Keperluan terhadap bahan-bahan sastera bertulis yang bersifat eceran dan santai tetapi masih mengandungi mesej dan nilai yang kuat pada masa ini amatlah kritikal. Hal ini disebabkan kesuntukan masa dan kesibukan dengan urusan harian menjadikan masyarakat kurang mengapresiasi genre-genre sastera yang berat seperti novel, cerpen, drama dan sebagainya. Justeru karya-karya ringan yang pendek, lucu dan menghiburkan menjadi bahan pilihan kebanyakan masyarakat pembaca. Dalam hal ini genre anekdot merupakan alternatif yang signifikan dengan keperluan tersebut.
Secara umum, karya anekdot dirujuk sebagai ‘kisah ringkas’ yang kebiasaannya berbentuk lucu atau komedi tentang sesuatu kejadian atau peristiwa sebenar (Kamus Dewan Edisi Keempat, DBP, 2017). Bagaimanapun, terdapat juga tafsiran yang mendefinisikan anekdot sebagai cerita pendek yang tidak sampai ke tahap cerpen daripada aspek kepanjangan dan bilangan persoalan yang diangkat penulis. Biasanya anekdot hanya menjurus cerita yang panjang maksimumnya tidak sampai tujuh halaman.
Apa yang jelas, kebanyakan penganalisis dan pengkritik anekdot lebih membataskan konseptualnya sebagai cerita singkat yang menarik, lucu, mengesankan dan isinya berupa kritikan atau sindiran yang berkepanjangan antara 100 hingga 500 patah perkataan. Justeru, perbezaan antara novel, cerpen, dan anekdot adalah seperti yang dianalogikan sebagai pokok yang berikut:
Novel merujuk kepada keseluruhan pokok dan kandungannya, sementara cerpen menjurus kepada salah satu dahan pokok dan kandungannya. Manakala, anekdot terarah kepada salah satu ranting pokok dan isinya. Tegasnya, perspektif perbezaan novel, cerpen, dan anekdot melibatkan keluasan skop struktural tema, persoalan, latar, watak dan perwatakan, plot, mesej, di samping aspek teknikal dan bentuknya yang menunjangi pembinaannya.
Secara fizikal dan maknawinya, anekdot mempunyai ciri-ciri umum seperti yang berikut:
- Berbentuk humor atau komedi atau lelucon daripada kisah-kisah atau perbualan lucu sama yang sebenarnya atau rekayasa si pencerita.
- Menggeletek hati dan perasaan pembaca sehingga membawa rasa terhibur, terdidik dan terkesan apabila membaca atau mendengarnya.
- Menyindir atau kritikan sosial terhadap perlakuan manusia atau situasi alam yang biasanya bercanggah dengan norma, nilai dan kebiasaan yang dipercayai.
- Kritikan sosial kandungannya tidak terbatas kepada aspek kemanusiaan
dan kemasyarakatan tetapi juga terhadap isu alam, agama dan kepercayaan, cinta, patriotisme dan kenegaraan, tetapi juga kepada persoalan diri atau personaliti tertentu. - Mempunyai tujuan tertentu, iaitu kritikan halus untuk gesaan introspeksi isu atau persoalan yang harus difikirkan dan diibrahkan secara bersama.
- Kandungan cerita yang diberikan boleh melibatkan cerita realiti atau sebenar atau dongengan komedi semata.
- Fokus kandungan ceritanya terkait langsung dengan kehidupan manusia walaupun fisiknya menceritakan tentang binatang atau alam luar manusia.
Secara umum struktur sosok teks karya anekdot terbahagi kepada lima bahagian, iaitu abstrak, orientasi, krisis, reaksi dan kod.
Abstrak merujuk kepada pendahuluan atau perenggan awal yang berfungsi untuk memberikan gambaran awal tentang isi teks atau isu yang akan diketengahkan. Kebiasaannya bahagian ini memperihalkan peristiwa atau keadaan unik yang membawa kepada isu.
