Telur pindang merupakan hidangan tradisional yang sangat popular di Johor terutamanya dalam majlis-majlis perkahwinan dan acara-acara keramaian. Telur pindang merupakan telur yang direbus dalam kadar yang lama dengan api yang perlahan dan dicampurkan dengan rempah dan daun herba tertentu sehingga kulit telurnya berwarna gelap dan isi telurnya menjadi lebih beraroma dan padat. Di Indonesia, telur pindang merupakan makanan khas dari Yogyakarta dan Jawa Tengah. Manakala, di Malaysia telur pindang sering kelihatan di negeri Johor dalam hidangan tradisional seperti nasi kenduri atau nasi ambeng. Walaupun ramuan asas mungkin serupa, namun setiap wilayah mungkin memiliki sedikit variasi dalam penggunaan rempah atau herba tertentu. Hidangan ini tidak hanya unik dari segi rasa tetapi juga mempunyai nilai dan simbolik dalam budaya Johor.
Seperti yang diketahui umum, telur pindang dihasilkan melalui proses memasak yang lama antara tiga hingga lapan jam. Telur direbus bersama-sama pelbagai jenis rempah dan daun herba seperti daun jambu batu, daun serai, daun salam, kulit bawang, halia, serai, daun pandan, ketumbar, jintan putih, jintan manis dan rempah ratus yang lain. Proses ini memakan masa beberapa jam atau semalaman bergantung pada jumlah telur, resipi dan teknik. Semasa direbus telur akan menyerap aroma dan rasa daripada bahan-bahan tersebut dan warna kulit telur bertukar menjadi coklat kehitam-hitaman. Telur pindang memiliki rasa yang unik dan kaya dengan aroma herba dan rempah. Selain rasanya yang sedap, tekstur isi telurnya juga lebih padat berbanding dengan telur biasa yang direbus. Proses rendaman dan rebusan yang lama membolehkan telur menyerap semua rasa daripada bahan-bahan tersebut sehingga sebati dan menjadikannya hidangan yang enak dimakan begitu sahaja atau sebagai lauk tambahan.
Salah satu ciri utama telur pindang ialah warna kulitnya yang gelap biasanya berwarna coklat tua atau hitam. Warna ini diperoleh daripada campuran herba dan rempah serta proses rebusan yang lama. Warna gelap ini bukan sahaja membezakannya daripada telur rebus biasa tetapi juga menjadikan telur pindang lebih menarik untuk dijadikan sebagai hidangan khas.
Sementara itu, telur pindang mempunyai sejarah dan asal usulnya yang tersendiri. Telur pindang dipercayai berasal daripada tradisi Jawa dan Bugis yang dibawa oleh para pendatang ke negeri Johor. Para pelayar dan pedagang pada zaman dahulu membawa bekalan telur pindang semasa tempoh pelayaran yang panjang kerana telur pindang lebih tahan lama berbanding dengan telur rebus biasa.
Khasiat telur pindang tidak perlu dipertikaikan lagi. Telur pindang kaya dengan protein yang penting untuk pertumbuhan dan pembaikan tisu badan. Protein dalam telur pindang juga membantu dalam membina otot, memperkuat sistem imun dan menyokong kesihatan kulit, rambut dan mata kerana kaya dengan lutein dan zeaxanthin.
Sehubungan dengan itu, telur pindang mengandungi pelbagai vitamin seperti vitamin A untuk kesihatan mata, vitamin D yang membantu penyerapan kalsium dan kesihatan tulang serta vitamin B12 yang menyokong fungsi otak dan penghasilan sel darah merah. Selain itu, telur pindang mengandungi zat mineral seperti zat besi, fosforus dan selenium yang penting untuk fungsi tubuh. Telur pindang mengandungi lemak tak tepu yang baik untuk jantung. Lemak ini membantu mengurangkan kadar kolesterol jahat (LDL) dan meningkatkan kolesterol baik (HDL) yang mampu menyokong kesihatan jantung dan pembuluh darah. Proses perebusan telur pindang yang menggunakan pelbagai herba dan rempah seperti daun jambu, kulit bawang, dan daun salam mampu membantu melawan radikal bebas dalam badan dan mengurangkan risiko penyakit kronik kerana rempah mengandungi bahan antioksidan. Pakar pemakanan mengakui bahawa telur pindang merupakan makanan rendah kalori yang sesuai untuk mereka yang mengawal pengambilan kalori. Makanan ini mampu menjadi sumber nutrisi yang baik tanpa menambahkan beban kalori berlebihan (Sumber: phdi.or.id).
Walaupun hidangan ini boleh ditemui di beberapa bahagian lain di Malaysia, negeri Johor terkenal sebagai tempat yang menjadikan telur pindang sebagai bahagian penting dalam tradisi makanan mereka. Hidangan ini popular dalam kalangan masyarakat Melayu Johor kerana dapat disimpan lama tanpa cepat rosak dan sesuai untuk dijadikan buah tangan atau bekalan semasa perjalanan jauh.
Di Johor, telur pindang sering dihidangkan semasa majlis perkahwinan sebagai cenderahati kepada para tetamu selain turut dihidangkan dalam majlis khas lain seperti kenduri doa selamat, majlis tahlil dan majlis akikah. Hidangan ini telah menjadi sebahagian daripada identiti budaya makanan Johor dan menjadi kebanggaan penduduk negeri tersebut.
Walau bagaimanapun, telur pindang bukan sekadar makanan tradisional tetapi juga simbol terhadap budaya dan warisan masyarakat Johor. Telur pindang (dan telur rebus) sebenarnya mempunyai simbolik tertentu dalam budaya masyarakat Melayu. Disebabkan itulah telur sering dijadikan sebagai buah tangan atau cenderahati dalam majlis perkahwinan. Telur ini melambangkan keberkatan, kesejahteraan dan doa untuk kebahagiaan pasangan pengantin. Telur pindang sering diberikan kepada tetamu sebagai tanda penghargaan dan simbol ucapan selamat. Bagi sesetengah masyarakat Melayu Johor, telur pindang juga mempunyai maksud simbolik yang mendalam. Proses rebusannya yang lama melambangkan kesabaran dan ketabahan dalam perkahwinan. Warna gelap kulit telur dianggap sebagai tanda kelangsungan dan ketahanan dalam menghadapi cabaran hidup.
Telur secara tradisional melambangkan kesuburan kerana telur ialah simbol kehidupan dan potensi untuk menghasilkan keturunan. Dalam majlis perkahwinan Melayu, pemberian telur kepada tetamu diumpamakan sebagai doa agar pasangan pengantin diberkati dengan zuriat yang ramai dan keluarga yang bahagia. Kehidupan baharu yang akan dibina oleh pasangan suami isteri diibaratkan seperti telur yang merupakan permulaan kepada pembentukan kehidupan baharu.
Selain itu, telur juga melambangkan kelangsungan hidup dan ketahanan kerana dipercayai membawa janji akan kehidupan baharu yang sedang menunggu untuk berkembang. Pemberian telur dalam majlis perkahwinan juga melambangkan harapan agar pasangan pengantin mampu mengatasi segala cabaran dan rintangan yang bakal dihadapi. Buah tangan ini merupakan tanda penghargaan dan terima kasih daripada pihak pengantin dan keluarga kepada tetamu yang hadir untuk meraikan hari bahagia mereka. Telur dianggap sebagai hadiah yang kecil tetapi bermakna dan simbolik kepada kebaikan dan kemurahan hati. Hal ini merupakan kaedah untuk keluarga pengantin menunjukkan rasa hormat kepada para tetamu yang telah memberikan sokongan dan restu kepada pasangan pengantin.
Oleh hal yang demikian, telur sebagai satu benda yang berbentuk bulat yang sempurna, melambangkan kesempurnaan dan kitaran kehidupan yang berterusan dengan harapan kehidupan pengantin baharu sentiasa berada dalam keadaan harmoni, seimbang dan diberkati dengan rezeki yang melimpah. Telur yang bulat juga melambangkan penyatuan dua individu yang berbeza menjadi satu, sama seperti isi dan kulit telur yang saling melengkapi.
Sementara itu, dari sudut gastronomi, telur pindang merangkumi lebih daripada sekadar penyediaan makanan; hal ini melibatkan penghargaan terhadap teknik memasak yang mendalam, penggunaan rempah yang beraroma dan nilai budaya yang unik. Telur pindang bukan sahaja sedap tetapi juga mempunyai makna simbolik yang penting dalam adat dan budaya Melayu Johor sehingga menjadikannya hidangan yang istimewa dan signifikan dalam pelbagai konteks sosial dan budaya. Telur pindang bukan sekadar hidangan telur rebus tetapi juga sebagai manifestasi seni kulinari dan warisan gastronomi yang kaya.