Skip to content
Wanita Berkerjaya dan Perubahan Peranan: Antara Fitrah dan Keinginan
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Bahasa > Wanita Berkerjaya dan Perubahan Peranan: Antara Fitrah dan Keinginan
Wanita Berkerjaya dan Perubahan Peranan: Antara Fitrah dan Keinginan
Bicara Bahasa

Wanita Berkerjaya dan Perubahan Peranan: Antara Fitrah dan Keinginan

  • SITI AISYAH MAT SAAD
  • 5 September 2026
  • DBP Cawangan Sabah

Wanita berkerjaya merujuk kepada wanita yang melakukan sesuatu kegiatan untuk mendapatkan upah atau gaji. Wanita berkerjaya secara amnya ialah wanita yang telah mendapat pendidikan dan melakukan sesuatu pekerjaan mengikut kelayakan akademiknya (Adawiyah Ismail dan Salasiah Hanin Hamjah, 2012; Faridah Shahadan, 2009). Setiap tingkat akademik mempunyai tangga gaji yang berlainan, dan semakin tinggi taraf akademik seseorang maka tangga gaji yang diperoleh akan semakin tinggi. Di Malaysia, jumlah penglibatan wanita dalam bidang tenaga kerja profesional semakin meningkat setiap tahun (Kementerian Pembangunan Wanita, 2014). Penglibatan wanita dalam pekerjaan merupakan perkara yang normal dalam masyarakat kini. Wanita merupakan salah seorang daripada ahli keluarga yang bekerja demi menjana ekonomi keluarga.

Walaupun wanita berkerjaya, mereka masih dituntut untuk melakukan tugas hakiki yang terdapat dalam sistem tradisi masyarakat dan keluarga mereka (Noor Rahamah Abu Bakar, 2009; Ooi Chai Kheng, 2002). Sistem tradisi merangkumi pengurusan rumah tangga, mengurus anak, dan terlibat dalam organisasi masyarakat. Sistem tradisi ini dianggap sebagai tanggungjawab hakiki seorang wanita walaupun mereka telah melakukan pekerjaan yang lain. Tanggungjawab yang pelbagai ini dipanggil dwikerja (Naemah Hamzah et al., 2014). Wanita berkerjaya melakukan dua tugas dalam masa yang sama. Hal ini berlaku kepada wanita yang belum berkahwin ataupun yang sudah berkahwin, namun bebanan yang lebih berat akan dirasai oleh wanita yang sudah berkahwin.

Dwikerja dan bebanan yang ditanggung oleh wanita di dalam dan luar rumah mendatangkan tekanan kepada wanita berkerjaya. Tekanan yang boleh berlaku antaranya tekanan dari aspek psikologi (Adawiyah Ismail dan Salasiah Hanin Hamjah, 2012). Tekanan psikologi ini berlaku akibat dari tekanan fizikal yang telah diterima oleh wanita berkerjaya di dalam dan juga luar rumah. Hal ini boleh berlaku apabila fizikal wanita sudah terlalu penat dan tekanan di tempat kerja. Tekanan psikologi ini sangat berbahaya terhadap tahap kesihatan dan menyebabkan sikap rendah diri dalam kalangan wanita berkerjaya.

Tekanan dan bebanan ini seterusnya mendatangkan ketidakseimbangan peranan wanita termasuklah peranan di rumah atau di luar rumah. Wanita berkerjaya juga dikatakan mengalami pelbagai masalah semasa seperti perceraian, masalah sosial, dan masalah akhlak anak mereka (Rozita Abdul Talib, 2007). Ini boleh berlaku akibat ketidakseimbangan peranan dan wanita berkerjaya tidak mampu mengimbangi peranan mereka di tempat kerja dan di rumah.

Wanita berkerjaya memerlukan sokongan daripada keluarga, majikan, dan juga masyarakat dalam menghadapi masalah ketidakseimbangan peranan yang dihadapi. Dengan bantuan dan sokongan diharapkan bebanan wanita berkerjaya akan dapat berkurangan dan wanita berkerjaya dapat menjalani kehidupan yang lebih baik.

Artikel ini akan menerangkan kajian berkaitan peranan guru di tempat kerja dan rumah, fitrah wanita berkerjaya, dan keinginan wanita berkerjaya. Kajian ini dijalankan secara kualitatif. Data diperoleh daripada temu bual penulis terhadap wanita berkerjaya. Penulis membuat kajian terhadap lima orang wanita berkerjaya yang sudah berumah tangga. Soalan temu bual dijalankan secara semi berstruktur, iaitu soalan dibina terlebih dahulu tetapi soalan boleh ditambah dan diubah suai semasa sesi temu bual berdasarkan kesesuaian. Pemerhatian juga dijalankan ke atas lima orang peserta kajian di tempat mereka bekerja.

 

Wanita dan Perubahan Peranan

Peranan yang dimainkan oleh guru wanita pada hari ini tidak dapat dinikmati tanpa perjuangan yang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu. Perjuangan terhadap wanita yang terawal di Malaysia telah dimulakan oleh kaum Muda seawal abad 1920-an. Kaum Muda diketuai oleh tokoh-tokoh ternama antaranya Syed Sheikh Al-Hadi, Syed Haji Abas bin Mohd. Taha, dan Sheikh Tahir Jalaluddin. Kaum Muda ini dikatakan telah mentafsirkan semula ajaran dan falsafah Islam mengikut tuntutan semasa dengan memperjuangkan hak-hak emansipasi wanita daripada pelbagai aspek, iaitu pendidikan, pakaian, dan tanggungjawab terhadap negara. Kaum Muda juga menyokong sistem pendidikan sekular dan menggalakkan pendidikan diberikan kepada wanita (Chandra Muzaffar, 1988).

Pengaruh ideologi dari Turki juga disokong kuat oleh kumpulan pemikir “Kaum Muda” ini dan seterusnya menjadi penggerak emansipasi wanita (Marina Merican, 1960) di Tanah Melayu pada ketika itu melalui gerakan islah. Kini, peranan wanita itu dilihat lebih meluas dan melangkau apa yang telah disebut sebelum ini, kerjaya wanita hanya dalam bidang pendidikan dan kebebasan hidup. Perubahan peranan ini penting untuk diteliti bagi melihat peranan yang telah dibawa oleh wanita terdahulu. Peranan itu seterusnya dipikul oleh wanita zaman kini dengan ditambah peranan baharu, iaitu kerjaya. Jika wanita yang terdahulu tidak terlibat dengan kerjaya dan dapat menumpukan perhatian kepada keluarga dan anak, wanita zaman kini juga masih dibayangi dengan tugasan dan peranan wanita terdahulu walaupun menjalankan peranan sebagai wanita yang berkerjaya (Noor Rahamah Abu Bakar, 2009; Ooi Chai Kheng, 2002). Wanita berkerjaya dibebani dwikerja di dalam dan luar rumah (Naemah Hamzah et al., 2014).

Perjuangan wanita kini bukan lagi menuntut hak pendidikan dan kebebasan seperti yang dituntut oleh kaum muda dan wanita yang terdahulu, tetapi wanita sudah mula menuntut tentang hal-hal politik, perundangan, dan juga segala tuntutan ke atas kemudahan mereka semasa bekerja. Wanita berkerjaya menuntut cuti bersalin yang lebih banyak bagi menjaga dan menyusukan bayi, insentif kepada suri rumah, dan sistem kehakiman yang lebih mesra (Harlina Halizah Sira, 2008).

 

Wanita antara Fitrah dan Keinginan

Fitrah ialah perasaan, tabii dan bakat yang telah dikurniakan kepada seseorang individu sejak azali (Noresah binti Baharom, 2015). Fitrah juga bersifat suci dan asli sejak seseorang lahir dan boleh dibahagikan kepada bentuk fizikal dan juga keupayaan mental. Seorang wanita mempunyai bakat dan keupayaan yang berbeza dengan seseorang lelaki dari aspek biologi atau pun fizikal. Hal ini merangkumi kebolehan melahirkan anak, menyusu, dan mengandung. Secara alaminya, lelaki tidak akan dapat mengambil alih peranan wanita dari aspek biologi, iaitu mengandung, melahirkan, dan menyusukan bayi.

Dalam kajian ini, wanita berkerjaya dilihat ingin melaksanakan nilai fitrah semula jadi yang telah pun dikurniakan kepada mereka, iaitu menjaga dan menyusukan bayi mereka sepenuhnya dengan sempurna. Namun, nilai fitrah itu tidak dapat dijalankan dengan sebaiknya dan mengikut keinginan wanita berkerjaya akibat daripada tugasan dan tanggungjawab yang mereka laksanakan. Kegagalan menjalankan nilai fitrah ini menyebabkan gangguan terhadap naluri keibuan dan menyebabkan seseorang wanita berasa rendah diri, ketakutan, dan sangsi apabila anak dijaga oleh orang lain. Ini seterusnya boleh mengganggu prestasi kerja dan tumpuan kerja wanita berkerjaya. Wanita berkerjaya juga dikatakan mempunyai masa yang singkat bersama-sama anak (Surena Sabil dan Sabitha Marican, 2011). Hal ini akan menyebabkan nilai kasih sayang dan keprihatinan terhadap perkembangan anak berkurangan berbanding wanita yang menjadi suri rumah sepenuh masa.

Kajian ini mendapati bahawa wanita berkerjaya tidak berpuas hati terhadap penjagaan anak dan pengurusan rumah tangga yang tidak dapat dilakukan sendiri akibat terlibat dalam bidang pekerjaan. Wanita berkerjaya terikat dengan masa dan bidang tugas yang telah diberikanmengikut tahap pendidikan yang diterima. Terdapat daripada wanita berkerjaya terpaksa melepaskan hal penjagaan anak mereka kepada rumah asuhan bayi dan ibu mentua. Manakala penyusuan bayi yang tidak dapat dilakukan, terpaksa diganti dengan susu botol atau memerah susu dan disimpan ke dalam peti sejuk. Manakala hal pengurusan rumah terpaksa dilakukan pada waktu malam, subuh, atau hujung minggu. Hal ini sentiasa berada dalam keadaan yang tidak memuaskan hati mereka.

Hal ini menunjukkan bahawa wanita berkerjaya berasa diri mereka tidak sempurna dan serba kekurangan kerana tidak dapat melakukan tanggungjawab mereka dengan sempurna. Hal ini berlaku kerana mengikut Sigmund Frued (1856-1939), pengalaman tidak sedar yang telah diberikan atau diperhatikan oleh seorang wanita dalam keluarganya akan mempengaruhi psikologi seseorang wanita (James A. Schellenberg, 1986). Keadaan ini berlaku apabila seseorang anak perempuan yang mengalami proses pendaman apabila melihat tingkah laku ibu bapa mereka. Pengaruh psikologi ini akan mempengaruhi aspek pemikiran, jiwa, dan juga identiti gender. Apabila seorang kanak-kanak perempuan melihat apa juga peranan dan tanggungjawab ibu mereka, peranan dan pengalaman itu dibawa sehinggalah mereka dewasa.

Oleh yang demikian, wanita berkerjaya sebenarnya mengalami pengalaman tidak sedar yang dipengaruhi daripada pengalaman keluarga mereka dan juga fitrah yang mereka alami terutama dalam penjagaan anak. Pengalaman dan juga fitrah inilah yang menyebabkan wanita ingin menjalankan tanggungjawab mereka meskipun mereka telah menjalankan pekerjaan masing-masing.

 

Sokongan terhadap Wanita Berkerjaya

Berdasarkan peranan wanita berkerjaya yang pelbagai dan boleh mendatangkan masalah psikologi dan masalah keluarga, wanita berkerjaya memerlukan sokongan bagi mereka meneruskan kehidupan seharian. Wanita berkerjaya boleh mendapatkan sokongan daripada suami dan keluarga. Suami dan keluarga ialah individu yang paling hampir dan rapat dengan wanita berkerjaya. Oleh yang demikian, mereka boleh mendapatkan bantuan bagi menjalankan pengurusan rumah tangga di rumah dan memberikan sokongan motivasi kepada mereka agar bebanan dan masalah psikologi mereka dapat ditangani.

Selain itu, majikan juga memainkan peranan penting dalam membantu dan memberikan sokongan kepada wanita berkerjaya di tempat kerja. Misalnya tidak memberikan tekanan semasa mereka memerlukan cuti ketika anak sakit dan sokongan motivasi bagi mereka yang mengalami tekanan. Masyarakat juga boleh membantu dengan memberikan sokongan dan memahami tugas wanita berkerjaya. Masyarakat boleh membantu dengan menubuhkan pusat transit bagi membantu menguruskan anak kepada wanita berkerjaya dan melakukan penjagaan dengan baik.

Kemahiran dalam menguruskan peranan di luar ataupun di rumah adalah sangat penting dan membantu wanita berkerjaya dalam menjalankan peranannya. Kemahiran yang dimaksudkan antaranya kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pengurusan, dan kemahiran menggunakan mesin atau alat-alat yang dapat mengurangkan bebanan tugas di rumah. Kemahiran-kemahiran ini penting dalam membantu dan memberikan sokongan kepada wanita berkerjaya agar mempunyai masa yang lebih dan dapat meringankan bebanan mereka di luar ataupun di dalam rumah.

Wanita berkerjaya memainkan peranan penting di dalam mahupun di luar rumah. Wanita berkerjaya menjalankan peranan sebagai isteri, anak perempuan, kakak ataupun nenek semasa di rumah. Manakala ketika berada di luar merekalah pekerja yang bertanggungjawab terhadap sesuatu bidang yang diamanahkan mengikut bidang pekerjaan dan tahap pendidikan yang telah pun mereka terima. Wanita berkerjaya telah menjalankan peranan yang bertindih dan menjalankannya secara serentak. Oleh yang demikian, berlaku pertindihan peranan yang juga disebut sebagai dwikerja. Dwikerja ini mendatangkan ketidakseimbangan peranan wanita berkerjaya yang akhirnya pelbagai masalah dihadapi oleh wanita berkerjaya antaranya masalah semasa, masalah psikologi, dan masalah perceraian.

Oleh yang demikian, wajarlah sokongan-sokongan ini diberikan kepada wanita berkerjaya dalam membantu meringankan peranan yang telah dijalankan oleh mereka. Sokongan tersebut boleh diperoleh daripada suami dan keluarga, masyarakat, kemahiran dan juga majikan. Wanita berkerjaya juga perlulah berusaha dalam meningkatkan kemahiran diri dari pelbagai aspek agar tidak ketinggalan dan dapat membantu mengurangkan bebanan mereka.

 

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (14) #cerpenkehidupan (8) #dbpselatan (17) #karyasastera (31) #kedah (4) #komsas (3) #penulis (9) #penulisbaharu (35) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (24) #sasteramelayu (10) #sasteramoden (4) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (16) abuyon (4) adie abd gani (5) anak (3) bahasa (3) cerpen (16) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (29) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (6) Esei (5) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (14) puisi (34) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (13) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Cinta-Mu Terlalu Dekat
Puisi

Cinta-Mu Terlalu Dekat

  • 9 Oktober 2023
  • 207
  • 4.8
محبه
Puisi Tradisional

محبه

  • 18 Ogos 2026
Simbolik Senario Kemajuan Pembangunan Johor dalam “Sirat Figura”
Bicara Sastera

Simbolik Senario Kemajuan Pembangunan Johor dalam “Sirat Figura”

  • 4 Januari 2024
  • 245
  • 5
ستله برسارا
Puisi Moden

ستله برسارا

  • 20 September 2023
  • 33
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP