Dalam dunia kesusasteraan di Malaysia, Sasterawan Negara Shahnon Ahmad banyak menggunakan sastera sebagai pendekatan untuk mencitrakan sosioekonomi, sosiobudaya dan kehidupan masyarakat desa. Seiring dengan perkembangan kesusasteraan, beliau telah membawa satu gagasan atau pemikiran baharu, iaitu sastera sebagai seismograf kehidupan. Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, seismograf dapat ditakrifkan sebagai alat untuk merakam dan mengukur kekuatan gempa bumi. Namun begitu, yang membezakannya dalam konteks ini, sastera sebagai kayu ukur untuk menganalisis kehidupan manusia dan masyarakat di sekelilingnya. Seismograf berperanan mengukur tinggi rendah tahap gempa bumi yang berlaku, manakala sastera memainkan peranan penting untuk merekodkan segala kesukaran, keperitan dan permasalahan dalam kehidupan manusia dan diterjemahkan dalam bentuk penulisan kreatif.
Sebelum ini, Sasterawan Negara Allahyarham Shahnon Ahmad pernah menulis sebuah esei yang berjudul “Seni Sastera sebagai Seismograf Kehidupan”, dan tersiar dalam Mingguan Malaysia pada tahun 1972 (Shahnon Ahmad, 1993:3-12). Menelusuri esei ini, Shahnon Ahmad telah memberikan satu fenomena baharu kepada dunia sastera tanah air, bahkan pemikirannya ini bukan sahaja berperanan dalam mencatat kehidupan semata-mata, malah menganalisis perihal kehidupan masyarakat yang berlaku di sekeliling kita.
Oleh yang demikian, dalam makalah ini, penulis akan merungkai peranan sastera dalam pembangunan masyarakat berdasarkan pemikiran “sastera sebagai seismograf kehidupan” menerusi beberapa karya Allahyarham Shahnon Ahmad dan Allahyarham Azizi Haji Abdullah. Kedua-dua pengarang besar dari negeri Kedah ini acap kali memberikan gambaran yang menarik berkaitan kehidupan masyarakat, sama ada dari sudut kemiskinan dan keperitan mereka dalam menjalani kehidupan. Perkara ini secara tidak langsung dapat membuka mata dan minda masyarakat pembaca agar terus cakna dengan kehidupan penduduk di desa.
MERAKAMKAN PERI KEHIDUPAN
Menyebut perihal kehidupan, Shahnon Ahmad dalam eseinya, “Seni Sastera sebagai Seismograf Kehidupan” telah menampilkan kehidupan masyarakat tani melalui karyanya berjudul Ranjau Sepanjang Jalan. Setiap keperitan dan kesusahan yang dialami oleh masyarakat Sik dalam novel ini memberikan gambaran yang jelas kepada rakaman kehidupan Shahnon Ahmad sendiri sebagai individu yang hidup dalam keluarga petani. Beliau telah menggarap gambaran jurang kehidupan kaum tani yang bermati-matian untuk mengerjakan sawah, serta memperoleh rezeki.
Dalam konteks yang sama, apabila kita membincangkan karya Ayahanda oleh Azizi Haji Abdullah, pengarang telah menyifatkan novel Ayahanda ini sebagai perakam kepada kehidupan dan tingkah laku bapanya (Azizi Haji Abdullah, 2020:134). Pengarang telah menukilkan penceritaan dalam novel ini berkaitan sifat ataupun ciri yang ditonjolkan oleh bapanya, di samping ragam ibunya sendiri. Secara tidak langsung, karya ini telah memberikan kesan yang positif kepada masyarakat, khususnya untuk memahami perasaan ego bapanya. Oleh sebab itu, sastera sememangnya berperanan dalam membangunkan masyarakat, terutamanya melalui rakaman tentang pengalaman dan juga peri kehidupan seseorang pengarang.
MENGGARAP ISU PENDIDIKAN
Melihat kepada pemikiran sastera sebagai seismograf kehidupan, Shahnon Ahmad sememangnya menitikberatkan isu pendidikan. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat petani ataupun desa dikatakan ramai yang buta huruf dan tidak tahu membaca, tatkala perihal ini sudah tentu merencatkan pembangunan masyarakat di kawasan tersebut.
Menelusuri kehidupan masyarakat desa, kebanyakan daripada mereka memandang ringan akan isu pendidikan. Perihal ini berlaku kerana desakan yang menyelimuti hayat mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup seharian yang lebih bertumpu kepada kegiatan pertanian dan mencari hasil-hasil hutan untuk menyara diri dan keluarga. Keutamaan lebih kepada desakan untuk mengisi perut keluarga dalam kehidupan yang serba-serbi kekurangan secara tidak langsung berlakunya pengabaian terhadap pendidikan. Walau bagaimanapun, terdapat juga daripada golongan mereka ini yang telah pun berjaya memperoleh pendidikan yang tinggi, lantas mengharumkan nama masyarakat di desa.
Dalam konteks ini, novel Beruk (2010) karya Azizi Haji Abdullah membincangkan aspek pendidikan menerusi sebuah keluarga di desa yang hidup dalam serba kekurangan. Watak utama, iaitu seorang budak lelaki yang bernama Alias dikatakan mempunyai seekor beruk bernama Pon yang bekerja sebagai pemetik buah kelapa di kampung. Meskipun Alias acap kali tidak hadir ke sekolah demi menyara kehidupan keluarganya yang susah, namun Alias merupakan seorang pelajar yang pintar. Perihal ini menampakkan pengarang cuba menyisipkan elemen pendidikan dalam masyarakat desa.
MENGETENGAHKAN ESTETIKA DALAM BAHASA
Menelusuri esei “Seni Sastera sebagai Seismograf Kehidupan”, Shahnon Ahmad sendiri menyatakan bahawa corak bahasa yang digunakan dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ialah gaya hiperbola. Melalui perihal ini, Shahnon Ahmad sengaja menyisipkan unsur hiperbola ini ke dalam karyanya agar menampakkan gambaran yang lebih tragis kepada khalayak pembaca. Gambaran yang digarap menerusi novel Ranjau Sepanjang Jalan sudah tentu memberikan imej penderitaan dan keperitan hidup yang berlaku dalam keluarga Lahuma. Oleh sebab itu, penggunaan gaya bahasa yang rencam ini sedikit sebanyak dapat memberikan impak kepada masyarakat agar mengetahui betapa peritnya menjadi masyarakat petani.
Pada masa yang sama, kemunculan pengarang yang bernama Azizi Haji Abdullah juga turut peka dalam pemilihan diksi dalam karyanya. Pengarang telah menonjolkan betapa dahsyatnya malapetaka yang berlaku dalam novel yang berjudul Ayahanda (2016). Azizi bukan sahaja menampilkan sikap kedegilan seorang bapa yang ingin menyelamatkan anaknya, malah gaya bahasa yang digunakan dalam peristiwa ini sememangnya dapat menyentuh perasaan masyarakat pembaca. Hal ini dapat diperhatikan sebagaimana pada petikan berikut:
Kali ini bapa degil. Dia mendongak dan menyeka air hujan yang bertimpa-timpa di muka. Dipegangnya dayung lalu menujal melawan alun, melawan ombak, melawan angin. Ya Allah, tenaga tua yang masih ada itu aku lihat seperti hendak menyelamatkan aku, anaknya. (Azizi Haji Abdullah, 2016:303)
MENGKRITIK KEHIDUPAN MASYARAKAT
Apabila pengkaji meneliti esei “Seni Sastera Sebagai Seismograf Kehidupan”, Shahnon Ahmad turut menekankan elemen kritikan kepada masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat pada hari ini sudah semestinya mempunyai hubungan yang erat dengan kaum tani, meskipun kita tidak dilahirkan dalam keluarga petani. Hal ini dikatakan demikian kerana nasi sememangnya telah menjadi makanan ruji dalam kehidupan kita. Perkara ini dapat diperhatikan menerusi petikan berikut:
Bukankah kita setiap hari menikmati hasil titik peluh kaum tani? Dua tiga kali sehari kita makan nasi hasil kepayahan dan jerih perih kaum tani. (Shahnon Ahmad, 1993:5-6)
Di samping itu, kritikan dalam karya sastera mampu membuka minda masyarakat supaya berwaspada dengan kemudahan teknologi yang ada di sekeliling kita. Misalnya dalam novel TIVI (1995) karya Shahnon Ahmad, beliau secara keras mengkritik masyarakat yang taksub akan kewujudan televisyen di dalam rumah. Melalui novel ini, Shahnon Ahmad dapat melontarkan pengajaran kepada khalayak pembaca, terutamanya ketika babak kematian keluarga Chah yang dipanah petir. Hal ini memberikan pengajaran kepada masyarakat supaya takut akan azab Allah SWT sekiranya hidup ini diselubungi dosa dan maksiat.
PERJUANGAN DALAM KEHIDUPAN
Merungkai pemikiran yang dibawa oleh Shahnon Ahmad, perkara ini sememangnya meliputi soal perjuangan. Shahnon Ahmad telah memberikan gambaran perjuangan terhadap watak Lahuma menerusi novel Ranjau Sepanjang Jalan. Penderitaan yang dialami oleh watak Lahuma tidaklah memadamkan istilah perjuangan dalam hidupnya, malah penderitaan tersebut memberikan suntikan kepada jasad dan rohnya untuk terus berjuang dalam menghadapi liku-liku kehidupan yang dialami sebagai kaum tani.
Elemen perjuangan ini juga diterapkan oleh Shahnon Ahmad menerusi novelnya yang lain, iaitu berjudul Srengenge (2016). Srengenge merupakan sebuah bukit yang terletak di suatu perkampungan masyarakat petani. Walau bagaimanapun, terdapat satu watak yang bernama Awang Cik Teh sememangnya berhasrat untuk meratakan Bukit Srengenge kerana mahu dijadikan kawasan penanaman padi huma. Awang Cik Teh terpaksa berjuang dengan anak-anak kampung Bukit Srengenge yang acap kali menghabiskan masa mereka di atas bukit seperti meracik burung, menepuk pelanduk, menjerat landak dan sebagainya. Meskipun perjuangan Awang Cik Teh ini pada mulanya mendapat tentangan masyarakat kampung, namun perihal ini tidak langsung melunturkan perjuangan Awang Cik Teh untuk memugar tanah Bukit Srengenge. Oleh itu, perjuangan sebeginilah yang perlu ada dalam masyarakat demi menentang penderitaan hidup.
PERCAYA KEPADA UJIAN DAN TAKDIR TUHAN
Shahnon Ahmad turut menjelaskan kepada kita bahawa kehidupan masyarakat tani sudah semestinya dirundung oleh ujian dan takdir daripada Allah SWT. Walaupun masyarakat tani dikatakan telah berusaha sedaya upaya dalam mengerjakan sawah, namun pelbagai rintangan yang diturunkan oleh Allah SWT. Melalui esei ini juga, Shahnon Ahmad menjalinkan elemen ini menerusi novel Ranjau Sepanjang Jalan, lalu menceritakan detik kehidupan yang berlaku terhadap watak Jeha sekeluarga setelah kematian suaminya, Lahuma.
Contoh lain yang dapat ditampilkan menerusi karya sastera berkenaan ujian dan takdir daripada Tuhan ini ialah melalui novel Beruk karya Azizi Haji Abdullah. Novel ini menceritakan perihal seorang budak lelaki yang bernama Alias yang diselimuti dengan ujian dan penderitaan dalam kehidupan. Pada masa yang sama, Alias dikatakan telah ditampar oleh gurunya, Cikgu Sunan disebabkan sibuk mencari beruknya, Pon yang hilang. Beruk inilah dimanfaatkan oleh Alias untuk menyara kehidupan keluarganya.
Pada pengakhiran novel ini, Alias bertindak membunuh Pon kerana menggigit tangan Cikgu Sunan yang datang melawat ke rumahnya. Cikgu Sunan segera memohon maaf atas kekhilafan yang dilakukannya, malah berjanji akan menyara kehidupan Alias sehingga ke universiti. Oleh itu, setiap masyakarat seharusnya percaya terhadap takdir yang ditetapkan oleh Allah SWT untuk menyuntik nilai yang positif dalam kehidupan kita seharian.
Tuntasnya, aspek-aspek yang terkandung dalam konsep sastera sebagai seismograf kehidupan sewajarnya diterapkan ke dalam karya masyarakat kini. Selaku pencinta sastera, kita sewajarnya menekankan fungsi sastera yang sebenar, khususnya kepada masyarakat. Pembentukan bagi sesebuah masyarakat sememangnya akan lebih bertamadun sekiranya mereka menerima acuan yang baik daripada karya-karya yang dihasilkan berimpak dan bermutu tinggi.
RUJUKAN
Azizi Haji Abdullah, 2016. Ayahanda. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Azizi Haji Abdullah, 2010). Beruk. Kuala Lumpur: Al-Ameen Serve Holdings.
Azizi Haji Abdullah, 2020. Kuras-Kuras Kreatif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shahnon Ahmad (ed.) (2001). Sastera Sebagai Seismograf Kehidupan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shahnon Ahmad,2016). Srengenge. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Shahnon Ahmad,1995. TIVI. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.