Tanggal 31 Ogos 2025 yang lalu, suasana malam di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor menjadi saksi persembahan sajak bertingkah dalam meraikan Hari Kemerdekaan 2025. Sajak bertajuk “Sawala Merdeka” telah dideklamasikan dengan gaya yang unik dan penuh semangat oleh tiga pelajar sekolah, iaitu Luq Mirza Asrizam, Sya Adriana Fazia Ahmad Faisal dan Anies Nur Ikhwanie Mohd Athhar di hadapan Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor yang juga merupakan Alumni Terkemuka Universiti Putra Malaysia, serta 121 orang tetamu yang menghadiri program MEKAR: Matrikulasi UPM-KIJ 98/99.
Berbeza daripada deklamasi sajak tradisional, ketiga-tiga pelajar tersebut membawakan sajak itu secara berselang-seli, seolah-olah perdebatan dalam satu dialog penuh semangat dan jiwa. Teknik persembahan ini memberikan dimensi baharu kepada sajak tersebut, menjadikannya lebih hidup dan menarik perhatian para penonton. Persembahan secara bergilir atau bertingkah ini memberikan pendedahan kepada kreativiti dan kebolehan komunikasi gabungan pelajar sekolah menengah dan rendah secara bersama-sama, menambahkan lagi keistimewaan acara itu.
Sajak yang dibaca secara bergilir-gilir ini menyerlahkan semangat patriotik dan kesedaran terhadap pengorbanan para pejuang kemerdekaan yang telah mengorbankan darah dan nyawa demi tanah air Malaysia yang tercinta. “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”, bersesuaian dengan sajak ini yang mengingatkan generasi muda untuk tidak melupakan sejarah dan terus menghargai tanah air yang menjadi warisan bersama.
Sajak “Sawala Merdeka” bukan sahaja mengangkat nilai-nilai kemerdekaan dan patriotisme, malah membuka ruang dialog antara generasi muda tentang erti kemerdekaan dan cabaran yang perlu diteruskan. Penyampaian yang berbeza-beza oleh adik Sya Adriana Fazia, pelajar tingkatan 3 daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang, Selangor, adik Anies Nur Ikhwanie pelajar tingkatan 3 daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar T6, Kluang Johor, dan adik Luq Mirza Asrizam pelajar tahun 5, Sekolah Kebangsaan Bandar Bukit Mahkota Bangi, Selangor telah menghasilkan suatu “sawala” atau perbincangan simbolik yang menghidupkan semangat pada malam merdeka.
Sya Adriana memulakan deklamasinya dengan seruan agar generasi muda tidak lalai dan leka, yang turut mengingatkan perbuatan “mencurah air di daun keladi” adalah sia-sia jika semangat mempertahankan kemerdekaan tidak dipupuk dengan teguh. Bait sajak Sya Adriana diakhiri dengan pertanyaan yang diajukan kepada generasi muda, “Adakah mereka telah melupai perjuangan perih getir dalam mencapai kemerdekaan?”
Pertanyaan sajak ini dibalas langsung dengan sajak sangkalan oleh Anies Nur Ikhwanie dan menguatkan semangat itu dengan menegaskan bahawa perjuangan mempertahankan agama dan negara ialah suatu kewajipan, sejajar dengan sikap berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, yang menekankan pentingnya perpaduan dan kerjasama dalam mempertahankan kemerdekaan.
Luq Mirza mendeklamasikan sajak celahan yang menutup dengan gambaran pendamaian sebagai akar budaya bangsa bagi membalas bait sajak pertelingkahan Sya Adriana dan Anies Nur Ikhwanie. Sajak Luq Mirza juga menekankan pentingnya perpaduan dan jalur gemilang tetap berkibar di seluruh dunia. Bahagian akhir sajak disulam dengan seruan mantera keramat, “MERDEKA!” yang dilaungkan secara bersatu oleh ketiga-tiga penyajak dan disambut oleh hadirin, mencipta suasana penuh bersemangat dan cinta akan tanah air menggambarkan sikap bersatu teguh, bercerai roboh. Semangat berpasukan yang ditunjukkan dalam persembahan ini menjadi lambang perpaduan rakyat Malaysia.
Gaya persembahan sajak bertingkah dan sajak “Sawala Merdeka” telah dirancang dan ditulis oleh Inv. Asrizam Esam, Pegawai Penyelidik, Putra Science Park Universiti Putra Malaysia, bapa kepada Luq Mirza yang juga merupakan pengerusi Jawatankuasa program MEKAR : Matrikulasi UPM-KIJ 98/99.
Persembahan ini menjadi titik tumpuan semarak merdeka dalam program “Menggamit Seribu Kenangan: Alumni Reunion (MEKAR) 2025”. iaitu perhimpunan khas 25 keluarga alumni Matrikulasi Universiti Putra Malaysia di Kolej Islam Yayasan Pelajaran Johor (KIJ) pada tahun 1998/1999. Momen ini dimeriahkan dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor, serta isteri Yang Amat Berbahagia Datin Seri Masdiana Muhamad bersama-sama ahli keluarganya yang turut merasai kehangatan persembahan dan semangat kemerdekaan yang disampaikan secara langsung oleh generasi muda.
Program MEKAR yang mendapat dokongan sepenuhnya daripada Pusat Perhubungan Alumni, Universiti Putra Malaysia ini bukan sekadar perhimpunan biasa, malah menjadi platform untuk mempererat silaturahim dan mengenang jasa serta pengorbanan yang membentuk sejarah kemerdekaan negara. Persembahan sajak “Sawala Merdeka” menjadi tanda tanya sejarah yang menarik, menyuntik inspirasi serta menjadi lambang perpaduan generasi muda dalam memartabatkan warisan tanah air.
Dengan kreativiti dan keberanian melahirkan persembahan yang berbeza, Sya Adriana Fazia, Anies Nur Ikhwanie dan Luq Mirza Asrizam membuktikan bahawa deklamasi sajak boleh menjadi wadah yang dinamik, malah mampu menyuarakan mesej melalui cara yang santai namun penuh berkesan.
Kaedah mendeklamasikan sajak secara bertingkah dan berselang-seli ini merupakan suatu kaedah yang berkesan jika dibandingkan dengan kaedah deklamasi biasa yang biasanya melibatkan pembacaan sajak oleh seorang penyajak secara bersendirian. Pendekatan ini memberikan beberapa manfaat penting, terutamanya kepada penyajak pemula.
Pertama, kaedah ini dapat mengurangkan tekanan individu seperti mana Luq Mirza berumur 11 tahun dan baru pertama kali mendeklamasikan sajak di hadapan khalayak ramai. Dengan pembahagian peranan dalam kumpulan kecil, beban penyampaian dapat dikongsi bersama Sya Adriana dan Anies Nur Ikhwanie yang lebih berpengalaman. Hal ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan diri setiap individu yang terlibat kerana mereka tidak perlu menanggung semua tekanan berseorangan.
Selain itu, kaedah mendeklamasikan sajak secara bertingkah ini menggalakkan interaksi dan komunikasi yang aktif antara para peserta. Melalui dialog yang berselang-seli, pembacaan menjadi lebih hidup dan berkesan dalam menyampaikan mesej sajak walaupun menggunakan rangkap yang pendek. Gaya ini menambah nilai dramatik dan menarik perhatian penonton dengan cara yang lebih berkesan berbanding pembacaan yang linear dan senada. Sya Adriana mendeklamasi sajak dalam nada sayu, Anies Nur Ikhwanie membawakan sajak dalam nada bersemangat manakala Luq Mirza menyampaikan sajak dengan santai dan senada dalam tegas.
Mohd Athhar Md Daiam, guru Sekolah Kebangsaan Bandar T6, yang juga bapa kepada Anies Nur Ikhwanie terdiam seketika sewaktu sajak dilaungkan kerana persembahan dirancang tanpa sebarang persiapan rapi namun anak-anak ini dengan latar belakang dan usia dari negeri berbeza, telah dapat mendeklamasikan sajak dengan penuh penghayatan.
Zurita Ismail, Pengawai Penyelidik Institut Penyelidikan Matematik, Universiti Putra Malaysia yang juga ibu kepada Sya Adriana pula terharu dengan keberanian dan kesukarelaan anak-anak untuk mendeklamasikan sajak bersama walaupun tanpa persediaan awal dan bersua muka bersama penyajak yang lain. Mereka hanya bertemu pada hari persembahan namun keserasian yang ditunjukkan begitu mempesonakan penonton dan memberikan persembahan yang terbaik untuk semua.
Semangat kerjasama dan saling memerlukan antara satu sama lain dapat diterapkan dan diadaptasikan dalam konteks pendeklamasian sajak seperti ini. Irama dan nada daripada pendeklamasi yang berbeza membangkitkan keunikan dan genre yang mampu membangkitkan semangat pendengar.
Gabungan pelajar sekolah menengah dan rendah dalam pembacaan sajak secara bertukar-tukar gaya dan suara ini meninggalkan kesan unik dan memberikan nafas baharu kepada deklamasi sajak tradisional. Yang jelas, kaedah ini menjadikan deklamasi sajak lebih relevan dan menarik untuk generasi muda, yang akhirnya berbuah manis apabila mesej kemerdekaan sampai ke hati pendengar.
Kaedah ini juga memupuk kerjasama dan perpaduan dalam kalangan peserta. Penglibatan bersama bukan hanya terhad pada pembacaan, tetapi meliputi juga persiapan dan perancangan persembahan, bermula daripada melangkahkan kaki di bibir pentas. Proses ini dapat mengasah kemampuan berkumpulan serta membantu peserta memahami peranan masing-masing dalam menyampaikan mesej secara kolektif.
Dari segi penonton pula, persembahan yang dinamik dan berbentuk dialog lebih mudah menarik minat mereka, terutama bagi yang jarang-jarang mendengar persembahan sajak. Kaedah ini berjaya mengelakkan kebosanan yang kadang-kadang dialami apabila menyaksikan persembahan deklamasi sajak tradisional yang bersifat tunggal dan statik.
Akhir sekali, kaedah sajak bertingkah memudahkan pemahaman terhadap kandungan sajak. Dengan pelbagai suara dan gaya yang disampaikan secara bergilir, mesej dan makna sajak menjadi lebih jelas dan mendalam, terutamanya bagi sajak yang memberikan penekanan kepada dialog atau konflik dalaman.
Penggunaan kaedah deklamasi sajak bertingkah ini sangat sesuai dijadikan asas latihan, khususnya bagi golongan pelajar, apatah lagi ketika membuat persembahan pada majlis utama. Kaedah ini bukan sahaja menggabungkan elemen seni komunikasi dan persembahan secara bergilir, malah diyakini sangat berkesan dalam melatih kemahiran berbahasa dan meningkatkan keyakinan diri peserta.