Skip to content
Senja Memeluk Matahari: Cerminan Sosial dan Nurani Rakyat dalam Puisi Joe K.A.S.
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Sastera > Senja Memeluk Matahari: Cerminan Sosial dan Nurani Rakyat dalam Puisi Joe K.A.S.
Senja Memeluk Matahari: Cerminan Sosial dan Nurani Rakyat dalam Puisi Joe K.A.S.
Bicara Sastera

Senja Memeluk Matahari: Cerminan Sosial dan Nurani Rakyat dalam Puisi Joe K.A.S.

  • [email protected]
  • 20 November 2025
  • DBP Wilayah Utara
  • 114
  • 5

Puisi bukan sekadar permainan bahasa yang indah, tetapi medan untuk menelusuri denyut nadi masyarakat. Dalam Kumpulan Sajak Senja Memeluk Matahari  terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun  2024, penyair Joe K.A.S. memperlihatkan bagaimana puisi masih menjadi wadah untuk menyuarakan keresahan rakyat, mengungkapkan pergolakan sosial, dan menyeru kepada kesedaran kemanusiaan. Dengan gaya bahasa yang ringkas namun tajam, Joe K.A.S. menggabungkan estetika dan tanggungjawab sosial dengan penuh berhemah. Hampir setiap puisinya, penyair menyulam unsur perjuangan, protes, dan keinsafan yang menjadikan karya ini bukan sekadar hiburan estetik, tetapi juga suara zaman yang menegur dan menyedarkan masyarakat. 

                  Isu sosial dan politik menjadi nadi kepada kumpulan sajak ini. Melalui sajak “Takar Inflasi”, penyair menyindir keadaan ekonomi yang menekan kehidupan rakyat kecil. Hal ini dapat dilihat menerusi bait puisi yang berikut:

                      Enak tegukan pemimpin 

                      pahit di tekak marhaen 

                      perisa nikmat dan derita 

                      untuk hidangan ekonomi 

                      dalam takar inflasi.

               Bait ini memperlihatkan paradoks antara kemewahan pemerintah dan penderitaan rakyat. Joe K.A.S. menggunakan bahasa yang lembut tetapi sinis untuk menegur sistem yang pincang, iaitu betapa rakyat menjadi mangsa dalam percaturan ekonomi.  Seterusnya, menerusi “Lidah Marhaen”, penyair melanjutkan kritikan itu dengan imej lidah yang dikerat:

                    Lidah marhaen dikerat 

                   dengan belati kapitalis 

                   menyepi simpati dan akal budi 

                  hilang segala deria rasa 

                  suara terbungkam bisu.

            Puisi ini menggambarkan bagaimana suara rakyat dipadamkan oleh kuasa modal, dan marhaen dibiarkan tanpa ruang untuk berbicara. Kedua-dua sajak ini bukan sekadar luahan emosi, tetapi sebuah dokumen kemarahan kolektif terhadap ketidakadilan sosial. Meskipun begitu, Joe K.A.S. tidak hanya menulis tentang penderitaan; beliau juga menulis tentang kebangkitan dan harapan. Misalnya melalui sajak “Hujan Demokrasi”, penyair merakamkan perubahan besar dalam politik Malaysia dengan nada yang optimistik dan penuh metafora alam:

               Inilah wajah Malaysia baharu

               tumbuh dari ranapan tsunami rakyat

               selepas hujan demokrasi melewati

              di setiap penjuru tanah airku.

             Puisi ini seperti catatan sejarah yang dirakam dalam bentuk estetik. “Hujan” di sini menjadi lambang penyucian dan kelahiran semula, yakni bahawa dari kehancuran lama, muncul wajah baharu yang diharap lebih adil dan sejahtera. Suara rakyat diangkat sebagai kuasa perubahan, manakala penyair bertindak sebagai saksi zaman yang menulis dengan hati seorang pengamat. Nilai-nilai kemanusiaan turut menonjol dalam karya ini. Dalam sajak “Lidi”, penyair menggunakan simbol lidi sebagai lambang perpaduan. Beliau menulis,

               Lidi-lidi perpaduan berselerak 

              bilah ideologi menikam halaman prinsip 

              … kembali cantumkan lidi-lidi kasih sayang 

              menyapu seluruh sampah perseteruan.

                  Lidi yang kecil dan rapuh hanya menjadi kuat apabila digabungkan menjadi sebuah metafora tentang pentingnya kesatuan dalam menghadapi cabaran bangsa. Dalam “Grafiti Anak Jalanan”, penulis menegur pengkhianatan terhadap perjuangan asal:

                Dia anak jalanan berubah wajah 

               dan wadah perjuangan 

              setelah memiliki kenikmatan 

              grafiti setia kawan pun padam 

              di tangan kekuasaan.

                    Di sini, Joe K.A.S. mengingatkan bahawa kuasa mampu menukar pejuang menjadi penguasa yang lupa asal usul. Sementara itu, sajak “Songkok dan Selipar” menampilkan nada keinsafan yang lembut tetapi bermakna:

              Meski berlainan tempat 

             dan berbeza darjat 

             keduanya membuahkan berkat 

             selagi jujur melunasi amanat.

Nilai kejujuran dan amanah dijadikan asas moral kepada kesejahteraan masyarakat, iaitu satu ajaran yang sederhana tetapi mendalam.

           Dari segi bahasa, puisi-puisi Joe K.A.S. menampilkan gaya yang padat dan simbolik. Beliau jarang menggunakan ayat panjang;  sebaliknya, setiap bait diolah seperti tombak yang menikam terus ke inti makna. Sajak “Dinding Dongengan”, misalnya, beliau menulis:

                Alkisah dalam satu daerah 

               seluruh warga pekak dan bisu 

               namun mendukung bahagia 

               cuma hidup kian runcing 

               didesak inflasi.

             Bahasa dongeng digunakan untuk mengabstrakkan realiti politik menjadi seolah-olah kisah rekaan, tetapi sarat dengan maksud tersirat. Apabila tiba di penghujung puisi, penyair mendedahkan hakikatnya:

              “Rupanya selama ini 

                sang penguasa pekak, bisu dan buta.

            Di sinilah kekuatan estetika Joe K.A.S.,menyampaikan sindiran tajam dalam gaya yang lunak. Begitu juga dalam “Bahtera Bahasaku”, beliau mengangkat bahasa Melayu sebagai lambang maruah bangsa dengan imej laut dan layar:

                 Di tengah saujana lautan 

                 kau mengemudi gelombang 

                pusaran ombak globalisasi 

                dan mengharungi alun teknologi.

Bahasa dijelmakan sebagai bahtera yang mesti terus berlayar menentang badai globalisasi, agar tidak karam dalam arus modeniti.

                       Tema dan gaya sedemikian menjadikan puisi Joe K.A.S. sangat relevan dengan realiti semasa. Menerusi sajak “Kabinet”, beliau menulis dengan nada sindiran politik yang segar:

               “Dek kerana pemilik bebas mengubah 

                susunan kabinet idaman 

               … pabila kabinet siap ditukang 

               mangkuk tetap di atas! dijulang!

                  Dalam bait yang kelihatan bersahaja ini tersembunyi kritik terhadap sistem politik yang berpusing dalam lingkaran kuasa dan kepentingan peribadi. Sajak “Merpati” pula membawa dimensi global, menggambarkan impian keamanan sejagat:

                  Fajar dinanti menyingsing 

                  bagai sinar syurga memercik warna 

                  bebas dari sangkar seksa.

              Keamanan sejagat yang diharapkan oleh masyarakat global tetapi diakhiri dengan tragedi yang memilukan,  Simbol merpati yang mati ini mengingatkan kita bahawa keamanan sering hanya menjadi retorik, sementara dunia terus berlumuran dengan peperangan dan kezaliman. Puisi-puisi sebegini menandakan peranan penyair sebagai saksi zaman, bukan hanya terhadap tanah airnya, tetapi juga terhadap dunia kemanusiaan sejagat. Hal ini dapat ditemui dalam bait yang berikut:

                Namun esoknya dia ditemui mati 

                dengan tragis tanpa siapa peduli.

                  Walau banyak menyentuh isu berat, Senja Memeluk Matahari tidak pernah meninggalkan keindahan bahasa dan kelembutan renungan.  Sajak “Ranjang Hayat”, misalnya, penyair menulis dengan nada introspektif:

                Terlena di ranjang hayat 

                gelap memeluk akal 

               pintu kebenaran terselak 

              lalu ketakutan menjadi tuan 

              maka kitalah hamba.

            Puisi ini bersifat falsafah dan spiritual, mengajak pembaca merenungi kelemahan diri dan keberanian untuk mencari kebenaran. Di sinilah letaknya daya tarikan Kumpulan Sajak Senja Memeluk Matahari. Penulis menggabungkan renungan sosial dan moral tanpa kehilangan sentuhan estetik. 

                Karya ini penting bukan sahaja kerana nilai sasteranya, tetapi kerana fungsinya sebagai jambatan antara puisi dan masyarakat. Dengan bahasa yang mudah difahami, puisi-puisi Joe K.A.S. boleh menarik minat pembaca muda untuk mendekati dunia kesusasteraan. Ia seiring dengan aspirasi Dekad Membaca Kebangsaan 2025, yang menekankan pembacaan sebagai asas pembinaan intelektual dan jati diri bangsa. Puisi-puisi ini membuktikan bahawa membaca sastera bukan sekadar menikmati keindahan kata, tetapi juga mendalami makna hidup, memahami perjuangan manusia, dan menumbuhkan empati terhadap sesama.

                 Akhirnya, Senja Memeluk Matahari menjadi metafora besar kepada perjalanan bangsa dan jiwa manusia, senja yang melambangkan keletihan, dan matahari yang menjadi simbol harapan. Dalam salah satu bait terindahnya, Joe K.A.S. menulis,

                    kembali cantumkan lidi-lidi kasih sayang 

                    menyapu seluruh sampah perseteruan.

Inilah inti keindahan dan kebenaran dalam puisinya, bahawa dalam dunia yang penuh sengketa, penyair masih percaya pada kasih sayang, kebenaran, dan cahaya kemanusiaan yang tidak pernah padam. Senja Memeluk Matahari bukan sekadar kumpulan sajak; ia adalah pelukan seorang penyair kepada bangsanya yakni, hangat, jujur, dan menyinari jiwa dalam cahaya senja yang masih berani mencari matahari.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Selamat Malam Cinta Pertama
Puisi

Selamat Malam Cinta Pertama

  • 6 Mac 2024
  • 228
  • 4.7
هنداي ترڤيليه
Puisi Moden

هنداي ترڤيليه

  • 20 Jun 2025
  • 4.5
Kempeitai: Di Manakah Moralnya?
Bicara Sastera

Kempeitai: Di Manakah Moralnya?

  • 20 Jun 2023
  • 521
  • 3.9
Dialek Kedah Mesra dan Memikat
Bicara Bahasa

Dialek Kedah Mesra dan Memikat

  • 19 Mac 2024
  • 1515
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP