Skip to content
Tudung Periuk: Kritikan Sosial Dahulu Kala
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Sastera > Tudung Periuk: Kritikan Sosial Dahulu Kala
Tudung Periuk: Kritikan Sosial Dahulu Kala
Bicara Sastera

Tudung Periuk: Kritikan Sosial Dahulu Kala

  • Raja Nazran Shah
  • 20 November 2025
  • DBP Cawangan Sarawak
  • 312
  • 5

Dalam Konsert MeleTOP TVS yang diadakan pada 17 Mei 2025 yang lalu, di Stadium Tertutup Miri, Sarawak, penyanyi kelahiran Sarawak, Dayang Nurfaizah telah menerima Anugerah Khas Borneo MeleTOP atas sumbangannya dalam bidang industri muzik dan mengharumkan nama Sarawak. Penghargaan yang diberikan ini mengingatkan tentang lagu Tudung Periuk yang diberi nafas baharu oleh penyanyi berbakat ini. Selain Dayang Nurfaizah, lagu ini telah lama dipopularkan oleh Seniman Agung P. Ramlee menerusi filem arahannya sendiri, Sumpah Orang Minyak pada tahun 1958.

Pengisian ilmu dalam buku teks Muzik Tahun 6 KSSR Semakan Tahun 2017 turut menyelitkan lagu rakyat ini sebagai bahan pengajaran. Dalam unit tersebut,  murid diminta untuk menyanyikan lagu Tudung Periuk mengikut irama lagu dan mengetahui maksud di sebalik lirik lagu tersebut. Lagu rakyat kini sudah hampir pupus ditelan zaman. Jika ditanya kepada murid sama ada pernah mendengar lagu tersebut atau tidak, sudah tentu mereka menyatakan bahawa lagu itu sangat asing bagi mereka. Langsung tidak pernah dengar di mana-mana. Di corong radio mahupun di kaca televisyen, apatah lagi di media sosial.

Usaha murni yang dilakukan oleh pihak penggubal kurikulum ini amat bertepatan dalam memastikan karya seni tradisional Melayu malar segar dalam kalangan masyarakat Malaysia. Lirik lagunya yang mudah dihafal dan  bermakna, disertakan dengan iramanya yang sangat menarik menyebabkan murid-murid mudah untuk menyampaikan lagu ini ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Lagu Tudung Periuk ini diklasifikasikan sebagai lagu rakyat. Lagu rakyat merupakan warisan unggul para pemikir zaman dahulu yang mencerminkan identiti, pemikiran, budaya dan realiti kehidupan, khasnya masyarakat Melayu pada masa itu. Lirik lagunya yang penuh dengan isi tersirat membuktikan tahap keilmuan yang tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu pada masa itu yang wajar dicontohi.

Setelah diamati, lagu ini secara amnya berkisar tentang jurang sosial antara golongan miskin dengan golongan bangsawan. Perbezaan jurang yang bagai langit dengan bumi ini digambarkan oleh pencipta lagu ini dengan sangat ketara  pada setiap bait.

Untuk pengetahuan, lirik lagu ini hanya satu rangkap dan dipecahkan kepada empat baris ayat yang saling melengkapi. Sangat ringkas. Namun isinya sangat padat dan bermakna. Penuh dengan kritikan sosial yang berlaku pada zaman dahulu. Kritikannya sinis, namun disampaikan dengan irama lagu yang penuh kelembutan. Penuh ironi, namun selari dengan mesej yang hendak disampaikan lagu ini.

Tudung periuk, tudung periuk pandai menari
Menarilah lagu, menarilah lagu putera mahkota

Kainlah yang buruk, kain yang buruk berikan kami
Buat menyapu, buat menyapu si air mata

“Tudung periuk, tudung periuk pandai menari” — simbolik tudung periuk digunakan dalam karya seni kerana tudung periuk merupakan alatan dapur yang sangat dekat dengan golongan marhaen. Periuk merupakan peralatan asas yang digunakan untuk memasak dan sudah pasti ada di dalam setiap rumah. Selain itu, tudung periuk juga boleh disimbolkan sebagai penutup kepada kesengsaraan hidup daripada diketahui umum, khususnya aib sesebuah keluarga. Begitulah prinsip masyarakat Melayu yang sangat memelihara maruah dan nama baik keluarga.

Perlambangan orang bawahan yang sering digunakan oleh golongan bangsawan atas kepentingan mereka, ibarat tudung periuk yang memastikan masakan di dalamnya masak sempurna, menari-menari apabila siap dimasak. Setelah siap dimasak, tudung periuk dibuka dan ditinggalkan di dapur dan dilupakan oleh manusia yang kekenyangan.

Itulah yang dimaksudkan dengan baris “menyanyi lagu, menyanyi lagu putera mahkota”. Menyanyi lagu simbolik kepada hiburan, yang pada dasarnya merujuk kepada makanan yang telah siap dimasak, lalu diberikan kepada para bangsawan untuk mengenyangkan perut mereka. Apabila kekenyangan, mereka senang hati lantas lupa pada orang bawahan yang bersusah payah menyediakan makanan itu untuk mereka.

Kritikan sosial antara dua darjat ini kemudian dizahirkan pada baris seterusnya, “kain yang buruk, kain yang buruk berikan kami” memberi perlambangan tentang golongan bawahan pada masa itu yang tidak mengharapkan wang dan pangkat. Imej kain buruk digunakan bagi memberi simbol tentang maruah dan darjat golongan bawahan yang hina dan tidak mulia di mata para pembesar. Hal ini menunjukkan kerendahan hati golongan miskin yang sedar akan diri mereka, namun dalam masa yang sama memberikan sindiran sinis kepada golongan atasan tentang perihal kesusahan hiudp orang bawahan jika dibandingkan dengan mereka.

“Buat menyapu, buat menyapu si air mata” — baris keramat ini sinonim dengan perasaan dan tekanan jiwa yang menyelubungi kehidupan orang bawahan. Walaupun hanya diberikan kain buruk yang murah dan tidak berguna, mereka tetap bersyukur menerimanya sebagai kelangsungan hidup. Tidak lumayan, tetapi sudah cukup untuk mereka. Jauh di sudut hati mereka, mereka tetap meratap sedih akan sikap tidak prihatin para bangsawan yang tidak memahami akan kesusahan mereka.

Kesusahan golongan bawahan ini bukannya berlaku disebabkan mereka tidak keluar mencari rezeki. Tidak sekali-kali. Bukan resam orang Melayu bersifat suka meminta-minta. Semuanya diperoleh hasil daripada titik peluh sendiri. Dalam konteks lagu ini, mereka bekerja di bawah naungan orang bangsawan. Penat lelah mereka bekerja dilihat tidak setimpal dengan upah dan gaji yang diterima. Sedangkan, para bangsawan mengaut keuntungan berlipat kali ganda tanpa berbuat apa-apa.

Secara keseluruhannya, kritikan sosial yang diketengahkan melalui lagu ini memberi cerminan realiti sosial masyarakat Melayu zaman dahulu. Melalui simbolik yang ditunjukkan oleh tudung periuk dan kain buruk, lagu ini menyampaikan kritikan terhadap ketidakseimbangan darjat antara golongan bangsawan dengan rakyat biasa. Di sebalik pengulangan bait-bait dalam setiap baris ini sebenarnya menunjukkan ketegasan masyarakat terhadap rakyat yang menginginkan belas ihsan daripada pemerintah mereka. Namun, dalam menjalani ranjau kehidupan yang sukar, rakyat bawahan ini tidak pernah meminta-minta, malah sentiasa bersyukur dengan rezeki yang mereka peroleh.

Oleh itu, mengambil pengajaran daripada inti pati lagu rakyat ini, kita dapat menyedari betapa pentingnya nilai empati, keprihatinan dan keadilan sosial dalam membina masyarakat seterusnya negara yang sejahtera. Lagu ini mengajar kita agar tidak memandang hina golongan yang miskin, bahkan perlu sentiasa menghargai setiap usaha dan pengorbanan yang telah mereka lakukan. Malahan, lagu ini juga turut memberi peringatan kepada golongan yang berharta dan berpangkat agar tidak menjadi seorang yang lupa daratan. Sebaliknya, gunakanlah kelebihan dan keistimewaan yang ada untuk membela nasib rakyat kebanyakan. Jika semua ini dapat direalisasikan, maka itulah erti kemanusiaan yang sebenar.

Lagu Tudung Periuk bukanlah sekadar tinggalan warisan nenek moyang kita, namun sebagai cerminan elemen kebijaksanaan yang diterapkan dalam kebudayaan dan kesenian masyarakat Melayu yang bersifat halus dan penuh dengan maksud tersirat. Nada dan iramanya sangat mengasyikkan, sebaliknya sarat dengan sindiran dan kritikan. Begitulah generasi dahulu kala membuat kritikan tentang sesuatu permasalahan. Penuh hikmah dan sopan santun, namun ketegasannya kukuh terpancar.

Dalam era globalisasi yang penuh cabaran ini, lagu rakyat ini wajar diperkenalkan kepada generasi muda supaya mereka dapat mendalami maksud dan pesanan yang dapat membuka minda mereka tentang lumrah kehidupan. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, begitulah harapannya agar khazanah kebudayaan dan kesenian ini sentiasa terpelihara tatkala ditelan zaman dan usia.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

سڤي يڠ ترتقدير
Puisi Moden

سڤي يڠ ترتقدير

  • 20 Februari 2024
هنداي ترڤيليه
Puisi Moden

هنداي ترڤيليه

  • 20 Jun 2025
  • 4.5
Kampung Gembira
Cerpen

Kampung Gembira

  • 9 Oktober 2023
  • 302
  • 4.3
Benih Harapan
Cerpen

Benih Harapan

  • 5 April 2025
  • 273
  • 4.6

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP