Dalam arus pemodenan dan globalisasi tanpa sempadan, kita tidak dapat menafikan bahawa perubahan ini telah memberikan banyak kesan kepada kepada masyarakat dalam soal pembinaan jati diri bangsa. Malah, sejarah yang pernah berlaku suatu ketika dahulu seharusnya menjadi pengajaran kepada kita. Malangnya, sejarah ini semakin dilupakan, terutama oleh generasi muda.
Sejarah wajar diangkat dan dibugarkan kembali agar diketahui oleh generasi sekarang. Melalui pementasan teater “Sultan Mahmud Mangkat Dijulang” oleh Bahagian Pemasaran dan Pengurusan Harta dan Pejabat Ketua Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang di Holliday Villa Resort & Spa, Cherating pada 12 Oktober 2025 yang lalu, peristiwa sejarah klasik “Sultan Mahmud Mangkat Dijulang” berjaya dipentaskan melalui teater pendek yang menarik.
Pementasan ini dimulakan dengan babak Sultan Mahmud Syah II di dalam istana yang telah memanggil Megat Seri Rama ataupun Laksamana Bentan untuk menghadap sultan. Kesetiaan Megat Seri Rama dan jasa beliau dalam mempertahankan kedaulatan kerajaan Johor Lama telah menyebabkan beliau dinaikkan pangkat dengan gelaran Datuk Laksamana Megat Seri Rama. Namun demikian, perkara tersebut telah menimbulkan perasaan iri hati oleh Tun Bija Ali yang tidak bersetuju kerana Megat Seri Rama masih terlalu muda untuk menerima gelaran tersebut.

Akibat hasad Tun Bija Ali, beliau telah merancang bersama-sama lanun untuk memporak-perandakan keselamatan kerajaan tersebut. Megat Seri Rama telah diarahkan untuk menjaga keselamatan negeri dan beliau terpaksa meninggalkan isterinya, yang sedang sarat hamil bersendirian.

Babak diteruskan dengan adegan Dang Anum yang mengidam ingin makan buah nangka. Apabila terlihat penghulu bendahari membawa buah nangka untuk dipersembahkan kepada sultan, Dang Anum telah meminta sebutir buah nangka tersebut dan diberikan oleh penghulu bendahari. Namun, perkara tersebut telah diketahui oleh Sultan Mahmud Syah II yang kemudiannya murka terhadap Dang Anum. Akhirnya, Dang Anum dihukum bunuh dengan perutnya dibelah untuk membuktinya bahawa anak di dalam kandungannya yang mengidam ingin memakan buah nangka tersebut.

Adegan menyayat hati dipaparkan apabila Megat Seri Rama pulang ke rumah dan mencari isterinya. Namun, beliau telah diberitahu bahawa isteri dan anak di dalam kandungannya telah meninggal dunia akibat dibunuh oleh sultan yang murka.

Dalam babak terakhir, Megat Seri Rama telah berjumpa dengan Sultan Mahmud Syah II semasa sultan berada di atas tandu dan diusung untuk ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat. Dengan perasaan marah, Megat Seri Rama telah menikam Sultan Mahmud Syah II dengan kerisnya sendiri. Sultan Mahmud Syah II juga sempat membalingkan keris mengenai Megat Seri Rama yang akhirnya meninggal dunia. Disebabkan itulah terjadinya peristiwa “Sultan Mahmud Mangkat Dijulang”.

Penafian: Kronologi sejarah tersebut telah pun diringkaskan bagi tujuan pementasan teater pendek sahaja. Bagi mendapatkan maklumat sejarah yang lengkap, sahih dan tepat, bahan rujukan sebenar perlulah dirujuk dan diteliti.
