Skip to content
Psikologi-Estetika dan Disiplin Kreatif: Menyingkap Dinamika Penulisan
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Sastera > Psikologi-Estetika dan Disiplin Kreatif: Menyingkap Dinamika Penulisan
Psikologi-Estetika dan Disiplin Kreatif: Menyingkap Dinamika Penulisan
Bicara Sastera

Psikologi-Estetika dan Disiplin Kreatif: Menyingkap Dinamika Penulisan

  • Rosnani binti Ripin
  • 20 November 2026
  • DBP Wilayah Timur

Dalam tradisi penulisan kreatif, kelahiran seorang penulis yang benar-benar bermutu bukanlah hasil suatu kebetulan yang bersifat spontan, tetapi merupakan implikasi daripada proses yang panjang, berlapis dan berdisiplin. Proses ini menuntut kepentingan terhadap teknik, penguasaan wacana, kepekaan terhadap bahasa dan kekuatan batin yang berteraskan nilai. Kerangka Baca–Cerap–Tulis dapat dihayati sebagai suatu peta perjalanan penulis untuk menggabungkan tiga elemen utama latihan teknikal, pengasahan akal kritis dan pengukuhan jiwa kreatif  yang menjadi asas kepada penciptaan karya bernilai tinggi.

Rahimah A. Hamid (2017) menjelaskan asas kemampuan penulis menghasilkan karya yang bermutu terletak pada konsep psikologi-estetik. Psikologi di sini merujuk kepada dimensi kejiwaan penulis, manakala estetik ialah rasa indah yang terpancar daripada jiwa tersebut. Kedua-duanya, apabila digabungkan, melahirkan sensitiviti dan kreativiti yang luar biasa, yang menjadi pemangkin kepada penciptaan karya yang bukan sahaja indah secara seni, malah berperanan sebagai medium terapi emosi kepada penulis itu sendiri. Seiring pandangan tersebut, A. Aziz Deraman (2003) menegaskan bahawa penulis yang berkualiti memiliki tanggungjawab untuk mengangkat maruah bangsa, memperkukuh bahasa dan menyalurkan nilai yang membina peradaban.

Pertama, aspek pembacaan harus dilihat sebagai landasan awal untuk membentuk model estetik dalam penulisan. Pembacaan yang bersifat terarah bukan sahaja memperkaya khazanah kosa kata, bahkan membekalkan kefahaman tentang bentuk, struktur dan teknik naratif yang efektif. Mana Sikana (2014) menekankan bahawa pembacaan yang sistematik membolehkan penulis memahami bagaimana idea, bentuk dan bahasa berinteraksi secara sinergis dalam menghasilkan teks yang padu. Muhammad Haji Salleh (2006) pula menegaskan bahawa dalam tradisi sastera Melayu, pembacaan berfungsi sebagai proses menyerap “suara-suara” terdahulu untuk membina suara sendiri yang segar dan autentik. Pandangan ini diperkuat oleh Kassim Ahmad (1976) yang melihat pembacaan kritis sebagai landasan untuk memahami sifat kemanusiaan dan konflik, yang merupakan inti sari kepada karya yang berkesan.

Dalam kerangka teori Barat, Barthes (1977) melihat pembaca bukan sekadar penerima maklumat, malah pencipta makna. Iser (1978) pula menggariskan bahawa pembaca mengisi “ruang kosong” dalam teks, menjadikan pembacaan sebagai suatu proses aktif yang membina imaginasi. Bagi penulis di Kelantan, penelaahan terhadap puisi Rosli K. Matari atau novel Fatimah Busu membuka ruang untuk memahami bagaimana pengalaman hidup harian dapat diolah menjadi renungan falsafah. Hal ini selaras dengan pandangan Csikszentmihalyi (1996) bahawa pendedahan kepada karya yang bermutu merupakan prasyarat bagi mencapai flow, iaitu keadaan mental optimum yang memperkukuh daya cipta.

Selain pembacaan, proses pencerapan menjadi faktor kedua yang kritikal dalam penghasilan karya berkualiti. Pencerapan yang mendalam melibatkan pemerhatian teliti, penilaian kritis dan kesedaran tentang teknik penulisan yang digunakan. Kamariah Kamarudin (2017) menganggap pencerapan sebagai latihan untuk menguji konsistensi dalaman sesebuah karya serta keberkesanannya terhadap khalayak. Wallas (1926) pula meletakkan fasa ini sebagai preparation dalam model proses kreatifnya.

Shahnon Ahmad (1994) sering menegaskan bahawa pencerapan memerlukan keberanian untuk menilai dengan jujur, termasuk mengakui kelemahan karya sendiri. Hashim Musa (1980) memperincikan pencerapan dari sudut neurologi, iaitu bagaimana rangsangan luar diproses oleh otak, nafsu, roh dan hati sehingga mencetuskan empat daya utama — sensasi, persepsi, memori dan proses berfikir. Raman Shelden (1986) menambah bahawa pencerapan yang efektif bergantung pada integrasi inner life, phenomena psychology dan inner perception. Sebagaimana dinyatakan oleh Shklovsky (1917), pencerapan yang mendalam berupaya “menjadikan yang biasa kelihatan luar biasa” melalui teknik defamiliarization.

Faktor ketiga dalam kerangka ini ialah penulisan itu sendiri, yang merupakan medan menguji keupayaan dan disiplin penulis. Othman Puteh (2010) menegaskan bahawa karya yang telah siap perlu dibawa ke gelanggang khalayak bagi mengukur keberkesanannya. Nisah Haron (2013) pula melihat disiplin menulis sebagai faktor kesejahteraan emosi penulis, manakala Rahimah A. Hamid (2017) menekankan bahawa penulisan berfungsi sebagai proses sublimasi, iaitu pemindahan bebanan emosi kepada bentuk kreatif yang memberikan kelegaan batin. Konsep ini selari dengan gagasan flow oleh Csikszentmihalyi (1996).

Dalam kerangka ini, Gazalba (1974) berpendapat bahawa kreativiti memberikan kemampuan kepada penulis untuk memperindah realiti, menjadikan karya bukan sahaja cerminan kehidupan, tetapi juga peningkatan nilai estetik. Kassim Ahmad (1976) menegaskan bahawa penulis yang berdisiplin berupaya menggabungkan keindahan bahasa dengan kekuatan pemikiran sehingga menghasilkan karya yang bertahan dalam ujian masa.

Tambahan pula, perkembangan penulis tidak dapat dipisahkan daripada persekitaran kreatif yang menyokong. Mawar Shafei (2019) menggambarkan komuniti penulis sebagai “litar makna” yang membolehkan karya diuji, dinilai dan diperbaiki. Di Kelantan, peranan DBP Wilayah Timur, Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan program Bicara Penulis menjadi medium yang menyediakan bimbingan dan ruang interaksi. Pandangan ini selari dengan A. Aziz Deraman (2003) yang menekankan bahawa komuniti sastera perlu berperanan dalam memelihara bahasa dan budaya, seiring dengan pandangan Csikszentmihalyi (1996) bahawa kreativiti berkembang melalui interaksi antara individu, domain dan komuniti pakar (field).

Akhirnya, dalam perbincangan tentang proses kreatif, dimensi falsafah dalam kesusasteraan tidak boleh diketepikan. Knight (1962) menegaskan bahawa hubungan antara sastera dan falsafah bersifat intim, sehingga penghasilan karya sastera dapat dianggap sebagai pekerjaan berfalsafah. Falsafah mempengaruhi sastera hingga ke tahap karya menjadi demonstrasi praktikal terhadap prinsip falsafah. Walaupun hubungan ini cuba direnggangkan oleh aliran pascamodenisme, penulis pada hakikatnya tetap menggarap karya dengan landasan pemikiran falsafah. Muhammad Haji Salleh (2006) mengingatkan bahawa penulis yang benar-benar hebat menggabungkan ketajaman bahasa dengan kedalaman renungan falsafah, menjadikan karya bukan sahaja sebagai bacaan, tetapi juga sebagai wacana yang mempengaruhi dan membentuk pemikiran pembacanya.

Oleh itu, kerangka Baca–Cerap–Tulis dapat disimpulkan sebagai bukan sahaja satu kaedah teknikal, tetapi suatu falsafah kerja penulisan yang menyatukan penguasaan kemahiran, pengasahan nalar kritis, kekuatan batin dan visi intelektual. Dengan integrasi dimensi psikologi-estetik, teori kreatif Timur dan Barat, serta kesedaran falsafah, kerangka ini berpotensi melahirkan penulis yang menghasilkan karya bukan sahaja indah secara estetika, tetapi juga berpengaruh dalam membina minda dan tamadun.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#baimbad (3) #cerpendbp (14) #cerpenkehidupan (8) #dbpselatan (17) #karyasastera (33) #kedah (4) #penulis (9) #penulisbaharu (38) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (7) #puisialam (6) #puisijawi (7) #puisimoden (28) #sasteramelayu (12) #sasteramoden (5) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (17) abuyon (5) adie abd gani (6) anak (3) bahasa (3) cerpen (17) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (31) dbpsarawak (4) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (7) Esei (6) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (7) palestin (3) penulis sarawak (16) puisi (35) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (6) puisi kehidupan (15) rindu (3) sajak (13) Sarawak (5) sastera (3) stephaniejuanitaahlee (4) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Katakanlah Aku Ingin Pulang
Puisi

Katakanlah Aku Ingin Pulang

  • 5 Julai 2024
  • 319
  • 4.5
Jelatang
Puisi

Jelatang

  • 22 September 2025
  • 111
  • 5
DPMP Genap 69: Terus Memperjuangkan Bahasa dan Sastera
Bicara Bahasa dan Sastera

DPMP Genap 69: Terus Memperjuangkan Bahasa dan Sastera

  • 5 Mac 2026
  • 64
  • 4.2
Lembar Perkhabaran
Puisi

Lembar Perkhabaran

  • 14 November 2023
  • 122
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP