Purata membaca dalam kalangan rakyat Malaysia sehingga tahun 2022 dilaporkan masih berada pada tahap yang rendah, iaitu hanya tiga jam seminggu. Data yang dikeluarkan oleh The Independent yang berpangkalan di United Kingdom itu menunjukkan negara kita mencatatkan perbezaan jurang yang besar berbanding India dan Thailand. Purata membaca rakyat India ialah 10 jam seminggu manakala purata membaca rakyat Thailand ialah sembilan jam seminggu. Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dalam laporannya pada tahun 2014 turut mendapati bahawa tahap membaca rakyat Malaysia berada pada tahap yang rendah, iaitu kita hanya membaca 15 naskhah setahun berbanding 40 naskhah setahun bagi negara maju. Statistik ini dilihat sinonim dengan kajian The World’s Most Literate Nation yang dilakukan oleh Central Connecticut State University, Amerika Syarikat pada tahun 2016 yang meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-53 dari 61 buah negara. Hal ini menunjukkan bahawa sudut keupayaan literasi rakyat Malaysia jauh di belakang negara jiran, iaitu Singapura yang berada di tangga ke-36.
Justeru, Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) mensasarkan negara kita sebagai negara membaca menjelang tahun 2030. Sehubungan dengan itu, tabiat membaca dalam kalangan kanak-kanak perlu dipupuk sedari awal bagi mewujudkan sikap suka membaca demi menyediakan modal insan yang berilmu pengetahuan dan mampu menempuh cabaran pada masa hadapan.
Tabiat Membaca Melalui Komik
Budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak dapat dipupuk melalui penggunaan komik sebagai salah satu bahan bacaan. Komik bukanlah bahan bacaan utama tetapi berperanan sebagai jambatan untuk menarik minat kanak-kanak membaca. Kita dapat lihat apabila kanak-kanak mulai seronok membaca, lama-kelamaan mereka akan baca pelbagai jenis buku. Hal yang paling penting ialah cara untuk memupuk minat kanak-kanak supaya membaca. Tambahan pula, komik mengandungi susunan gambar-gambar bercerita dan dalam masa yang sama fungsinya mampu menyampaikan kata-kata dan maksud kepada pembacanya (Masdiono, 1998). Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan komik sebagai buku yang mengandungi cerita yang disertai dengan gambar-gambar yang melucukan. Komik sebenarnya berasal daripada perkataan bahasa Inggeris iaitu comic, yang bererti lucu atau jenaka. Komik bukan sekadar cerita bergambar yang menghiburkan tetapi suatu bentuk media komunikasi visual yang mempunyai kekuatan untuk menyampaikan informasi dalam pelbagai aspek termasuklah aktiviti pembelajaran. Namun begitu, komik selalu dianggap sebagai bahan bacaan murahan atau kurang bernilai, serta tiada kebaikan yang boleh didapati sekiranya membaca komik.
Walau apa pun tanggapan umum, amalan membaca buku berbentuk komik sebenarnya dapat membantu perkembangan pemikiran kanak-kanak dan kepekaan mereka terhadap dunia persekitaran (Affizal, 2015). Hal ini kerana persekitaran yang sarat dengan komunikasi amat penting dalam menggalakkan keupayaan berfikir seseorang individu secara logik dan kreatif (Zuri, 2014). Penggunaan komik juga dapat membantu kanak-kanak dalam pelbagai aspek, contohnya komik dan novel yang berbentuk grafik merupakan satu cara yang terbaik untuk memberi kefahaman dan membentuk kemahiran mengingat di dalam kelas (Nancy Frey & Douglas Fisher, 2008).
Selain itu, penggunaan komik dikatakan mampu mewujudkan minat terhadap membaca dalam kalangan kanak-kanak. Minat merupakan konsep penting dalam Motivasi Intrinsik (Murphy & Alexander, 2000). Minat juga dikaitkan dengan penglibatan sengaja dalam aktiviti dan ia akan wujud dengan sendirinya apabila kanak-kanak membaca komik (Schraw & Lehamn, 2001). Ciri-ciri komik ialah mempunyai daya tarikan tersendiri justeru selari dengan sifat semula jadi kanak-kanak yang sukakan sesuatu yang menghiburkan, ringkas, menarik serta mempunyai kaitan dengan rutin mereka. Komik mempunyai jumlah muka surat yang tidak terlalu banyak, jalan cerita yang tidak terlalu panjang dan lazimnya disusun mengikut episod. Ciri istimewa inilah yang menjadikan komik sebagai salah satu daya tarikan kepada kanak-kanak untuk membaca.
Antara ciri lain komik ialah bersifat humor. Ramai golongan pakar, khususnya luar bidang pendidikan telah memanfaatkan penggunaan humor dalam bidang masing-masing demi manfaat fisiologi dan psikologi yang dipercayai dapat dikaitkan dengan gelak ketawa dan lucu ini. Sebahagian daripada manfaat fisiologi yang diutarakan oleh Berk (2003) termasuklah melonggarkan otot, merangsang peredaran darah serta menjadikan pernafasan bertambah baik. Di samping itu juga, komik dapat membantu para pelajar mengembangkan daya kreatif berfikir dan cirinya yang lucu membuatkan pembaca tidak bosan.
Mc Cloud (1993) juga menyokong hal ini dengan menjelaskannya di dalam buku yang berjudul Understanding Comics. Menurutnya, komik merupakan media yang boleh menarik minat semua peringkat usia disebabkan kelebihannya yang mudah untuk difahami. Hal ini kerana komik mempunyai saiz gambar yang sederhana dan menggunakan percakapan seharian yang boleh difahami oleh kebanyakan orang. Kajian yang dilakukan di Jepun mendapati 90 hingga 95 peratus orang Jepun yang terpelajar suka membaca komik (Cary, 2004).
Komik dan Keupayaan Berbahasa
Jika diteliti daripada aspek kemahiran berbahasa, penggunaan komik dapat membantu meningkatkan kemahiran komunikasi dan berbahasa dalam kalangan kanak-kanak. Terdapat pandangan yang mengatakan bahawa penguasaan kosa kata pelajar yang lemah menyebabkan mereka tidak dapat memahami teks, membina ayat dan tidak dapat bertutur dengan baik. Namun begitu, kanak-kanak yang membaca komik setiap bulan mempunyai hampir dua kali banyaknya kosa kata berbanding kanak-kanak yang tidak membaca komik (Hamdi, 2010). Dapatan ini menunjukkan bahawa melalui bacaan komik, perbendaharaan kata bagi seseorang kanak-kanak itu dapat ditingkatkan sekaligus membantu mereka berkomunikasi dengan baik. Keupayaan kanak-kanak untuk memahami dan berkomunikasi dikatakan meningkat dengan cepat selepas hanya tiga puluh minit berimaginasi melalui pembacaan komik (Gambrell & Bales, 1986).
Bukan itu sahaja, komik juga dilihat mampu menarik minat murid berkeperluan khas dalam meningkatkan tahap keupayaan dan kemahiran komunikasi mereka. Kanak-kanak bermasalah pembelajaran sering menunjukkan ketidakupayaan mereka dalam perkembangan sosial, komunikasi dan juga tingkah laku (Ministry of Education British Columbia 2000: Zuri et al., 2014). Antara ketidakupayaan utama murid berkeperluan khas ialah kemahiran komunikasi, interaksi sosial dan imaginasi. Mereka juga tidak mampu untuk memulakan atau melibatkan diri dalam komunikasi. Murid juga kurang berkeyakinan untuk kerkomunikasi secara terus dan bersemuka. Jadi komunikasi yang terbina kadangkala hanyalah komunikasi sehala sahaja. Oleh itu, guru-guru menggunakan komik sebagai bahan bantu pengajaran untuk kanak-kanak berkeperluan khas ini.
Melalui penggunaan komik juga dapat membantu mewujudkan komunikasi antara kanak-kanak yang berkelainan upaya ini. Hal ini dapat dibuktikan apabila mereka mampu bekerjasama dalam kumpulan seterusnya berkomunikasi sesama mereka (Melinda & Barbara, 2015). Keadaan ini berlaku apabila pembelajaran secara visual dan berkarakter melalui penggunaan komik dilihat dapat membantu murid untuk memahami jalan cerita (storyboard) yang disampaikan oleh guru mengenai topik yang tertentu. Selain itu, komik digital yang mempunyai reka bentuk antara muka yang baik juga mampu menggalakkan tahap interaksi yang tinggi antara kanak-kanak kerana reka bentuk tersebut memenuhi keperluan pengguna (Siti Zaharah et al., 2015). Seterusnya mereka dilihat mampu untuk bersosialisasi secara tidak langsung bersama rakan dan keluarga selain membantu guru-guru pendidikan khas menjana idea untuk diterapkan ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Selain ciri komik yang menarik dan tidak membosankan, komik juga mempunyai gambar yang berwarna serta dapat merangsang otak kanak-kanak untuk berfikir secara harmoni.
Kesimpulan
Ciri-ciri komik yang mengandungi dialog dapat membantu kanak-kanak berinteraksi dan berkomunikasi seterusnya mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Oleh itu, tidak hairanlah jika komik bukan sahaja dapat memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak bahkan meningkatkan keupayaan berbahasa mereka. Bukan itu sahaja, komik juga membawa fungsi sebagai sumber inspirasi, motivasi dan pembelajaran. Kenyataan ini diakui oleh penerima Nobel Keamanan 2004, Archbishop Desmond Tutu yang menyatakan bahawa komik membuatkannya gemar membaca dan berminat dalam bahasa Inggeris, “But one of the things that my father did was to let me read comics …. ! devoured all kinds of comics — fed my love for English and my love for reading but I suppose if he had been firm I might not have developed this deep love for reading and for English.”
Namun, mengapa masih ramai yang memandang enteng tentang peranan komik sedangkan sudah diketahui manfaat yang akan diperolehi? Komik-komik yang berkualiti keluaran kartunis tempatan bukan sahaja mempunyai penggunaan bahasa yang baik tetapi juga sarat dengan nilai-nilai murni. Oleh itu, marilah sama-sama kita raikan anak-anak dengan komik.