyemai benih toleransi dan kedamaian dalam minda kanak-kanak pada peringkat awal, tetapi juga menggalakkan penerbitan buku-buku berkualiti seiring dengan pertumbuhan kanak-kanak ke alam dewasa.
Hans Christian Andersen Medals anjuran International Board on Books for Young People (IBBY), dan Phoenix Awards anjuran Children’s Literature Association adalah antara anugerah antarabangsa yang terkenal. Di Britain terdapat anugerah-anugerah seperti British Children’s Book Awards, The Guardian Award for Children’s Fiction, The Whitbread Children’s Book of the Year, Smarties Book Prize, Mother Goose Award, dan Signal Poetry Award. Di Australia pula terdapat anugerah Australian Children’s Book Council yang terbahagi kepada beberapa kategori, iaitu Book of the Year for Older Readers, Book of the Year for Younger Readers, Picture Book of the Year, dan Eve Pownall Award for Information Books. Ini hanya beberapa contoh daripada puluhan lagi anugerah yang diperkenalkan di serata dunia.
Malaysia juga mempunyai anugerah-anugerah khusus untuk mengiktiraf buku kanak-kanak. Antaranya ialah Hadiah Buku Kebangsaan Malaysia yang diperkenalkan pada tahun 1991, Anugerah Sastera Kanak-kanak Mobil – MABOPA pada tahun 1995, Hadiah Cerpen Kanak-kanak Mobil – DBP, Anugerah Bitara MBBY, Anugerah Buku Perpustakaan Negara pada tahun 2004, Anugerah Sastera Kanak-kanak Kota Buku, dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Namun, sehingga hari ini, hanya Hadiah Sastera Perdana Malaysia anjuran DBP yang konsisten mengekalkan kategori kanak-kanak yang merangkumi novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, kumpulan drama, dan buku bergambar.
Pemberian anugerah sastera kepada buku kanak-kanak diakui memainkan peranan penting dalam memacu bidang perbukuan, khususnya dari segi jumlah judul, kepelbagaian judul, serta kualiti secara keseluruhannya. Namun, masih banyak usaha yang perlu dilakukan untuk melonjakkan kualiti penerbitan dan pengkaryaan buku kanak-kanak di negara kita. Kelemahan yang masih nyata adalah berkaitan dengan teknik-teknik penulisan yang berkesan dalam usaha menggalakkan minat membaca dalam kalangan generasi muda, seperti subjek cerita, bahasa yang sesuai dengan sasaran pembaca, dan ilustrasi yang menarik.
Kanak-kanak ialah bakal pemimpin masa depan. Dalam membentuk keperibadian kanak-kanak yang mulia dan bermoral, sastera kanak-kanak memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya. Maka karya sastera kanak-kanak yang dihasilkan di Malaysia perlulah menitikberatkan aspek mutu dengan mengambil kira permintaan dan kehendak kanak-kanak tempatan dari segi pendidikan. Selain itu, ibu bapa dan guru-guru turut memainkan peranan penting untuk memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak melalui aktiviti pembacaan yang bersesuaian dan menarik. Hal ini penting bagi menjamin kecemerlangan masa depan kanak-kanak.
Bibliografi
Arman Sani. 1976. Wawancara dengan Penulis/Pengarang Sastera Kanak-kanak oleh Suhaimi Haji Muhammad, dalam Dewan Sastera, Julai 1076.
Hadijah Rahmat, 2006. Peranan dan Perkembangan Sastera Kanak-kanak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Izzah Abdul Aziz, 2000. Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja di Malaysia: Suatu Kenyataan atau Impian. Kertas Kerja dalam Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja, Kuala Lumpur, 7 – 9 November 2000.
Rokimin Misran, 2000. Sastera Kanak-kanak dan Remaja: Dalam Era Globalisasi Cabaran dan Masa Hadapannya. Kertas Kerja dalam Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja, Kuala Lumpur, 7 – 8 November 2000.
Sutherland Z, 1986. Children and Book. London: Scott Foresman.