Orientasi pula merujuk kepada kejadian awal atau latar belakang tentang bagaimana peristiwa komedi terjadi. Penulis selalunya menulis dengan panjang dalam bahagian ini walaupun tidak wajib.
Bahagian krisis memperlihatkan tentang peristiwa bermasalah atau hal unik yang tidak menjadi kebiasaan atau perkara pelik yang berlaku kepada watak atau keadaan yang diceritakan.
Seterusnya reaksi ialah bahagian yang menunjukkan perihal tentang cara watak atau keadaan bertindak balas terhadap kejadian atau keadaan pelik yang telah berlaku.
Kod pula menceritakan tentang kesimpulan atau bahagian akhir selepas reaksi watak atau keadaan berlaku. Dalam bahagian akhir ini, penulis sebaiknya menyatakan kritikan sosial atau mesej kejadian yang berlaku. Biarkan sahaja pembaca mentafsir atau melihat perspektif kritikan sosial tersebut daripada sudut pandang masing-masing. Ini bertujuan supaya kritikan sosial daripada sesuatu kejadian komedi itu dapat diperluas mengikut kebijaksanaan atau kecenderungan pemikiran pembaca.
Berikut ialah contoh cerita yang menjelaskan bagaimana sosok struktur teks karya anekdot dibina. Bagaimanapun, dalam penulisan karya anekdot bahagian-bahagian struktur ini tidak perlu ditulis.
Cara Keldai Membaca Buku
Sumber: Adaptasi daripada xnada (2016), https://brainly.co.id/tugas/6670649
Abstrak
Alkisah, Timur Lenk menghadiahi Nasrudin seekor keldai. Nasrudin menerimanya dengan senang hati. Bagaimanapun, Timur Lenk memberikan syarat supaya Nasarudin mengajar keldai itu membaca terlebih dahulu. “Dua minggu dari sekarang, awak datanglah kembali dan kita lihat apa yang akan terjadi”, tegas Timur Lenk.
Orientasi
Nasrudin berlalu pulang. Ketika menuntun keldai itu, dia memikirkan apa yang akan dia lakukan. Jika dapat mengajari keldai itu membaca, tentu dia akan menerima hadiah. Namun, jika gagal hukuman berat pasti akan ditimpakan kepadanya.
Krisis
Dua minggu kemudian Nasarudin kembali ke istana. Tanpa banyak bicara, Timur Lenk menunjuk ke sebuah buku besar agar dia segera mempraktikkan apa yang telah dia lakukan. Nasrudin lalu mengiringi keldainya menghadap ke arah buku tersebut dan membuka kulit buku. Si Keldai menatap buku itu. Dan ajaib!!! Tak lama kemudian Si Keledai mulai membuka-buka buku itu dengan lidahnya. Terus menerus, lembar demi lembar hingga ke halaman terakhir. Setelah itu, Si Keldai memandang tajam Nasrudin seolah-olah berkata dia telah membaca seluruh isi bukunya. “Demikianlah… Bagaimana keldaiku sudah membaca semua lembaran buku yang tuanku sediakan”. Kata Nasarudin dengan yakin.
Reaksi
Timur Lenk merasa ada yang tidak beres dan mulai menginterogasi, Bagaimana caramu mengajari dia membaca? Nasrudin berkisah, Sesampainya di rumah, aku siapkan lembaran-lembaran besar mirip buku dan aku sisipkan biji-biji gandum di dalamnya. Keldai itu harus belajar membalik-balik halaman untuk bisa makan biji-biji itu, kalau tidak ditemukan biji gandumnya dia harus membalik halaman berikutnya. Dan itu dia lakukan terus sampai dia terlatih membalik – balik halaman buku itu.
Kod
Tapi, bukankah dia tidak mengerti apa yang dibacanya? tukas Timur Lenk. Nasrudin menjawab, Memang demikianlah cara keledai membaca, hanya membalik-balik halaman tanpa mengerti isinya. Jadi kalau kita juga membuka – buka buku tanpa mengerti isinya, berarti kita sebodoh keldai, bukan?
Berikut pula merupakan contoh sebenar teks karya anekdot (adaptasi) yang tidak perlu menyatakan bahagian-bahagian strukturnya.
Grab di Tengah Malam
Sumber: Adaptasi daripada Ravaline A (2021), https://roboguru.ruangguru.com/forum/go-car-di-tengah-malam-di-saat-layla-ingin-pulang-ke-rumahnya_FRM-XWZ5N72K
Ketika Laila ingin pulang ke rumahnya pada pukul 12.00 malam itu, dia telah memesan teksi Grab melalui aplikasi dalam smartphonenya. Tidak lama kemudian sebuah teksi berwarna hitam berhenti di pinggir jalan tepat di depan Layla berdiri. Tanpa berlengah, Laila yang berbaju kurung putih dan berambut panjang mengurai pun masuk ke dalam teksi tersebut dan berkata “ke Dieng ya pakcik”. Pemandu teksi hanya mengangguk kegelisahan. Selama perjalanan pulang, suasana dalam teksi sangat hening dan sunyi tanpa ada perbualan sedikitpun antara pemandu teksi Grab dengan Laila. Mungkin karena Laila kepenatan bekerja hingga larut malam, maka dia menundukkan mukanya dan membiarkan rambut panjangnya mengurai dibuai aircond kereta. Keadaan sunyi, hening dan menyeramkan di dalam kereta itu berlaku selama setengah jam.
Ketika melalui kawasan perkuburan yang dikatakan keras, tiba-tiba Laila teringat wang yang ada di dalam dompetnya tidak cukup untuk membayar tambang. Laila pun langsung menepuk bahu sang pemandu online dengan maksud untuk mengambil wang di ATM mesin pada sebuah stesen petrol nanti.
Tapi entah mengapa sang pemandu langsung memulas steering teksinya ke kiri dan ke kanan tanpa kawalan sambil terus berteriak histeris ketakutan hingga menyebabkan Laila menjadi panik dan ikut berteriak kekejutan. Teksi Grab akhirnya melanggar sebuah pohon besar di pinggir jalan kawasan perkuburan tersebut. Untung saja kerana Laila dan sang pemandu hanya mengalami kecederaan ringan.
Sang pemandu memandang Laila yang mengerang kesakitan merasa bersalah lalu memohon maaf. “Maafkan saya puan. Maafkan saya puan. Puan ok kah? Ketika puan menepuk bahu saya tadi, saya jadi panik, terkejut, dan takut setengah mati puan!!!” Kata pemandu terketar-ketar kerisauan. “Apalah abang ni, baru ditepuk bahu panik tidak karuan”. Laila mencelah sambil memegang tangannya yang sakit. “Minta maaf banyak-banyak ya puan… Ini pertama kali saya menjadi pemandu teksi Grab online”, jelas pemandu bersungguh-sungguh.” Jadi, sebelum ini abang bekerja sebagai apa?” soal Laila ringkas. “Sebenarnya… selama 30 tahun saya telah jadi PEMANDU KERETA JENAZAH puan”. Balas pemandu dengan peasaan malu.
Dalam contoh pertama, penulis menitipkan kritikan tersebut melalui isi cerita. Manakala contoh kedua, penulis membiarkan pembaca menerka dan menanggapi perihal sindiran atau kritikan sosial berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sendiri sambil menikmati lelucon teks karya tersebut. Hal ini amat signifikan kerana laluan dan perjalanan kehidupan insan amat berbeza dan pelbagai selari dengan perubahan waktu dan latar yang membayanginya.
Sebagai teks sastera yang santai, pendek dan tidak memerlukan persoalan yang banyak, anekdot merupakan alternatif bacaan bermesej kritis yang amat sesuai diapresiasi ketika manusia tidak mempunyai ruang rehat yang banyak dan sentiasa dikelilingi kegalauan hal dunia yang rencam. Walaupun estetika dan nilai sasteranya agak sederhana, namun pembaca dapat menikmati dan melihat kepelbagaian isu keduniaan dan keakhiratan daripada perspektif yang mudah, ringan dan menghiburkan