Skip to content
Rewang: Lambang Keakraban dan Jati Diri Masyarakat Jawa
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Kearifan Tempatan > Rewang: Lambang Keakraban dan Jati Diri Masyarakat Jawa
Rewang: Lambang Keakraban dan Jati Diri Masyarakat Jawa
Kearifan Tempatan

Rewang: Lambang Keakraban dan Jati Diri Masyarakat Jawa

  • Salmiah Kasmuni
  • 5 April 2026
  • DBP Wilayah Selatan
  • 70
  • 5

Dalam sejarah masyarakat Jawa Johor, tradisi rewang memegang tempat yang amat penting sebagai satu bentuk kerjasama sosial yang mengukuhkan jalinan kemasyarakatan. Istilah rewang sering dikaitkan dengan sesebuah perkampungan atau komuniti yang masyarakatnya terdiri daripada kaum Jawa. Pandangan ini disokong oleh Noriah Mohamed (2001) dalam bukunya Jawa di Balik Tabir menyatakan bahawa konsep rewang merupakan sistem gotong-royong tradisional yang dilakukan oleh masyarakat Jawa di Tanah Jawa dan diteruskan oleh generasi berketurunan Jawa di Tanah Melayu.

Secara alaminya, suasana rewang kebiasaannya sangat meriah. Tidak pernah lekang daripada suara ilai ketawa, usik-mengusik dan gurau senda. Lengkingan parang memotong daging dan geselan dulang ayan yang terhias dengan motif bunga-bungaan tersusun panjang menunggu untuk diisi dengan nasi ambeng. Beraneka masakan berempah pasti menyentap setiap deria bau dengan aromanya dari ruang dapur. Di sinilah tertanam nilai kekitaan masyarakat Jawa yang diwarisi sejak ratusan tahun, khususnya di daerah Pontian, Batu Pahat, Muar dan Tangkak. 

Di sebalik kesederhanaan suasana rewang, terdapat satu sistem sosial yang tersusun dan mencerminkan budaya gotong-royong yang menjadi teras kehidupan masyarakat Jawa di Johor. 

Asal Usul dan Pengertian Rewang

Makna Rewang dalam bahasa Jawa berasal daripada kata dasar dalam bahasa Jawa yang bermaksud membantu, menghulurkan tangan atau menyumbang tenaga. Rewang ini berkait rapat dengan konsep gotong-royong, iaitu amalan bekerjasama tanpa mengharapkan bayaran atau imbuhan material. Menurut Wan Rafaei (1993) dalam makalahnya “Institusi Gotong-royong” menyatakan bahawa gotong-royong merupakan satu kemudahan sementara dan tidak formal. Rewang dihidupkan apabila terdapat sesuatu kerja yang besar yang perlu dibuat dengan segera. Rewang bukan aktiviti upahan, sebaliknya rewang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial dan budaya dalam masyarakat Jawa yang diajari sejak dahulu kala. 

Rewang membawa makna yang lebih bererti dan menyaksikan satu himpunan tenaga masyarakat dalam sesebuah kampung atau komuniti dalam menjayakan satu-satu majlis tertentu. Terutamanya majlis perkahwinan. Namun pada zaman dahulu, rewang juga dilakukan bagi upacara lain seperti, kenduri arwah atau tahlilan, majlis khatam al-Quran, sambutan kelahiran atau puputan dan sewaktu mendirikan rumah baharu. Hingga hari ini, walaupun mengalami beberapa perubahan mengikut peredaran zaman, inti tradisinya masih kekal sebagai satu proses menyatukan masyarakat.

Sementara itu, menurut pandangan Yassin SM (1999) dalam makalahnya  “Rewang: Perpaduan Tulen Jiran Sekampung” menjelaskan bahawa budaya rewang ini didorong oleh idea yang manusia tidak hidup sendiri melainkan hidup bersama-sama dengan orang lain. Manusia amat bergantung antara satu sama lain dalam meneruskan kehidupan mereka dan dengan adanya hubungan sosial, proses penyesuaian diri dengan anggota masyarakat yang lain berlaku.

Kedatangan Orang Jawa ke Johor dan Pembentukan Budaya Rewang

Bagi memahami rewang masyarakat Jawa Johor, kita perlu menelusuri sejarah penghijrahan orang Jawa ke Tanah Melayu pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Pelbagai faktor mendorong perpindahan ini, antaranya kesempitan hidup di Jawa akibat pertanian paksa, peluang ekonomi di Tanah Melayu, serta galakan kerajaan kolonial British yang ingin memajukan industri pertanian terutamanya kelapa sawit, getah dan gambir.

Masyarakat Jawa yang tiba di Johor membina penempatan baharu dalam bentuk kampung tersusun, lazimnya di bawah sistem kangcu atau pembukaan ladang baharu. Mereka membawa bersama-sama adat, dialek, makanan, seni, dan sistem sosial yang utuh. Dalam suasana hidup sebagai komuniti terasing, rewang menjadi mekanisme ikhtiar hidup. Tanpa kerjasama, tidak mungkin seseorang boleh menjayakan kenduri, membangunkan rumah atau menguruskan majlis-majlis penting yang memerlukan kos dan tenaga manusia. 

Menurut Shamsul Amri Baharuddin (2012) dalam bukunya Modul Hubungan Etnik menjelaskan bahawa adat dan amalan rewang yang terdapat dalam masyarakat Jawa telah pun tersebar ke alam Melayu sama ada menjadi satu amalan yang diikuti masyarakat Melayu mahupun masyarakat Jawa itu sendiri. Hal ini boleh dilihat melalui majlis perkahwinan, kenduri kesyukuran dan sebagainya. Johor kemudiannya menjadi negeri dengan populasi masyarakat Jawa paling besar dan tradisi rewang menjadi antara warisan yang terus dipelihara hingga kini. 

Struktur dan Organisasi Rewang dalam Majlis Perkahwinan

Persiapan awal bermula daripada mesyuarat keluarga. Sebelum hari rewang atau majlis yang sebenarnya berlangsung, keluarga pengantin akan mengadakan mesyuarat kecil untuk membahagikan tugas. Dalam tradisi masyarakat Jawa Johor, terdapat beberapa jawatan atau peranan utama. Ketua rewang ialah individu yang bertanggungjawab mengetuai aktiviti gotong-royong memasak bagi majlis kenduri atau perayaan. Ketua rewang kebiasaannya merupakan orang lama atau orang yang pandai memasak, berperanan mengatur tenaga kerja, menyediakan bahan, dan memastikan hidangan siap tepat pada masanya.

Sehubungan dengan itu, ketua rewang juga akan melantik seorang ketua jurumasak bagi tugas menyediakan dan mengurus bahan-bahan mentah dan memasak menu yang dirancang dalam kuantiti yang banyak. Bagi melancarkan urusan pelaminan, ketua rewang turut melantik seorang ketua di bahagian pelamin bagi menguruskan pelamin pengantin, pemasangan bangsal dan kebersihan persekitaran. Sementara itu, ketua di bahagian penyambut tetamu akan mengurus tempat duduk dan aliran tetamu yang hadir. Tugas dan tanggungjawab ini terus diwariskan daripada generasi ke generasi, berdasarkan kemahiran, kepakaran dan pengalaman dalam bidang masing-masing.

Hal yang menjadi keutamaan dalam tradisi rewang, pembahagian tugas adalah mengikut kekuatan dan kemahiran lelaki dan wanita. Kebiasaannya, tugas yang dipikul oleh kaum lelaki ialah kerja-kerja yang berat seperti memotong daging, menyiang ayam dan mendirikan bangsal. Beberapa bangsal akan didirikan dan memerlukan penyediaan buluh yang banyak. Pada masa dahulu, bangsal didirikan dengan menggunakan buluh. Kaum lelaki bertanggungjawab memastikan buluh mencukupi bagi mendirikan bangsal untuk kerja-kerja memasak dan bangsal untuk tetamu duduk menikmati hidangan pada hari kenduri berlangsung.

Selain itu, meja dan kerusi tetamu juga dibina menggunakan buluh. Kerja-kerja mencari dan mengumpul buluh akan dilaksanakan lebih awal bagi melancarkan kerja-kerja pada hari persiapan majlis. Selain itu, daun rumbia yang telah dianyam akan dijadikan atap di setiap bangsal yang didirikan. Kerja memasang dan mendirikan bangsal sememangnya memerlukan tenaga dan kekuatan kaum lelaki. Yang uniknya, suatu masa dahulu, tungku memasak menggunakan batang pisang. Kaum lelaki juga perlu memastikan batang pisang mencukupi untuk dijadikan tungku memasak.

Sementara itu, kaum wanita pula akan bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja di dapur seperti mengupas bawang, memotong sayur-sayuran dan menggiling rempah asas untuk menu utama masakan Jawa. Dalam menu hidangan kenduri perkahwinan, kuih-muih tradisional tidak dilupakan dan pastinya kaum wanitalah yang bertanggungjawab untuk menyediakannya. Mereka juga bertanggungjawab  menghias pelamin dan menyiapkan hiasan barang-barang hantaran. Ada ketikanya, pada hari kenduri berlangsung, kaum lelaki juga turut membantu memasak atau menghidangkan makanan pada tetamu yang hadir. Masing-masing, sama ada lelaki atau wanita saling membantu bagi melancarkan majlis yang berlangsung.

Suasana Rewang, Meriah, Harmoni dan Penuh Cerita

Hakikatnya budaya rewang lebih daripada sekadar kerja. Rewang ialah ruang sosial yang hidup. Di sinilah anak-anak muda belajar memotong bawang, menyiang daging sambil mendengar cerita-cerita dan pengalaman serta belajar daripada orang-orang tua. Di samping berbual dan bergurau senda, kerja-kerja dan persiapan majlis tetap berjalan lancar. Sesekali mereka berpantun dan berjenaka dengan kisah-kisah pada zaman purba.

Wak Jono lungo kenduri,

Omahea adoh buri pelusuk;

Men dijulang budoyo tradisi,

Dadi pusoko di dino mbesuk.

Kepakaran mereka dalam berpantun tidak dinafikan sementelah, dengan berpantun itu menambah lagi suasana meriah pada waktu rewang. Rewang menjadi wadah mendidik generasi muda tentang adat, bahasa Jawa, dan nilai hormat kepada orang tua. 

Tradisi rewang mengandungi beberapa nilai dan identiti sosial penting yang menjadi asas kekuatan masyarakat Jawa. Selain rewang, gerikgan (dalam bahasa Jawa yang bermaksud gerakan) atau gotong-royong ini merupakan satu-satu pekerjaan yang dilakukan secara beramai-ramai, terancang dan tersusun mengikut tugas yang telah diamanahkan. Konsep kerja bersama-sama untuk manfaat bersama-sama, amat dirasai terutama dalam majlis-majlis yang dilaksanakan secara besar-besaran. Kerja berat menjadi lebih ringan apabila dilaksanakan secara bersama-sama.

Dalam melaksanakan sesebuah majlis, seluruh kampung dianggap seperti sebuah keluarga besar. Kehadiran jiran bukan sekadar membantu, tetapi tanda kasih sayang dan tanggungjawab sosial mereka dalam masyarakat. Adat Jawa sangat menekankan sopan santun. Ketika rewang, bahasa yang lembut, nada suara yang rendah dan sikap menghormati orang lebih tua tetap diamalkan dan dipertontonkan kepada generasi muda. 

Pernyataan ini disokong oleh kajian Zainorinyana, J.Y dan Vivien WC. Y (2017) dalam makalahnya “Amalan rewang dalam masyarakat Jawa di Malaysia” mendapati bahawa aktiviti rewang dalam masyarakat Jawa menyimpulkan bahawa rasa hormat-menghormati, muafakat dan perkongsian dapat lahir daripada amalan rewang kenduri.

Makanan Tradisional dalam Rewang Lambang Keakraban

Tidak dapat dinafikan bahawa satu daripada daya tarikan rewang ialah makanan tradisional yang disediakan dalam kuantiti yang banyak. Antara hidangan yang sering ada dalam senarai kenduri, ialah nasi ambeng yang menjadi hidangan ikonik masyarakat Jawa. Dulang dipenuhi dengan nasi manakala ayam engkong diletak di tengah-tengahnya dan lauk-pauk lain pula diletak di sekeliling ayam engkong. Nasi ambeng kebiasaannya dihidangkan dengan ayam engkong semur. Menu ini merupakan hidangan wajib dalam majlis-majlis besar. Engkong berupa seekor ayam yang dimasak dengan rempah ratus, kicap dan santan pekat. Nasi ambeng akan dimakan oleh empat orang tetamu yang dikongsi di dalam satu dulang. Cara makan begini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan melambangkan perpaduan antara masyarakat Jawa.

Sehubungan dengan itu, pandangan ini bertepatan dengan kajian Normizan bin Bakar, Zairy bin Zainol dan Rusmani binti Musa (2021) dalam makalahnya bertajuk “Pakatan Kenduri, Dilema Banduan dan Interaksi Sosial” menyatakan bahawa jika mengimbau kenangan kenduri era 1980-an sehingga 1990-an, acara rewang mengambil masa beberapa hari persiapannya. Kemuncak kenduri ialah jamuan makan jemputan yang hadir, menggunakan konsep berakah atau berkat, iaitu makan bersama empat orang dalam satu hidangan. Bentara atau rewang yang akan membawa makan yang disediakan di dalam dulang. Dari proses menyiapkan makanan itu telah diterapkan konsep berakah dalam makanan dan apabila dijemput makan, konsep yang sama juga diterapkan.

Selain engkong, ayam ungkep juga menu yang tidak dilupakan dalam majlis-majlis masyarakat Melayu berketurunan Jawa. Ayam akan dipotong-potong kecil. Dimasak menggunakan rempah-rempah seperti dengan kunyit, serai dan bawang. Ayam ungkep akan dimasak dengan api perlahan sehingga kuahnya menjadi pekat. Ungkep bermaksud dimasak dengan menutup bekas memasak sehingga ayam empuk dan kuah menjadi pekat. 

Kuih tradisional Jawa yang biasanya dihidangkan terdiri daripada nagasari, apam, ketayap Jawa dan cucur. Sementara itu, mi siput, rempeyek dan tumpi merupakan snek popular di Johor. Sering dihidangkan sebagai kudapan kepada para tetamu yang hadir dan juga peserta rewang. Hidangan-hidangan ini bukan sekadar makanan, tetapi lambang identiti, memori dan warisan nenek moyang.

Peranan Rewang dalam Merapatkan Komuniti

Melalui aktiviti rewang, penduduk kampung yang jarang-jarang bertemu akan kembali berkumpul. Anak-anak muda dapat mengenali jiran dan rakan sebaya. Lebih sinonim kalau dikatakan, rewang adalah ruang perkenalan untuk lebih mengeratkan silaturahim. Rewang juga boleh mendekatkan sanak-saudara yang jauh dan mengharmonikan konflik-konflik kecil yang berlaku di dalam komuniti. Kadang-kadang, pergaduhan kecil di dalam kampung menjadi reda ketika rewang. Semangat kekitaan dalam rewang lebih bererti daripada perbalahan kecil yang menjarakkan hubungan persaudaraan.

Malahan, rewang menjadi sekolah budaya tidak formal. Generasi muda boleh belajar adat perkahwinan masyarakat Jawa seperti malam berinai sebelum akad, upacara tepung tawar, nguleg (menumbuk/mengisar), ngurip-ngurip (menghidupkan/menyemarakkan), nyimpen (menyimpan) dan nyaji (membaca al-Quran) yang merupakan adat-adat atau upacara masyarakat Jawa yang diwarisi daripada nenek moyang mereka beribu tahun dahulu. Tradisi ini jarang-jarang diajar secara formal, namun hidup dalam masyarakat Jawa melalui amalan rewang.

Rewang bukan sekadar kerja membantu menjayakan majlis tetapi merupakan nadi sosial yang menghubungkan jati diri dan semangat kekeluargaan antara satu sama lain. Rewang juga mengajar tentang kasih sayang, kesetiaan, hormat-menghormati dam saling bekerjasama. Tradisi ini lahir daripada sejarah panjang perjuangan masyarakat Jawa yang merantau, membina kehidupan baharu di bumi Johor dan membawa bersama-sama warisan yang amat berharga. Walaupun dunia berubah, nilai kekeluargaan yang terkandung dalam rewang tidak pernah hilang. Selagi ada manusia yang percaya kepada kebersamaan, selagi itulah rewang akan terus bernyawa dalam jiwa masyarakat Jawa Johor. 

 

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#baimbad (2) #cerpendbp (9) #cerpenkehidupan (4) #dbpselatan (17) #karyasastera (24) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (24) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (6) #puisimoden (20) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (4) #Tunanetra (4) #wadahdbp (10) abuyon (4) adie abd gani (4) bengkel (2) cerpen (12) dbpcawangansabah (9) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (4) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) penulis sarawak (13) puisi (32) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (10) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (10) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3) Zoul (2)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Cerpen

Ingin Kembali

  • 11 Ogos 2025
کات ݢورو
Puisi Moden

کات ݢورو

  • 15 Mei 2026
  • 5
Tuah
Cerpen

Tuah

  • 1 April 2024
  • 155
  • 3
Semoga Warkahku Damaikan Jiwamu, Adi
Cerpen

Semoga Warkahku Damaikan Jiwamu, Adi

  • 15 Januari 2024
  • 118
  • 4.4

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP